Browsing Tag

penculikan

PM News Nigeria
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Pelajar Sekolah Islam Tegina Dibebaskan Oleh Penculik

no comment

KUMPULAN bersenjata di Nigeria telah membebaskan kesemua pelajar yang diculik daripada sebuah sekolah Islam pada bulan Mei lalu.

Seramai 136 pelajar Sekolah Islam di Tegina diculik kumpulan lelaki bersenjata dan menuntut wang tebusan.

Pegawai sekolah mengatakan, seramai 15 pelajar telah melarikan diri pada bulan Jun dan enam lagi meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Penculikan besar-besaran sebagai tebusan semakin menjadi-jadi di Nigeria sejak kebelakangan ini.

Keadaan sekolah Islam yang menjadi lokasi penculikan kumpulan bersenjata. Gambar: BBC

Guru besar sekolah itu, Abubakar Alhassan, mengatakan bahawa dia tidak dapat memberikan jumlah yang tepat berapa ramai pelajar yang telah dibebaskan, tetapi mengakui tiada lagi murid yang masih ditawan.

Dia memberitahu agensi berita AFP bahawa para pelajar itu telah dibawa pulang.

Pada 30 Mei lalu, kumpulan lelaki bersenjata yang menunggang motosikal telah menyerbu kota dan melepaskan tembakan, membunuh seorang dan mencederakan yang lain.

Bapa pelajar, Fati Abdullahi, berkata anak perempuannya berusia 18 tahun dan anak lelaki berusia 15 tahun turut menjadi mangsa penculikan oleh kumpulan itu.

“Ketika orang ramai melarikan diri, penyerang pergi ke sekolah dan menculik pelajar-pelajar itu.

“Pada bulan Julai lalu, penculik itu turut menculik seorang lelaki dewasa dan menghantar kembali untuk menuntut wang tebusan bagi menjamin pembebasan pelajar-pelajar itu.

“Ibu bapa dan pentadbir sekolah ramai telah menjual harta benda dan sebahagian tanah sekolah untuk membayar wang tebusan. Tetapi mereka kemudian mengatakan bahawa pembayarannya tidak mencukupi,” kata Fati yang bersyukur kerana kedua anaknya kini telah dibebaskan dengan selamat baru-baru ini.

Sehingga kini lebih 1,000 pelajar telah diculik daripada sekolah-sekolah di seluruh utara Nigeria sejak Disember tahun lalu, walaupun kebanyakannya telah dibebaskan.

Pihak berkuasa di sana telah dikritik teruk kerana kegagalan mereka menangani ketidakamanan negara yang meluas termasuk krisis penculikan yang semakin mendalam.

Sumber: BBC News