Browsing Tag

peperangan dalam Islam

Muslimah
Isu,

Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

ZAMAN jahiliah dahulu, wanita bukan sahaja dipandang serong, bahkan mereka dijadikan pemuas nafsu para lelaki yang tiada pedoman.

Pun begitu, selepas kedatangan Islam, wanita diangkat ke martabat yang mulia di sisi ALLAH dan Rasul-NYA.

Malah di sebalik perjuangan Islam dibawa Rasulullah SAW, wujud ramai wanita yang banyak berjasa menegakkan syariat agama.

Jika menyebut tentang para pejuang Islam pada zaman baginda yang mempertahankan kesucian agama sehingga sanggup mengorbankan diri, rata-rata masyarakat lebih mengenali nama-nama besar seperti Khalid al-Walid, Salahuddin Ayyubi dan sebagainya.

Namun, siapa sangka walaupun sering diketahui dengan sifat kelembutan serta penuh kasih sayang, ada juga pahlawan wanita Islam yang tidak gentar menggadai nyawa memperjuangkan agama di medan peperangan.

Baca juga Dari ilmu hadis ke bidang perubatan, banyak sumbangan wanita dalam sejarah Islam

Muslimah

 

Jadi, sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut tanggal 8 Mac hari ini, Sinar Islam Plus ingin menceritakan dua kisah srikandi dalam sejarah islam yang jarang diketahui umum.

1. Safiyyah binti Abdul Muttalib, wanita pertama menghunuskan senjata.
Saidatina Safiyyah binti Abdul Muttalib dikenali sebagai wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata, berperang mempertahankan agama ALLAH SWT di medan peperangan.

Dilahirkan pada tahun 569 Masihi, Safiyyah sebenarnya kakak kepada ibu Nabi Muhammad SAW, Aminah binti Wahab lantas menjadikannya ibu saudara baginda SAW.

Hasil daripada perkahwinan kedua Safiyyah dengan Al-Awwam bin Khuwaylid, beliau mendapat tiga orang anak, antaranya adalah Saidina Zubair bin al-Awwam yang merupakan salah seorang pahlawan pertama angkatan tentera berkuda kaum Muslimin.

Apabila Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh ALLAH sebagai Rasul-NYA, wanita itu juga di antara yang terawal memeluk agama Islam.

Pada tahun 625 Masihi, tercetusnya Perang Uhud dan walaupun Safiyyah sudah berumur 56 tahun ketika itu, beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertai Rasulullah berjihad di jalan ALLAH.

Selain membalut luka tentera Muslimin dan membaiki panah-panah yang patah, beliau turut membantu anak saudaranya itu di kancah peperangan. Bahkan, Safiyyah sangat digeruni dalam kalangan pahlawan lain kerana sifatnya yang tegas.

Beliau dikatakan wanita Islam pertama yang menghunuskan senjata dan membunuh kaum Musyrikin. Selain itu, Safiyyah turut menyertai Perang Khandaq (627 Masihi) dan Perang Khaibar (629 Masihi).

2. Nusaybah binti Ka’ab, perisai Nabi SAW.
Dalam sejarah Islam, Nusaybah cukup dikenali sebagai salah seorang wanita yang memeluk Islam dengan kekuatan luar biasa.

Berasal dari suku Bani Najjar yang tinggal di Madinah, beliau merupakan di antara 73 orang yang menyertai Bai’ah Kedua di al-Aqabah untuk bersumpah setia kepada Islam.

Pertempuran awal Nusaybah adalah ketika Perang Uhud. Sama seperti wanita lain, beliau bertugas membawakan air dan merawat pahlawan-pahlawan yang tercedera.

Satu kejadian telah berlaku menyebabkan Nusaybah bertindak turut serta dalam kelompok kecil yang berdiri teguh bersama-sama Rasulullah SAW dengan pedang dan busur di tangannya.

Nusaybah menjadi perisai manusia bagi melindungi baginda daripada terkena tembakan panah orang Quraisy.

Bahkan, beliau sanggup mengorbankan dirinya menanggung pelbagai kecederaan demi mempertahankan Rasulullah setiap kali pihak lawan menyerang baginda. Nusaybah turut berjaya membunuh lelaki yang mencederakan anaknya, Abdullah ketika perang tersebut berlaku.

Perjuangannya tidak terbatas ketika itu sahaja, beliau muncul dalam beberapa pertempuran lain seperti Perang Khaibar, Perang Yamamah dan Perang Hunain.

Dalam pertempuran Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Nusaybah menerima sebelas luka serta kehilangan tangannya.

Semangat kepahlawanan Nusaybah sangat tinggi sehingga dikenali sebagai seorang yang mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri.

Begitu hebatnya para wanita zaman Rasulullah SAW dahulu sehingga sanggup menggadai nyawa atas kecintaan mendalam terhadap agama ALLAH. Semoga dua kisah srikandi tersebut dapat dijadikan inspirasi buat para semua.

Sumber: Teh Tarik Gelas Besar