Browsing Tag

perspektif Islam

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama
Muamalah,

Ambil Keuntungan 100 Peratus, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

SETIAP orang yang menjalankan perniagaan pasti mahukan keuntungan. Tiada makna sesuatu perniagaan sekiranya tidak menjana keuntungan.

Dalam Islam, sememangnya pengambilan untung melalui cara yang disyariatkan adalah diharuskan seperti melalui kontrak jual beli, sewaan, musharakah dan mudarabah.

Suatu keuntungan yang halal adalah dijana daripada urus niaga yang bebas unsur dilarang dalam Islam seperti riba, penipuan, gharar (ketidakpastian) dan ihtikar iaitu aktiviti sorok barang keperluan asasi orang ramai oleh para peniaga.

Oleh itu, umat Islam hendaklah memastikan semua aktiviti perniagaannya dijana berdasarkan keuntungan yang halal.

Namun, satu persoalan yang sering timbul dalam kalangan orang ramai adalah sebanyak mana keuntungan itu boleh diambil? Adakah boleh ambil keuntungan melebihi 100 peratus, misalnya?

Bagi menjawab soalan itu, saya mengajak semua untuk meneliti sebuah hadis Rasulullah SAW yang ada kaitan dengan isu pengambilan untung dalam urus niaga jual beli.

Keuntungan perniagaan

TERAPKAN konsep ihsan dalam urus niaga jual beli demi kemaslahatan bersama antara peniaga dan pembeli.

Dalam sebuah hadis, Urwah al-Bariqi menceritakan bahawa: “Rasulullah SAW menyerahkan wang satu dinar kepadaku untuk dibelikan seekor kambing. Kemudian dengan wang tersebut saya belikan dua ekor kambing. Tidak lama kemudian, saya menjual salah seekor daripadanya dengan harga satu dinar. Kemudian saya bawa kepada Nabi Muhammad SAW seekor kambing dan wang satu dinar. Aku pun menceritakan kejadian itu kepada Nabi SAW. Lalu baginda mendoakan: “Semoga ALLAH memberkatimu dalam transaksi yang dilakukan tanganmu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis itu secara jelas menunjukkan bahawa urus niaga yang dilakukan oleh Urwah telah berjaya menjana keuntungan lebih daripada 100 peratus. Malah dengan kejayaan tersebut, Rasulullah SAW mendoakan keberkatan pada tangan Urwah.

Baca juga Bukan Semua Emas Boleh Dibeli Secara Ansuran, Ini Kaedah Ditetapkan Oleh Syariat

Meneliti kepada hadis dan juga ciri-ciri keuntungan halal, maka kita boleh memahami bahawa apabila urus niaga itu tidak mengandungi unsur yang dilarang dalam Islam, para peniaga boleh mengambil keuntungan sebanyak mana yang mereka kehendaki.

Paling penting, urus niaga itu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Ini menunjukkan bahawa secara prinsipnya, memang tiada had keuntungan dalam Islam.

Namun, apabila ada unsur penipuan misalnya sehingga peniaga meraih keuntungan berlipat ganda, pihak yang ditipu boleh membawa kes tersebut ke mahkamah berserta dengan bukti. Dalam hal itu, mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan.

Adapun dalam kes ihtikar pula, pihak berkuasa mempunyai peranan dalam menyelesaikan isu tersebut.

Keuntungan perniagaan

BERPADA-PADALAH ketika mengambil keuntungan perniagaan dan pembeli pula dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan meminta peniaga menurunkan harga hingga mendatangkan kerugian kepada orang yang berniaga.

Dalam perbincangan fuqaha, ada pandangan yang menyatakan bahawa jika berlaku kenaikan harga pada barangan keperluan asasi orang ramai disebabkan persepakatan para peniaga untuk mengaut keuntungan lebih, maka pihak berkuasa dibenarkan untuk mengawal harga barangan tersebut. Tindakan mengawal harga barangan ini diistilahkan sebagai tas’ir.

Langkah membolehkan pihak teraniaya membawa kes mereka ke mahkamah dan keharusan tas’ir dalam keadaan yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa hanya dalam situasi tertentu keuntungan yang diambil oleh seseorang peniaga itu boleh dipertikai di mahkamah atau dikawal oleh pihak berkuasa.

Walaupun kita lihat pada asasnya, Islam tidak mengehadkan kadar keuntungan yang boleh diambil jika ia bersih daripada unsur-unsur yang dilarang, tetapi pada masa sama, Islam mendidik umatnya supaya bersifat ihsan.

Antara bentuk ihsan penjual pada pembeli adalah mengaut keuntungan yang berpada-pada. Contoh ihsan pembeli pula adalah tidak menawarkan harga sehingga membawa kerugian kepada penjual.

Dengan kata lain, setiap urus niaga dilakukan atas asas persaudaraan iaitu masing-masing saling membantu dan mendatangkan maslahah sesama mereka. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik