Browsing Tag

Provokasi di Masjid al-Aqsa

Larangan ke Masjidil Aqsa
Antarabangsa, Berita Semasa,

Mufti Besar Baitulmaqdis beri amaran tentang implikasi buruk jika berlaku provokasi di Masjid al-Aqsa

KITA kini berada pada ambang bulan Ramadan yang hanya berbaki kurang enam hari lagi. Seluruh umat Islam begitu berharap agar dapat melalui bulan Ramadan dengan penuh ketenangan.

Maklum sahajalah, Ramadan terkenal sebagai bulan mulia untuk kita melakukan ‘pesta’ ibadah. Malah, tidak terhitung ganjaran yang bakal diraih apabila kita menghidupkan bulan berkenaan dengan amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Ya, demikianlah impian setiap umat Islam setiap kali tibanya bulan Ramadan. Begitu juga yang dirasai oleh penduduk Palestin. Pada tahun lalu, mereka diuji apabila diserang ketika sedang menunaikan solat tarawih.

Bayangkan rejim Zionis menyerbu masuk ke dalam Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan melepaskan gas pemedih mata.

Media antarabangsa melaporkan, seramai 178 jemaah termasuk kanak-kanak cedera dalam serangan yang berlaku pada malam ke-26 Ramadan.

Baca juga Undang-Undang Kejam Israel Curi Tanah Palestin

Justeru, ramai berharap agar insiden malang itu tidak akan berulang kembali pada Ramadan kali ini.

Disebabkan itu, Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Mohammad Hussein baru-baru ini memberikan amaran supaya puak Yahudi tidak melakukan provokasi sepanjang bulan barakah berkenaan.

SHEIKH MOHAMMAD HUSSEIN

Beliau menyuarakan kebimbangannya kerana ia akan memberi implikasi yang tidak baik dan dikhuatiri memicu masalah, lapor Agensi Berita & Informasi Palestin (Wafa).

Kerisauan itu disuarakannya susulan kenyataan Menteri Keselamatan Awam Israel, Omer Bar-Lev sebelum ini yang menyatakan, orang Yahudi bebas berada di Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan, sama seperti pada hari-hari lain.

Sebelum ini, Israel melarang orang bukan Islam untuk berada di masjid ketiga terpenting dalam Islam itu.

Dalam pada itu, Sheikh Mohammad Hussein memberi amaran bahawa tindakan membenarkan peneroka Israel untuk terus mendatangi tapak suci umat Islam tersebut pada bulan Ramadan itu mungkin menjadi permulaan kepada ‘niat jahat’ pihak berkuasa pendudukan Israel.

“Kerajaan Israel akan bertanggungjawab atas semua akibat daripada keputusan mereka ini yang barangkali akan meningkatkan atau mencetuskan kebencian dan permusuhan di rantau ini sebagai sebahagian daripada percubaannya untuk mengawal Masjid al-Aqsa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal english.wafa.ps.

Portal berita tersebut turut melaporkan, rakyat Palestin bimbang andai Israel sengaja cuba mencetuskan masalah di Masjid al-Aqsa untuk mewajarkan kehadiran pasukannya di pekarangan tempat suci berkenaan pada setiap masa.

Ia dianggap sebagai usaha untuk mengubah status quo yang sudah puluhan tahun diamalkan yang mana ia merupakan tempat khusus ibadah orang Islam.

Baca juga Ayuh Umat Islam Bersolidariti Benamkan Keangkuhan Israel

Malah, kelompok fanatik Yahudi dilihat ingin mengubah status quo tersebut dengan meminta pemerintah mereka membahagikan Masjid al-Aqsa dan pada masa sama turut mengizinkan orang Yahudi solat di situ.

Jika dilihat, senario berkenaan saling tidak tumpah sebagaimana berlaku di Masjid Ibrahimi yang terletak di bandar Hebron. Kerajaan Israel membahagikannya antara umat Islam dan orang-orang Yahudi susulan insiden pembunuhan beramai-ramai pada sekitar Februari 1994.

Provokasi di Masjid al-Aqsa

MASJID AL-AQSA merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam. -Foto: justislam.co.uk

Dalam kejadian itu, seorang peneroka Yahudi melepaskan tembakan ke arah jemaah Islam pada awal pagi Ramadan, sekali gus membunuh 29 orang dan mencederakan puluhan individu lain.

Malah, majoriti pertubuhan fanatik Yahudi dilaporkan cenderung untuk memusnahkan seluruh kawasan masjid dan tempat-tempat suci umat Islam serta menggantikannya dengan kuil.

Memetik laporan Wafa, Sheikh Mohammad Hussein menyifatkan bahawa tindakan memudaratkan kesucian Masjid al-Aqsa adalah satu jenayah yang kejam.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengenakan amalan baharu di dalamnya yang bertentangan dengan nilai-nilai agama iaitu larangan merosakkan tempat-tempat suci yang dikhaskan untuk beribadah.

“Di samping itu, tindakan tersebut juga tidak selari dengan undang-undang dan norma antarabangsa yang memberi penghormatan terhadap tempat-tempat suci berkenaan dengan tidak mencederakan masyarakat demi melindungi kebebasan beribadah.

“Namun begitu, pihak berkuasa nampaknya mengabaikan semua ini dan mencetuskan perasaan kira-kira 2 bilion umat umat Islam di dunia yang mana menimbulkan bahaya dan memerlukan pendidian Arab-Islam yang serius dalam hal ini,” kata ulama Islam berkenaan.