Browsing Tag

pokok kurma menangis

palm-tree-with-blue-sky_1156-69
Rindu Rasulullah,

Agungnya mukjizat Rasulullah SAW, pohon kurma menangis dengar khutbah Baginda

Agungnya mukjizat Rasulullah SAW, pohon kurma menangis dengar khutbah Baginda…

SEBAGAIMANA diketahui, setiap Nabi dan Rasul mempunyai mukjizatnya yang tersendiri.
Misalnya, Nabi Sulaiman AS mampu berbicara dengan haiwan atau Nabi Musa AS yang boleh membelah laut dengan tongkatnya.

Nabi kita, Nabi Muhammad SAW turut tidak terkecuali mempunyai mukjizat yang tersendiri. Yang sering kita dengar adalah keistimewaan yang dikurniakan ALLAH kepada Rasulullah SAW untuk membelah bulan, peristiwa Israk dan Mikraj serta turunnya al-Quran.

Pun begitu, ada satu lagi kisah mukjizat Nabi SAW iaitu mengenai cerita masyhur pohon kurma yang menangis.

Dari Jabir RA berkata, “Rasulullah SAW biasanya berdiri di atas sebatang pohon kurma setiap kali menyampaikan khutbah. Namun, selepas dibuatkan mimbar, kami mendengar sesuatu daripada batang pohon kurma tersebut seperti suara teriakan unta yang bunting.

Baginda SAW kemudian turun dan meletakkan tangannya pada batang kurma tersebut. Selepas itu, batang kurma itu pun diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

 

Mukjizat di sebalik kisah
Apa ibrah yang boleh kita lihat di sebalik kisah ini? Salah satunya ialah keagungan Baginda SAW yang bukan sahaja disanjung oleh manusia namun juga seluruh alam semesta.

Ulama terkemuka, Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebutkan bahawa ia adalah tanda bahawa pohon yang tidak berakal dan bernyawa juga sentiasa bertasbih dan berselawat kepadanya.

Sebagaimana firman Allah yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya sentiasa mengucap tasbih bagi ALLAH dan tiada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-NYA; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Isra’, ayat 44)

 

Manakala ilmuwan Islam, Syeikh Muhammad Salih Al-Utsaimin menyebut bahawa, sebelum mimbar itu dibina, baginda sering berkhutbah dekat pohon kurma itu.

Namun, apabila adanya mimbar itu, pohon tersebut sedih kerana baginda sudah meninggalkannya.

Betapa hebatnya kecintaannya kepada baginda SAW. Jika sebelum ini kita mendengar kisah para sahabat yang sangat mencintai Nabi SAW.

Namun, kisah menakjubkan ini membuktikan bahawa kecintaan kepada Baginda SAW itu meliputi seluruh alam.