Browsing Tag

PKP 3.0

Suami dan bapa
Gaya Hidup,

Usah Terjebak Dengan Perkara Yang Mengundang Kebinasaan, Ikuti Panduan Islam Tangani Tekanan

no comment

DESAKAN hidup adakalanya membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan diri. Begitu juga dengan tekanan dan kemurungan yang dialami oleh segelintir orang.

Keadaan bertambah teruk jika mereka tiada tempat untuk mengadu. Malah, ada sebilangan orang yang memperkecil-kecilkan perasaan yang dialami.

Semua itu menjadi antara faktor mengapa ada yang sanggup menamatkan riwayat hidup dengan cara membunuh diri. Kes berkenaan semakin meruncing akhir-akhir ini apatah lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih belum menemui titik noktahnya.

Jika ditelusuri semula kes bunuh diri pada PKP 1.0, Polis Diraja Malaysia mendedahkan sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober tahun lalu.

Pastinya jumlah itu kian meningkat pada masa kini gara-gara hilang mata pencarian dan tekanan hidup yang sukar untuk dibendung. Barangkali ada dalam kalangan kita yang kehilangan insan tersayang gara-gara amukan Covid-19. Begitu juga mereka yang mungkin menghadapi tekanan akibat masalah rumah tangga, pembelajaran online anak-anak dan sebagainya.

Baca juga Hati-hati Dengan Ungkapan ‘Kalau’

Apa jua tekanan yang dihadapi, tanganilah secara rasional dan mintalah bantuan kenalan terdekat untuk membantu kita.

Jangan sesekali mengambil jalan pintas dengan membunuh diri. Ini kerana Islam melarang umatnya daripada melakukan perbuatan tersebut yang menjebakkan diri ke kancah kebinasaan. Demikian penjelasan Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

ALLAH SWT juga mengingatkan hamba-NYA menerusi kalam-NYA: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH SWT sentiasa mengasihani kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Tekanan hidup

BANTU rakan-rakan dan kenalan yang mengalami tekanan bagi meringankan bebanan mereka.

Bukan itu sahaja, dalam sebuah hadis juga ada memerihalkan tentang ancaman kepada mereka yang memilih jalan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Riwayat Muslim)

Bagi mengelakkan diri kita terjebak dengan perkara yang mengundang kebinasaan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak memberikan kita panduan untuk menangani tekanan dan masalah berdasarkan pendekatan Islam.

Ia seperti berikut:

1. Tidak bercita-cita untuk mati.

Ketahuilah, bukan sahaja haram membunuh diri, tetapi bercita-cita untuk mati kerana masalah hidup yang dihadapi turut diharamkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah mengharapkan kematian kerana ditimpa musibah dunia, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya ALLAH panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matilah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’.” (Riwayat al-Bukhari)

Tekanan hidup

SESUNGGUHNYA ALLAH SWT telah menjanjikan bahawa dunia merupakan tempat ujian dan tiada siapa yang dapat terlepas melaluinya.

2. Dunia merupakan tempat ujian kesabaran manusia.

Apa jua masalah yang kita hadapi dan rentas adalah untuk menguji kesabaran seorang hamba.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

3. Mohon bantuan dan pertolongan daripada ALLAH SWT dengan kesabaran serta mengerjakan solat.

Firman ALLAH SWT: “Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Tekanan hidup

MOHONLAH pertolongan daripada ALLAH SWT dan jangan sesekali putus asa dalam meraih rahmat-NYA.

4. Tidak putus asa dengan rahmat ALLAH SWT.

Mengertilah, tiada sesiapa pun yang mampu terlepas daripada sebarang ujian. Namun begitu, usahlah kita berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Percayalah DIA pasti akan menunjukkan kita jalan penyelesaiannya.

Firman ALLAH SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-KU yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya DIALAH juga yang MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Zumar, ayat 53)

5. Lazimkan diri berdoa dan memohon kepada YANG MAHA ESA.

Baik susah ataupun senang, jangan lupa mohonlah bantuan daripada ALLAH SWT dengan berdoa kepada-NYA.

Rasulullah SAW mengajarkan kita doa ini: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qada yang jahat dan cacian musuh.”

Satu lagi doa yang boleh diamalkan ialah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-MU daripada rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada-MU daripada bebanan hutang dan penindasan.”

Kepada semua masyarakat, Jabatan Mufti Negeri Perak menitipkan pesan agar kita menggandakan keprihatinan dan sifat sensitiviti kepada sebarang perubahan yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.

Tekanan hidup

MASYARAKAT memainkan peranan penting untuk membantu orang yang hampir dengan kita agar keluar daripada tekanan dihadapi.

“Bantulah untuk meringankan bebanan mereka dan salurkanlah maklumat mereka kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk meringankan bebanan dan tekanan mereka.

“Bagi jawatankuasa masjid dan komuniti kejiranan setempat, bersikaplah proaktif dengan pelbagai inisiatif untuk memastikan ahli-ahli dalam kariah dan kawasan kejiranan dalam keadaan terbela dan dibantu jika mereka menghadapi kesukaran hidup,” pesan jabatan tersebut.

Dalam musim pandemik yang begitu genting ini, menjadi tanggungjawab semua orang untuk memastikan insan yang terdekat dengan kita diberi semangat, dorongan dan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara masih bernafas di muka bumi ciptaan ALLAH SWT.

Foto: Freepik

Hamba ALLAH
Gaya Hidup,

Ambil Kesempatan Dalam PKP 3.0 Jadi Hamba ALLAH Terbaik

no comment

Oleh NURUL HAJAR JAMALUDDIN

TREND kes harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka yang masih menggusarkan. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung wabak berkenaan daripada terus merebak amat dialu-alukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.“ (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, sewajarnya kita sebagai rakyat yang patuh, perlu bersama-sama berganding bahu menyahut saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan agar terus duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar.

Benar, secara fitrahnya, pelaksanaan PKP 3.0 bukanlah satu perkara yang disukai ramai. Banyak perkara yang lazimnya dilakukan, tidak dapat dibuat.

Ibu bapa misalnya, berdepan dengan seribu satu cabaran untuk menguruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak menerusi medium dalam talian. Macam-macam ragam terutama anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan.

Namun begitu, jika diperluaskan perspektifnya, ketika musim pandemik inilah, memberi ruang dan peluang kepada kita mempertingkatkan amalan dan ibadah yang selama ini mungkin tidak dapat dilakukan secara sempurna.

Umpamanya, setiap ibu bapa yang bekerja dari rumah dapat menjaga kesempurnaan ibadah anak-anak dengan memantau solat mereka, selain menemani dan membantu pelaksanaan PdPR.

Hamba ALLAH

SAMBIL bekerja dari rumah, ibu bapa boleh memantau pendidikan rohani anak-anak sepanjang PKP.

Fahamilah bahawa pendidikan rohani kepada cahaya mata juga merupakan tanggungjawab signifikan ibu bapa. Justeru, menitikberatkan urusan berkenaan dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH YANG MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI.

Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah

Pun demikian, ketika usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, ada perkara lain yang tidak enak didengar. Apa lagi kalau bukan isu keganasan rumah tangga. Kes seperti isteri didera oleh suami sehingga menyebabkan kematian memang situasi yang sangat dikesali.

Sepatutnya, hal-hal sebegitu tidak berlaku kerana pada saat sukar ini, kasih sayang sepatutnya semakin bertaut dan masing-masing perlu bersatu hati untuk mengharungi apa sahaja situasi yang melanda.

Lazimi kalamullah

Namun, penulis tidak nafikan, lebih ramai di antara kita memanfaatkan peluang PKP 3.0 ini dengan sebaik-baiknya.

Kebanyakan keluarga nampaknya telah menggunakan masa keemasan yang ada dengan menggandakan amal ibadah bersama insan yang tersayang. Selain menunaikan ibadah secara berjemaah, mereka mengadakan sesi usrah untuk membina ukhuwah Islamiah yang kental.

Usaha itu selayaknya dipuji kerana ia merupakan salah satu cara untuk menambahkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Bagi kelompok suami yang hatinya yang sentiasa ‘melekat‘ di masjid, namun tidak dapat berbuat demikian ketika PKP, kesempatan yang terbentang luas kini perlulah digunakan untuk memimpin solat berjemaah bersama famili di kediaman masing-masing.

Apabila ahli keluarga dapat merapatkan saf bersama, pasti rahmat kasih sayang-NYA akan terbuka luas, sekali gus menjauhkan daripada berlakunya kes-kes rumah tangga yang menyayat hati.

Dalam pada itu, pada era pandemik ini, sesetengah orang yang kurang bernasib baik akan berhadapan dengan kekurangan sumber ekonomi dan paling menyedihkan pastinya kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.

Dalam hal itu, kestabilan spiritual dan fizikal sangat didambakan. Justeru, satu anjakan paradigma perlu dilakukan agar kita tidak mudah mengangkat ‘bendera putih‘ terlalu awal ketika berdepan dengan situasi kritikal itu.

Hamba ALLAH


MANFAATKAN kesempatan masa yang diberikan untuk bersama keluarga dan pada masa sama, tingkatkan ibadah serta memperbetul bacaan anak-anak ketika mengaji.

Ingatlah, di mana ada usaha, di situ pasti ada jalannya. Pada penulis, bersama-samalah kita utuhkan sistem kekuatan dalaman atau spiritual dan fizikal bagi mewujudkan individu yang memiliki daya ketahanan yang tinggi serta tidak mudah koyak dengan cabaran.

Pada masa sama, kita perkukuhkan lagi ibadah terutama amalan solat. Dekatkanlah diri dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sekiranya sudah lama tidak melazimkannya, mulakan dengan membaca surah yang menjadi kebiasaan dahulu.

Sesungguhnya, al-Quran al-Karim merupakan mukjizat yang diturunkan ALLAH kepada Rasulullah SAW junjungan kita. Setiap ayat yang dibaca, dengan izin-NYA, ALLAH akan menghadirkan sebuah ketenangan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Jika terdapat kekangan masa, dengarkanlah alunan ayat suci al-Quran. Biarkan ia menyapa halwa telinga kita dengan bait-bait kalimah ALLAH yang penuh indah.

Semoga spiritual kita terisi dengan ayat-ayat daripada kitabullah. Bertadabbur dan fahamilah isinya agar aras tingkatan amalan kita bertambah, walaupun ketika pandemik besar melanda.

Menerusi akal yang sihat dan cerdas, kesannya tubuh badan dapat berfungsi dengan baik. Ia seperti pepatah Arab yang menyatakan bahawa akal yang cerdas berada dalam badan yang sihat.

Sebelum mengakhiri kalam ini, suka untuk penulis mengingatkan semua umat Islam agar terus menormalisasikan bacaan zikir. Itulah ibadah yang masyru‘ (disyariatkan) oleh agama kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH).“ (Riwayat al-Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain)

Pada musim PKP inilah, masa yang sesuai untuk kita berusaha menjadi hamba ALLAH yang terbaik dari setiap segi sebelum pergi menemui-NYA nanti.

*** Nurul Hajar Jamaluddin ialah Pembantu Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Bernama & Freepik