Browsing Tag

puasa sunat 6 hari

rauf-alvi-QGxblOukRuw-unsplash
Hukum, Isu,

Bolehkah puasa ganti Ramadan dan puasa 6 Syawal digabung serentak? Ini jawapannya

HARI ini sudah masuk hari 3 Syawal. Sudah ramai yang sudah melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal.

Mungkin ada diantara kita yang berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam pada bulan Syawal secara serentak iaitu ‘dua dalam satu.’ Bagaimana hukumnya di dalam Islam?

Sememangnya menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk qada puasa yang ditinggalkan puasa atas pelbagai sebab keuzuran.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Berbuka puasa di bulan ramadan tanpa ada sebarang keuzuran

Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib menggantikan (qada) serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Bagi golongan ini, mereka tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qada.

Baca juga Jangan lepaskan peluang berpuasa pada hari putih pada setiap bulan. Banyak kelebihan yang boleh kita raih

Meninggalkan puasa kerana keuzuran

Bagi individu yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).

Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut:

“ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan mengqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)

Isu menggabungkan dua ibadat dengan satu niat

Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :

Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada hari Jumaat untuk melakukan mandi sunat sempena Jumaat.

Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi sunat hari Jumaat tersebut juga terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak’ mencederakan’ ibadat tersebut.

Menghimpunkan atau menggabungkan dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kafarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain. Ini kerana yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.

Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadan dan niat puasa enam pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara umum adakah kedua-duanya berhasil atau salah satu sahaja?

Gabung niat puasa qada Ramadan dan puasa 6 Syawal

Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qada Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala menulis:

Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk qada bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.

“Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada enam hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan jika dia berniat puasa khusus untuk enam hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa enam hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)

Manakala Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qada puasa pada bulan Syawal, adakah ia berhasil.

“Bahawa berhasil puasa qada Ramadan seseorang itu walaupun dia menggabung niat puasa qada Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa enam hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam menjawab persoalan mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)

Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qada puasa bulan Ramadan bersama puasa sunat enam Syawal dan mereka akan mendapat ganjaran pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut.

Sempurnakah puasa digantikan jika digabungkan dengan puasa sunat?

Hal ini kerana dikiaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat dua rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.

Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut.

Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim :

“Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah dia solat dua rakaat sebelum duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)

Baca juga [VIDEO] Ini rupanya sebab kenapa isteri kena minta izin suami untuk berpuasa sunat

Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Syawal, puasa qada, nazar atau berpuasa pada hari Asyura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)

Manakala Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qada atau nazar atau kafarah dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyatul masjid. (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)

Mana yang lebih afdal didahulukan?

Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan:

“Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qada atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan kias yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”

Walaupun begitu, perlu diketahui yang pahala puasa sunat enam Syawal apabila dikerjakan sekaligus dengan puasa fardu adalah beroleh pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.

Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan Syawal.

Namun begitu, menyatukan puasa qada dengan puasa sunat enam pada bulan Syawal itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang daif.

Perbuatan terus mengerjakan qada puasa adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.

Sumber: AL-KAFI (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Foto: Unsplash