Browsing Tag

puasa

puasa sia-sia
Gaya Hidup,

Jaga lidah, jangan sampai puasa menjadi sia-sia kerana percakapan kita

Jaga lidah, jangan sampai puasa menjadi sia-sia kerana percakapan kita

SETIAP mukmin pasti teruja dengan kehadiran Ramadan yang membuka peluang untuk menuai pahala berganda dan dosa diampunkan oleh ALLAH SWT.

Rata-rata umat Islam ada persiapan masing-masing menyambut ketibaan bulan teragung itu. Misalnya, ada segelintir yang berpuasa pada Syaaban lalu sebagai persediaan untuk menahan lapar dan dahaga sewaktu Ramadan nanti.

Pun begitu, siapa sangka walaupun kita semua bersama-sama berpuasa di bulan Ramadan, hakikatnya pahala yang diterima tidak semestinya sama.

Lebih merisaukan jika kita termasuk dalam golongan yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh pahala puasa. Sebaliknya hanya kelaparan, kehausan dan keletihan yang diraih semata-mata.

Baca juga Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

puasa sia-sia

Baca juga Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

Kata Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom, golongan yang dimaksudkan adalah orang yang berpuasa, tetapi tidak menjaga kualiti puasa masing-masing dengan mengerjakan perkara-perkara yang dilarang ketika melaksanakan kewajipan berkenaan.

“Amalan berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum, tetapi juga menjaga pancaindera masing-masing daripada berbuat maksiat sepanjang bulan suci itu,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

DR MOHD NASIR

Lidah mengurangkan pahala puasa
Menurut portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, lidah antara punca mengapa pahala puasa boleh berkurangan.

Tulisnya lagi, walaupun mengumpat dan berkata keji tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan puasa. Namun ia boleh mengurangkan dan membatalkan pahala puasa.

Bahkan perlakuan itu turut boleh mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan sekadar hanya tentang menahan lapar serta dahaga sahaja.

Sabda Nabi SAW “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan amalan yang keji, maka Allah tidak berhajat pada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

Dalam pada itu, pihaknya menegaskan bahawa mengumpat adalah perkara yang dilarang dan diharamkan syarak sama ada di bulan puasa mahupun pada bulan-bulan yang lain

Oleh sebab itu, berjaga-jagalah dengan apa yang dituturkan oleh mulut kita sepanjang bulan Ramadan kerana dibimbangi akan menyebabkan puasa kita menjadi sia-sia.

Turut disyorkan Kenalpasti dan waspada dengan lapan kategori pencuri di bulan Ramadan!

puasa sia-sia

MOGA-moga kita tidak termasuk dalam golongan yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh pahala puasa.

Baca juga Ini 7 kehebatan Ramadan yang perlu kita rebut

Perkara lain perlu dijaga ketika Ramadan
Selain itu, Imam al-Ghazali pernah mengingatkan umat Islam tentang beberapa perkara yang harus dijaga sepanjang menunaikan kewajiban berpuasa, iaitu:

i. Menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang dilarang.

ii. Menjaga percakapan daripada menuturkan perkara yang sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencela.

iii. Menjaga pendengaran daripada perkara yang dilarang.

iv. Menjaga diri daripada melakukan perkara yang syubhat ketika berbuka puasa seperti membazir dan bersifat tamak.

Justeru, jangan sampai kita mensia-siakan manfaat dan fadilat besar yang ada pada bulan Ramadan kali ini hanya kerana perkataan yang terbit dari mulut kita.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Google & 123Rf

Berpuasa tapi tidak dapat pahala
Ibadah,

Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

TERDAPAT golongan yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh pahala puasa, sebaliknya hanya kelaparan, kehausan dan keletihan semata-mata.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom berkata, perkara itu ada disebutkan secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW.

Baginda SAW bersabda: “Ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak memperoleh apa-apa dari puasanya kecuali lapar.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Dalam satu riwayat yang lain, Nabi Muhammad SAW turut menerangkan tentang perkara yang dilarang ketika berpuasa. Baginda bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai. (Ketika berpuasa) jangan mencela (kata-kata kotor), jangan melakukan perbuatan bodoh. Sekiranya ada seseorang yang ingin bergaduh atau membulinya, maka katakanlah ‘aku berpuasa’ dua kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

DR MOHD NASIR

Berdasarkan dua hadis berkenaan, ahli akademik berkenaan menjelaskan, merekalah sebenarnya orang yang berpuasa, tetapi tidak menjaga kualiti puasa masing-masing dengan mengerjakan perkara-perkara yang dilarang ketika melaksanakan kewajipan berkenaan.

Baca juga Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Ketahuilah bahawa, puasa tidak sama dengan ibadah-ibadah lain. Ini kerana berpuasa tidak perlu menzahirkan perbuatan atau perkataan sepertimana solat dan membaca al-Quran.

Itulah keistimewaan yang terdapat pada ibadah berkenaan.

Menurut Dr Mohd Nasir, amalan puasa yang dikerjakan oleh setiap mukmin adalah milik ALLAH SWT.

Baca juga Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Bahkan, pemilik kerajaan langit dan bumi itu juga akan membalas dengan pahala yang tidak terhitung banyaknya.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH SWT berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik AKU (ALLAH) dan AKULAH yang akan membalasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pendakwah itu menambah, kewajiban yang satu itu sangat mementingkan niat ikhlas. Hanya ALLAH SWT sahaja Yang MAHA MENGETAHUINYA, selain individu berkenaan.

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

NIAT keikhlasan menjadi syarat terpenting dalam menentukan kualiti ibadah puasa yang dikerjakan. -Foto: 123rf

“Niat keikhlasan inilah yang menjadi syarat terpenting dalam menentukan kualiti puasa dikerjakan.

“Hanya ALLAH SWT sahaja yang layak membalas pahala orang yang ikhlas berpuasa dengan ganjaran besar,” katanya.

Oleh sebab itu, ujar penceramah tersebut, tidak hairanlah apabila setiap ujian, dugaan, musibah, kesusahan dan cabaran yang dilalui setiap mukmin akan dinilai tahap iman dan keikhlasan mereka dalam ketaatan kepada Sang Pencipta.

Baca juga Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan

Ia termasuklah dalam perihal pelaksanaan ibadah termasuk ketika menunaikan Rukun Islam keempat itu, terangnya.

“Dalam keadaan (menghadapi cabaran) ini, orang yang berpuasa akan menghadapi berbagai kesukaran dan kepayahan. Semua cabaran ini sudah pasti diberi ganjaran yang setimpal oleh ALLAH SWT.

“Namun demikian, Islam juga memberi kelonggaran dengan mengharuskan berbuka puasa kepada golongan-golongan yang tidak mampu untuk berpuasa supaya berbuka dengan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Pelihara pancaindera

Menyambung hujahnya, Dr Mohd Nasir menjelaskan, pahala setiap orang yang berpuasa berbeza disebabkan kualiti ibadah masing-masing.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

SELAIN menahan diri daripada lapar dan dahaga, peliharalah pancaindera masing-masing ketika berpuasa. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Melihat ungkapan berkenaan, ujar beliau, jelaslah bahawa dua syarat utama bagi orang berpuasa untuk mendapat keampunan dosa-dosa lalu iaitu melaksanakan ibadah berkenaan dengan penuh keimanan dan pengharapan agar puasanya diterima oleh ALLAH SWT.

Baca juga Agar ibadah dilakukan diterima ALLAH, pastikan penuhi syarat-syarat ini

Dalam pada itu, penceramah tersebut turut mengingatkan bahawa amalan tersebut bukan sekadar tidak makan dan minum sepanjang berpuasa, tetapi juga menjaga pancaindera masing-masing daripada berbuat maksiat.

Beliau kemudian menukilkan pesanan Imam al-Ghazali tentang perkara yang harus dijaga sepanjang menunaikan kewajiban berkenaan iaitu;

i. Menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang dilarang.

ii. Menjaga percakapan daripada menuturkan perkara yang sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencela.

iii. Menjaga pendengaran daripada perkara yang dilarang.

iv. Menjaga diri daripada melakukan perkara yang syubhat ketika berbuka puasa seperti membazir dan bersifat tamak.

“Semua indikator itu akan dinilai oleh ALLAH SWT. Oleh sebab itu, perbezaan nilai pahala berpuasa adalah tertakluk kepada perkara-perkara ini.

“Andai seseorang dapat menjaga puasanya daripada melakukan apa yang disebutkan tadi, maka dia akan memperoleh ganjaran yang besar.

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

SEPANJANG bulan Ramadan ini, jagalah kualiti puasa masing-masing agar imbalan pahala tidak berkurangan dengan menghindari diri daripada melakukan maksiat pancaindera. -Foto: Canva

“Sebaliknya, jika dia melakukan perkara yang ditegah, maka berkuranganlah pahalanya,” hurainya panjang lebar.

Sebelum menoktahkan bicaranya, pendakwah itu mengingatkan agar semua umat Islam menjaga kualiti puasa masing-masing agar imbalan pahala tidak berkurangan dengan menghindari diri daripada melakukan maksiat pancaindera.

“Selain itu, marilah kita merebut peluang untuk memperbanyakkan amalan dan ibadah pada bulan Ramadan ini kerana sepanjang bulan mulia inilah ganjaran pahala kita akan digandakan oleh ALLAH SWT,” titipnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Buru lailatulqadar
Ibadah,

Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

SEWAKTU mula puasa pada usia tujuh tahun, penulis masih tidak faham pengertian sebenar ibadah tersebut.

Pada umur budak sebegitu, penulis hanya tahu puasa bermaksud tidak boleh makan dan minum serta tidak boleh korek hidung dan telinga!

Rasanya ramai yang beranggapan sebegitu sebelum ini. Namun, penulis percaya seiring dengan faktor usia dan kematangan masing-masing, semua kini sudah cakna tentang kewajiban Rukun Islam keempat tersebut.

Begitu pantasnya masa berlalu. Kini kita kembali menemui bulan Ramadan yang memasuki hari kedua.

Meskipun kita sama-sama menjalani ibadah puasa dalam bulan yang sama iaitu Ramadan, ketahuilah bahawa pahala setiap daripada kita tidak sama.

Mengapakah perkara itu berlaku? Apakah yang membezakan pahala puasa setiap orang Islam?

Baca juga Amalan yang boleh tambah dan kurangkan pahala puasa, penting untuk kita tahu

Bergantung amalan

Sebelum meleraikan tanda tanya itu, Sinar Islam Plus terlebih dahulu mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood untuk mengupas tentang pensyariatan ibadah puasa.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Membuka tirai mukadimahnya, jelas beliau, berpuasa pada bulan Ramadan merupakan antara ibadah penting bagi umat Islam sebagaimana dinyatakan secara jelas oleh ALLAH SWT menerusi Surah al-Baqarah, ayat 183 hingga 185.

“Meskipun umat Islam difardukan untuk berpuasa dalam bulan mulia berkenaan, namun ada beberapa golongan yang dibenarkan untuk berbuka sekiranya mereka tergolong dalam kelompok yang dibenarkan berbuat demikian, tetapi perlu menggantikannya.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah berpuasa kepada umat Islam,“ katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Suatu perkara signifikan tentang Rukun Islam keempat yang sering dipandang enteng, ujar ahli akademik itu, kewajiban berkenaan bukan sahaja mengukur amalan menahan lapar dan dahaga semata-mata.

Sebaliknya, terang beliau, ALLAH SWT turut menilai segala perkara yang kita kerjakan.

“Jangan biarkan amalan berpahala ini membuatkan kita hanya merasa penat, lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan banyak fadilat yang boleh kita raih seperti yang dijanjikan ALLAH SWT.

Baca juga Rupanya Rasulullah SAW sempat berpuasa sembilan kali sepanjang hayat Baginda

“Ketahuilah bahawa setiap amalan yang kita lakukan akan membezakan pahala bagi setiap umat Islam. Sekiranya amal kita lebih kepada perkara yang baik dan patuh syariah, maka akan berlipat ganda pahala kita.

Puasa

PAHALA setiap orang yang berpuasa bukan sekadar diukur dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi ALLAH SWT menilai setiap apa yang dikerjakan. -Foto: 123rf

“Namun, sekiranya ketika kita berpuasa, tetapi tetap melakukan perkara yang jauh menyimpang daripada landasan agama, maka perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada ganjaran pahala yang sepatutnya kita peroleh,“ jelasnya.

Ustazah Siti Fatahiyah turut memberi gambaran mudah untuk kita memahaminya lebih jelas.

Misalnya, katanya, keletihan yang dialami akibat berpuasa menyebabkan kita meninggalkan solat lima waktu ataupun tidak menutup aurat, maka sudah pasti ia akan memberi kesan ke atas dosa atau pahala kita.

“Oleh sebab itu, kita perlu menjadikan amalan selama sebulan sepanjang Ramadan sebagai platform untuk mendidik diri supaya berdisiplin menjaga kesihatan fizikal termasuk menambah baik amalan spiritual dan menjaga kekuatan intelektual kita.

Baca juga Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO 

“Semua itu diperlukan agar latihan disiplin yang kita jalankan selama sebulan berturut-turut ini akan dapat dilazimkan ke hari-hari berikutnya untuk menambah baik amal ibadah sepanjang hidup di dunia,“ katanya.

‘Akademi‘ didik diri

Dalam pada itu, perunding motivasi wanita dan kekeluargaan itu turut mengingatkan agar umat Islam tidak menjadikan puasa sebagai alasan tidak mampu melaksanakan rutin mahupun tugasan lain.

Benar, ramai yang mengadu letih, penat, susah hendak bekerja, mengantuk ketika belajar dan seumpamanya ketika berpuasa.

“Alasan-alasan klise tersebut hanya muncul dalam pemikiran kerana kita sendiri yang mengarahkan akal fikiran memandu ke arah itu.

Puasa

BULAN Ramadan bukan alasan bagi kita bermalas-malasan, lesu tidak berbuat apa gara-gara berpuasa. -Foto: Pexels

“Sepatutnya kita meletakkan sepenuh keyakinan bahawa kefarduan puasa itu perlu dipatuhi. Kebaikan berpuasa untuk tubuh badan dan juga penambahbaikan spiritual serta intelektual kita bukan sahaja diperoleh dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, malah banyak kajian saintifik membuktikan bahawa berpuasa itu memberikan banyak kebaikan,“ terangnya panjang lebar.

Berkongsi hikmah di sebalik puasa yang dilakukan, ujar penceramah itu, selain mengajar diri berdisiplin dan menyusun diet pemakanan, ibadah berkenaan sebenarnya turut menjaga perbuatan, pertuturan dan perwatakan agar ia selari dengan tuntutan agama.

Baca juga Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

“Semua amalan seperti membaca atau bertadarus al-Quran, menambah amalan sunat dan bersedekah sangat baik untuk dilakukan dalam bulan mulia ini.

“Begitu juga menjaga hubungan kekeluargaan dan sosial, pertuturan, pandangan mata, aurat dan batas pergaulan serta mengawal emosi dan nafsu,“ katanya.

Jelas beliau, tidak salah andai kita jadikan Ramadan sebagai ‘akademi‘ mendidik diri dengan menambah baik amalan untuk diteruskan selepas Ramadan dan lebih bagus daripada bulan agung berkenaan pada tahun sebelumnya.

“Kita tidak mahu ia sekadar menjadi acara tahunan yang berlalu begitu sahaja kerana sifat orang mukmin sentiasa memastikan hari ini lebih baik dari semalam.

“Malah, mereka cepat-cepat bertaubat dan menambahkan amal soleh sekiranya ada perbuatan tersasar yang dilakukan,“ ujarnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Puasa
Gaya Hidup,

Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO

Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO

BERPUASA merupakan salah satu cara terbaik untuk menyingkirkan toksin berbahaya dalam badan secara semulajadi.

Tambahan pula, banyak kajian telah membuktikan berpuasa memberikan kesan positif kepada kesihatan diri seperti meningkatkan kesihatan mental, mengurangkan tekanan serta bantu melegakan kemurungan.

Namun, tiap kali menjelang Ramadan, pasti ada segelintir yang menggunakan bulan mulia itu sebagai alasan apabila produktiviti diri atau kerja menurun.

Ketahuilah kurang makan dan minum tidak semestinya menjadikan kita malas dan lesu. Sebaliknya, dengan cara yang betul, kita tetap mampu kekal sihat dan cergas walaupun sedang berpuasa.

Baca juga Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

berpuasa WHO

Baca juga Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Justeru, sempena bulan Ramadan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan beberapa tip kesihatan bagi umat Islam yang berpuasa, antaranya:

1. Minum air secukupnya di luar waktu berpuasa.
Sebahagian besar tubuh kita terdiri daripada air, maka kita memerlukan jumlah yang sama dengan air yang terbuang semasa berpuasa.

Oleh itu, minumlah sekurang-kurangnya 10 gelas sehari. Anda boleh memenuhi keperluan air tersebut ketika berbuka puasa hingga saat sahur agar tubuh kekal hidrat.

Selain itu, elakkan minuman berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat, secara berlebihan semasa berpuasa. Ini adalah kerana kafein bersifat diuretik yang membuat kita sering buang air kecil, lantas boleh menyebabkan dahaga.

Baca juga Resepi air Nabeez, minuman sunah kekal bertenaga sepanjang Ramadan

berpuasa WHO

MINUM sekurang-kurang 10 gelas sehari, baik ketika Ramadan mahupun di bulan-bulan lain. Foto: Pexels

Baca juga Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

2. Jangan meninggalkan sahur.
Sama seperti sarapan pagi, sahur adalah elemen penting yang memberi kita tenaga sepanjang berpuasa.

Makanlah makanan yang sihat semasa sahur dengan memberi perhatian kepada pengambilan nutrisi seimbang merangkumi karbohidrat kompleks, serat dan protein.

Sahur yang ringan namun padat dengan nutrisi, terutamanya disarankan bagi golongan berusia, kanak-kanak, wanita mengandung serta ibu yang sedang menyusu anak.

Selain itu, protein boleh didapati dari telur, keju atau daging dapat membantu menambahkan tenaga anda sepanjang hari.

berpuasa WHO

USAH tinggalkan sahur kerana ia bukan sahaja pembekal tenaga, malah termasuk sunah Nabi SAW. Foto: 123RF

Baca juga Ini sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan kurma

3. Berbuka puasa dengan pemakanan seimbang.
Serupa seperti sahur, amalkan pemakanan sihat dan seimbang untuk berbuka puasa.

Mengikut sunah Rasulullah SAW, berbuka puasalah dengan kurma yang kaya dengan serat.

Dalam masa sama, jangan terlalu gelojoh menjamah hidangan berbuka kerana akan menyebabkan perut kembung.

4. Kurangkan makanan yang manis dan berminyak.
Elakkan pengambilan makanan yang manis, berminyak serta tinggi garam, dalam jumlah yang banyak sepanjang bulan Ramadan.

Sebaliknya jika anda inginkan sesuatu yang manis dan menyegarkan untuk iftar, bolehlah berbuka dengan buah-buahan atau minuman sejuk tanpa gula yang mengandungi buahan segar seperti tembikai.

SENAMAN ringan sangat digalakkan untuk menjaga kesihatan sepanjang Ramadan. Foto: Unsplash

Baca juga Tidur pun boleh dapat pahala, amalkan 9 perkara ini

5. Kekal aktif sepanjang Ramadan.
Bulan Ramadan bukan halangan untuk kekal sihat dengan melakukan aktiviti fizikal.
Anda disarankan melakukan senaman ringan atau sederhana selama 30 minit seperti berjalan kaki, berbasikal, berlari anak dan sebagainya agar tubuh sihat dan cergas sepanjang bulan Ramadan.

6. Tidur awal atau amalkan tidur sebentar.
Satu lagi tip kesihatan semasa Ramadan adalah menentukan masa dan jumlah tidur yang mencukupi.

Jika perlu bangun pagi untuk menyiapkan makan sahur, maka cubalah untuk menyediakannya pada malam hari. Anda juga boleh usahakan untuk tidur lebih awal dari biasanya seperti selepas solat tarawih.

Sekiranya tidak mampu tidur awal, boleh amalkan sunah Nabi SAW iaitu ‘qailulah’ yang merupakan perbuatan tidur sebentar pada waktu tengahari. Amalan ini memastikan prestasi otak kekal cergas untuk melakukan aktiviti lain.

Semoga perkongsian ini membantu anda kekal sihat dan cergas sepanjang bulan Ramadan.

Sumber: WHO & Hello Doktor

Foto: 123RF, Pexels & Unsplash

bersahur
Ibadah,

Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

TIBA sahaja bulan Ramadan, pasti timbul persoalan mengenai niat puasa. Walaupun kita sudah biasa menjalani ibadah pada bulan mulia itu saban tahun, namun lumrah seorang manusia ada masanya bersifat lupa.

Maka tidak hairanlah apabila ada sesetengah orang yang tiba-tiba teringat tentang niat puasa padahal baru sahaja bersahur dan azan Subuh pula sedang berkumandang.

Dalam situasi sedemikian, apakah status puasa yang dilakukan?

Baca juga Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

bersahur

APAKAH status puasa bagi orang yang sudah bersahur namun terlupa berniat puasa sebelumnya? Foto: Pexels

Baca juga Buat wanita di luar sana, ini persiapan penting untuk sambut bulan Ramadan

Puasa perlu ada niat

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, rukun puasa terdiri daripada niat dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

Oleh itu, secara asasnya mengikut Mazhab Syafie, umat Islam diwajibkan berniat puasa pada setiap malam sebelum berpuasa.

Perkara itu ada disebutkan oleh Imam al-Baijuri dalam karyanya, Hasyiah al-Baijuri ‘Ala Ibn Qasim. Katanya, umat Islam wajib berniat puasa pada setiap hari kerana ia merupakan ibadah yang berdiri sendiri seperti solat.

Dari segi niat puasa, Azhar Idrus berkata, tidak cukup jika ia hanya dilafazkan menerusi lisan tanpa ada niat di dalam hati.

“Tetapi, jika kita sudah berniat puasa di dalam hati, tiada masalah seandainya kita tidak menyebutnya secara lisan,” ujarnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Turut disyorkan Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

USTAZ Azhar Idrus

Bersahur tetapi lupa niat puasa

Namun, bagaimana pula jika seseorang itu sempat bersahur sebagai persiapan untuk berpuasa tetapi terlupa berniat puasa pada malam harinya?

Dalam hal itu, Imam Ibn Hajar al-Haithami menjelaskan: “Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa.” (Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj (3/386)

Berdasarkan kenyataan di itu, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberitahu, orang yang bersahur sememangnya bertujuan untuk berpuasa bukan kerana sarapan pagi atau tujuan lain.

Maka perkara itu sudah cukup menurut salah satu pendapat fuqaha Mazhab al-Syafie dalam perihal panduan tentang berniat ketika berpuasa, katanya.

Turut disyorkan Resepi air Nabeez, minuman sunah kekal bertenaga sepanjang Ramadan

bersahur

RUKUN puasa terdiri daripada niat dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Foto: Unsplash

Jenis niat puasa

Kebanyakan kitab fiqah telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya iaitu:

1. Al-Jazm yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.

2. Al-Ta’yiin iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ia puasa Ramadan, wajib (qada, kafarah, nazar) ataupun sunat (Isnin dan Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dan sebagainya). Tidak memadai dengan berniat secara mutlak untuk berpuasa.

3. Al-Tabyiit iaitu menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Justeru, portal tersebut menyimpulkan bahawa puasa orang yang bersahur dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sebelum fajar lagi dikira sah walaupun orang itu terlupa menghadirkan niatnya secara khusus.

“Namun begitu, bagi mereka yang hendak berpuasa wajib terutama pada bulan Ramadan ini hendaklah berniat puasa pada waktu malam dengan menghadirkan niat tersebut di dalam hati.

“Seandainya tidak melakukan perkara itu, tetapi telah bersahur dan menahan diri apabila tiba waktu fajar, maka puasanya tetap sah,” jelasnya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: Pexels

epl
Antarabangsa,

EPL buka peluang pemain Islam berbuka puasa ketika perlawanan

RAMADAN yang akhirnya tiba esok merupakan satu bulan cukup bermakna buat umat Islam di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Liga Perdana Inggeris (EPL) digesa membenarkan pengadil menghentikan perlawanan seketika bagi membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa ketika Ramadan, menurut laporan Sky Sports.

Baca juga Sahkah sujud syukur pemain bola Piala Dunia sedangkan kepala lututnya terjojol?

epl

Baca juga Unik dan eksklusif, Royal Mint keluarkan bar emas Ramadan berukiran Kaabah

Dalam pada itu, panduan yang dikeluarkan jawatankuasa pengadil tersebut mengatakan pemain seharusnya diberi peluang berbuka puasa dengan minuman, gel tenaga atau suplemen di garisan tepi padang ketika aksi dihentikan seketika.

Pengadil turut digalakkan mengenal pasti pemain yang berpuasa sebelum perlawanan bermula selain menetapkan masa sesuai untuk melaksanakan langkah itu.

Pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah serta penyerang Manchester City, Riyad Mahrez merupakan antara pemain Muslim cukup disegani dalam EPL yang dijangka menjalani ibadah itu tanpa makan dan minum di siang hari.

Pada 2021, pengadil perlawanan ketika aksi antara Leicester City dan Crystal Palace, Graham Scott turut bertindak demikian bagi memberi peluang kepada pemain berbuka puasa.

Tambahan pula, kapten Liverpool, Jordan Henderson juga pernah berkomunikasi dengan pengadil perlawanan sebelum aksi sepak mula mengenai bilangan pemain yang berpuasa dalam skuad The Reds.

Sumber: Sky Sports

Puasa
Ibadah,

Jika tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah, apa patut dibuat?

KEPADA mereka yang masih belum ganti puasa ditinggalkan pada bulan Ramadan lalu, masih sempat lagi untuk menunaikannya sekarang.

Bukan apa, ia merupakan kewajipan kita yang wajib dilakukan kerana melibatkan ‘hutang’ dengan ALLAH SWT.

Barangkali ada yang kurang jelas dengan situasi bila mana seseorang itu perlu menggantikan puasa dan dikenakan fidyah.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

Mengupas tentang perincian tentang golongan dikenakan fidyah, Sinar Islam Plus merujuk kepada laman web Majlis Agama Islam Negeri Johor:

1. Orang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur syarie (musafir, haid atau nifas atau wiladah) atau sakit yang ada harapan sembuh.

– Kelompok ini wajib mengqadakan puasa.

– Andai dirinya tidak sempat menggantikan puasa sehingga datang Ramadan berikutnya, maka wajib dia qada puasa dan membayar fidyah.

Puasa

BAGI mereka yang masih belum menggantikan puasa Ramadan lalu, segeralah berbuat demikian. -FOTO: FREEPIK

2. Orang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor, tidak boleh berpuasa.

– Tidak wajib qada puasa.

– Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut.

Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah

3. Ibu hamil atau masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebab bimbang kesihatan dirinya sahaja atau bimbang kesihatan diri dan anaknya/ janinnya.

– Wajib qada puasa.

– Tidak wajib bayar fidyah.

– Bagaimanapun, sekiranya individu itu tidak menggantikan puasanya sehingga datang bulan Ramadan berikutnya, maka dia wajib qada puasa dan membayar fidyah.

4. Ibu hamil atau masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebab bimbang akan kesihatan janinnya/ anaknya sahaja.

– Wajib qada puasa.

– Wajib bayar fidyah.

5. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.

– Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Bagaimana pula jika seseorang individu itu tidak mampu untuk ganti puasa dan membayar fidyah?

Baca juga Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

Sinar Islam Plus mengajukan persoalan tersebut kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, bagi individu yang tidak mampu membayar fidyah disebabkan keadaan ekonomi yang sukar dan pada masa sama tidak mampu berpuasa bagi menggantikan hutang puasanya disebabkan kekangan seperti sakit tua atau kronik, maka kewajipan fidyah itu gugur ke atasnya.

Ini kerana ia termasuk dalam kategori orang susah (mu’sir), sedangkan pemberian fidyah disyaratkan kepada orang fakir, ungkapnya.

“Istilah mu’sir (orang susah) merujuk kepada individu yang tidak berkemampuan membayar fidyah di mana mereka tidak memiliki harta bagi tujuan tersebut kerana harta yang ada hanya cukup untuk menampung keperluannya sahaja,” katanya.

Ujar ahli akademik itu, pengguguran pembayaran fidyah itu selari dengan pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab: “Liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu’sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang. Sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberi tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa balasan kerana suatu perbuatan jenayah atau seumpamanya.”

Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

Bagaimanapun, seandainya orang itu mempunyai kemampuan untuk membayarnya pada suatu hari kelak, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat dua pandangan dalam hal itu.

Puasa

BAGI golongan tidak berkeupayaan membayar fidyah disebabkan keadaan ekonomi yang sukar dan pada masa sama tidak mampu berpuasa bagi menggantikan hutang puasanya disebabkan kekangan seperti sakit tua atau kronik, maka kewajipan fidyah itu gugur ke atasnya.

“Menurut pandangan pertama, ia perlu dibayar, manakala pendapat lagi satu menyatakan, tidak perlu menggantikan hutang-hutangnya yang lalu kerana kewajipan tersebut telah gugur bagi orang mu’sir dan tidak juga wajib membayarnya apabila sudah senang.

“Namun, sekiranya ada pihak lain yang ingin membayar fidyah bagi individu tersebut, maka hukumnya adalah sunat. Bagaimanapun, sumbangan tersebut perlu memberi keutamaan terhadap keperluan dan nafkah individu mu’sir terlebih dahulu serta mendapat keizinannya,” terang beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Puasa
Ibadah,

Sengaja tinggalkan puasa Ramadan sejak akil baligh, ini perkara perlu dilakukan

PERSOALAN berkaitan qada puasa dan fidyah sering kali dibangkitkan, lebih-lebih lagi kita kita sedang menuju ke bulan Ramadan yang berbaki 47 hari.

Kepada mereka yang belum habis menggantikan puasa, bolehlah berbuat demikian sekarang dan usah menangguh-nangguhkan kewajipan berkenaan kerana ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam.

Sedang membuat kiraan baki puasa qada, tiba-tiba ingatan terarah kepada ‘hutang-hutang’ lama ketika diri masih jahil tentang kewajipan tersebut.

Barangkali ada yang pernah culas atau meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja suatu masa dahulu bermula selepas baligh hinggalah sekarang.

Jika telah insaf, bagaimana caranya untuk membayar fidyah berkenaan? Perlukah ibadah tersebut digantikan semula?

Menurut Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, puasa Ramadan merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan perkara fardu.

Puasa

BERTAUBATLAH andai diri pernah meninggalkan puasa dengan sengaja dan segera menqadakan puasa berkenaan dan membayar fidyah sebagaimana ditetapkan. Foto: 123RF

Lantaran itu, katanya, sesiapa yang mengingkari kewajipan berkenaan akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad, demikian yang disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.

Baca juga Adakah anda tergolong dalam golongan wajib membayar fidyah puasa?

“Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan dengan ulama.

“Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja,” katanya sebagaimana dipetik menerusi kemusykilan agama di laman web jabatan mufti berkenaan.

Bukan itu sahaja, Ibn Hajar al-Haytami menyebut, sesiapa yang meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada bulan Ramadan dan berbuka puasa dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran, maka dirinya telah melakukan dosa besar yang ke-140 dan 141.

Disebabkan itu Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan agar pelakunya segera bertaubat kepada ALLAH SWT dan menyesal atas perbuatan tersebut.

“Malah, menjadi kewajipan untuk orang yang meninggalkan puasa tersebut menggantikan hari-hari yang ditinggalkannya,” tegasnya.

Fidyah ikut kadar pihak berkuasa agama

Bukan sekadar mengqadakan puasanya sahaja, malah individu berkenaan perlu membayar fidyah mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Baca juga Wajib qada solat walaupun sudah puluhan tahun tinggalkan

Menurut Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, jika seseorang meninggalkan puasanya dengan sengaja bermula dari akil baligh, maka dia perlu menggandakan bayaran fidyah mengikut tahun puasa yang ditinggalkan.

Berikut cara kiraannya: (Tahun Semasa- Tahun Ganti) x (Bilangan Hari yang Ditinggalkan) x Nilai Secupak Beras.

Puasa

JIKA seseorang meninggalkan puasanya dengan sengaja bermula dari akil baligh, maka dia perlu menggandakan bayaran fidyah mengikut tahun puasa yang ditinggalkan.-FREEPIK

“Oleh itu, dia perlu membayar fidyah berpandukan formula kiraan bayaran fidyah seperti yang telah ditetapkan.

“Namun, kami menyarankan agar perkara ini dirujuk secara langsung kepada pihak Zakat Pulau Pinang atau pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing agar pengiraan dan kadar bayaran dibuat dengan lebih teliti,” katanya sepertimana dipetik daripada artikel tersebut.

Bagaimana pula jika terlupa bilangan puasa yang ditinggalkan sebelum ini?

Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

Dalam hal itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, para ulama menetapkan bahawa kaedah penentuan bilangan hari bagi puasa qada terbahagi kepada dua iaitu tahdidi dan taqribi.

Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi adalah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan,” katanya.

Jabatan itu turut merujuk pandangan Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni yang menyatakan: “Apabila tanggungan ibadahnya yang sangat banyak, dia wajib terus menerus melakukan qada. Jika dia tidak tahu jumlah hari yang menjadi kewajipan puasanya, maka dia wajib mengulang-ulang qada puasa sampai dia yakin telah menggugurkan seluruh tanggungannya.”

“Ibn Qudamah menukilkan kata-kata Imam Ahmad dalam satu riwayat yang sahih, berkenaan seseorang yang meninggalkan solat dan lupa berapa banyak yang ditinggalkannya: ‘Dia hendaklah ulang-ulang sampai dia tidak meragui lagi bahawa dia telah melakukan apa yang telah dia lalaikan. Dia hanya melakukan yang wajib sahaja’,” ungkapnya.

Puasa

BAYARAN fidyah perlu segeras dijelaskan sebelum datangnya bulan Ramadan yang seterusnya.

Justeru, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan, qada puasa wajib dilakukan mengikut bilangan yang tepat.

“Sekiranya terlupa atau tidak tahu bilangan hari puasa ditinggalkan, maka hendaklah dia menggunakan kaedah taqribi iaitu dengan menganggarkan beberapa hari puasa yang ditinggalkan mengikut sangkaannya yang paling kuat dan ahwat (lebih berhati-hati).

Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah

“Sekiranya bayaran fidyah yang wajib dilunaskan itu melebihi tahap kemampuannya, maka dibenarkan untuk membayarnya secara ansuran.

“Namun, perlu diingatkan bahawa bayaran tersebut perlu dijelaskan dengan kadar segera sebelum datangnya Ramadan yang seterusnya kerana fidyah merupakan perkara wajib yang perlu diselesaikan,” pesannya.

bersedia Ramadan
Gaya Hidup, Ibadah,

Dah bersedia untuk Ramadan? Ini ‘checklist’ tujuh perkara anda boleh lakukan mulai sekarang

Dah bersedia untuk Ramadan? Ini ‘checklist’ tujuh perkara anda boleh lakukan mulai sekarang.

TIBANYA bulan Rejab bermula 23 haribulan lepas menandakan lagi dua bulan kita bakal bertemu dengan gerbang Ramadan al-Karim yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam .

Bulan Rejab juga digelar bulan ‘pemanas’ kerana diibaratkan ruang latihan mendidik diri meningkatkan amal ibadah sebelum membuat pecutan pada Ramadan penuh barakah kelak.

Justeru, Sinar Islam Plus ingin berkongsikan tujuh cara memanfaatkan bulan Rejab untuk mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.

Baca juga Maraton ibadah menuju Ramadan bermula pada bulan Rejab ini

BERDOA kepada ALLAH SWT memohon agar diberikan peluang bertemu Ramadan kali ini. Foto: Unsplash

Turut disyorkan Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

1. Berdoa agar dipertemukan Ramadan.
Mungkin Ramadan kelihatan sudah tidak jauh lagi, namun hidup dan mati adalah urusan ALLAH SWT.

Lantas, sentiasalah berdoa kepada ALLAH SWT agar kita diberi peluang bertemu dengan bulan suci Ramadan kali ini.

Memetik portal Mufti Wilayah Persekutuan, antara doa yang boleh diamalkan adalah:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ

Allahumma baarik lana fii rajabi wasya’ban wa ballighna ramadhan

Ertinya: “Ya ALLAH, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

bersedia ramadan

LAZIMKAN puasa sunat mulai sekarang agar tubuh kita tidak ‘terkejut’ berpuasa di bulan Ramadan nanti. Foto: Pexels

Baca juga Jangan lepaskan peluang berpuasa pada hari putih pada setiap bulan. Banyak kelebihan yang boleh kita raih

2. Memperbanyak puasa sunat.
Ambil waktu ini dengan berlatih berpuasa perlahan-lahan untuk membiasakan tubuh kita supaya tidaklah perut dan badan terkejut apabila tiba-tiba berpuasa pada bulan Ramadan nanti.

Mulakan dahulu dengan menggantikan puasa Ramadan yang telah ditinggalkan pada tahun lepas, terutamanya bagi kaum wanita.

Setelah itu, perbanyakkan puasa sunat yang lain seperti puasa Isnin atau Khamis, serta puasa tiga hari pada hari putih (Ayyamul Bidh) di pertengahan bulan Islam, iaitu 13, 14 dan 15 bulan qamariah.

Baca juga Kesalahan dan kepalsuan berkaitan bulan Rejab yang sering dibangkitkan

3. Meningkatkan ilmu tentang Ramadan.
Memandangkan Ramadan hanya menjengah setahun sekali, barangkali ada segelintir sudah lupa tentang cara melaksanakan ibadah tertentu yang hanya dilakukan pada bulan suci tersebut seperti solat tarawih.

Justeru, kita perlu ‘mengulang kaji’ dengan mempelajari tentang Ramadan sebagai persediaan menyambut bulan teragung itu.

Bahkan laman web Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengatakan, Rasulullah SAW akan sentiasa melafazkan hadis-hadis menceritakan keistimewaan bulan Ramadan kepada para sahabat ketika masuknya bulan Rejab sehinggalah tiba Ramadan.

Hal itu bertujuan memberi keseronokan dan semangat kepada para sahabat yang tertunggu-tunggu ketibaan bulan Ramadan penuh berkat.

Turut disyorkan Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

BERSENAM dapat meningkatkan stamina bagi memastikan diri cergas semasa berpuasa kelak. Foto: Unsplash

4. Bersenam untuk menjaga kesihatan.
Fizikal yang sihat penting dalam melaksanakan ibadah puasa. Jika anda sakit, anda mungkin tidak dapat melaksanakan ibadah puasa, lantas terlepas daripada segala hikmah yang ada di bulan Ramadan.

Selain itu, bersenam dapat meningkatkan stamina diri supaya kita lebih mudah melaksanakan solat tarawih serta tidak terlalu kepenatan sepanjang berpuasa sewaktu Ramadan nanti.

Baca juga Beri sedekah dalam tiga keadaan ini besar ganjarannya

5. Menabung untuk bersedekah.
Setiap amal ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan akan dilipatgandakan pahalanya termasuk perbuatan bersedekah.

Jadi, mulai daripada sekarang, anda boleh membuat tabung sedekah agar wang secukupnya dapat dikumpul untuk disedekahkan tatkala tibanya bulan suci itu nanti.

bersedia Ramadan

BIASAKAN diri bangun malam untuk beribadah kepada ALLAH SWT demi merebut ganjaran pahala-NYA. Foto: 123RF

Baca juga Nak qiamullail tak semestinya kena berjaga tengah malam…

6. Latih diri bangun solat malam.
Solat malam atau qiamullail adalah antara amalan yang sangat digalakkan pada malam Ramadan. Tambahan pula, ada suatu malam istimewa, Lailatul Qadr yang menjadi dambaan seluruh umat Islam dalam bulan tersebut,

Oleh itu, biasakan diri untuk bangun malam daripada sekarang supaya anda berpeluang merebut keberkatan menyamai seribu bulan dengan melakukan qiamullail.

Turut disyorkan Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya

7. Memperbaiki bacaan al-Quran.
Ramadan juga dipanggil Bulan Quran kerana al-Quran diturunkan pada bulan tersebut.

Menurut portal Tzkrh, para sahabat pada zaman dahulu akan memeriahkan ibadah membaca al-Quran menjelang Ramadan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah bertadarus bersama Jibril membaca Al-Quran di bulan suci itu.

Selain itu, bacaan al-Quran perlu diperbaiki terutamanya bagi mereka yang bakal mengimami solat tarawih supaya ibadah berkenaan boleh dilakukan dengan lancar.

Demikian tujuh perkara yang boleh anda lakukan bermula dari bulan Rejab ini. Sama seperti menghadapi peperiksaan untuk mendapatkan markah bagus, persediaan perlu dilakukan agar ganjaran pahala bulan Ramadan kelak dapat dituai sepenuhnya.

Sumber: Tzkrh & Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Foto: 123RF, Pexels & Unsplash

Dah bersedia untuk Ramadan? Ini ‘checklist’ tujuh perkara anda boleh lakukan mulai sekarang

Dah bersedia untuk Ramadan? Ini ‘checklist’ tujuh perkara anda boleh lakukan mulai sekarang

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Hukum, Soal Jawab Agama,

Sebelum berbuka antara waktu mustajab berdoa, usah abaikan detik ini

DETIK berbuka begitu dinantikan oleh mereka yang berpuasa. Maklum sahajalah hampir 13 jam menahan lapar dan dahaga, sudah tentulah ia antara saat yang membahagiakan apabila dapat menghirup seteguk air dan menjamah hidangan.

Sememangnya makan dan minum itu merupakan fitrah setiap insan. Tidak hairanlah jika ramai yang sibuk menyiapkan juadah menjelang waktu iftar.

Begitupun, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli mengingatkan supaya kita mengambil peluang untuk berdoa sebelum masuknya waktu berbuka puasa.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Ini kerana, katanya, semasa berpuasa, apabila kita lagi hampir dengan waktu berbuka, maka lagi mustajab doa seseorang itu kepada ALLAH SWT.

“Ia sama konsepnya dengan permusafiran. Lagi panjang seseorang itu bermusafir, lagi mustajab doanya.

“Ketahuilah, pada panjangnya keletihan dan kepenatan, terdapatnya kemustajaban Tuhan,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Banyak hadis yang memerihalkan tentang perkara itu. Antaranya daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Baca juga Tersalah buka puasa awal kerana azan radio. Ini hukumnya

Dalam sebuah hadis lain juga daripada Abdullah bin ‘Amr RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka, doa yang mustajab.” (Musnad Abi Daud al-Thoyalisi)

Bagaimana pula dengan kemustajaban doa bagi mereka yang uzur syarie? Adakah ia sama dengan orang yang berpuasa?

Sebelum berbuka waktu mustajab doa

SEGERA berbuka apabila masuk waktu Maghrib.

Menjawab persoalan tersebut Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, secara zahirnya, ia tidak sama.

Baca juga Ini sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan kurma

Berdasarkan kepada hadis yang berkaitan dengannya, ujar beliau, riwayat itu hanya merujuk kepada orang yang berpuasa sahaja.

Rasulullah SAW bersabda: “…(Antara doa yang tidak ditolak ialah) doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah)

Pun demikian, jelasnya, bagi wanita yang sedang berhadas besar, usah bimbang kerana mereka masih boleh berdoa kepada ALLAH SWT.

“Wanita ini boleh berdoa pada masa-masa yang penuh kebaikan seperti waktu sahur, hari Jumaat dan bulan Ramadan. Maka doanya mustajab,” terang beliau lagi.

Foto: 123rf & Freepik