Browsing Tag

Perkara makruh ketika wuduk

Bangkit semangat
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

no comment

SETIAP kali ingin menunaikan ibadah tidak kiralah waima fardu mahupun sunat seperti membaca al-Quran, umat Islam pasti akan mengambil wuduk.

Bahkan, terdapat segelintir orang juga biasa berwuduk sebelum tidur. Ini kerana kita digalakkan berbuat demikian bagi memohon perlindungan ALLAH SWT sepanjang tempoh berkenaan.

Walaupun semua orang sudah biasa seperti kata peribahasa alah bisa, tegal biasa dalam bab ini, namun masih ada sebilangan individu yang kurang cakna tentang perkara makruh ketika berwuduk.

Ini kerana kebanyakan daripada kita lebih terdedah dengan anggota wajib dan perkara sunat ketika berwuduk.

Pendakwah Azhar Idrus berkongsi ilmu tentang perkara makruh ketika berwuduk sebagaimana disebutkan dalam Kitab Buhairah al-Azhar Syarah Matan Safinah an-Najah menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Berikut merupakan perkara makruh ketika berwuduk:

1. Berlebihan menggunakan air.

Ketahuilah, makruh menggunakan air berlebih-lebihan ketika mengambil wuduk. Umpamanya, menyimbah air yang terlalu banyak atau dengan cara berlebih-lebihan kerana ia termasuk perbuatan membazir dan menyalahi sunah.

Seperkara lagi, membiarkan air paip terbuka selepas selesai membasuh satu anggota tanpa segera membasuh anggota lainnya juga termasuk sebagai perbuatan membazir.

Seandainya tidak mahu menutup paip, hendaklah segera membasuh anggota wuduk dari awal sampai selesai supaya kemudahan utiliti itu tidak di bazirkan begitu sahaja.

Sebaiknya, seseorang yang berwuduk itu hendaklah membasuh dan menyapu sekadar perlu iaitu mengikut apa yang disuruh oleh syarak sekalipun dirinya berwuduk dengan air yang banyak seperti air sungai atau laut.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sekalian berlebih-lebihan kerana sungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah lalu dekat Sa’ad RA dan beliau sedang mengambil wuduk. Lalu baginda bertanya: “Apakah pembaziran ini wahai Sa’ad?” Kata Sa’ad: “Adakah ketika berwuduk pun ada pembaziran?” Sabda baginda lagi: “Ya. Walaupun kamu sedang berwuduk di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya nanti akan ada pada umat ini satu golongan yang melampau pada bersuci dan berdoa.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

Sesungguhnya, orang yang suka berlebih-lebihan menggunakan air ketika berwuduk sebenarnya terpedaya dengan perintah agama dan mewarisi penyakit waswas.

Perkara makruh ketika wuduk

USAH berlebih-lebihan ketika mengambil wuduk walaupun menggunakan yang tidak bertuan seperti air tasik, sungai dan sebagainya.

Ia tidak kiralah sama ada seseorang itu berwuduk dengan air miliknya sendiri atau kemudahan air tidak bertuan seperti air tasik, sungai dan laut.

Adapun, seandainya seseorang itu berwuduk dengan air yang diwakafkan seperti di masjid atau surau atau di rumah orang, maka membazir di situ hukumnya adalah haram.

Dalam hal itu, Syeikh Ahmad Syarif An-Na’san berkata: “Dan para fuqaha Mazhab Hanafi dan Syafie telah menyebut sesungguhnya air yang diwakafkan untuk orang ramai menggunakannya buat bersuci dengannya, maka berlebih-lebihan pada menggunakannya adalah haram.”

Dalam Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah, ada dinyatakan bahawa: “Sesungguhnya air yang diwakafkan atas orang yang bersuci dengannya dan daripada air yang disediakan untuk madrasah atau sekolah, maka membazir padanya adalah haram kerana penggunaan yang lebih itu tiada diizinkan dengannya.”

Baca juga Al-Bazan Stesen Minuman dan Wuduk Moden Dilancar di Jeddah

2. Mendahulukan anggota yang kiri berbanding kanan.

Walaupun membasuh anggota wuduk yang kanan seperti tangan dan kaki adalah sunat, tetapi makruh seseorang itu membasuh sebelah kiri terlebih dahulu tanpa sebarang keuzuran. Ini kerana ia menyalahi sunah.

3. Mengelap air bekas wuduk.

Perkara makruh ketika wuduk

JIKA tiada keperluan, usahlah kita mengelap air bekas wuduk kerana ia mempunyai kesan-kesan ibadah.

Walaupun bukan semua, namun kebanyakan dalam kalangan kita gemar mengelap bekas air wuduk pada anggota badan. Ketahuilah bahawa makruh kita berbuat demikian.

Ini kerana, Nabi Muhammad SAW tidak melakukan sedemikian. Tambahan pula, air bekas wuduk pada badan itu sebenarnya adalah kesan-kesan ibadah.

Diriwayatkan daripada Maimunah RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah diberikan dengan sehelai tuala kecil selepas berwuduk maka baginda tidak menyapunya.” (Riwayat Muslim)

Adapun, jika seorang itu mengelap bekas air pada badannya selepas mengambil wuduk seperti kerana sangat sejuk atau atau luka pada badannya, maka ia tidaklah makruh.

4. Membasuh anggota wuduk lebih tiga kali.

Ketika berwuduk, usahlah kita berlebih-lebihan. Makruh hukumnya kita membasuh atau menyapu anggota wuduk lebih dari tiga kali. Sebenarnya, apa sahaja perintah daripada Nabi Muhammad SAW yang datang kepada kita adalah disunatkan membasuh atau menyapu anggota wuduk hanya tiga kali sahaja.

Begitupun, seandainya kita membasuh kurang dari tiga kali juga, ia dihukumkan makruh melainkan kerana keuzuran seperti tidak cukup air.

Daripada ‘Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW memberi tunjuk ajar kepada seorang lelaki tentang cara berwuduk.

Beliau berkata: “Kemudian Nabi Muhammad SAW membasuh kedua kakinya tiga kali lalu bersabda: “Seperti inilah cara berwuduk. Maka siapa yang menambah atas bilangan ini atau mengurangkannya, maka sungguhnya dia telah berbuat salah dan zalim.” (Riwayat Abu Daud)

Perkara makruh ketika wuduk

JANGAN membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali kerana ia merupakan perkara yang dimakruhkan.

Ketika menjelaskan hadis berkenaan, Imam Nawawi berkata: “Maknanya barang siapa meyakini bahawa lebih dari tiga kali atau kurang daripadanya adalah sunah, maka sungguhnya dia telah berbuat salah dan zalim kerana dia sesungguhnya telah menyalahi akan sunah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.” (Kitab al-Majmu’)

Hukum itu juga terpakai jika kita berwuduk menggunakan air yang diwakafkan atau milik orang lain.

5. Menampar anggota wuduk.

Maksud menampar anggota wuduk adalah apabila seorang itu mengambil air, lalu ditepuknya dengan kuat pada mukanya ketika membasuh muka atau anggota wuduk yang lain. Mengertilah bahawa perbuatan seperti itu tidak manis ketika beribadah.

Kadangkala air yang ditepuk dengan kuat itu tidak meratai anggota wuduk. Maka, jadi tiada sah wuduknya.

Syeikh Khatib Al-Bujairimi berkata: “Dan bahawasanya janganlah yang berwuduk itu menampar akan mukanya dengan air.” (Kitab Tuhfatul Habib)

Sementara itu, Syeikh Ahmad Syarif An-Na’san pula menjelaskan: “Para fuqaha telah memberi nas bahawa makruh menampar muka atau anggota wuduk yang lain dengan air. Dan disebut khusus akan muka itu kerana muka itu adalah anggota yang terlebih mulia.” (Kitab Bahrul Ra’iq dan Asnal Matalib)

6. Menyuruh orang lain membasuh anggota wuduk sendiri.

Andai tiada keuzuran pada diri, janganlah sesekali kita menyuruh orang lain membasuh dan menyapu anggota wuduk sendiri.

Dalam hal itu, Syeikh Ibnu Hajar menjelaskan bahawa: “Dan dimakruhkan meminta tolong orang lain membasuh segala anggota wuduknya melainkan kerana uzur.” (Kitab Minhajul Qawwim)

Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh orang lain membasuh anggotanya ketika berwuduk.

Begitupun, seandainya seseorang itu uzur seperti sakit atau ada kekangan dari segi keupayaan, maka dibolehkan meminta orang lain membasuhkan anggota wuduknya.

7. Berwuduk di tempat kotor.

Perkara ini kelihatan remeh, namun tidak boleh dibuat main kerana makruh kita berwuduk di tempat yang kotor.

Ia ada dijelaskan dalam Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah iaitu: “Dimakruhkan mengambil wuduk pada tempat yang najis kerana wuduk itu adalah bersuci, maka elakkan dari tempat yang najis atau dari tempat berkeadaan yang seperti itu kerana sesungguhnya air wuduk itu dihormati.”

Perkara makruh ketika wuduk

PASTIKAN tempat wuduk itu bersih daripada najis.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berwuduk di dalam tandas, maka sunat bagi dirinya menjiruskan dulu air pada lantai tandas berkenaan sebelum berwuduk supaya bersih daripada najis.

8. Sengaja meninggalkan sunat-sunat berwuduk.

Barangkali ramai yang kurang cakna tentang hal ini. Meskipun ia hanya melibatkan sunah wuduk, namun maknanya begitu besar sehingga makruh hukumnya bagi sesiapa yang meninggalkan sunat-sunat wuduk dengan sengaja.

Contohnya, meninggalkan bacaan basmalah pada permulaannya dan meninggalkan basuhan anggota yang bukan difardukan seperti meninggalkan berkumur serta memasukkan air ke dalam hidung dan selainnya,

Sebahagian fuqaha berkata, meninggalkan sunat-sunat wuduk itu adalah khilaful awla iaitu menyalahi yang lebih utama.

Adapun, andai berlaku keuzuran seperti seseorang itu terlupa membaca basmalah atau meninggalkan membasuh angggota yang sunat kerana masa solat telah sempit atau seumpamanya, maka tidaklah makruh hukumnya berbuat demikian.

Justeru, ambil beratlah tentang perihal wuduk kita kerana ia menjadi antara perkara yang mempunyai kaitan dengan kesahan solat kita.

Foto: Freepik, 123rf & Unsplash