Browsing Tag

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

Penghalang bahagia dunia dan akhirat
Gaya Hidup,

8 Perkara Jadi Penghalang Untuk Kita Bahagia Di Dunia Dan Akhirat

no comment

SETIAP manusia begitu mendambakan kebahagian dalam kehidupan masing-masing waima dari segi harta benda, keluarga mahupun pencapaian karier.

Tiada siapa pun yang mahu hidupnya berantakan apa lagi tidak terurus. Maka tidak hairanlah mengapa semua orang berlumba-lumba untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Tidak lengkap seandainya kita sebagai orang Islam hanya mengejar kebahagiaan duniawi semata-mata. Sudah tentu kebahagiaan ukhrawi mahu digapai juga.

Namun begitu, dalam kita meraihnya, jangan sampai kita terjerumus ke lembah yang menghalang diri daripada mencapai kebahagiaan tersebut.

Pendakwah Asma’ Harun mengingatkan, terdapat lapan perkara yang menyebabkan kita terhalang atau lambat untuk menggapai bahagia dan berjaya di dunia serta akhirat.

ASMA’

“Ia termasuklah rasa lemah semangat, mudah sentap, malas, penyedih, penakut, bakhil (kedekut), bebanan hutang dan kezaliman manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Bagi mengikis semua sifat berkenaan, Asma’ turut mengajarkan doa sebagaimana dianjurkan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis masyhur.

Daripada Abu Said al-Khudri RA, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.”

Baginda SAW bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, ALLAH akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU daripada sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, ALLAH menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar

Begitupun, tidak cukup sekadar doa semata-mata. Sebaliknya, kita juga perlu berusaha untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Memetik portal kumparan.com, terdapat lapan rahsia untuk menggapainya iaitu dengan cara:

1. Menjaga solat lima waktu.

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

PELIHARALAH solat fardu lima waktu kerana ia menjadi ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.

Ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat kelak.

Firman ALLAH SWT: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana ALLAH (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 238)

2. Tidak membenci.

ALLAH SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

3. Tunaikan zakat.

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

ZAKAT merupakan Rukun Islam keempat yang difardukan ke atas setiap umat Islam.

Islam mengajar umatnya agar memberi daripada meminta-minta. Selain zakat, kita juga digalakkan untuk bersedekah, melakukan infak dan sebagainya.

4. Tidak mudah keluh-kesah.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

5. Memelihara kemaluannya.

ALLAH SWT berfirman: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela; Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Ma’arij, ayat 29-31)

6. Bersikap rendah hati.

Bukan semua orang diberikan kemewahan ataupu kecukupan dalam kehidupan mereka. Sesiapa yang tergolong dalam kelompok itu, maka tanamkanlah sifat rendah hati agar terhindar daripada sifat sombong yang merugikan.

7. Selalu memberi.

Rasulullah SAW bersabda: “Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah (menerima/meminta).” (Riwayat Muslim)

8. Hindari permusuhan.

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

ELAKKAN permusuhan dan saling memaafkan antara satu sama lain andai ada melakukan kesilapan sesama manusia.

ALLAH SWT berfirman: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)

Justeru, sempena mengambil semangat tahun baharu Islam ini, ayuh kita sama-sama memperbaiki diri menjadi insan lebih positif dan istiqamah melakukan kebaikan.

Foto: Unsplash, Freepik & 123rf