Browsing Tag

Poland

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam
Antarabangsa,

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya…

MASJID boleh hadir dalam pelbagai rupa, daripada sebuah bilik kecil di suatu bangunan hinggalah sebuah binaan besar dengan reka bentuk kompleks. Ini kerana al-Quran tidak pernah menggariskan rupa bentuk yang khusus bagi sesebuah masjid.

Mengikut sejarah, masyarakat Islam terdahulu biasanya mengadakan solat berjemaah dengan berkumpul secara rahsia di rumah masing-masing. Namun, semakin Islam berkembang, keperluan ahli komunitinya juga berubah.

Kebanyakan masjid terawal dibina hanya mempunyai reka bentuk yang ringkas. Bahkan, ia tidak memiliki sebarang kubah atau menara sebagaimana yang ada pada masjid-masjid sekarang. Sebagai tanda masuknya waktu solat, muazzin akan berdiri melaungkan azan di atas bumbung masjid yang rata.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Kini, di seluruh dunia, masjid telah dibina menggunakan pelbagai reka bentuk tradisional dan unik bagi mencerminkan budaya masyarakat tempatan.

Portal agensi berita, Middle East Eye menyenaraikan enam masjid dari pelosok dunia berbeza yang memperlihatkan warisan unik komuniti Islam di sana.

1. Masjid Raya Sumatera Barat, Indonesia

Islam mula tersebar secara beransur-ansur di Indonesia bermula abad ke-12 melalui pedagang Arab.

Masjid Raya Sumatera Barat di Indonesia yang dibina oleh arkitek tempatan, Rizal Muslimin tidak mempunyai kubah atau menara. Sebaliknya, ia memiliki bumbung dengan struktur lengkung yang dikenali sebagai minang.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian islam

PEREKA Masjid Besar Sumatera Barat berkata beliau mendapat inspirasi kain yang dipegang oleh kaum Quraisy ketika ingin meletakkan Hajar Aswad ke Kaabah (Creative Commons)

Rumah ibadah berkenaan mula dibuka pada tahun 2014 dan mampu memuatkan hampir 20,000 jemaah sepanjang tiga tingkat.

Kata Muslimin, beliau mendapat inspirasi menerusi penyelesaian kepada pertikaian yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Dalam peristiwa itu, berlaku pergaduhan antara puak Quraisy ketika ingin menempatkan Hajar Aswad pada Kaabah. Lalu, baginda meletakkan batu hitam tersebut di atas kain sambil bahagian sudut kain dipegang oleh seorang wakil daripada setiap puak. Dengan ini, masing-masing berpeluang meletakkan Hajar Aswad ke kiblat umat Islam itu.

Dengan gabungan ukiran minang tradisional dan kaligrafi Islam menghiasi dinding luar masjid, struktur megah itu menjadi tumpuan utama daerah Padang di Sumatera.

Baca juga ALLAH sangat mencintai masjid dan membenci pasar

2. Masjid Sepanyol, India
Dikenali sebagai Masjid Iqbal Ud Daula dalam masyarakat setempat, masjid ini terletak di bandar Hyderabad, India.

Masjid Sepanyol mula dibina sekitar tahun 1900 di bawah arahan Iqbal Ud Daula yang merupakan anak kepada pemerintah pada waktu itu.

Daula yang baru sahaja pulang ke India selepas menghabiskan masa di Sepanyol dikatakan mendapat inspirasi daripada seni bina negara Eropah berkenaan.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Sepanyol di Hyderabad mempunyai ciri-ciri reka bentuk Sepanyol disebabkan pemerintah pada waktu itu yang meminati budaya berkenaan (Sriharsha/Creative Commons)

Dari segi reka bentuk masjid, bangunan itu mempunyai hujung menara yang tajam bermodelkan gereja-gereja di semenanjung Iberia. Selain ruang solat utama, terdapat juga dua bilik di kedua-dua sisi masjid yang disambungkan melalui tingkap gaya Perancis.

Walaupun tidak mempunyai kawasan untuk berwuduk, Masjid Sepanyol kekal sebagai tempat ibadat yang aktif bagi masyarakat Islam Secunderabad serta mampu memuatkan 3000 jemaah dalam satu masa.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

3. Masjid Sancaklar, Turkiye
Turkiye sememangnya terkenal dengan masjid-masjid besar zaman Uthmaniyyah. Namun, Masjid Sancaklar sedikit berbeza kerana ia bukan sahaja dilihat sebati, bahkan hampir tersembunyi di sebalik topografi tanah di sekelilingnya.

Pemenang Bangunan Keagamaan Terbaik di Festival Seni Bina Dunia pada 2013 itu bertempat dalam sebuah kejiranan di pinggir Istanbul, Buyukcekmece.

Kata Emre Arolat merangkap arkitek di sebalik masjid unik berkenaan, bangunan itu sengaja dibina dengan gaya ringkas menyerupai sebuah gua untuk mewujudkan hubungan mendalam bersama TUHAN.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MENURUT pereka Masjid Sancaklar di Turkiye, bangunan tersebut dibina sedemikian sebagai suatu dunia tersendiri yang mengasingkan pengunjung daripada ikatan duniawi (Creative Commons)

Dari jauh, satu bongkahan batu mewakili menara masjid menjadi mercu tanda Masjid Sancaklar. Selebihnya adalah ruang solat yang dibina bersama lereng bukit. Beberapa celahan juga diukir pada dinding kiblat untuk membolehkan sedikit cahaya masuk dari arah Kaabah.

Untuk sampai ke masjid, jemaah perlu berjalan di sepanjang anak tangga menuruni bukit. Setibanya di halaman masjid, ada sebuah kedai teh, ruang berkumpul serta perpustakaan untuk kegunaan jemaah.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

4. Masjid Kruszyniany, Poland
Masjid kayu ringkas berwarna hijau ini boleh ditemui di perkampungan Kruszyniany berhampiran sempadan Belarus.

Dari sudut bentuk luarannya, masjid berkenaan dipengaruhi budaya tempatan dan menyerupai gereja-gereja kayu berhampiran. Bangunan segi empat tepat itu juga diperbuat daripada kayu pain, selain dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran pada sebelah dalam masjid.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

SATU plak batu di kawasan masuk masjid bahagian Muslimat menyatakan bahawa Masjid Kruszyniany di Poland pernah diubah suai pada tahun 1846 (Creative Commons)

Sementara itu, Masjid Kruszyniany merupakan salah satu daripada tiga masjid yang masih aktif di Poland.

Ia dikenali oleh masyarakat seawal tahun 1717 namun tiada siapa tahu tarikh sebenar masjid tersebut dibina. Plak batu yang ada di pintu masuk masjid bahagian Muslimat pula menyatakan bangunan itu pernah diubah suai pada tahun 1846.

Di Poland, 0.1 peratus daripada penduduknya beragama Islam. Dianggarkan terdapat 3,000 orang Tatar Islam termasuk 30,000 Muslim lain yang telah berhijrah dari tempat atau memeluk agama Islam di negara itu.

Baca juga Dua buku mengenai Hagia Sophia dikeluarkan Turkiye sempena ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu

5. Masjid Besar Djenné, Mali
Masjid Besar Djenné mula dibina pada abad ke-13 oleh Raja Koy Konboro, pemerintah Islam pertama di bandar itu. Khabarnya, Konboro sanggup merobohkan istananya untuk membina masjid di situ bagi menunjukkan ketaatannya kepada Islam.

Yang menariknya, masjid berkenaan adalah bangunan bata lumpur terbesar di dunia. Ia juga diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 1988.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

KAWASAN Masjid Djenné di Mali sering dinaiki air ketika musim hujan, menyebabkan bangunan itu perlu diperkukuh dengan tanah lumpur baru setiap tahun (Creative Commons)

Selain dipengaruhi seni bina tradisional Sudano-Sahel, Masjid Besar Djenné mempunyai ketinggian hampir 20 meter dan dibina di atas platform sepanjang 91 meter. Ini kerana masjid itu berhampiran Sungai Niger menyebabkan ia sering dinaiki air ketika musim hujan dan strukturnya perlu ditampal semula setiap tahun.

Di samping itu, terdapat sembilan puluh tiang kayu yang menyokong bumbung dan dinding masjid. Ruang solat masjid pula boleh memuatkan seramai 3 ribu jemaah.

Islam mula tersebar di Afrika Barat pada abad ke-19 oleh pedagang Berber dan Tuareg Muslim. Kini, 90 peratus rakyat Mali beragama Islam.

Baca juga Masjid Raya Baiturrahman Terus Gagah Menentang Badai

6. Masjid Niujie, China
Dibina pada 996, Masjid Niujie adalah masjid tertua di Beijing. Ia pernah diroboh dan kemudian dibina semula beberapa kali merentasi dinasti berbeza. Masjid itu perluaskan pada tahun 1696 di bawah dinasti Qing.

Walaupun bahagian luar masjid tersebut memiliki seni bina istana kayu tradisional Cina, namun ruang dalamnya dihiasi dengan kaligrafi al-Quran serta panel kayu merah Cina, memperlihatkan pengaruh Islam dan Cina Han.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Niujie mendapat namanya sempena kawasan masjid yang berhampiran dengan penjual-penjual daging di daerah Xuanwu, Beijing.

Ciri paling unik dalam Masjid Niujie adalah Menara ‘Watching Moon’ setinggi 10 meter, berbentuk heksagon serta mempunyai bumbung emas. Menara ini pernah digunakan oleh imam masjid untuk melihat bulan bagi menentukan bulan-bulan Islam termasuk permulaan Ramadan.

Di China, Islam disebarkan melalui pedagang Arab dan Parsi. 90 peratus penduduk Islam di negara berkenaan terdiri daripada etnik Hui dan Uyghur.

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

Foto dan Sumber: Middle East Eye

Daging halal
Antarabangsa,

Muslim di Jerman terpaksa import daging halal dari Poland sambut Aidiladha

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha bagi komuniti Muslim di Jerman sedikit suram apabila terpaksa mengimport daging halal dari Poland.

Bagi kebanyakan dalam kalangan kita, situasi tersebut kedengaran agak janggal, tetapi tidak pada penduduk tempatan di sana.

Langkah tersebut terpaksa dilakukan oleh penjual daging di Jerman kerana pihak berkuasa di Berlin mengharamkan proses penyembelihan dilakukan sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam.

Memetik laporan portal berita The New Arab pada Isnin, menyembelih haiwan tanpa renjatan elektrik diharamkan di negara berkenaan.

Baca juga Kebenaran Solat Aidiladha ‘Berlaga Bahu’ di England

Dasar tersebut sekali gus melarang pengeluaran daging halal domestik. Justeru, umat Islam di Jerman terpaksa melalui Poland untuk mendapatkan bekalan haiwan halal.

Kepada wartawan Anadolu Agency, penjual daging, Batal Turkman memberitahu, beliau menyembelih kira-kira 100 ekor kambing biri-biri di sebuah ladang di Poland untuk komuniti Muslim Jerman yang tidak dibenarkan melakukan korban sendiri tanpa melanggar undang-undang tempatan mahupun agama.

Daging halal

KOMUNITI Islam di Jerman terpaksa mengimport daging halal dari Poland untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. -Gambar hiasan

“Ya, memang sukar untuk mengangkut daging dari Poland ke Jerman, tetapi kegembiraan menghantar daging itu kepada pemiliknya mengatasi segala rasa kesulitan tersebut,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Jerman seperti kebanyakan negara Eropah tidak mengiktiraf Aidiladha sebagai cuti rasmi.

Ia menyebabkan ramai umat Islam terpaksa meneruskan kerja masing-masing dan bersekolah seperti biasa sepanjang empat hari sambutan Aidiladha.

Mengikut statistik, Jerman menjadi tuan rumah penduduk Islam kedua terbesar di Eropah selepas Perancis. Negara tersebut mempunyai kira-kira 4.7 juta Muslim yang majoritinya berasal dari Turki.

Baca juga Aidiladha di China disambut berbeza di setiap wilayah

Meskipun hari raya korban di Jerman tidak semeriah di negara kita, ia tidak menghalang saudara seagama kita di sana menyambut perayaan tersebut dengan penuh kesyukuran.

Sesungguhnya, kita begitu beruntung kerana dapat kembali menunaikan ibadah korban selepas melewati fasa endemik. Pada masa sama, berpeluang menyaksikan haiwan korban masing-masing disembelih.

Semoga segala amalan yang kita lakukan diterima oleh ALLAH SWT.

Foto: The New Arab & Canva