Browsing Tag

pendosa

Menyesal
Isu,

Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

RAMAI menganggap taubat hanya dikhususkan untuk golongan pendosa semata-mata. Hakikatnya, setiap insan di muka bumi ALLAH SWT ini wajib berbuat demikian.

Mengertilah bahawa perbuatan tersebut merupakan suatu tuntutan untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Masakan tidak, tiada seorang pun yang kalis dosa sama ada zahir mahupun batin.

Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah menjelaskan, dosa zahir sering kali dilakukan oleh tujuh anggota kita iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.

DA’I ZAHIRAH

Bagi dosa batin pula, katanya, ia lahir dari dalam hati kita. Pendek kata, kedua-dua perlakuan pincang tersebut hanya dapat dibersihkan dengan bertaubat kepada ALLAH SWT.

Baca juga Ada sebab mengapa Surah at-Taubah tiada lafaz bismillah

“Oleh sebab itu, taubat mempunyai fasa tertentu menurut ulama tasawuf. Ia merangkumi taubat orang awam iaitu mereka yang tidak mempelajari ilmu Tauhid; taubat daripada maksiat batin; taubat terhadap perkara melalaikan daripada mengingati ALLAH; taubat orang yang mengerjakan maksiat; orang yang bertaubat dengan menempuh jalan keteguhan hati dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan keburukan; orang yang terus bertaubat dalam keteguhan hati dan semangat yang tinggi serta terakhir ialah orang bertaubat, tetapi adakalanya berbuat dosa,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus secara maya baru-baru ini.

Tiap-tiap dosa, jelas pendakwah itu lagi, tiada salahnya andai kita bertaubat berkali-kali kepada ALLAH SWT.

“Ketahuilah, ALLAH SWT sangat sukakan orang yang memohon keampunan dan bertaubat kepada-NYA. Sesungguhnya, DIA MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG dan MAHA PENGAMPUN,” katanya.

Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW memegang bahunya seraya bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing ataupun pengembara…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Taubat Cetus Kesihatan Jiwa dan Minda

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Da’i Zahirah, jelaslah bahawa kehidupan kita di dunia yang fana ini sememangnya hanya sebuah perjalanan dan pengembaraan.

“Dalam setiap perbezaan perjalanan itu, sebenarnya kita berangkat ke arah yang sama iaitu menuju ALLAH SWT. Jadi, di sinilah kita membuat keputusan untuk kembali, bertaubat dan memohon keampunan daripada YANG MAHA ESA.

“Semua itu dilakukan semata-mata untuk membersihkan diri dan kembali dalam keadaan suci kepada ALLAH pada suatu hari nanti iaitu dalam fitrah Islam,” ungkap beliau sambil menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap bertaubat apabila dirinya merasa sesal, meninggalkan dosa dan kembali mentaati Sang Khalik.

Foto: 123rf