Browsing Tag

Pembunuh

Pembunuh
Faraid,

Waris yang didapati bersalah sebagai pembunuh tidak layak dapat faraid

PEMBUNUH tidak layak untuk menerima faraid. Apa yang dimaksudkan adalah jika orang yang membunuh itu merupakan waris kepada si mati. Meskipun bunyinya kedengaran agak janggal, tetapi itulah realitinya yang berlaku pada hari ini.

Kes pembunuhan dalam kalangan ahli keluarga sendiri membimbangkan saban hari. Ada yang sanggup membunuh pasangan sendiri sama ada suami atau isteri yang menjadi mangsa. Paling mengecewakan lagi apabila ada yang tergamak untuk membunuh ibu atau bapa dan ahli keluarga yang lain.

Apa pun faktor kepada tindakan membunuh, ia menyebabkan hilangnya nyawa mangsa dalam kalangan waris. Membunuh secara tidak sengaja atau tanpa niat mungkin lebih sukar dielak atau tindakan luar jangka, berbanding tindakan membunuh yang disengajakan, biasanya bermula dengan persengketaan keluarga.

Beringatlah untuk memastikan sengketa antara ahli keluarga tidak berpanjangan. Jika ada bibit-bibit permusuhan sekalipun, jangan sesekali diakhiri dengan pembunuhan dan kematian.

Baca juga Pecahan faraid jadi antara bukti mukjizat al-Quran terangkan suatu hukum

Pembunuh tidak mewarisi harta pusaka

Pembunuh tidak berhak mendapat harta pusaka daripada mangsanya, sekiranya orang yang dibunuhnya itu mempunyai hubungan pewarisan iaitu faktor kerabat seperti ibu, bapa atau adik-beradik dan faktor perkahwinan iaitu suami atau isteri. Apabila didapati bersalah sebagai pembunuh, maka mereka tidak lagi dianggap sebagai waris kepada si mati.

Asas sandaran hukum itu ialah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada sesuatu (harta pusaka) bagi seorang pembunuh.“ (Riwayat Abi Dawud, Kitab al-Diyat)

Hal itu kerana pewarisan merupakan satu bentuk nikmat dan kurniaan yang diberikan kepada ahli keluarga, sedangkan tindakan membunuh adalah satu tindakan jenayah. Perlakuan jenayah tidak akan bertembung dengan nikmat dalam satu-satu masa.

Pembunuh

PERLAKUAN jenayah menjadi penghalang seseorang waris menerima habuan faraid jika didapati bersalah terlibat membunuh ahli keluarganya.

Halangan daripada mendapat habuan faraid menjadi sebahagian bentuk hukuman kerana ingin bersegera untuk mendapatkan harta pusaka berdasarkan satu kaedah fiqh yang bermaksud: “Sesiapa yang bersegera untuk mendapat sesuatu sebelum masanya, maka dihukumkan dengan haram untuk mendapatkannya.“

Walaupun kesemua mazhab fiqh bersepakat bahawa tindakan pembunuhan merupakan sebahagian halangan yang disepakati daripada mendapat faraid, namun ilmuwan fiqh berbeza pandangan tentang bentuk pembunuhan dilakukan.

Mazhab Hanafi berpandangan, pembunuh yang digugurkan daripada mewarisi adalah semua jenis pembunuhan yang wajib membayar kaffarah, sedangkan Mazhab Maliki berpendapat hanya pembunuhan yang disengaja atau mempunyai niat untuk membunuh sahaja yang dapat menggugurkan hak waris.

Mazhab Hanbali pula berpandangan, pembunuh yang dihalang tersebut mestilah yang membunuh tanpa hak dan boleh dihukum dengan qisas, diyah atau membayar kaffarah, manakala Mazhab Syafie mempunyai pandangan yang lebih ketat iaitu semua jenis pembunuhan adalah dihalang daripada mendapat harta pusaka.

Pembunuh tidak memberi kesan waris lain

Selain implikasi tidak dapat mewarisi harta pusaka, pembunuh yang telah menyebabkan kematian keluarga sendiri juga tidak memberi impak kepada waris yang lain. Hal itu bermakna, pembunuh tadi sudah tidak dianggap wujud dalam senarai waris si mati.

Jika pembunuh tadi tidak melakukan tindakan membunuh, berkemungkinan kehadirannya dalam senarai waris akan mempengaruhi bahagian waris-waris lain. Namun, dengan pembunuhan yang dilakukan menyebabkan kewujudan pembunuh itu tidak diiktiraf atau bukan lagi sebahagian waris si mati.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Sebagai contoh, seorang lelaki meninggal dunia yang menjadi mangsa bunuh anak lelakinya sendiri. Lelaki yang meninggal dunia itu turut meninggalkan waris lain iaitu isteri (ibu kepada pembunuh), ibu (nenek kepada pembunuh) dan seorang saudara lelaki kandung (bapa saudara kepada pembunuh).

Dalam hal itu, bahagian faraid adalah lebih besar kepada waris-waris yang ada kerana anak lelaki dianggap tidak wujud. Isteri si mati mendapat satu perempat (menyamai 3/12), ibu mendapat satu pertiga (menyamai 4/12) dan bakinya diberikan kepada saudara lelaki si mati iaitu sebanyak 5/12.

Namun, jika anak lelaki si mati bukanlah pembunuh kepada kematiannya, maka bahagian waris-waris lain turut terkesan, bahkan anak lelaki juga merupakan sebahagian waris yang berhak untuk mewarisi. Perbandingan dua situasi bahagian itu dapat ditunjukkan dalam Jadual 1 berikut.

Jadual 1: Perbandingan situasi anak lelaki sebagai pembunuh atau tidak kepada habuan waris lain:

Pembunuh

Pembunuh

***Artikel ditulis oleh Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: 123rf