Browsing Tag

Puasa Rejab

ARAB NEWS
Berita Semasa,

Tak puasa sunat Rejab ‘tidak mengikut sunah’?

HARI ini genap 18 Rejab. Ini bermakna, kurang dua minggu lagi kita akan menghadapi bulan Syaaban, seterusnya bulan mulia yang paling didambakan oleh seluruh umat Islam iaitu Ramadan al-Karim.

Lazimnya, pada bulan ini, ramai orang memilih untuk melakukan puasa sunat untuk mengejar pahala dan mendapat keredaan-NYA. Apa tidaknya, Rejab dikenali sebagai bulan untuk kita membuat persiapan menuju ke bulan Ramadan. Ia dianggap sebagai madrasah atau latihan mempersiapkan diri menghadapi bulan yang dilimpahi keberkatan, rahmat dan keampunan ALLAH SWT.

Akan tetapi, dalam kita berlumba-lumba untuk berpuasa sunat, jangan sampai melabelkan orang yang tidak berpuasa pada bulan Rejab sebagai ‘tidak mengikut sunah’. Cukuplah seandainya kita berpuasa sunat semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT.

Walaupun pada hakikatnya tiada ibadah khusus yang dianjurkan dalam bulan Rejab daripada mana-mana hadis yang sahih, namun kita tetap digalakkan untuk melakukan amal ibadah seperti puasa.

Ketahuilah bahawa Rejab sebenarnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan merupakan antara bulan Islam yang dimuliakan oleh ALLAH SWT.

Apakah keistimewaan berkenaan? Kenapa Rejab dianggap latihan untuk menghadapi bulan Ramadan? Apakah amalan-amalan yang boleh dilakukan pada bulan tersebut?

Ada 16 nama

Merungkai persoalan itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara,  Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menerangkan, Rejab bererti keagungan.

Puasa Rejab

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Menurut kitab Mawahib al-Jalil, kata beliau, bulan Rejab turut dikenali dengan 16 nama antaranya Al-Ashom, Al-Ashob, Rajm, Al-Shahr al-Haram dan lain-lain.

“Rejab sememangnya bulan yang diagungkan oleh ALLAH SWT. Bangsa Arab sejak zaman sebelum Islam juga memuliakan bulan Rejab,” katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Ujar beliau, hadirnya bulan Rejab menandakan bahawa kita sedang menghampiri Ramadan al-Mubarak. Justeru, sewajarnya bulan Rejab itu menjadi platform untuk membuat persiapan rapi bagi menyambut ketibaan bulan yang mulia itu.

Hal itu selari dengan ungkapan Abu Bakar Al-Warraq yang menyebutkan; “Rejab merupakan bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula ialah bulan untuk memungut hasil.”

Ustazah Sharifah Fadylawaty turut membangkitkan tentang doa masyhur yang seringkali dibaca dan dikongsi ramai saat tibanya bulan Rejab iaitu “Ya ALLAH berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke Ramadan” sepertimana diriwayatkan dalam sebuah hadis.

“Dari segi status hadis ini, sebahagian besar ulama cenderung mengatakan bahawa sanadnya adalah teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah. Justeru, pada masa sama, kita tidak boleh menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

“Bagaimanapun, tidak menjadi masalah sekiranya kita ingin berdoa sebagaimana matan atau teks hadis tersebut. Amalan berdoa amat dituntut oleh ALLAH SWT selagi mana ia merupakan doa yang baik dan tidak bercanggah dengan Islam,” katanya.

Meskipun tiada sebarang ibadah khusus atau amalan yang disandarkan kepada Rasulullah SAW daripada hadis sahih pada bulan Rejab, namun, ahli akademik itu menggalakkan kita untuk sentiasa melakukan amal-amal ibadah dan kebaikan.

“Lakukanlah ia dalam bulan Rejab, dilipat gandakan semasa Ramadan dan diteruskan sepanjang masa. Umat Islam digalakkan untuk membuat persiapan rohani dengan mengikhlaskan hati dalam beramal; persiapan ilmu berkaitan perihal hukum ibadah, persiapan fizikal (menjaga kesihatan) dan ekonomi (melazimi infak) di dalam bulan Rejab.

“Di samping itu, antara amalan-amalan bersifat umum lain yang digalakkan untuk dilakukan pada bulan Rejab adalah dengan memperbanyakkan berpuasa, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, melakukan solat-solat sunat, berzikir dan berdoa untuk membina momentum sebagai persiapan menghadapi Ramadan,” nasihat beliau.

Antara bulan haram

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, Rejab merupakan antara empat bulan haram sepertimana disebut dalam firman ALLAH SWT pada ayat 36, Surah at-Taubah.

Puasa Rejab

IMAM MUDA HASSAN

Rasulullah SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam Muda Hassan turut menukilkan pandangan Imam Ibnu Khatir tentang bulan haram. Ia merupakan bulan yang diharamkan untuk kita melakukan kezaliman termasuklah peperangan.

Sebelum kedatangan Islam lagi, tambah beliau, sudah menjadi tradisi masyarakat Arab apabila sampai saja pada bulan haram, mereka tidak akan berperang sepertimana kelaziman. Mereka begitu menghormati bulan ini.

“Sebenarnya, ada banyak pandangan tentang bulan haram ini termasuklah diharamkan melakukan kejahatan. Kata Ibnu Khatir lagi, jika kita melakukan dosa besar (pada bulan-bulan haram), dosanya lebih besar berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

“Begitu juga jika kita melakukan perkara yang baik dan mendatangkan pahala, pahalanya (yang bakal diperoleh) itu lebih besar daripada bulan-bulan yang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Secara umumnya, beliau menyimpulkan bahawa bulan haram ialah bulan yang dihormati selain daripada Ramadan.

“Setiap empat bulan berkenaan ada keistimewaan tersendiri. Itu juga antara bulan yang Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa, terutamanya pada bulan Syaaban,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Imam Muda Hassan turut mengakui bahawa Rejab merupakan antara bulan yang sesuai sebagai latihan menuju Ramadan bagi orang awam.

“Dalam masa dua bulan ini, persiapan itu sudah cukup baik buat kita untuk menuju ke bulan Ramadan. Banyakkanlah ulang kaji dan mendengar ceramah ibadah puasa dan berjinak-jinak dengan mula berpuasa.

“Paling tidak pun, bolehlah berpuasa satu hari sebagai ‘pemanas’ untuk ke bulan Ramadan. Ingatlah bahawa Ramadan merupakan bulan penyucian jiwa, hati dan sebagainya. Apabila masuknya bulan Ramadan, kita betul-betul menghidupkan Ramadan dan hendak supaya dosa-dosa kita diampunkan oleh ALLAH. Ketahuilah bahawa proses untuk masuk ke bulan Ramadan itu bukannya pada 1 Ramadan, tetapi persediaan itu pada bulan Rejab lagi,” katanya.

Ibadah puasa

Seperkara, Rasulullah SAW dan para sahabat sebenarnya sudah mempersiapkan diri menuju Ramadan sejak enam bulan sebelumnya lagi.

“Selepas berakhirnya bulan Ramadan, Nabi Muhammad dan para sahabat selalu merindui bulan itu dan berdoa supaya ibadah mereka diterima.

“Maka, enam bulan sebelum Ramadan akan datang tiba, mereka begitu teruja dan seronok untuk mempersiapkan diri menuju ke bulan mulia berkenaan. Tidak kiralah sama ada dari segi puasa, solat sunat dan amalan,” katanya.

Puasa Rejab

PERBANYAKKAN amalan yang boleh menambah pahala pada bulan Rejab.

Rejab begitu sinonim dengan amalan berpuasa sunat, malah ada orang yang berpuasa penuh pada bulan berkenaan.

Akan tetapi, Imam muda Hassan menjelaskan, ada sebahagian ulama dan salafus soleh yang gemar berbuat demikian seperti Abdullah bin Umar dan sebahagiannya lagi tidak berpuasa penuh.

“Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, kalau hendak berpuasa penuh pada bulan Rejab, syaratnya mestilah mampu untuk melakukannya. Maksud mampu itu adalah tidak menjejaskan kualiti kerja dan sebagainya. Ia bukan paksaan dan kita tidak boleh beri’tiqad (menganggap) bahawa ia adalah sunah.

“Seperkara lagi, jangan kita mengatakan bahawa orang yang tidak berpuasa Rejab ini tidak mengikut sunah. Sebaiknya lakukanlah ibadah itu sendiri dan tidak perlulah kita mengaitkannya dengan sunah nabi atau menyalahkan orang lain,” katanya.

Apa pun, agamawan itu lebih cenderung dengan pandangan Ibnu Abbas tentang perihal puasa penuh Rejab itu. Kata Ibnu Abbas; “Sesiapa yang hendak berpuasa penuh bulan Rejab ini, sebaik-baiknya tinggalkan satu atau dua hari untuk membezakan antara bulan Rejab dan Ramadan.”

Selain berpuasa, Imam Muda Hassan turut menasihati kita agar memperbanyakkan sedekah.

“Seperti kata Imam Ibnu Kathir, kalau kita buat pahala pada bulan Rejab, pahalanya lagi besar. Jadi, kita kejar pahala bulan ini dengan memperbanyakkan sedekah dan puasa sunat.

“Tinggalkanlah amalan yang tidak baik kerana jika dilakukan, maka dosanya akan lebih besar daripada bulan yang lain. Bermuhasabah diri dan nekad tinggalkan dosa,” ujar beliau.

Peristiwa penting

Meskipun tiada kelebihan khusus, namun Rejab antara bulan Islam yang begitu istimewa. Ada beberapa peristiwa penting yang dicatatkan sepanjang bulan tersebut.

Paling masyhur adalah peristiwa Israk dan Mikraj yang sering menjadi ingatan umat Islam setiap kali tibanya 27 Rejab, kata pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

Puasa Rejab

USTAZ WAN AKASHAH

Ujar beliau, terselit beberapa hikmah ketika peristiwa Israk yang merupakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah menuju Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin dan Mikraj yang mana ia melibatkan perjalanan naik Rasulullah SAW dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha untuk bertemu ALLAH SWT.

Antara hikmah terbesar adalah perintah menunaikan solat fardu lima waktu kepada umat Islam.

“Pada bulan Rejab juga, berlaku hijrah yang pertama dalam Islam. Hijrah pertama ke Habsyah berlaku pada tahun kelima kenabian Nabi Muhammad SAw kerana ancaman musuh Islam ketika itu.

“Seperkara lagi, pada bulan itu juga menyaksikan kelahiran Imam Syafie iaitu salah seorang daripada empat imam mazhab terkemuka dalam Islam. Beliau dilahirkan pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah dan dilaporkan meninggal dunia pada bulan Rejab juga iaitu tahun 204 Hijrah,” katanya kepada Sinar Islam.

Mengulas lanjut tentang keistimewaan bulan Islam tersebut, tambah Ustaz Wan Akashah, Rejab bererti curahan. Ini bermakna, Rejab ialah bulan ALLAH mencurahkan rahmat kepada hamba-hamba-NYA yang dikehendaki.

“Jadi, banyakkanlah berzikir, berpuasa, selawat dan bersedekah kerana bulan Rejab merupakan bulan curahan rahmat ALLAH kepada hamba-hamba-NYA.

“Ia juga merupakan satu daripada empat bulan yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan haram yang merangkumi Zulhijah, Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Bulan-bulan itu merupakan bulan yang diharamkan berperang, bulan aman, damai, tenteram dan selamat,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.