Browsing Tag

penempatan baharu di Tebing Barat

Penempatan baharu
Antarabangsa,

Israel rancang bina 18,000 penempatan baharu di Tebing Barat? Tindakan itu beri ancaman besar pada Palestin

PENTADBIRAN sayap kanan Israel dikatakan merancang untuk membina penempatan baharu yang menyalahi undang-undang di Tebing Barat.

Khabar angin itu mula bertiup kencang apabila sumber media Israel, Israel Hayom membuat pendedahan tersebut pada Rabu.

Menurut Palestine News Network (PNN), langkah tersebut akan membuka jalan bagi tujuan pengembangan mereka.

Akhbar Israel Hayom mendedahkan, kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sudah mula membincangkan langkah untuk mempercepat dan meningkatkan pembinaan penempatan di kawasan Tebing Barat yang mana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Netanyahu bersama Menteri Perang Israel, Yoav Galant dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich bertemu awal minggu ini untuk memuktamadkan proses berkenaan.

“Beberapa komponen rancangan itu didedahkan dalam pertemuan tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi menafn.com pada Rabu.

Baca juga Cuba halau penduduk Palestin, tindak-tanduk Israel ‘diperhati’ mata-mata gergasi

Antara perencanaan itu termasuklah penubuhan kira-kira 18,000 unit penempatan baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang, selain mewujudkan badan berasingan yang akan meluluskan pembinaan bangunan bukan kediaman seperti syarikat perindustrian.

Penempatan baharu

PEMANDANGAN penempatan haram Israel. -FOTO: PRESSTV.IR

Israel Hayom berkata, kelulusan itu memberi ancaman besar kepada Palestin kerana mengakibatkan peningkatan ketara dalam populasi komuniti Israel di Tebing Barat yang diduduki dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, portal berita berpengaruh di Arab Saudi, Arab News melaporkan, di bawah rancangan Israel’s One Million Settlers (Sejuta Peneroka Israel), selain memberi bayangan 18,000 penempatan baharu, projek itu akan melibatkan pemindahan ratusan ribu peneroka ke Tebing Barat dan pendaftaran ratusan ribu rakyat Palestin dalam data rasmi Kerajaan Israel.

“Malah, akhbar Israel itu menyatakan, kerajaan baharu akan berusaha untuk menghalalkan pos-pos penempatan termasuk Avitar dan Homesh, berhampiran Nablus dengan meminda undang-undang ‘pemisahan/ penarikan diri’ dan menghubungkan tapak tersebut dengan infrastruktur asas,” kata arabnews.com.

Dalam pada itu, jurucakap Fatah Jamal Nazal mengutuk lanjutan tempoh peraturan darurat Knesset atau Parlimen Israel yang mengenakan undang-undang Israel ke atas penempatan di Tebung Barat yang diduduki, dikenali sebagai undang-undang aparteid selama tambahan lima tahun.

Baca juga Operasi ‘BREAKING DAWN’ Zionis jarah nyawa rakyat Palestin

Jelas beliau, langkah unilateral itu secara langsung mengancam hak Palestin.

“Pendekatan Kerajaan Israel untuk meluaskan asas perundangan anti-demokrasi perkauman mengancam hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki oleh Israel.

“Israel berusaha mengeksploitasi undang-undang apartheid untuk memenjarakan rakyat Palestin dari wilayah yang diduduki dalam Israel. Ini merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang melarang negara pendudukan daripada memenjarakan penduduk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berita Arab News pada Rabu.

Penempatan baharu

GAMBAR yang diambil pada 25 Januari 2023 dari kem Shuafat untuk pelarian Palestin menunjukkan pemandangan penempatan Pisgat Zeev dan perkampungan Palestin Hizma di bahagian utara Baitulmaqdis Timur yang dilampirkan Israel dan kawasan Palestin Al-Ram di Tebing Barat yang diduduki. -FOTO: AFP

Pada Disember lalu, portal Presstv.ir melaporkan, Netanyahu pernah mengeluarkan kenyataan untuk meluaskan penempatan haram rejim Israel merentasi wilayah Palestin yang diduduki dan di tempat lain sebagai keutamaan.

Beliau mengumumkan, Kabinetnya akan ‘memajukan dan membangunkan’ penempatan haram di seluruh wilayah yang diduduki termasuk ‘di Galilea, Gurun Negev, Bukit Golan, Judea dan Samaria (Tebing Barat)’.

Baca juga 5 daerah di Palestin yang diranapkan dengan kejam, kini berganti bangunan milik Israel

Rejim Israel mengisytiharkan kewujudan mereka pada tahun 1948 selepas menduduki sebahagian besar wilayah serantau semasa perang yang disokong oleh Barat.

Selepas menghadapi satu lagi perang seumpama itu pada tahun 1967, langkah Israel semakin panjang dengan mendiami lebih banyak tanah iaitu di Tebing Barat termasuk al-Quds Timur, Semenanjung Gaza dan Bukit Golan Syria.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

***Foto: AFP