Browsing Tag

Puasa sunat enam Syawal

Niat puasa
Hukum,

Jom tunaikan puasa sunat 6 Syawal, ganjarannya umpama berpuasa sepanjang tahun

BULAN Ramadan yang terkandung banyak kemuliaan telah pun meninggalkan kita empat hari lalu. Namun, ia bukanlah bermaksud semangat beribadah kita juga luntur sebagaimana perginya Ramadan.

Sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta, sudah tentu momentum amal soleh dan amal makruf nahi mungkar tetap perlu diteruskan.

Itulah tugas yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT ke atas semua makhluknya yang menjadi khalifah di muka bumi ini.

Sesungguhnya, dunia itu hanyalah pentas ujian yang bersifat sementara. Alam akhiratlah yang akan menjadi destinasi kita kekal abadi.

Meskipun puasa Ramadan sudah pun berakhir, masih terdapat lagi puasa yang boleh kita kerjakan pada Hari Raya Aidilfitri ini. Ia dikenali sebagai puasa sunat enam Syawal.

Ya, barangkali bilangannya begitu kecil, namun ia sukar untuk dikerjakan lantaran ‘kesibukan’ kita berhari raya. Malah ia memerlukan mujahadah yang tinggi untuk kita melawan nafsu tatkala terlihat juadah enak terhidang di depan mata. Apatah lagi setelah dua tahun kita hanya ‘berkurung’ di rumah.

Ketahuilah, ibadah tersebut begitu bernilai tinggi. Ganjaran yang diberikan kepada mereka yang mengerjakannya adalah seumpama kita berpuasa selama setahun!

Apakah lagi keistimewaan dan fadilat yang bakal diraih apabila kita berpuasa sunat enam Syawal? Bolehkah kita membatalkan puasa berkenaan dengan sengaja?

Baca juga Boleh ke dahulukan puasa sunat enam Syawal daripada qada puasa Ramadan?

Ganjaran berganda

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ustaz Mohamad Haldi Talhah mengajak beliau berbicara lanjut tentang kelebihan apabila menunaikan puasa sunat enam hari dari bulan Syawal.

USTAZ MOHAMAD HADI

Beliau kemudian mengemukakan sebuah hadis masyhur yang memerihalkan tentang fadilatnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Ayyub Al-Ansari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustaz Mohamad Hadi, jelaslah bahawa siapa yang mengerjakan puasa sunat enam dalam bulan Syawal selepas selesai puasa Ramadan, maka hidup mereka seolah-olah berpuasa pada setiap hari sepanjang tahun!

Masakan tidak, setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam sebenarnya akan dilipatgandakan sebanyak 10 kali, ungkapnya.

“Maka, berpuasa 30 hari sepanjang bulan Ramadan bersamaan dengan 300 hari berpuasa. Apabila kita menyambung lagi dengan menunaikan enam hari puasa sunat pada Hari Raya Aidilfitri, ia seolah-olah kita berpuasa selama 60 hari.

“Jika dihitung, kita berpuasa selama 360 hari yang bersamaan lengkap setahun takwim Islam. Sebab itulah Rasulullah SAW menyebut enam hari berpuasa pada bulan Syawal, bukan lima, tujuh dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Meskipun mereka yang melakukan amal tersebut meraih pahala umpama setahun berpuasa, agamawan itu mengingatkan, pahala yang diperoleh setiap dalam kalangan mereka adalah berbeza. Ini kerana ia bergantung kepada kualiti puasa yang dilakukan oleh seseorang itu.

“Ketahuilah, salah satu tanda penerimaan amalan puasa kita pada bulan Ramadan adalah apabila seseorang individu tersebut menyambung puasanya dengan puasa sunat dan ibadah lain.

Puasa sunat enam Syawal


MUJAHADAH yang tinggi diperlukan untuk berpuasa enam Syawal kerana kita ‘diuji’ dengan sajian enak juadah Hari Raya Aidilfitri.

“Maknanya, individu berkenaan istiqamah dan terdorong untuk melakukan amal soleh. Pendek kata, apa jua amalan kebaikan yang dilakukan tidak bermusim iaitu hanya dilakukan ketika Ramadan, tetapi ia berterusan dikerjakan tidak kiralah pada bulan apa pun,” ungkapnya.

Sesungguhnya, puasa sunat enam bukan calang-calang ibadah kerana terkandung hikmah penuh bernilai.

Buktinya, ujar Ustaz Mohamad Hadi, ibadah berkenaan boleh menampung kekurangan dan cacat cela puasa kita pada bulan Ramadan.

“Sama juga seperti solat sunat yang mana ia boleh menampung kekurangan solat fardu,” katanya.

Gabung niat puasa qada, puasa sunat enam

Menyambung hujahnya, Ustaz Mohamad Hadi kemudian membangkitkan perihal hukum menggabung puasa qada dan puasa sunat enam.

Dalam hal itu, jelas beliau, terdapat pelbagai pandangan ulama. Namun begitu, mendahulukan puasa ganti adalah lebih utama berbanding yang sunat.

“Selesaikan puasa qada terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam. Tempoh untuk menunaikannya pun masih panjang lagi.

“Bagaimanapun, ada juga segelintir orang yang mahu melengah-lengahkan puasa qada dan mendahulukan puasa sunat enam. Begitu juga golongan yang menggabungkan niat bagi kedua-dua puasa berkenaan.

Puasa sunat enam Syawal


ANDAI tidak sempat berpuasa sunat enam Syawal pada awal Aidilfitri, ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang Hari Raya.

“Cuma, bagi mereka yang ada kekuatan untuk berpuasa, lunaskanlah ‘hutang’ puasa ganti terlebih dahulu sebelum mengerjakan yang sunat,” ujarnya.

Begitupun, dari segi ganjaran berpuasa selama setahun jika kita menggabungkan dua jenis puasa berkenaan, jelas penceramah itu, kita perlu merujuk kembali kepada pandangan ulama yang berhujah sedemikian.

Dalam Hasyiah Syarqawi, Imam Syarqawi menyatakan: “Adalah sah menggabungkan puasa sunat enam Syawal dengan puasa qada Ramadan, tetapi seseorang itu tidak akan mendapat pahala penuh seperti jika seseorang itu berpuasa sunat enam Syawal berasingan dengan puasa qada. Ini kerana penggabungan dua puasa tersebut tidak bertepatan dengan hadis yang menyebut; ‘Kemudian dia mengikuti (selepas puasa Ramadan) dengan enam hari pada bulan Syawal’. Iaitu puasa sunat dan Nabi Muhammad SAW tidak menyebut puasa sunat dan qada, bahkan baginda hanya menyebut puasa sunat.”

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Andai kita sengaja membatalkan puasa sunat enam, hukumnya makruh. Begitupun, jika kita membatalkannya kerana meraikan tetamu yang datang ke rumah dan menjamu makanan kepada mereka, tidaklah jatuh hukum makruh.

Baca juga Bolehkah puasa ganti Ramadan dan puasa 6 Syawal digabung serentak? Ini jawapannya

“Cuma, bagi mereka yang berniat puasa qada, dia tidak perlu membatalkan puasa tersebut sekalipun tujuannya untuk meraikan tetamu yang datang bertandang.”

Afdal dilakukan secara berturutan

Bagi mengupas tentang pelaksanaan puasa sunat enam Syawal, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman.

USTAZ MK AZMAN

Jelas beliau, meskipun terdapat perselisihan antara mazhab fikah mengenainya, namun Mazhab Syafie menghukumkan sebagai sunat dilakukan sepanjang Syawal waima secara berturut-turut mahupun terpisah.

“Imam Nawawi menyimpulkan dalam syarahnya bahawa ulama Mazhab Syafie menyatakan, paling afdal puasa sunat enam Syawal dilaksanakan secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidilfitri.

“Bukan itu sahaja, ulama tersohor itu juga menyatakan, andai puasa tersebut tidak dilakukan secara berturutan atau melewatkannya hingga ke penghujung Syawal, maka ia turut mendapat fadilat al-Mutaba’ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di bulan Syawal,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Walaupun hukumnya sunat muakkad, namun ujar penceramah itu, kita tidak boleh meminggirkannya begitu sahaja. Ini kerana terlalu banyak kelebihan yang terkandung di dalamnya yang disifatkan sebagai hadiah daripada ALLAH SWT buat hamba-hamba-NYA.

Antara lain, ibadah berkenaan pada hakikatnya mendekatkan kita kepada ALLAH SWT, ungkapnya.

“Puasa sunat enam Syawal ini adalah galakan daripada Nabi Muhammad SAW. Semestinya apa yang disarankan oleh baginda mendekatkan diri kita kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

Baca juga Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

“Bahkan, orang yang berpuasa juga akan diberi nikmat memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Bayangkan pintu syurga itu sudah terbuka luas untuk hamba-NYA yang berpuasa,” ujarnya.

Seperkara lagi, ujar Ustaz MK Azman, bagi mereka yang berpuasa satu hari pada jalan ALLAH SWT, maka DIA akan menjauhkan muka individu berkenaan daripada api neraka selama 70 tahun.

“Perkara itu jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang masyhur,” katanya.

Sungguhpun demikian, beliau mengingatkan supaya biarlah ibadah yang dilakukan tersebut dilakukan ikhlas dan tulus semata-mata kerana ALLAH SWT.

“Andai sifat tidak ikhlas tersemat dalam sanubari kita dan dilakukan kerana hanya mahu menunjuk-nunjuk, segala ibadah yang dilakukan akan menjadi sia-sia.

“Bukan itu sahaja, kita juga tidak akan mendapat apa-apa nikmat yang dijanjikan oleh ALLAH SWT. Maka, jauhkanlah sifat riak dalam diri kita,” titipnya.

Puasa sunat enam Syawal


BAGI golongan yang mempunyai hutang puasa qada, mendahulukan puasa ganti adalah lebih utama berbanding yang sunat. Begitupun, boleh sahaja menggabungkan niat puasa tersebut untuk melakukan ibadah berkenaan.

ANEKDOT

HIKMAH berpuasa

1. Melatih diri berdisiplin dengan waktu.

Sahur sebelum berpuasa memberikan manfaat untuk melatih diri kita supaya bangun pada awal pagi dan membuka pintu rezeki.

2. Keseimbangan dalam hidup. 

Keseimbangan kehidupan dapat diraih dengan beribadah kepada ALLAH SWT. Puasa melatih kita mengingat dan melaksanakan semua kewajipan yang difardukan dengan jaminan pahala yang bukan calang-calang.

3. Ibadah yang memiliki tujuan.

Objektif kita berpuasa untuk melatih diri supaya menghindari dosa dan mengawal syahwat kerana ALLAH SWT. Andai tujuan itu dapat dicapai, maka berjayalah ibadah yang dilakukan. Ketahuilah, ibadah yang berorientasikan matlamat berkenaan akan memudahkan kita untuk melakukan segala jenis ibadah.

4. Melatih manusia supaya lebih tabah.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik. Ia termasuklah sikap berburuk sangka, marah dan lain-lain. Pendek kata, berpuasa melatih diri kita supaya bersabar atas segala perbuatan orang lain terhadap kita.

5. Menjadi insan yang selalu bersyukur. 

Tatkala berbuka, pelbagai hidangan tersedia di depan mata. Itulah saatnya kita dilatih berasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki saat tidak berpuasa.

Sumber: https://news.detik.com/

Foto: 123rf & Freepik