Browsing Tag

pembelajaran al-Quran

Untitled design (21)
Berita Semasa,

Sistem Pengajian Tahfiz, I-Huffaz Boleh Diakses Dengan Lebih Mudah

no comment

I-Huffaz adalah platform yang menjalankan sistem pengajian tahfiz secara atas talian pertama di Malaysia dengan gabungan beberapa elemen penting seperti akademik, kemahiran hidup dan kurikulum.

Ia bukanlah kaedah pengajaran yang biasa-biasa sebaliknya ia dikelolakan oleh tenaga yang tetap.

Program ini telah dilancarkan di lima lokasi berbeza iaitu di Dengkil, Putrajaya, Cyberjaya, Bukit Jalil dan Bandar Tasik Senangin.

Pengarah Urusan Utama Akademi Tahfiz Al Islah merangkap Ketua Mudir i-Huffaz, Ustaz Saiful Islam Mohamed Naser berkata, inisiatif ini adalah bagi menyelamatkan penutupan lebih banyak pusat tahfiz berikutan pandemik Covid- 19 yang banyak memberi kesan kepada semua sektor.

 

“Demi membela nasib anak-anak tahfiz yang masih memerlukan pengajaran dan ilmu, Akademi Tahfiz Al Islah tampil menjadi penggerak utama sebagai ‘penyelamat’ dengan melancarkan pengajian tahfiz atas talian iaitu i- Huffaz sebagai alternatif agar pelajar tahfiz dapat menyambung pengajian mereka.

“Akibat Covid-19 semua orang terkesan dan sebagai orang muslim, kita wajib pertahankan institusi agama kita sehingga ke titisan darah terakhir.

“Kerana ini, kami dari Akademi Tahfiz Al Islah melancarkan i-Huffaz, buku Makhraj Huruf dan projek ekonomi di Cyberjaya serta Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, keadaan pihak pengurusan tahfiz semakin terbeban apabila kebanyakan tidak mempunyai dana yang tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan dan yuran pelajar.

Kata beliau lagi, jika sebelum ini pihaknya mengadakan program tahfiz secara fizikal, tetapi disebabkan beberapa kekangan, mereka terpaksa beralih kepada pengajian dalam talian dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Pelancaran i-Huffaz juga adalah untuk mengurangkan bebanan pusat tahfiz yang ditanggung selama ini. Alhamdulillah, melalui program-program sebelum ini misalnya i- Korban, kami memperoleh keuntungan.

 

“Jadi apabila kami dapat berita penutupan pusat tahfiz dan banyak yang bakal ditutup disebabkan terbeban dengan hutang akibat Covid-19, kami panggil mereka untuk bernaung di bawah kami dan akan menanggung perbelanjaan serta menyelesaikan segala hutang mereka,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, program i-Huffaz ini boleh meringankan beban mereka dan pelaksanaannya tanpa sempadan dan ia boleh diakses dengan mudah memandangkan semua orang memiliki telefon.

“Walaupun berada di rumah atau tidak dapat meneruskan pengajaran di pusat tahfiz, mereka masih boleh ikuti program tahfiz atas talian iaitu i-Huffaz,” jelasnya lagi

Ustaz Saiful juga berharap buku Makhraj Huruf boleh membantu semua pelajar dalam menguasai pembelajaran al-Quran.

“Sebanyak 10,000 naskhah buku Makhraj Huruf dicetak bagi kegunaan pelajar dan sesiapa sahaja yang berminat.

“Di pusat tahfiz, mereka membaca secara hafazan, namun kadang-kadang banyak hukum-hukum (dalam bacaan) yang tak diteliti.

“Jadi inilah peluang untuk mereka meneliti semula bagaimana cara sebutan, bacaan dan sebagainya,” katanya.

Menjelaskan kualiti belajar al-Quran secara atas talian melalui i-Huffaz, Ustaz Saiful berkata, apabila berlaku situasi yang mudarat, berbanding dengan satu mudarat yang lain, kita kena pilih mudarat yang kurang.

“Kami faham impak pembelajaran atas talian tidak sama dengan hasilnya belajar secara fizikal, tetapi jika kita tak buat langsung, anak-anak akan terus hanyut dengan permainan atau hiburan lain yang tidak berfaedah.

“Ini bersesuaian dengan slogan i-Huffaz kami, ‘merentas alam maya, membawa mukjizat bersama’. Mukjizat itu adalah al-Quran.

“Selepas ini apabila keadaan mengizinkan, kami akan gabungkan program tahfiz atas talian dan fizikal tanpa meninggalkan salah satu dan ini boleh memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.

Lebih menarik, mereka yang membeli buku Makhraj Huruf berharga RM99 dipakejkan sekali dengan pengajaran al- Quran secara atas talian bersama pengasasnya Ustaz Jamal Al-Qurtubi.

Untuk tahu lebih lanjut tentang i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, boleh layari fanpage Facebook dan Instagram: IHuffaz.