Browsing Tag

perkara remeh-temeh

Berdoa
Gaya Hidup,

Usah Segan Berdoa Minta Suatu Perkara Pada ALLAH

ADAKALANYA bibir begitu mudah menuturkan kata-kata berbentuk doa dalam perkara yang dianggap sebagai remeh-temeh.

“YA ALLAH, teringinnya hendak makan durian. Berilah aku nikmatinya.”

“Kurniakan aku kemampuan hendak beli kereta besar, ya ALLAH. Sesungguhnya ENGKAU MAHA BERKUASA atas segalanya”

Demikianlah monolog kita dalam hati yang kadangkala terbit tanpa disengajakan. Benar, kadangkala kita seolah-olah menyimpan harapan dan impian tanpa sedar berdoa tentangnya.

Kadangkala kita benar-benar memaksudkannya dan meminta semuanya kepada ALLAH.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, jangan sesekali kita berasa segan untuk berdoa dan meminta urusan dunia yang spesifik kepada ALLAH SWT tidak kiralah pada waktu-waktu dan tempat mustajab berdoa.

MUHAMMAD FAHMI

“Ia termasuklah hendak minta supaya dapat beli rumah atau mampu memakai Mercedes Benz, Countryman, BMW dan seumpamanya. Berdoa pada ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya baru-baru ini.

Menyambung hujah, ujar beliau, menjadi amalan para ulama silam berdoa sehinggakan hendak memakan buah anggur pun, mereka tetap berbuat demikian.

Katanya, Imam al-Laits bin Sa’d menceritakan, beliau pernah melihat seorang lelaki sedang duduk berdoa.

Al-Laits menyatakan bahawa lelaki tersebut mengatakan: “Wahai Tuhan, wahai Tuhan, sehingga terputus nafasnya (tercungap-cungap). Kemudian dia berkata: “Ya Hayyu, Ya Qayyum” (wahai Tuhan YANG MAHA HIDUP, wahai Tuhan YANG MAHA MENGURUS TADBIR), sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Ya ALLAH, ya ALLAH”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Wahai Tuhan YANG MAHA PEMURAH, wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata lagi: “Wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG dari kalangan yang penyayang”, sehingga terputus nafasnya.

Setelah selesai menyebut semua itu, lelaki tersebut kemudia berkata: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku teringin sangat kepada buah anggur, berilah kepadaku untuk aku memakannya. Sesungguhnya dua helai pakaianku juga telah lusuh, berilah pakaian kepadaku.”

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir 

Dipendekkan cerita, Al-Laits kemudian berkata: “Aku terus melihat sebuah bekas yang penuh berisi anggur dan dua helai pakaian yang diletakkan di situ.”

Berdoa

DOA merupakan senjata bagi orang Mukmin.

Ujar Muhammad Fahmi, kisah itu sebenarnya agak panjang. Namun, fokus utamanya adalah tawassul lelaki berkenaan dengan nama-nama dan sifat ALLAH SWT tersebut terbukti mustajab.

“Walaupun permintaannya nampak pada perkara biasa sahaja, namun para ulama terdahulu sentiasa melazimi ibadah berdoa.

“Lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya ialan Ja’far al-Sadiq iaitu salah seorang ulama keturunan Nabi Muhammad SAW daripada jalur al-Husain bin Ali RA,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar kita tidak memandang enteng dengan peranan doa.

Paling tidak pun, sekurang-kurangnya luangkan sedikit masa kita selepas solat untuk berdoa.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels