Browsing Tag

Peristiwa bulan Syawal

Peristiwa bulan Syawal
Gaya Hidup,

Peristiwa Penting Dalam Bulan Syawal

no comment

KEHADIRAN Syawal sememangnya diketahui sebagai hari untuk meraikan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa dan menahan nafsu.

Ya, memang itulah erti sebenar Syawal. Namun, ia perlu disambut dengan adab dan cara Islam, bukannya secara semberono sehinggakan merenggut kesucian makna Hari Raya Aidilfitri itu sendiri.

Dalam erti kata mudah, lebaran perlu diraikan dengan penuh rasa syukur kepada ALLAH SWT. Seharusnya tanda syukur berkenaan harusl dizahirkan dengan beramal soleh, bukannya dengan cara yang lalai, berbuat maksiat dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa terdapat banyak peristiwa yang dirakamkan dalam sejarah Islam sepanjang bulan Syawal.

Tujuannya, kata pendakwah, Ahmad Dusuki Abd Rani, tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memberikan kita pengajaran dan mengambil iktibar.

“Meskipun kita berada dalam bulan Syawal, tetapi Aidilfitri yang disambut ini hanyalah sebagai simbolik yang dijadikan oleh ALLAH SWT kepada kita untuk kita menyambut ‘Aidilfitri’ yang lebih besar lagi.

“Apa yang dimaksudkan dengan ‘Aidilfitri’ yang lebih besar itu adalah apabila kita masuk ke dalam kubur kelak. Masakan tidak, di situlah kita akan bergembira dan berseronok kerana mula berehat daripada ketaatan beribadah di dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video Facebook Live yang dikongsikan menerusi laman sosial miliknya baru-baru ini.

Baca juga 26 gambar sebelum Zionis merampas Palestin

Ujar Ahmad Dusuki, terdapat lapan peristiwa sepanjang Syawal yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan. Antaranya ialah:

1. Perang Uhud.

Peristiwa bulan Syawal

PASUKAN berkuda Quraisy merampas tanah tinggi sebaik sahaja tentera pemanah Muslim berundur.

Peperangan itu berlaku pada 15 Syawal tahun ketiga Hijrah. Kaum kafir Quraisy datang untuk menyerang kembali Rasulullah SAW dan umat Islam disebabkan mahu membalas dendam selepas tewas dalam Perang Badar setahun sebelumnya.

Sebelum peperangan, terdapat pertembungan sahabat yang mana golongan muda mahukan pertempuran diadakan di luar Madinah. Sementelah, golongan berusia mahukan agar ia diadakan di dalam Madinah, tanah air mereka.

Lalu, Rasulullah SAW pun membuat undian. Suara majoriti memilih pertempuran di luar Madinah. Pada awal perjalanan dari Kota Madinah ke Bukit Uhud, terdapat 1,000 tentera Islam yang dipimpin Rasulullah SAW mengikuti baginda. Namun, selepas dihasut oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, 300 orang daripada mereka berpaling tadah.

Tinggallah 700 orang yang melawan 3,000 tentera Quraisy. Pada masa itu, Rasulullah SAW telah berpesan kepada tentera pemanahnya supaya tidak meninggalkan kawasan atas bukit berkenaan sama ada mereka menang atau kalah.

Akhirnya berlakulah pertempuran. Ketika itu, Khalid al-Walid yang belum lagi memeluk Islam meletakkan harta yang dibawa dari Kota Makkah sebelum berpaling kerana terlalu banyak anak panah meluru. Beliau melarikan diri.

Oleh sebab salah faham, tentera pemanah Islam menyangkakan peperangan sudah berakhir kerana musuh sudah lari. Mereka pun turun. Ketika itu Khalid al-Walid kembali dan menuju ke tempat yang strategik yang diduduki oleh tentera Islam sebelumnya. Melihat keadaan itu, para sahabat dan tentera Islam lari bertempiaran mencari posisi masing-masing.

Ramai tentera Islam yang gugur syahid termasuklah bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Hamzah bin Abdul Mutalib. Menambahkan lagi kedukaan hari mereka apabila dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW juga telah wafat. Namun, Rasululullah SAW sendiri memberitahu bahawa baginda masih hidup.

Ketahuilah, peristiwa Perang Uhud itu sebenarnya mahu membangkitkan keyakinan kita dengan Islam. Masakan tidak, disebabkan masuknya bulan Syawal, ada segelintir orang keyakinannya terhadap Islam mulai goyah.

Masakan tidak, kita terlalu makan dengan banyak hinggakan banyak ‘projek’ telah masuk dalam hidup. Kita mulai kembali balik dalam keadaan keraguan terhadap YANG MAHA ESA. Inilah bahayanya.

2. Perang Khandaq.

Peristiwa bulan Syawal

KAWASAN berlakunya Perang Khandaq atau Ahzab di Madinah.

Ia berlaku mulai bulan Syawal hinggalah awal bulan Zulkaedah tahun kelima Hijrah. Perang Khandaq ataupun dikenali sebagai Perang Ahzab menjadi pertempuran terbesar dalam bulan Syawal.

Graf kebesarannya dapat dilihat apabila setiap kali bulan Syawal, umat Islam yang bertakbir pasti akan menyebut kalimah ‘wahazamal ahzaba wahdah’ (dan ALLAH hancurkan tentera-tentera Ahzab dengan keesaan-NYA).

Bayangkan, tentera kafir dan Yahudi mengepung Rasulullah SAW dan para sahabat. Untuk mempertahankan Madinah, Rasulullah SAW dan kaum Muslimin menggali parit. Ia merupakan cadangan yang dikemukakan oleh Salman al-Farisi iaitu sahabat Rasulullah SAW dari Iran.

Jumlah tentera kafir ketika itu 10,000 orang berbanding 3,000 tentera Islam. Namun, saat tentera Islam hampir tewas, datang ribut yang kencang dengan angin dingin yang menyejukkan hingga masuk ke dalam sumsum tulang tentera kafir. Waktu itu, mereka lari bertempiaran. ALLAH SWT turunkan ‘tentera-tentera-NYA’ yang tidak dapat dilihat.

Peristiwa bulan Syawal

PETA diagram Perang Khandaq atau Ahzab yang mana parit digali di kawasan utara dan barat laut.

3. Perang Bani Qainuqah.

Perang itu berlaku dalam bulan Syawal yang mana pasukan Islam pimpinan Rasulullah SAW memerangi kaum Yahudi.

4. Perang Bani Sulaim.

Ia berlaku pada bulan Syawal tahun kedua Hijrah di Quraqah al-Kurar iaitu daerah penghubung antara Kota Makkah dan Madinah. Ia menyebabkan pertempuran tidak berlaku berikutan pasukan Bani Sulaim dan Ghatfan lari terlebih dahulu mendengar kemaraan tentera pimpinan Rasulullah SAW..

5. Perang Hunain.

Peristiwa bulan Syawal

PERIHAL tentang Perang Hunain yang diceritakan menerusi Tarikhnama oleh Muhammad Bal’ami.

Peristiwa yang berlaku pada 3 Syawal tahun kelapan Hijrah. Pada waktu ini, orang Islam begitu ramai iaitu lebih kurang 12,000 orang berbanding 10,000 tentera musuh. Ia berakhir dengan kemenangan mutlak milik orang Islam.

6. Perang Taif.

Berlaku pada 630 Masihi, orang Thaqif yang melarikan diri dari Perang Hunain pergi ke benteng-benteng mereka di Taif. Rasulullah SAW mengejar dan mengepung markas-markas serta benteng-benteng di Taif selama lebih 20 malam.

7. Pernikahan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA dan Ummu Salamah RA.

8. Kelahiran Imam al-Bukhari.

Nama Imam al-Bukhari tercatat dalam sejarah umat Islam yang mengumpul banyak hadis Rasulullah SAW.

Demikianlah peristiwa yang berlaku sepanjang bulan Syawal sebagaimana yang dikongsikan oleh Ahmad Dusuki untuk iktibar kita bersama.

Foto: Freepik & Wikipedia