Browsing Tag

perceraian

Hak wanita selepas diceraikan
Gaya Hidup,

Rumah Atas Nama Sendiri Boleh Jadi Harta Sepencarian? Ini Pencerahan Peguam Syarie

no comment

TIDAK terlintas langsung dalam fikiran Salmah Hamid (bukan nama sebenar) untuk bercerai dengan suaminya, Salleh Ahmad (bukan nama sebenar).

Masakan tidak, usia perkahwinan pasangan berkenaan sudah menjangkau 32 tahun lamanya. Tiga anak mereka masing-masing telah dewasa dan ada yang sudah berumah tangga.

Namun, mereka akur dengan jodoh yang sudah ditentukan oleh ALLAH SWT. Bagi Salmah, beliau merelakan perpisahan itu walaupun hatinya cukup berat.

Apabila umur melepasi 55 tahun, tiada apa lagi yang dimahukan wanita itu melainkan ketenangan dan melihat anak-anaknya diulit bahagia.

Pun demikian, apa yang terjadi sebaliknya. Salmah terperanjat besar apabila bekas suaminya tiba-tiba menuntut hak sepencarian di atas sebuah rumah yang kini dihuni oleh anak sulungnya di mahkamah syariah.

Kalau diikutkan, kediaman teres setingkat itu memang sepenuhnya di bawah nama Salmah yang dibeli hasil titik peluhnya sepanjang bekerja di sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan berpencen awal.

Bagaimanapun, Salleh tetap mahu rumah berkenaan diisytihar sebagai harta sepencarian. Wanita itu bingung mengapa aset kesayangan itu tetap juga dimahukan bekas suaminya.

Walhal, sebelum ini mereka sudah pun selesai menguruskan pembahagian harta sepencarian termasuklah sebuah rumah yang pernah didiami bersama ketika masih bergelar suami isteri.

Begitu walang hati Salmah memikirkannya. Masakan tidak, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kediaman itu telah dibelinya menggunakan wang miliknya sendiri tanpa mendapat bantuan sesen pun daripada Salleh.

Harta sepencarian

MAHKAMAH syariah akan menentukan harta sepencarian sama ada ia diperoleh dalam waktu perkahwinan dengan usaha bersama pasangan, diperoleh dalam waktu perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak atau aset-aset itu dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan, tetapi telah dimajukan dalam masa perkahwinan oleh pasangan tersebut.

Dalam tuntutan, bekas suaminya mendakwa, dia berhak mendapat bahagian menerusi rumah berkenaan kerana harta tersebut dibeli dalam tempoh perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, Salmah berjaya membuktikan melalui keterangan lisan dan dokumen bahawa beliau secara tunggal telah memberikan sumbangan langsung dalam memperoleh rumah tersebut.

Pesara itu juga menunjukkan transaksi bayaran deposit dan ansuran yang dibuat sehinggalah pinjaman itu Berjaya dilunaskan sepenuhnya.

Walaupun mengakui rumah tersebut dibeli ketika ikatan perkahwinan mereka masih sah, tetapi Salmah memberitahu mahkamah, bekas suaminya tidak menyalurkan sebarang sumbangan dalam pemerolehan harta berkenaan.

Malah, Salleh juga gagal membuktikan dirinya terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk mendapatkan rumah tersebut.

Berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan, hakim memutuskan bahawa kediaman berkenaan adalah harta sepencarian.

Namun begitu, ia adalah hak milik mutlak Salmah kerana diperoleh bukan melalui usaha bersama. Walaupun tidak berpuas hati, Salleh terpaksa akur dengan keputusan mahkamah.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

3 teras utama tentukan bahagian harta sepencarian

DALAM penentuan bahagian terhadap harta sepencarian, terdapat tiga teras utama yang penting.

Ia termasuklah sumbangan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri sama ada secara langsung atau tidak, takat sumbangan dan beban bukti oleh setiap pihak dalam mendapatkan harta-harta tersebut.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof menjelaskan, walaupun undang-undang tanah di Malaysia mengiktiraf hak milik mutlak penama ke atas sesebuah tanah dan tidak boleh disangkal, tetapi ketahuilah, ia bukanlah suatu isu yang besar dalam kes tuntutan harta sepencarian.

FAZRU ANUAR

Ibn Qayyim dalam Kitab al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Sya’iyyah ada menyebut: “Sebenarnya dalam persoalan itu, pemilikan sesuatu harta itu tidak dikira semata-mata berdasarkan nama yang tertera di dalam harta itu. Setakat nama yang tertera di dalam sesuatu harta itu belum membuktikan pemilikannya. Kenyataan sebegini adalah kerana seandainya diambil kira hak milik sesuatu harta semata-mata mengikut nama yang tertera di dalam sesuatu harta, maka nescaya serban yang dipakai di kepala seseorang yang merampas serban kepunyaan orang lain akan dikira serban kepunyaan perampas itu, sedangkan pengiktirafan yang sedemikian adalah suatu bentuk kezaliman.”

Berdasarkan pendapat itu, jelas pengamal undang-undang berkenaan, walaupun penamaan diberikan kepada satu pihak (satu persatu bahagian), ia tidak bermakna tanah tersebut adalah milik mutlak sepenuhnya pihak tersebut.

“Sebaliknya, tanah itu masih boleh dibahagikan kepada pihak satu lagi berdasarkan sumbangan yang diberikan dalam pemilikan harta tersebut.

“Secara ringkasnya, asas yang membolehkan sesuatu harta dituntut sebagai harta sepencarian oleh pasangan, baik oleh suami atau isteri adalah dengan membuktikan bahawa harta tersebut adalah termasuk dalam definisi harta sepencarian iaitu sama ada harta tersebut diperoleh dalam waktu perkahwinan dengan usaha bersama pasangan atau ia diperoleh dalam waktu perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak atau aset-aset itu dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan, tetapi telah dimajukan dalam masa perkahwinan oleh pasangan tersebut.

“Seandainya tiada satu daripada asas ini dibuktikan, maka mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan bahawa harta tersebut tidak tergolong dalam takrifan harta sepencarian dan hak milik mutlak hanya akan diberikan pada pihak yang menyumbang dalam mendapatkan harta tersebut,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Fazru Anuar berkata, tuntutan harta sepencarian secara umumnya boleh dipohon di mahkamah syariah dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa masih dalam perkahwinan dan tuntutan selepas kematian suami atau isteri.

“Justeru, pasangan yang masih bergelar suami isteri boleh menuntut harta sepencarian ketika masih berada dalam tempoh perkahwinan.”

Bagi mereka yang menghadapi masalah tuntutan berkenaan, peguam syarie berkenaan menasihatkan agar sediakan dan kumpulkan segala dokumen berkaitan untuk pemerolehan harta tersebut. Ia termasuk penyata bank, kontrak jual beli atau apa-apa yang berkaitan dengan harta tersebut.

Harta sepencarian

KUMPULKAN segala dokumen berkaitan termasuklah penyata bank, kontrak jual beli dan sebagainya untuk membuktikan sumbangan kita dalam pemerolehan harta.

“Tujuannya adalah untuk menyokong keterangan dan meyakinkan mahkamah bahawa terdapat sumbangan anda dalam pemerolehan rumah tersebut. Semakin besar sumbangan, semakin besar kadar yang akan anda peroleh,” ujar beliau.

“Bagi mereka yang membuat sumbangan secara tidak langsung yang mana sukar menyediakan bukti-bukti zahir yang menunjukkan bahawa kita turut menyumbang secara tidak langsung, sebaiknya bawa bersama dua orang saksi lelaki bagi menyokong keterangan anda di mahkamah,” katanya.

Pesan Fazru Anuar, berbincang dengan peguam syarie masing-masing untuk mendapat penyelesaian terbaik berkenaan tuntutan harta sepencarian bagi membantu kelancaran kes di mahkamah kelak.

Foto: Freepik