Browsing Tag

peranan bapa

Buat silap ketika didik anak
Gaya Hidup,

Pernah Buat Silap Ketika Didik Anak, Masih Belum Terlambat Untuk Bapa Perbetulkannya

Oleh FOUZIAH AMIR

SEORANG ayah mungkin pernah melakukan kesilapan, tetapi masih belum terlambat untuk berubah dan berusaha mendidik anak sehingga ke hujung usianya.

Demikian pandangan yang dilontarkan Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim ketika menjadi panel pada program Wacana Al-Quran bertajuk Ayah: Ada Bagai Tiada, Tiada Bagai Ada.

ABDULLAH BUKHARI

Jelas beliau, jika diteliti, tiada ayah yang sempurna di muka bumi ini. Beliau kemudian mengambil contoh kisah Nabi Nuh yang berdakwah selama beratus tahun, namun anak baginda tidak mendengar cakap.

“Ingatlah, hidup ini ialah pentas ujian. Mungkin ibu dan ayah berusaha sebaik mungkin untuk mendidik anak, tetapi akhirnya permata hati yang ditatang bagai minyak yang penuh tidak seperti diharapkan.

“Ketahuilah bahawa kisah Nabi Nuh AS boleh menjadi solusi penenang jiwa. Andai ada orang menggunakan kisah tersebut sebagai alasan tidak mahu melakukan terbaik dalam mendidik anak, ia satu kesilapan. Saya risau ia menjadi talbis (tipu daya) iblis,“ katanya pada program tersebut yang disiarkan menerusi platform digital Sinar Harian dan Wacana al-Quran baru-baru ini.

Buat silap ketika didik anak

HUSHIM (dua dari kiri) dan Abdullah Bukhari (dua dari kanan) menjadi panel pada program Wacana
al-Quran bertajuk Ayah: Ada Bagai Tiada, Tiada Bagai Ada yang disiarkan melalui platform Sinar
Harian dan Wacana al-Quran baru-baru ini.

Baca juga Ini Dia Peranan Bapa Sepertimana Yang Disebutkan Dalam Al-Quran

Di sebalik peristiwa berkenaan, agamawan itu mengingatkan seluruh umat Islam agar berusaha sedaya mampu mendidik amanah yang telah diberikan oleh ALLAH SWT. Selebihnya bertawakal kepada-NYA.

“Barangkali kegagalan mendidik anak-anak disebabkan kita belum cukup melakukan yang terbaik. Mungkin juga anak itu menjadi ujian ALLAH kepada kita yang menjadi asbab untuk meraih ganjaran-NYA,“ ujarnya.

Abdullah Bukhari menambah, sesibuk mana kita sekalipun, luangkanlah masa berkualiti dengan anak-anak.

“Jadikan Nabi Ibrahim AS sebagai teladan. Meskipun mempunyai banyak urusan di luar, baginda dikurniakan anak yang baik dari segi akidah dan akhlak disebabkan usahanya melapangkan waktu buat cahaya matanya,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh menyeru agar golongan bapa tidak berputus asa mendidik anak masing-masing.

HUSHIM

“Jika kita pernah buat silap dalam mendidik anak, belum terlambat untuk perbaikinya. Gali ilmu kebapaan. Kita tidak boleh serahkan tanggungjawab menjaga kepada orang lain seperti cikgu di sekolah. Komunikasi di antara ayah dan anak penting dalam perhubungan,“ ujarnya.

Untuk info lanjut, layari https://www.facebook.com/wacanaalquran.

Foto: Asril Aswandi Shukor & Freepik