Browsing Tag

penulisan

Untittled Image (96)
Isu,

Berkarya biarlah mengikut hukum-hakam Islam

Berkarya biarlah mengikut hukum-hakam Islam

“DIA bukan jahat. Dia cuma tersalah langkah. Dia bukan tak faham. Dia cuma tak terfikir sangat soal akibat, soal akhirat.”

Itulah komen jujur daripada seorang penulis terkenal dikenali sebagai Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan apabila ditanyakan soal penulisan novel berunsur lucah oleh seorang mahasiswa pengajian dakwah.

Berdasarkan pengalaman beliau yang sudah menyunting berpuluh karya, beliau sudah masak dengan isu sebegini.

Jelas Bonda Nor, antara yang pernah ditegur adalah seorang penulis novel bestseller, yang novelnya jauh lebih laris daripada novel Bonda. Penulis merupakan anak muda yang sangat baik dan penuh santun, tetapi ada begitu banyak adegan ‘dating’ yang ada di dalam penulisannya.

“Kalaupun ‘dating’ sudah dianggap biasa oleh masyarakat, jangan pula penulisan kita yang jadi salah satu asbabnya!.

“Bonda juga pernah menegur seorang da’i muda yang menulis kisah seorang pemuda jahat yang akhirnya bertaubat. Dalam usaha penulis mempamerkan kejahatan watak, ada watak hero bersama pelacur dan ada juga watak terlanjur.

RADAR perbualan di media sosial agak hangat dengan kisah berkaitan novel atau bahan bacaan yang didakwa mempunyai unsur child grooming dan bersifat lucah.

“Tidak perlu cerita terlalu jelas perkara ini. Sehingga menceritakan bab tentang tanggalkan kain, tentang tangannya meraba. Cukup hanya jelaskan dia terlanjur. Tak perlu terangkan terperinci!” ungkap bonda di laman media sosialnya baru-baru ini.

Berkongsi kisah sebagai penyunting novel lagi, Bonda turut menceritakan, beliau pernah menegur dan mengulas penulisan seorang ustazah yang dihormati. Novel perjuangannya untuk membanteras LGBT. Namun sayang, dalam novel itu sendiri ada bab yang boleh membangkitkan berahi!

Baca juga Haram menulis atau baca bahan bacaan berunsur lucah

“Demikianlah, mereka penulis-penulis ada ilmu agama yang baik. Mereka ustazah, mereka pendakwah, mereka orang baik-baik. Akan tetapi tergelincir jua. Bukan kerana mereka jahat, tetapi sebab tidak terfikir akan akibatnya.

“Kebanyakannya tidak berhati-hati dan tidak berfikir impak penulisan. Jika yang kuat agama boleh tergelincir begitu, apatah lagi bagi penulis biasa yang kurang ilmu agama.

“Kita yang melihat mereka tersilap, tegurlah dengan menjaga adab dan bahasa. Ya, mereka tersalah langkah. Maka, tegurlah secara berhikmah. Jangan asbab penghinaan kita, seorang pendosa berputus asa daripada rahmat Tuhannya,” titip beliau.

‘SEMINAR Penulisan Mega Bonda Nor’

Jaga adab

Semasa Seminar Penulisan Mega Bonda Nor baru-baru ini, inilah antara isu yang telah Bonda Nor ingatkan sebagai pesanan, panduan, amaran dan wasiat.

Tegas Bonda Nor lagi, sebagai penulis beragama Islam semestinya kita terikat dengan hukum-hakam kerana kita bukanlah seperti penulis barat, ada adab-adab dalam penulisan yang perlu dipatuhi.

“Sebenarnya, ini bukan sekadar soal penulisan novel lucah yang sudah diterbitkan, malah ia juga termasuk dalam penulisan di media sosial.

“Pernah juga menegur sepasang suami isteri pempengaruh yang tidak segan-segan bercerita soal hubungan intim mereka di media sosial. Walhasil, puluhan, bahkan ratusan komen-komen nakal dan lucah muncul di wall mereka, Kerana content, semua hal nak dijaja, nak dijadikan lawak jenaka.

“Sudah-sudahlah dengan lawak malam Jumaat, dengan lawak double meaning segala. Semua itu menyalahi nilai moral dan memualkan!
“Penulis, fikir panjang sebelum menulis. Fikir jauh sampai akhirat,” katanya.
kuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus