Browsing Tag

pemuda

Berita Semasa,

Penguat ummah, peranan ini seharusnya dimiliki setiap anak muda

SEJARAH Islam membuktikan bahawa anak muda begitu signifikan sebagai penguat ummah jika dididik mengikut acuan yang betul.

Ia boleh dilihat menerusi beberapa peranan penting yang dimainkan oleh kelompok berkenaan pada zaman Rasulullah SAW.

Memberikan contoh Usamah bin Zaid, pendakwah Ustazah Nor Zahirah Mohd Johar atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah berkata, pemuda berkenaan diangkat menjadi panglima perang pada usianya 17 tahun.

“Bayangkan anak muda yang mendapat jolokan Hibbu Rasulullah (orang yang dicintai Rasulullah) mendapat kepercayaan nabi.

Baca juga Ini suara anak muda Muslim terhadap kerajaan baharu

“Nabi Muhammad SAW yakin dengan kemampuan Usamah yang pernah menjadi anak angkatnya sehinggakan diberikan tanggungjawab berkenaan apabila baginda tidak menyertai peperangan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DA’I ZAHIRAH

Da’i Zahirah kemudian mengemukakan tokoh pemuda yang kaya-raya tetapi sanggup meninggalkan semuanya itu demi seruan Islam oleh Nabi Muhammad SAW walaupun mendapat penentangan daripada ibu kandungnya sendiri. Figura yang dimaksudkan ialah Mus’ab bin Umair.

Selain menjadi orang pertama mendirikan solat Jumaat dan terlibat dalam misi dakwah ke Madinah, jelas beliau, ada suatu kisah Mus’ab yang menjentik hati ramai umat Islam.

“Pemuda itu ditugaskan untuk membawa bendera Islam dalam perang Badar dan Uhud. Ketika perang Uhud, musuh telah memotong tangan kanan Mus’ab, lalu anak muda itu memegang bendera berkenaan dengan tangan kiri.

Baca juga 5 perkara anak lelaki Muslim sejati harus kuasai di usia remaja

“Apabila tangan kirinya dipotong, Mus’ab meletakkan bendera pada dadanya sebelum dipanah oleh musuh. Akhirnya pemuda berhati waja itu gugur sebagai pahlawan syahid,” jelas beliau.

Berdasarkan dua kisah berkenaan, pendakwah itu menegaskan, betapa signifikannya peranan anak muda untuk ummah atau negara.

Bagi menggapai tujuan tersebut, jelas beliau, generasi milenial perlu menimba ilmu sebagai persediaan untuk menjadi insan lebih hebat pada masa akan datang.

“Negara kita pada hari ini terdedah dengan pelbagai pengaruh dan tekanan waima dari dalam dan luar. Untuk menentukan maju atau mundurnya sesuatu ummah itu, kita perlu mengikut proses pembangunan dan kemajuan negara.

ANAK muda perlu bersikap berdikari dalam segala aspek, mempunyai matlamat hidup jelas, berdisiplin dan bercita-cita tinggi serta berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan.-FOTO: 123RF

“Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran, sukar untuk golongan belia mengharungi kesulitan hidup pada masa akan datang. Apatah lagi dalam konteks memajukan negara,” katanya sambil menambah anak muda juga perlu ada sikap berdikari dalam segala aspek, mempunyai matlamat hidup jelas, berdisiplin dan bercita-cita tinggi serta berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan.

Dengan peluang yang diberikan kepada generasi muda untuk memilih pemimpin, Da’i Zahirah menyarankan agar merujuk panduan yang digariskan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Antara syarat utama memilih pemimpin adalah dari aspek agama iaitu akidah. Mudah kata, pemimpin mesti beragama Islam.

Baca juga Kisah pelawak zaman nabi, Nu’aiman bin Amru

Para ulama bersepakat dalam syarat itu khususnya bagi jawatan kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab dalam menentukan dasar, terangnya.

“Unsur keagamaan ini akan menjadikan kepimpinan negara kita akan bersedia melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dengan penuh keyakinan tanpa bertangguh dan beralasan.

“Selain itu, waras dan mempunyai kesihatan yang baik, sempurna anggota dan pancaindera, mahir dalam cara mengurus dan mentadbir serta adil dalam konteks kepimpinan,” ujar beliau.

ANEKDOT

Antara tokoh pemuda disegani zaman Rasulullah SAW

1. Az-Zubair bin Al-Awwam.

– Menurut sirah yang masyhur, beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan merupakan seorang panglima tentera Islam serta pembantu kanan Rasulullah SAW.

– Beliau seorang yang berani sehingga terdapat sejarawan mengatakan bahawa pedang pertama dihunuskan untuk membela agama Islam adalah daripada pedang Az-Zubair.

2. Muaz bin Jabal.

– Beliau merupakan individu yang paling memahami perkara berkaitan halal dan haram. Muaz dikurniakan fizikal yang gagah perkasa serta budi pekerti yang cemerlang.

– Muaz ialah salah seorang daripada enam sahabat yang menghafaz al-Quran dan pernah diberi tanggungjawab oleh Rasulullah SAW sebagai hakim dan guru di Yaman.

3. Talhah bin Ubaidillah.

– Menerima Islam pada usia 16 tahun dan beliau memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam.

– Talhah juga hebat dalam medan peperangan, mempunyai keberanian luar biasa dan kemahiran tinggi sehingga digelar oleh Rasulullah SAW sebagai Talhah al-Khair.

– Beliau juga kaya dengan sifat dermawan kerana gemar berinfak pada jalan ALLAH SWT dan termasuk antara 10 orang yang dijamin masuk syurga oleh Nabi Muhammad SAW.

Sumber: Pendakwah, Ustazah Nor Zahirah Mohd Johari & Republika