Browsing Tag

pinjaman

Bantuan bayaran balik pembiayaan
Muamalah,

Manfaatkan Kemudahan Bantuan Bayaran Balik Pembiayaan Yang Ditawarkan Institusi Kewangan Islam

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TIDAK dapat dinafikan, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula 1 hingga 28 Jun ini sesungguhnya telah memberi banyak implikasi kepada pelbagai pihak.

Bagi penjawat awam, kesannya mungkin tidak begitu dirasai dari aspek kewangan. Namun, tidak bagi kakitangan swasta termasuk mereka yang bekerja sendiri dan para peniaga. Keadaan sekarang amat perit untuk dihadapi.

Saya yakin, mereka yang ada tanggungan hutang terutama dengan pihak bank akan berasa resah dan gelisah apabila kehilangan punca pendapatan atau mengalami pengurangan gaji.

Apatah lagi jika bergelut dengan masalah kewangan semenjak PKP 1.0.

Situasi mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila kesukaran demi kesukaran datang bertimpa sejak Covid-19 menguasai dunia.

Masakan tidak, kehilangan pekerjaan atau pengurangan gaji menyukarkan mereka untuk menyelesaikan hutang tersebut sebagaimana ditetapkan dalam dokumen perjanjian.

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Sesiapapun tidak mungkin boleh lari daripada tanggungjawab untuk membayar kembali hutang.

Bantuan bayaran balik pembiayaan

PANDEMIK Covid-19 memberi impak kewangan dan ekonomi kepada mereka yang bekerja sendiri akibat hilang punca pendapatan selain mereka yang bekerja makan gaji dalam sektor swasta akibat pengurangan gaji.

Dalam konteks kewangan Islam, institusi berkaitan sudah tentu sangat memahami kesukaran kewangan yang dihadapi oleh para pelanggan. Seperti yang semua ketahui, sejak PKP 1.0 lagi, bantuan moratorium telah diberikan.

Ya, memang tidak dinafikan, ia hanya dalam bentuk memberi peluang kepada pelanggan institusi kewangan Islam yang layak untuk menangguhkan bayaran balik hutang mengikut jadual asal (sebagaimana yang tercatat dalam dokumen perjanjian antara pihak institusi kewangan Islam dengan pelanggan masing-masing).

Paling tidak pun, dalam tempoh yang diluluskan oleh pihak institusi kewangan Islam berkenaan, pelanggan sekurang-kurangnya dapat bernafas seketika dan tidak perlu resah dengan komitmen bayaran bulanan yang menjadi tanggungjawab mereka selama ini.

Memetik laporan sebuah akhbar baru-baru ini, Persatuan Institusi Perbankan Islam dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan bank ahlinya bersetuju memberikan bantuan bayaran balik pembiayaan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas.

Ia bukan terhad kepada kumpulan B40 sahaja, tetapi juga layak dimohon oleh kumpulan M40 dan T20, asalkan memenuhi kriteria yang melayakkan mereka untuk mendapat bantuan berkenaan.

Syaratnya merangkumi kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan 2021 serta masih belum bekerja ketika permohonan dibuat. Malah, AIBIM menyatakan bahawa bantuan kepada mereka yang memenuhi kriteria akan diluluskan secara automatik.

Golongan berkenaan antara lain akan diberi tiga bulan penangguhan bayaran balik pembiayaan atau ditawarkan pengurangan bayaran balik pembiayaan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Bantuan bayaran balik pembiayaan

INSTITUSI kewangan Islam ada menyediakan kemudahan bantuan kepada mereka yang berkelayakan untuk menangguhkan bayaran balik hutang mengikut jadual asal sebagaimana yang tercatat dalam dokumen perjanjian.

Selain itu, para pelanggan yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan juga boleh memohon bantuan pengurangan bayaran balik pembiayaan selama enam bulan mengikut jumlah pengurangan pendapatan mereka.

Inisiatif pihak AIBIM dan bank ahlinya untuk terus memberi bantuan kepada pelanggan menunjukkan bahawa mereka amat mengambil berat terhadap kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan masing-masing.

Kepada yang layak, berusahalah untuk membuat permohonan. Saya yakin semua institusi kewangan Islam telah menyediakan kemudahan borang permohonan online bagi memudahkan pelanggan.

Paling penting, pelanggan yang terjejas teruk perlu mengambil inisiatif untuk memohon bantuan yang ditawarkan.

Oleh itu, permudahkan institusi kewangan Islam menolong anda dengan cara berusaha untuk memohon jika kriteria dan syarat yang dinyatakan itu ada.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik