Browsing Tag

Pemegang amanah

Pemegang amanah
Faraid,

Jadilah pemegang amanah yang bertanggungjawab

MELANTIK pemegang amanah dalam sesebuah keluarga merupakan salah satu urusan penting dalam ilmu faraid. Tidak kiralah sama ada mereka yang diberi tanggungjawab tersebut adalah dalam kalangan waris sendiri ataupun pihak luar.

Lantikan ini adalah sangat penting kerana apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, seharusnya ada wakil yang terpanggil ke hadapan untuk menyelesaikan segala urusan berkaitan harta pusaka si mati.

Selagi tiada sebarang permohonan tuntutan, maka selagi itulah harta tersebut masih kekal atas nama si mati.

Paling tidak dengan adanya pihak yang dilantik, mereka berusaha untuk menolong membuat permohonan ke agensi pentadbiran pusaka di Malaysia seperti Amanah Raya, unit pusaka kecil atau pun mahkamah tinggi sivil bergantung kepada nilaian dan jenis harta yang ditinggalkan.

Dari sisi lain pula, pelantikan pemegang amanah yang dikenali dengan wasi sangat berkait rapat tentang agihan harta pusaka mengikut faraid.

Baca juga Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Sebagai contoh, fatwa tahun 2001 di Wilayah Persekutuan tentang kedudukan orang yang dinamakan oleh si mati sebagai penama menyatakan:

“Orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh simati dalam apa-apa skim simpanan wang dalam mana-mana kumpulan wang simpanan, insurans, tabung, lembaga, syarikat kerjasama, koperasi atau institusi kewangan ialah wasi kepada si mati dan hendaklah membahagikan harta peninggalan si mati kepada waris yang berhak mengikut pembahagian faraid.“

Pemegang amanah

PEMEGANG amanah bertanggungjawab dalam pengagihan harta pusaka mengikut faraid.

Dalam hal ini, jika pemegang amanah tadi beranggapan semua harta yang dinamakan atas namanya sebagai pemberian mutlak sepenuhnya, maka ia adalah tindakan yang tidak amanah.

Lantiklah pemegang amanah yang amanah agar faraid dapat disalurkan dengan penuh hemah. Perlu diingat pecah amanah bukan sahaja boleh berlaku dalam institusi negara yang besar semata-mata, bahkan boleh juga berlaku dalam sesebuah ‘negara kecil‘ yang dinamakan institusi keluarga.

Sunat melantik pemegang amanah

Saranan melantik pemegang amanah dalam Islam adalah berdasarkan kepada akad al-wisayah. Konsep ini melibatkan amalan pengamanahan oleh pemilik harta yang mana wasi perlu berperanan dalam memenuhi hasrat pemilik harta (semasa hidup dan selepas mati).

Hukum perlantikan wasi ialah sunat dan digalakkan kerana membantu pihak yang tidak mampu mengurus harta dengan sendiri terutama selepas berlaku kematian. Selain daripada itu, pelantikan mereka adalah sangat signifikan kerana memudahkan proses tadbir urus harta keluarga si mati termasuklah pembuktian dokumen kematian pihak yang melantik wasi tersebut.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orangorang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang ALLAH telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.“ (Surah an-Nisa‘, ayat 5)

Ayat ini menghuraikan beberapa bidang tugas pihak yang mempunyai tanggungjawab yang besar atas urusan menjaga pihak yang tidak boleh menguruskan harta seperti orang kelainan upaya, anak yatim dan lain-lain.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Hal ini menunjukkan tugas pengamanahan sebagai wasi memerlukan tenaga, kos mahupun masa untuk menjalankannya.

Upah menjalankan amanah

Kebenaran untuk mengambil harta si mati dalam menjalankan amanah tersebut adalah dibenarkan mengikut konsep ujrah (upah) dalam Islam.

Dari sudut penentuan kadar yang dibenarkan pula adalah mengikut amalan adat setempat atau dikenali dengan uruf dalam sumber hukum Islam.

Pemegang amanah

PEMEGANG amanah dibenarkan untuk mengambil harta si mati dalam menjalankan tanggungjawab tersebut mengikut konsep ujrah (upah) dalam Islam.

Frasa ‘makruf‘ yang bermaksud ‘mengikut kesesuaian‘ digunakan bagi kebenaran untuk mengambil sedikit harta si mati untuk mereka yang diamanahkan bagi menjaga anak yatim menerusi firman ALLAH: “Dan sesiapa (di antara penjaga harta anakanak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya“ (Surah an-Nisa‘, ayat 6)

Kearifan tempatan sangat diperlukan dalam menentukan kos-kos yang diperlukan dalam pengurusan harta si mati sehingga tugas mereka selesai. Dalam hal ini, upah akan berbeza-beza mengikut bidang tugas yang diamanahkan dalam sesebuah keluarga.

Mereka yang diamanahkan mengurus perbelajaan orang yang tidak sempurna akal mungkin berbeza dengan mereka yang diamanahkan mengurus kanak-kanak.

Ini kerana, kanak-kanak berkemungkinan boleh mengurus harta sendiri selepas baligh berbeza dengan orang yang tidak sempurna akal yang memerlukan tempoh masa yang lama atau tiada tempoh untuk dipulihkan.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa

Foto: 123rf