Browsing Tag

petanda kiamat

Amanah
Berita Semasa,

Apabila amanah disia-siakan, petanda kiamat kian hampir

MENGGALAS amanah umpama memikul bebanan yang berat pada diri. Semua itu akan ditanyakan oleh ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.

Meskipun demikian, jika tanggungjawab tersebut diabaikan atau disia-siakan begitu sahaja, maka nantikanlah saat kehancuran yang akan tiba tidak lama lagi.

Itu bukan omongan kosong semata-mata. Terdapat sebuah hadis yang memerihalkan tentang perkara tersebut.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.”

Para sahabat bertanya kepada baginda berkaitan makna amanah itu disia-siakan.

Sabda bagidan SAW: “Apabila sesuatu amanah itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Begitu beratnya sebuah amanah sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup memikulnya

Pendakwah Ustaz Elyas Ismail menjelaskan, hadis itu memberikan peringatan bahawa apabila dunia hampir kiamat, antara petandanya adalah amanah itu disia-siakan.

USTAZ ELYAS

Sememangnya dalam kehidupan, ujar beliau, kita memerlukan kekuasaan untuk menegakkan syiar Islam dan memakmurkan muka bumi ini dengan kesejahteraan serta kebaikan.

“Namun jangan lupa, dengan kekuasaan juga, kalau seseorang tidak mampu memikul amanah, tanggungjawab dan tugas sebagai orang yang memiliki atau dipinjamkan kekuasaan, maka kelak akan berlaku kerosakan serta kemusanahan.

“Maka sebab itulah saya berpesan pada diri dan semua lapisan masyarakat, tidak kiralah pemimpin di mana-mana peringkat sama ada tertinggi, masyarakatm syarikat, jabatan kerajaan mahupun swasta, fahami perkara ini sebaiknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video kuliah Isyak bertajuk ‘Manusia gila kuasa’ yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Rasulullah SAW Pernah Beri Amaran Tentang Kelompok Manusia Yang Gila Kuasa

Menyambung hujahnya, Ustaz Elyas kemudian mencerikan kisah Saidatina Aisyah RA yang bertanyakan seorang lelaki dari Mesir tentang keadaan pemimpin di negara tersebut.

Lelaki tersebut lantas menjawab pemimpinnya bagus dan sentiasa hadir menghulurkan bantuan, sumbangan dan sebagainya apabila ada penduduk dilanda dikesulitan. Malah, pemimpinnya juga memudahkan urusan rakyat.

Doa Nabi Muhammad SAW

Mendengarkan pujian pemuda itu, Aisyah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya ALLAH, sesiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku ini, lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka susahkanlah (urusan) mereka. Dan sesiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku dan dia melakukannya dalam keadaan yang lembut dan baik, maka ENGKAU berlaku lembutlah terhadap mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Amanah

AMANAH yang diberikan tidak boleh dibuat main kerana akan ditanya di akhirat kelak. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Melihat ungkapan doa itu, Ustaz Elyas mengingatkan agar mereka yang memegang jawatan dan amanah supaya jangan ‘bermain’ dengan amanah diberikan.

“Ingatlah, seorang pemimpin yang bagus, dengan kudrat sedaya upayanya dia akan memberikan yang terbaik kepada masyarakat, rakyat dan orang yang dipimpinnya. Ketahuilah, kepimpinan juga merupakan suatu ibadah.

Baca juga Kenali 21 ciri-ciri kepimpinan Islam menurut Imam al-Nawawi

“Pemimpin yang memimpin rakyat, membawa manusia kepada kesejahteraan dan kemakmuran, membawa memajukan ekonomi, membangunkan kawasan ataupun mencetuskan taraf hidup yang baik kepada masyarakat, tidak ada jurang antara orang berpendapatan tinggi dan rendah. Jika semua ini dilakukan dengan sebaiknya oleh seorang pemimpin, dia didoakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang kelak dibantu oleh ALLAH dalam urusan kehidupannya.

“Akan tetapi, kalau hidup sebagai pemimpin menyusahkan orang, membuatkan orang lagi huru-hara, hidup jadi kelam-kabut, masalah tak selesai, kelak kehidupannya akan disusahkan,” tegas beliau.

Pun demikian, masih ada segelintir manusia yang menganggap suatu jawatan yang disandang bukan itu merupakan suatu bentuk penghormatan dan peluang keemasan.

Baca juga Meminta-minta Jawatan, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Pada hakikatnya, Ustaz Elyas mengingatkan, ia merupakan perkara berat yang melibatkan tanggungjawab besar.

Amanah

APA jua jawatan yang diberikan, jalankanlah amanah yang diberikan dengan sebaiknya. -FOTO: 123RF

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kepada mereka yang terlalu kepingin dan mengejar pangkat atau jawatan, pendakwah itu memberi peringatan penuh bernilai.

Titip beliau: “Andai berkehendakkan jawatan dengan tujuan untuk memenuhkan poket, demi kepentingan diri atau hidup bagaikan kayangan, dia akan terima semua ini nanti, tetapi akan menjadi orang yang menyesal pada hari kiamat kelak.

“Sebab itulah Imam al-Ghazali pernah menyebut, gila kuasa itu suatu ‘penyakit’ berbahaya. Ia bukan perangai biasa-biasa kerana terlalu cintakan jawatan dan sukakan kekuasaan.

Baca juga Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

“Kita jangan pandang pemimpin lain yang tinggi jawatannya, tetapi lihatlah pada diri sendiri. Barangkali kita juga seorang pemimpin dalam apa jua peringkat sama ada di pejabat, kawasan perumahan dan sebagainya. Jangan sampai gila kuasa.”

Dalam hal itu, Ustaz Elyas kemudiannya berkongsikan pandangan Fudhail bin Iyadh yang memperincikan bahawa orang yang gila kuasa ada tiga tanda iaitu mudah berdengki dengan orang lain, sangat suka mencari keaiban orang dan tidak akan mengakui kebaikan yang dibuat orang lain sebelum ini.

“Ayuhlah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT agar jangan hinggap perasaan gila kuasa dalam hati kita.

“Andai diberikan tanggungjawab atau jawatan, anggaplah kekuasaan yang dipinjamkan itu hanyalah amanah daripada ALLAH SWT untuk memakmurkan orang dan bumi ALLAH SWT dengan sebaiknya. Insya-ALLAH kita akan beroleh kehidupan yang bahagia, kesejahteraan dunia dan akhirat,” ungkapnya.

***Foto: Freepik