Browsing Tag

penampilan diri

jangan kata isteri
Isu,

Jangan kata isteri, suami juga perlu berhias

Jangan kata isteri, suami juga perlu berhias

ISLAM adalah sebuah agama yang mementingkan kebersihan baik pada diri sendiri mahupun alam persekitaran.

Namun, dalam soal penjagaan diri, entah mengapa kaum hawa lebih dibebani berbanding warga adam.

Dimadukan kerana badan makin berisi selepas melahirkan anak lah. Diceraikan kerana tidak bersolek di rumah lah. Macam-macam yang dimomokkan kepada para isteri. Apabila berlaku masalah rumah tangga, pasti ada mulut-mulut jahat yang menyalahkan penampilan si isteri.

Wanita juga manusia biasa yang sukakan kecantikan. Jika si suami inginkan orang rumahnya tampil sempurna, dia juga pasti mahu melihat sang suami segak bergaya.

Oleh itu, bukan hanya isteri sahaja yang perlu menjaga penampilan diri ketika di hadapan suami, para suami juga seharusnya menjaga kekemasan diri ketika bersama dengan isteri mereka.

Janganlah mereka meminta isterinya berhias dan berwangi-wangi untuk si suami, sedangkan empunya diri tidak menjaga bau badan dan berpakaian selekeh.

jangan kata isteri

JADILAH seperti Rasulullah SAW yang sentiasa menjaga penampilan diri. Lelaki juga mempunyai tanggungjawab memastikan diri tampil segak demi keharmonian rumah tangga.

Atas dasar itu, Saidina Ibn Abbas pernah menjelaskan:

“Aku suka untuk berhias (menjaga penampilanku) ketika bersama isteriku seperti mana aku suka dia berhias untukku kerana ALLAH berfirman: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak) [Surah al-Baqarah: 228]. (al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, no: 14728)

Jika ingin berhias untuk isteri, amalkan perkara-perkara berikut sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW:

1. Berpakaian putih
Rasulullah SAW sangat gemar memakai pakaian berwarna putih. Warna putih adalah salah satu warna kesukaan baginda kerana menampakkan kebersihan dan kesucian.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang masih hidup antara kalian hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafankan dengan kain yang berwarna putih. Sesungguhnya, pakaian yang berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

jangan kata isteri

MENJAGA penampilan diri termasuk dalam ajaran Islam yang mementingkan kebersihan.

2. Memakai wangian
Sesiapa pun pasti menyukai benda yang berbau harum. Begitu juga dengan Nabi SAW. Baginda sering mengenakan wangian dan tidak pernah menolak jika diberikan hadiah minyak wangi.

Anas bin Malik RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah menolak (pemberian) minyak wangi.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dari segi jenis wangian yang boleh digunakan oleh para lelaki ada disebutkan dalam sebuah hadis di mana Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Ingatan Untuk Para Suami Dan Bapa, Ramai Yang Lakukan Dosa Ini Tanpa Sedar

3. Menjaga tubuh badan.
Rasulullah SAW sangat menjaga tubuh badan agar sentiasa dalam keadaan sihat dan bertenaga. Baginda pernah bersabda,

Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi setiap kali mereka hendak melakukan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Penjagaan diri juga penting demi menjaga keselesaan orang di sekeliling. Pastinya tiada siapa yang ingin mendekati anda jika badan dan nafas anda berbau.

jangan kata isteri

DISUNATKAN juga memakai wangian ketika pergi ke masjid untuk solat Jumaat.

4. Memakai cincin

Cincin adalah perhiasan diri yang dibolehkan buat kaum adam. Namun, bukanlah semua jenis cincin itu boleh dikenakan.

Dibolehkan bagi lelaki untuk memakai cincin yang diperbuat daripada perak, bahkan di dalam mazhab asy-Syafi’e ia disunatkan. Selain itu, cincin daripada batu permata, zamrud, zabarjad dan akik juga dibenarkan.

Walau bagaimanapun, pemakaian cincin emas adalah haram.

Daripada Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW pernah dilihat mengenakan cincin di kedua-dua belah tangan jadi tidak kisah sama ada anda ingin memakainya di tangan kiri atau kanan.

Namun, hukum pemakaian cincin di jari tengah dan telunjuk adalah makruh. Manakala, sunnah untuk memakainya di jari kelingking.

Kata Anas bin Malik RA: “Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya).” (Riwayat Muslim)

Jangan kata isteri

PEMAKAIAN cincin bukan hanya untuk wanita sahaja. Terdapat ramai ulama agama yang mengenakan cincin atas dasar iitiba’ (mencontohi) Nabi SAW.

5. Memakai celak
Memakai celak adalah sunnah bagi lelaki dan wanita serta ia boleh dipakai pada bila-bila masa kerana Nabi SAW juga memakainya di mata baginda.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bercelaklah kamu dengan ithmid (sejenis celak) kerana sesungguhnya ia boleh menguatkan pandangan mata serta menumbuhkan bulu mata.” (Riwayat al-Tirmizi)

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat dan mengembalikan aura rumahtangga anda.

Foto: Pexels & Unsplash