Browsing Tag

persiapan raya

Madrasah Ramadan
Isu,

Penting untuk kita lengkapkan madrasah Ramadan, berikut perinciannya

MADRASAH Ramadan yang dibina perlu dilengkapkan. Umpama kita membina kediaman, andai berhenti sekerat jalan, maka tidak akan siaplah rumah tersebut.

Demikian analogi yang dibuat pendakwah Ustazah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah tatkala Sinar Islam Plus melontarkan pertanyaan tentang sikap segelintir masyarakat yang terlalu sibuk dengan persiapan raya sehingga mengetepikan ibadah lazim dilakukan ketika Ramadan.

Jelas beliau, halangan dan cabaran itu perlu diuruskan dengan penuh hikmah, di samping menghidupkan fasa terakhir Ramadan dengan amal ibadah.

“Barangkali kita boleh membuat persiapan menyambut Syawal pada waktu siang supaya pada malamnya boleh difokuskan kepada perihal ibadah.

“Ingatlah, Lailatul Qadr hanya dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW saja. Usahlah kita melepaskan peluang yang terhidang di depan mata begitu sahaja.

“Semoga pada fasa pengakhiran Ramadan ini akan membuatkan kita lebih istiqamah dengan amalan kebaikan. Selagi belum sampai di garisan penamat, jangan pernah kita berhenti untuk menyerah kalah. Sama-samalah kita berdoa kepada ALLAH SWT agar ditetapkan iman dan terus beribadah kepada-NYA pada fasa-fasa akhir Ramadan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DA’I ZAHIRAH

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW begitu sedih saat berpisah dengan bulan Ramadan kerana musibah akan kembali menimpa umatnya, ungkapnya.

“Apa yang dimaksudkan oleh baginda adalah sepanjang bulan Ramadan ini, segala doa yang kita panjatkan, tiada satu pun yang ditolak oleh ALLAH SWT melainkan semuanya dikabulkan-NYA.

“Apabila perginya bulan Ramadan, maka segala kelebihan yang dikurniakan ALLAH SWT sepanjang Ramadan sudah tiada lagi pada bulan-bulan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Da’i Zahirah mengingatkan seluruh umat agar tidak tergolong sebagai kelompok yang rugi apabila perginya bulan Ramadan.

“Terdapat empat golongan yang rugi apabila Ramadan berlalu. Antara lain, orang yang menganggap biasa bulan tersebut sebagaimana bulan-bulan lain, di samping hanya berubah alim pada bulan mulia tersebut.

Madrasah Ramadan

ELAKKAN diri daripada menjadi kelompok yang rugi ketika Ramadan.

“Bukan itu sahaja, termasuk juga dalam kelompok berkenaan adalah mereka yang hanya menahan lapar dan dahaga kerana dirinya tidak berasa bersalah mahupun berdosa langsung serta tidak memanfaatkan waktu ketika di bulan penuh barakah tersebut,” katanya.

Baca juga Memburu rahmat dan barakah 1,000 bulan, tetapi jangan sampai jadi hamba kepada Ramadan

Seharusnya bulan Ramadan disibukkan dengan amal ibadah. Da’i Zahirah kemudian berkongsi pecutan amalan yang boleh dilakukan sebelum bulan kesembilan dalam Islam itu melabuhkan tirainya.

Pertama sekali, pesannya, sempurnakanlah solat fardu pada awal waktu dan burulah malam al-Qadr serta memperbanyakkan solat sunat.

“Lagi satu, perbanyakkanlah memohon keampunan daripada ALLAH SWT supaya kita tidak menjadi orang yang rugi pada bulan Ramadan. Ingatlah, semua doa yang dipohon akan diperkenankannya.

“Jangan lupa untuk membanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, khidmat bakti, selain menghindari diri daripada sifat riak, ujub, sum’ah dan takabbur ketika melakukan amalan.

“Seperkara lagi, maafkanlah orang lain. Jika kita mahu ALLAH SWT ampunkan kita, kita perlulah berbuat demikian juga. Pada masa sama, tinggalkan terus perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa,” katanya mengakhiri bicara.

Foto: Pexels & Unsplash