Browsing Tag

Persiapan wanita sambut Ramadan

Persiapan wanita sambut Ramadan
Ibadah,

Buat wanita di luar sana, ini persiapan penting untuk sambut bulan Ramadan

Buat wanita di luar sana, ini persiapan penting untuk sambut bulan Ramadan

KAUM wanita antara individu yang paling sibuk apabila masuknya bulan Ramadan.

Tidak keterlaluan dikatakan sedemikian kerana kebanyakan mereka walaupun punyai kerjaya sendiri, tetapi tetap tidak kalah dalam menguruskan hal rumah tangga.

Begitu juga dalam perihal ibadah, semuanya berlumba-lumba mempertingkatkan amalan dalam bulan penuh barakah itu.

Bagi melancarkan persiapan menghadapi Ramadan, Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustazah Hidayatul Sakinah Mohd Zulkifli Mohd Zulkifli menyenaraikan empat persiapan untuk para wanita menyambut bulan Ramadan sebagaimana dipetik menerusi laman web MUIS.

Baca juga Teladani tiga cara Rasulullah SAW sambut ketibaan Ramadan

Berikut perinciannya:

1. Mengulang kaji dan mendalami hukum-hakam fiqh berkaitan wanita.

Persiapan wanita sambut Ramadan

ULANGKAJI tentang hukum-hakam puasa terutama melibatkan perkara berkaitan wanita. -Foto: Pexels

Sebaiknya sebelum masuknya bulan mulia itu, kaum Hawa perlu mempersiapkan diri untuk memahami beberapa hal berkaitan fiqh Ramadan.

Masakan tidak, ada perbezaan antara lelaki dan wanita yang mempengaruhi pelaksanaan ibadah mereka.

Antara topik yang disarankan untuk setiap wanita mendalaminya adalah berkaitan fiqh darah wanita, kehamilan dan penyusuan.

2. Menyediakan cadangan menu makanan berkhasiat.

Ya, itulah antara tanggungjawab penting kaum wanita. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah berkeluarga dan bergelar isteri serta ibu. Sudah pastilah mereka perlu memastikan ahli keluarga masing-masing dihidangkan dengan makanan bergizi dan seimbang.

Baca juga Makan buah dulu sebelum ambil hidangan berat, ini anjuran Rasulullah SAW

Lantaran itu, sebaiknya mereka sudah membuat perancangan menu makanan yang akan dihidangkan sepanjang Ramadan.

Pastikan juga makanan dihidangkan mengandungi karbohidrat, protein, lemak dan serat untuk membantu menjaga kesihatan suami dan anak-anak agar kekal bertenaga sepanjang bulan menyulam ibadah itu.

Persiapan wanita sambut Ramadan

IBARAT ‘sambil menyelam minum air’, bayangkan dengan berzikir ketika masak, kita akan dapat pahala berlipat ganda termasuk balasan baik bagi menjaga keluarga. -Foto: 123rf

3. Menyiapkan pakaian dan kelengkapan solat.

Nampak remeh, tetapi perkara itu perlu tetap dititikberatkan. Jika diteliti, bulan Ramadan adalah waktu untuk menguatkan hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Sebagai wanita, sudah tentulah persiapan kelengkapan solat seperti sejadah, telekung, al-Quran dan pakaian sesuai sebagai persiapan untuk menghadiri kegiatan-kegiatan keagamaan sepanjang Ramadan perlu diberi tumpuan.

Andai ada kemampuan. Digalakkan juga untuk mencipta sudut mihrab ibadah di rumah masing-masing bagi menghidupkan mood bulan Ramadan, sekali gus menyuburkan semangat untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat.

4. Membuat jadual ibadah.

Jika belajar pun memerlukan jadual, apatah lagi perkara melibatkan ibadah. Apalagi dalam bulan Ramadan, terlalu banyak amalan yang perlu ‘dikejar’ kerana kelebihan yang ada padanya, selain ganjaran pahala yang tidak terhitung andai dilaksanakan.

Persiapan wanita sambut Ramadan

SEDIAKAN jadual ibadah supaya kita tidak tercicir dalam beramal ibadah pada bulan Ramadan. -Foto: Canva

Antara yang boleh dilakukan adalah solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, bersedekah, menganjurkan majlis iftar dan perkongsian juadah berbuka kepada tetangga.

Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

Peri pentingnya jadual ibadah buat kaum ibu terutamanya bagi memastikan diri sendiri tidak tercicir dengan kegiatan yang menguntungkan ‘saham akhirat’. Malah, jadual itu kelak akan membantu mereka memperbanyakkan amal kebaikan dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Ayuh sama-sama kita isi bulan Ramadan kita dengan perkara yang bermanfaat dan tidak sia-sia. Sesungguhnya, kedatangannya hanya sebentar cuma, rugilah andai peluang itu tidak digunakan dengan sebaiknya.