Browsing Tag

politik

Berpolitik
Berita Semasa,

Sematkan sirah Nabi Muhammad SAW ketika berpolitik

Sematkan sirah Nabi Muhammad SAW ketika berpolitik

MERIAH sungguh pemandangan sana sini dengan kibaran poster parti dan gambar calon-calon ketika musim pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang akan menemui kemuncaknya esok.

Wajah sebenar rakyat Malaysia benar-benar kelihatan ketika hampirnya PRN. Tergores rasa sedih dihati apabila melihat keadaan di Malaysia yang koyak akhlak ketika PRN apabila calon-calon dan masyarakat menjadi boomerang yang pantang diejek dengan ucapan dan dibalas balik, tidak seperti pokok apabila dibaling batu, dibalas buah yang ranum.

Alangkah cantiknya sekiranya kita kembali kepada sirah Rasulullah SAW ketika berdakwah ke Taif. Ketika itu baginda diejek dan disakiti di kiri kanan jalan sehingga kedua-dua belah kasutnya lencun dibasahi darah.

Zaid Bin Harithah cuba melindungi nabi tetapi kepalanya juga berdarah terkena lontaran batu. Melihat kegetiran yang ditempuh itu, Malaikat Jibril menawarkan diri untuk membinasakan mereka tetapi nabi menolaknya dan berkata: “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Baca juga Kita tak boleh kawal mulut orang, sebaliknya bacalah doa ini apabila dicaci maki 

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar umat yang menganiayainya memperoleh kebaikan. Refleksi daripada sirah agung itu, ditambah dengan suasana umat Islam masih lagi dalam bulan Muharam, mengapa tidak bersama-sama meneladaninya?

Berpolitik

TELADANI sikap Rasulullah SAW yang begitu tinggi akhlak dan budi bahasanya lebih-lebih lagi dalam berpolitik dan suasana kempen PRN. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Budi bahasa jadi pedoman

Tuntasnya, adab budi bahasa yang ditunjukkan oleh Rasulullah begitu luar biasa yang sepatutnya sentiasa menjadi pedoman kepada umatnya, lebih-lebih lagi dalam suasana kempen PRN.

Adab akhlak dan kesantunan budi bahasa Melayu mengajar kita untuk sentiasa sopan ketika berbicara. Hal itu penting agar tidak menjauhkan Islam daripada mereka yang belum Islam.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum masuk iman ke dalam hatinya, janganlah kamu semua mengumpat orang-orang Islam dan janganlah pula mencari kecelaan dan kesalahan mereka. Dari kerana sesungguhnya siapa yang mencari-cari kecelaan dan kesalahan saudara seagamanya maka pasti ALLAH akan mencari kecelaan dan kesalahannya pula. Dan siapa yang ALLAH mencari kesalahannya, maka pasti ALLAH akan memalukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Sayugia dalam semarak gendang perang pilihan raya, calon-calon yang bertanding dan para jenteranya yang beragama Islam juga mesti sentiasa berhati-hati dalam berkempen agar tidak mencaci serta memfitnah pihak lawan.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba ALLAH yang saling bersaudara.

Baca juga Hilangnya amal ketika lidah dirajai nafsu

“Muslim yang satu dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara, tidak boleh menyakiti, merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya). Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama Muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Tiada guna taasub berlebihan

Begitu juga dengan aspek terlampau taasub dan berlebih-lebihan dalam fahaman politik sehingga bercerai-berai, putus saudara dan bermusuhan dalam kalangan masyarakat akan menyebabkan hancurnya negara.

Berpolitik

JANGAN kerana perbezaan fahaman politik atau pilihan pemimpin menyebabkan masyarakat bercerai-berai, putus saudara dan bermusuhan yang menyebabkan hancurnya negara. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah belah.”

Baca juga Taasuber, tidak perlu fanatik melampau kepada individu, tetapi taasublah kepada kebenaran

Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut: “Janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka.”

Kemudian beliau berkata lagi: “Boleh juga ia membawa erti jangan kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama ALLAH. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu daripada berpecah belah dan saling bermusuhan dan berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH (Rasulullah, khulafa’ ar-Rasyidin dan Ulil amri) dalam jemaahnya dan janganlah kamu memutuskannya (memisahkan diri).”

Alangkah baiknya jika budaya bijak berpolitik yang saling hormat menghormati antara satu sama lain dihidupkan semaksimum mungkin dalam membina negara.

Masyarakat Malaysia yang terkenal sebagai bangsa berdaulat dan mempunyai budi bahasa luhur mestilah sentiasa mempertahankan kasih sayang serta hormat menghormati sesama kita walaupun berbeza fahaman politik, sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesiapa yang tidak menghormati (menyayangi) orang lain, tidak akan dihormati (disayangi)”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Esok adalah tarikh keramat untuk anda membuang undi. Berpeganglah kepada manifesto calon yang mengutamakan pencapaian dan pembangunan agama, material serta menjulang keharmonian negara tercinta.

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman, yang juga Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat

POLITIK
Berita Semasa,

Islam larang putuskan silaturahim hanya kerana bercanggah arus politik

ARENA permainan politik yang dilihat merunsingkan dibimbangi akan menjadikan manusia semakin rakus dengan jawatan hingga sanggup memutuskan hubungan silaturahim.

Lihat sahaja senarionya ketika ini. Ada yang sanggup mengutuk dan menghina individu yang lantang berpolitik sana dan sini tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Tidak kurang juga yang melabelkan orang dengan pelbagai gelaran. Malahan sanggup mengkafirkan atau menerakakan individu lain gara-gara tiada titik persamaan dalam medan berkenaan.

Baca Juga Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

Ketahuilah, Islam mengharamkan penganutnya untuk memutuskan hubungan silaturahim termasuk sesama keluarga kerana perbezaan ideologi mahupun parti yang disokong.

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengingatkan agar umat Islam sentiasa berhati-hati dalam gelanggang politik dan usah terlalu ekstrem sehingga sanggup memutuskan tali silaturahim.

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. 

Katanya, parti politik bukanlah ciptaan ALLAH yang terlepas daripada segala kesalahan dan cela, sebaliknya ia hanyalah metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu.

“Apa jua yang direka atas dasar pemikiran manusia tentu ada kelemahan dan kekurangan. Justeru tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apalagi menjadi faktor memutuskan hubungan silaturahim antara anggota keluarga, adik beradik dan kaum kerabat.

Artikel Berkaitan 

“Tindakan memutuskan silaturahim itu bukan sahaja merupakan salah satu dosa besar, malah terdapat hadis muttafaq ‘alaih iaitu kategori hadis yang disepakati kesahihannya turut menegaskan seseorang yang berbuat demikian tidak akan masuk syurga,” tegasnya.

Jika diteliti, terlalu banyak nas yang mewajibkan kita memelihara tali perhubungan tidak kiralah sama ada sesama adik beradik mahupun kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan silaturahim.

PENJAJAH barat sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan tanggapan bahawa hubungan Islam dengan politik atau negara tidak pernah wujud. Foto: Istock

Antaranya, ia disebutkan secara jelas dalam Surah al-Baqarah, ayat 27; Surah an-Nisa’, ayat 1; Surah ar-Ra’du, ayat 21 dan 25 serta Surah Muhammad, ayat 22 dan 23.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda yang membawa maksud: “Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia hubungkan ikatan kasih sayang antara kaum kerabatnya…” (Hadis Riwayat…

Menurut Dr Wan Salim lagi, silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan alasan seseorang disakiti atau dianiayai oleh mana-mana adik beradik atau kaum kerabatnya.

Turut Disyorkan Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

“Apa yang patut dilakukan dalam situasi sebegini adalah menegur dan memberi kata-kata nasihat yang baik, di samping teruskan hubungan yang baik dengan mereka.

“Bagaimanapun, jika ada yang melakukan maksiat secara terang dan tidak mahu menerima nasihat, maka bolehlah, malah wajib dia dipulau dengan niat semoga ini akan memberi keinsafan kepadanya,” ujarnya kepada laman berita tempatan.

talak gurauan
Gaya Hidup,

Niat ceraikan isteri kerana politik? Jangan sesuka hati jatuhkan talak walaupun untuk bergurau

Niat ceraikan isteri kerana politik? Jangan sesuka hati jatuhkan talak walaupun untuk bergurau

MEDIA sosial seringkali menjadi platform untuk masyarakat meluahkan perasaan atau memberikan pendapat tentang suatu isu semasa. Ada sahaja perkara yang dibangkitkan setiap hari di internet.

Namun, baru-baru ini sebuah hantaran mencuri perhatian netizen gara-gara pernyataan berani seorang individu berkaitan hal politik.

Memetik sebuah media tempatan, dalam sebuah ‘posting’ di laman Facebook, seorang warga maya berkata ingin menjatuhkan lafaz talak tiga terhadap isterinya sekiranya kerajaan terkini mampu bertahan lama.

Baca juga Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya…

talak bergurau

“Wallahi, saya akan ceraikan bini (isteri) saya dengan lafaz talak tiga jika PMX (Perdana Menteri Kesepuluh, Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sampai bulan 8, 2023,” tulis hantaran tersebut.

Baca juga Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian

Pun begitu, difahamkan selepas ia tular, individu dimaksudkan telah tampil bersuara bahawa hantaran itu merupakan suatu lemparan fitnah yang menggunakan nama akaun media sosial miliknya berserta gambar bersama isteri sewaktu menyambut ulang tahun perkahwinan ke-26.

Jelasnya, hantaran yang dibuat sekitar bulan Februari awal tahun ini tersebut adalah palsu dan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dengan menggunakan agenda politik.

Sabda Nabi SAW, “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak)” (Hadis Riwayat Abu Daud). Foto: 123RF

ARTIKEL BERKAITAN:

Cerai dan talak tidak boleh dijadikan gurauan
Benar atau tidak, kisah itu sepatutnya dijadikan iktibar kepada kita agar tidak sewenang-wenangnya melafazkan talak walaupun sebagai gurauan.

Kata penceramah bebas, Ustaz Muhamad Abdullah, lafaz talak terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) atau tidak jelas (kinayah).

USTAZ Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)

Ujarnya menerusi rancangan bual bicara, Tanyalah Ustaz, lafaz cerai yang dilafazkan secara jelas oleh seorang suami kepada isteri seperti, ‘Saya ceraikan awak,’ akan menyebabkan jatuhnya talak meskipun ia dilakukan secara gurauan.

Sebaliknya, bagi lafaz cerai secara kinayah, ia bergantung kepada niat orang yang melafazkan sama ada talak dijatuhkan atau tidak. Dalam hal itu, Mahkamah Syariah akan menentukan status perkahwinan tersebut.

Oleh itu, pendakwah tersebut menegaskan agar menjauhi gurau senda yang melibatkan talak dan perceraian.

Secara umumnya Islam tidak melarang gurauan, namun kita perlu sedar dan tahu batasnya kerana tidak semua perkara boleh dijadikan bahan ketawa.

Sumber: Ohmymedia & Adakah Jatuh Talak Ketika Bergurau? 

Foto: Pexels, Youtube & Facebook

Amalan lain
Berita Semasa,

Jangan sensasikan isu-isu agama demi laba politik

SEMUA calon, penyokong dan petugas parti terlibat semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak mensensasikan isu-isu agama dan kaum untuk meraih laba politik.

Perbuatan yang boleh menyemai kebencian itu kelak berupaya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

Pada masa sama, kelompok berkenaan juga diingatkan supaya menjauhi budaya menyogok rasuah semata-mata demi mendapatkan sokongan undi kerana dibimbangi calon tersebut mengamalkan perangai korup apabila diserahkan amanah dan kuasa.

Isu-isu agama

JAUHI budaya menyogok rasuah semata-mata demi mendapatkan sokongan undi kerana dibimbangi calon tersebut mengamalkan perangai korup apabila diserahkan amanah dan kuasa. -FOTO: FREEPIK

Demikian antara inti pati teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak bertajuk ‘Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah Kepada Negara’, minggu lalu.

Di samping itu, Jabatan Agama Islam Perak turut mengingatkan agar semua pihak berkenaan tidak melakukan dosa menyebar fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan semasa berkempen.

“Paling penting, jangan memperdayakan rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang tidak dapat dikotakan dan akhirnya rakyat berasa tertipu, selain tidak melakukan perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau-bilau atau mencetuskan sengketa mengganggu dan menggugat pihak lawan.

Baca juga Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

“Selain itu, tidak menggunakan masjid, surau atau institusi agama Islam sebagai tempat berkempen. Patuhilah segala peraturan yang ditetapkan pihak-pihak berkuasa dan para petugas terlibat,” katanya .

Pelantikan pemimpin suatu kewajipan

Dalam teks khutbah itu turut ditekankan bahawa Islam adalah agama yang memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu dilakukan oleh ummah.

Meskipun kaedah atau cara memilih pemimpin tidak diperincikan dalam al-Quran dan hadis, namun kedua-dua sumber rujukan utama umat Islam itu dan para sarjana Muslim telah memberikan gambaran tentang siapa yang harus dipilih dan seterusnya ditaati.

Isu-isu agama

MENJADI tanggungjawab rakyat untuk mengundi dan memilih pemimpin yang kompeten dalam hal ehwal tadbir urus dan memelihara kesucian agama, keharmonian bangsa dan negara. –PEXELS

Baca juga Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

Malah, ada syarat-syarat tertentu yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin.

Pada PRU15 yang bakal berlangsung 19 November depan, rakyat diseru supaya memenuhi tanggungjawab untuk mengundi yang merupakan fardu kifayah.

“Ia adalah tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar dilakukan oleh rakyat. Keengganan untuk memenuhinya bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan baharu.

“Para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup, membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi,” kata teks khutbah berkenaan.

Baca juga Hati-hati pilih pemimpin, jangan sampai ke neraka bersamanya

Renungkanlah firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu (pemimpin) menjalankan hukum di antara manusia, jatuhkanlah hukuman secara saksama. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik Pemberi pedoman. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 58)

PRU15 bakal menyaksikan lebih 21 juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dengan 10.7 juta daripada jumlah itu pengundi berusia di bawah 39 tahun, hampir 1.5 juta pengundi 18 ke 20 tahun dan hanya 18 peratus mereka yang berada dalam kumpulan umur atas 60 tahun.

Law & Liberty, Pusat Islam Amerika di Dearborn
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Masjid Amerika Menjadi Lebih ‘Amerika’

no comment

PENGKAJI dari Institut Dasar dan Pemahaman Sosial (ISPU) Amerika Syarikat (AS), Dr. Ihsan Bagby, menyatakan melalui kajian yang dilakukan, kebanyakan masjid di AS semakin menjadi tumpuan umat Islam di kalangan pelbagai mazhab.

Pengkaji ISPU, Dr. Ihsan Bagby, hasilkan kajian setiap 10 tahun.

Laporan yang dibuat setiap 10 tahun, mendapati masjid Sunni Amerika mengamalkan pelbagai cara pendekatan pluralistik yang menunjukkan ia kembali kepada tradisi.

Kajian daripada laporan tersebut menunjukkan bahawa masjid Amerika menghidupkan kembali kedudukan kepemimpinan tertentu. Ia juga memberi kebebasan hak bagi wanita di masjid yang sebelum ini pernah dipraktikkan pada zaman awal Islam.

Pemimpin masjid Amerika lebih cenderung memahami peranan Islam yang berpegang pada teks al-Quran dan Sunnah tetapi terbuka untuk menafsir dengan melihat kepada tujuan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Laporan kajian yang dihasilkan 10 tahun lalu. Gambar: Faith Communities

Kajian ISPU dilakukan berdasarkan temu ramah langsung dan soal selidik asas.
Penulis laporan itu bercakap secara langsung dengan ratusan pemimpin masjid dalam menjalankan penyelidikan untuk laporan tersebut.

“Kebanyakan negara dunia Islam, hanya satu mazhab mendominasi dan sementara imigran Amerika dari negara-negara tersebut mempertahankan amalan tersebut, masjid mereka sering menggabungkan tradisi untuk menarik kumpulan jemaah yang berpotensi besar.

“Prinsip tertentu daripada setiap mazhab dapat mempelbagaikan secara perincian tentang ritual doa hingga tata cara pemilikan binatang peliharaan.

“Daya tarikan yang kuat terhadap perspektif sesuatu mazhab, terutama dalam komuniti imigran, dapat menarik sebahagian jemaah, sedangkan pendekatan mazhab yang minoriti memungkinkan kecenderungan untuk bergabung mengikutinya dalam kehidupan seharian di masjid.

Diyanet Center of America. Gambar: Pinterest

“Secara anekdot, saya tahu seseorang yang berada di dewan masjid di Atlanta yang merasa dia harus mengingatkan semua orang bahawa itu bukan masjid Hanafi,” kata Bagby.

Menurut Bagby, Masjid Hanafi dan Shafie adalah yang paling dominan di Amerika. Namun, katanya, masjid-masjid yang mengikuti mazhab Maliki semakin meningkat disebabkan oleh penghijrahan bangsa dari Afrika. Ia sekali gus menarik perhatian rakyat Amerika pada tafsirannya yang lebih fleksibel terhadap beberapa amalan Islam.

Dalam amalan Islam tradisional, individu dapat menggabungkan tradisi hingga ke satu tahap tertentu, tetapi dalam beberapa generasi terakhir ini, ketika masjid telah berubah menjadi institusi keagamaan negara di kebanyakan negara Islam, kepatuhan terhadap mazhab tertentu menjadi lebih ketat.

Di Amerika, sebilangan faktor telah mempengaruhi amalan masjid. Laporan itu menyebut ia disebabkan penglibatan dalam politik dan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian dan amalan masyarakat.

Masjid Al-Farooq, Atlanta, Georgia. Gambar: Sunira Stone

“Dalam tinjauan institusi tahun 2000, 53 peratus masjid Amerika menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama untuk khutbah Jumaat berbanding peningkatan hingga ke 72 peratus hari ini.

“Laporan itu juga menyatakan bahawa 51 peratus masjid yang dikaji selidik menjadi tuan rumah kepada ahli politik untuk lawatan atau ceramah. Ini adalah tahap penglibatan politik yang lebih tinggi daripada gereja.

“Sebilangan besar masjid menyokong usaha seperti itu tidak semestinya untuk alasan politik tetapi, kerana mereka percaya bahawa mereka memajukan hubungan antara Muslim dan bukan Islam. Ini jumlah yang agak besar dan ini mencerminkan perubahan tersebut,” menurut Bagby.

Kajian itu mendapati bahawa sebilangan besar masjid terlibat dalam usaha antara agama yang dirancang untuk membina hubungan antara masyarakat Islam dan anggota kumpulan agama lain.

Laporan itu juga menyatakan bahawa 67 peratus masjid di Amerika Syarikat mempunyai wanita yang berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa masjid. Ini menandakan peningkatan yang ketara dari edisi awal laporan yang mendapati hanya 50 peratus masjid mempunyai wanita pada tahun 2000 dan 59 peratus pada tahun 2010.

“Masjid Amerika lebih terintegrasi dari perspektif jantina darimasjid di tempat lain, seperti tidak mempunyai pembahagi yang terpisah antara kawasan di mana lelaki dan wanita bersolat dan amalan lain, tetapi masjid-masjid ini berpendapat bahawa amalan ini bukan inovasi melainkan kembali ke amalan yang diamalkan umat Islam terawal, ”kata Bagby.

Sumber: Religion News Service