Browsing Tag

Perkukuh silaturahim adik-beradik dengan faraid

Pertalian keluarga
Faraid, Iqtisad,

Aidilfitri perkukuh silaturahim adik-beradik menerusi faraid

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

HUBUNGAN antara adik-beradik seharusnya dijaga terutama ketika Aidilfitri ini. Konflik perbalahan mungkin ada, tetapi tidak perlu berpanjangan kerana semua berhubung susur galur keluarga dengan ibu bapa yang sama atau salah seorang daripada mereka. Dengan adik-beradik sepatutnya tidak berkira demi mencapai keharmonian keluarga.

Peribahasa carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga sering dikaitkan dalam hubungan kekeluargaan terutama melibatkan adik-beradik.

Jangan sampai perbalahan menuntut harta pusaka menjadi punca putusnya silaturahim kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim” (Sahih al-Bukhari)

Apabila salah seorang adik-beradik meninggal dunia, silaturahim masih berkekalan melalui peruntukan faraid yang telah ditetapkan dalam Islam.

Bahkan, huraian tentang hukum faraid melibatkan adik-beradik bersifat terperinci sehingga dibezakan status antara adik-beradik kandung, adik-beradik sebapa dan adik-beradik seibu.

Individu bujang atau yang berkahwin namun tidak punya zuriat lelaki perlu tahu bahawa adik-beradik mempunyai habuan faraid terutama apabila bapa sudah tidak wujud.

Perkukuh silaturahim adik-beradik dengan faraid

MENJAGA dan menyuburkan hubungan adik-beradik sangat ditekankan dalam Islam.

Sebagai contoh, si mati meninggalkan waris iaitu seorang anak lelaki, seorang saudara lelaki kandung, seorang saudara lelaki sebapa dan seorang saudara lelaki seibu. Maka penyelesaian bagi kes si mati tersebut ialah semua harta pusaka diberikan kepada anak lelaki. Tiga orang saudara lelaki kepada si mati tidak berhak mendapat faraid kerana di dinding anak lelaki yang wujud.

Penentuan status waris faraid yang melibatkan adik-beradik perlu dikenalpasti terlebih dahulu sama ada mereka termasuk dalam kategori waris ashab al-furud (bahagian tetap) atau ’asabah (lebihan).

Baca juga Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid

Adik-beradik kandung

Hubungan adik-beradik kandung ialah berasaskan ibu dan bapa yang sama, juga disebut saudara kandung sama ada lelaki atau perempuan.

Saudara lelaki seibu sebapa akan mewarisi secara ‘asabah sekiranya waris utama iaitu anak lelaki dan bapa, dan waris pengganti cucu lelaki dan datuk tiada atau meninggal dunia terlebih dahulu. Ini kerana anak lelaki, cucu lelaki dan bapa berkuasa mendinding saudara lelaki seibu sebapa.

Saudara perempuan kandung pula mendapat faraid dalam dua bentuk iaitu sebagai waris ashab al-furud atau ‘asabah. Jika menjadi waris ashab al-furud sahaja, saudara perempuan kandung layak mendapat satu perdua (1/2) atau dua pertiga (2/3) mengikut syarat-syarat yang diperincikan dalam formula faraid.

Saudara perempuan mendapat faraid secara ‘asabah melalui dua pendekatan yang dikenali dengan ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain) dan ‘asabah ma’a al-ghayr (lebihan bersama yang lain).

Perkukuh silaturahim adik-beradik dengan faraid

PELIHARA hubungan adik-beradik dengan sebaiknya.

Pendekatan ‘asabah bi al-ghayr diperoleh apabila si mati meninggalkan saudara perempuan kandung dan saudara lelaki kandung. Manakala ‘asabah ma’a al-ghayr diperoleh saudara perempuan kandung apabila si mati meninggalkan keturunan perempuan sama ada anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan dan ke bawah).

Adik-beradik sebapa

Hubungan adik-beradik sebapa adalah yang bersamaan bapa, tetapi berlainan ibu sama ada saudara lelaki sebapa atau saudara perempuan sebapa.

Saudara lelaki sebapa akan menggantikan saudara lelaki kandung, dengan mengambil ‘asabah dengan syarat yang hampir sama yang diperolehi oleh saudara lelaki kandung.

Bagi saudara perempuan sebapa, terdapat tiga pecahan yang melayakkan untuk mendapat faraid mengikut syarat tertentu iaitu satu perdua (1/2), dua pertiga (2/3) atau satu perenam (1/6).

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Seperti saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa juga layak mendapat faraid secara ‘asabah melalui dua pendekatan sebelum ini.

Perkukuh silaturahim adik-beradik dengan faraid

IKATAN persaudaraan apatah lagi adik-beradik tidak akan putus sampai bila-bila kerana berkongsi ibu bapa atau salah seorang ibu atau bapa yang sama.

Adik-beradik seibu

Hubungan antara saudara lelaki atau perempuan seibu ialah berasaskan ibu yang sama. Bahagian mereka lebih mudah kerana saudara seibu sama ada lelaki atau perempuan merupakan waris ashab al-furud iaitu yang mewarisi faraid secara pecahan tetap (fardu) sahaja.

Kedua-dua waris ini mewarisi secara sama banyak antara lelaki dan perempuan, iaitu mewarisi sebanyak satu perenam (1/6) jika bersendirian dan satu pertiga (1/3) jika bilangan melebihi daripada seorang.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: 123rf & Freepik