Browsing Tag

Portugal

Bruno Macaes ketika Forum Diplomasi Antalya AA
Berita Semasa, Jendela Dunia, Uncategorized,

Islam sebahagian dari Eropah, Bukan Sesuatu Dari Luar: Bekas Menteri Portugal

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

ISLAM adalah sebahagian daripada sejarah dan budaya Eropah, dan bukan sesuatu dari luar, kata seorang bekas menteri Portugal.

“Sejarah kegemilangan di Eropah … Saya harap ia dapat difahami, dan kita dapat bergerak ke arah bukan hanya mempunyai hubungan baik dengan Islam, tetapi benar-benar memahami bahawa ia adalah sebahagian daripada sejarah dan budaya Eropah.

“Di negara Balkan, Sepanyol dan bahagian lain, dan sekarang di banyak bandar Eropah, penduduk Muslim mewakili kumpulan penduduk yang agak besar ,” kata Bruno Macaes, yang pernah bertugas sebagai menteri Eropah dalam kerajaan Portugal di antara 2013 dan 2015.

“Oleh itu, ini bukan agama yang asing, ini adalah sebahagian dari diri kita, dan dapat membantu mengembalikan kepelbagaian, keharmonian dan menyuntik semangat baharu ke Eropah. Kami memerlukannya. ” kata beliau kepada agensi berita Anadolu semasa menghadiri Forum Diplomasi Antalya di Turki, baru-baru ini.

Islam, yang kini dianggap sebagai agama paling pesat berkembang di Eropah, telah wujud di benua ini sejak abad ke-8. Umat Islam telah membangunkan peradaban yang terkenal di Sepanyol, dan kemudian berkembang ke arah tenggara Eropah .

Islam pernah menjadikan satu sejarah penting bagi sesetengah negara Eropah (Unsplash)

Namun sejarah Eropah menyaksikan pembunuhan besar-besaran, pengusiran dan paksaan murtad terhadap penganut agama Islam di banyak wilayah di benua itu.

Walaupun demikian, unsur peradaban dan budaya Islam seperti seni bina, makanan, muzik dan bahasa, kekal terpelihara sehingga kini.

Ditanya mengenai pernyataan kontroversi Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai Islam, Macaes yang kini merupakan penasihat kanan di Flint Global, berkata:

“Ia tidak bergantung kepada ahli politik untuk memutuskan sama ada sesuatu agama itu berada dalam krisis atau sebaliknya. Ia ditentukan oleh penganut agama itu sendiri,” katanya.

Tahun lalu, Macron menuduh Muslim Perancis sebagai “pemisah,” dan menggambarkan Islam sebagai “agama dalam krisis.” Beliau juga mempertahankan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pemimpin dunia menghadiri Forum Diplomasi Antalya di Antalya, selatan Turki, 18 Jun 2021. (Foto AA)

Hubungan transatlantik

Ketika Presiden AS Joe Biden baru-baru ini melakukan lawatan ke Eropah, Macaes berkata hubungan AS-EU sekarang “jauh lebih baik” daripada semasa pemerintahan mantan Presiden Donald Trump.

“Itu bukan satu kejutan,” katanya, sambil menambah bahawa mereka “saling memahami antara satu sama lain.”

Tambahnya lagi selepas tampuk pemerintahan George Bush Sr., Biden nampaknya lebih menghargai Eropah dan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Macaes, beberapa mantan presiden AS, termasuk Barack Obama, “mempunyai keraguan tertentu terhadap Eropah.”

“Memang ada masalah perdagangan dan teknologi yang perlu diselesaikan (di antara AS dan Eropah). Berbeza dengan China, AS dan Eropah mempunyai semangat hubungan yang baik (untuk menyelesaikan masalah ini), katanya.

Bruno Macaes (AA)

Hubungan Turki-AS

Mengenai masa depan hubungan Turki-AS setelah pertemuan langsung antara Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Biden pada sidang kemuncak NATO pada 14 Jun di Brussels, Macaes berkata: “Hasil pertemuan itu adalah lebih baik daripada jangkaan.”

“Tanda pertama (hubungan Turki-AS pulih) adalah proses perdamaian Afghanistan dan bagaimana Turki terlibat … AS nampaknya sangat gembira dengan perkembangan itu. Sekarang pertemuan ini juga berjalan lancar, ”katanya.

“Mungkin, Biden memahami bahawa Turki penting. AS berdepan dengan konfrontasi yang mendalam dengan kedua-dua China dan Rusia. AS kini mungkin faham bahawa adalah penting untuk memastikan Turki memihak kepadanya atau setidaknya saya rasa Washington mempunyai idea bahawa Amerika tidak boleh terlalu mendesak Turki sehingga Ankara menjadi lebih dekat dengan Rusia dan China. ”

Mengulas mengenai Forum Diplomasi Antalya yang menngumpulkan pemimpin politik, diplomat, pembuat pendapat dan akademik, Marcaes berkata “pengembangan geografi” forum itu dari Afrika, Amerika Latin ke Timur Tengah dan Asia Tengah, mengagumkannya.

“Turki kini sangat bersifat lebih terbuka kepada dunia, dan bukan hanya untuk Eropah. Ini menandakan Turki baharu,” katanya.

Sumber : Anadolu Agency