Browsing Tag

pelihara kesucian

Ramadan
Isu,

Jauhi Perkara Yang Kurangkan Pahala Ketika Ramadan, Peliharalah Kesucian Bulan Mulia Itu

no comment

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF

KEHADIRAN Ramadan yang kini memasuki hari ke-11 begitu bermakna buat seluruh umat Islam. Bukan sahaja buat orang dewasa, malah kanak-kanak juga begitu girang meraikannya.

Bagi anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa, bayangan Hari Raya Aidilfitri sudah tersemat kemas dalam fikiran.

Namun begitu, bukan hari raya yang sepatutnya menjadi keutamaan, sebaliknya Ramadan penuh barakah ini yang harus dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Ini kerana bulan keampunan dan rahmat ini begitu agung dan istimewa berbanding bulan-bulan lain.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas mereka sebelum kamu agar kamu bertakwa.“ (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Justeru, sebagai seorang yang beriman, kita seharusnya melaksanakan perintah ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh sebagai bukti ketaatan dan ketakwaan kepada-NYA.

Menurut syarak, puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

Ia berdasarkan kepada tiga rukun puasa iaitu orang yang berpuasa, niat dan menjauhi perkara yang membatalkannya.

Dengan kata lain, puasa bukan sahaja ujian bagi kita menahan nafsu makan dan minum, tetapi hakikatnya puasa juga mengajar kita agar tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan kesucian bulan yang agung ini.

Ramadan

PELIHARA mulut dan lidah daripada menuturkan perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain.

Mudah kata, puasa boleh diklasifikasikan sebagai ‘pendidik‘ untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin, sabar dan bersikap positif dalam menghadapi sebarang godaan dan cabaran yang boleh menjejaskan pahala sepanjang bulan terhebat ini.

Oleh yang demikian, Ramadan yang disebut sebagai bulan mendidik mengajar setiap insan agar bersederhana dan bersabar sebagai makhluk kerdil di hadapan Tuhan YANG MAHA BERKUASA atas segala sesuatu.

Ganjaran

Ketahuilah, terdapat banyak ganjaran dan kelebihan bagi umat Islam yang menghidupkan Ramadan dengan sebaiknya.

Maka, tidak hairanlah mengapa para alim ulama dan orang soleh tidak sabar untuk bertemu dengan Ramadan.

Baca juga Hati-Hati Hantar Makanan Kepada Yang Tidak Berpuasa

Kesedihan begitu mencengkam sanubari mereka tatkala Ramadan menuju ke penghujungnya. Ini kerana mereka sendiri tidak mengetahui sama ada dapat bertemu semula dengan Ramadan yang akan datang atau tidak.

ALLAH SWT sahaja YANG MAHA MENGETAHUI atas segala ketentuan dan perancanganNYA. Golongan yang sentiasa tawaduk itu juga sentiasa beranggapan bahawa setiap tahun merupakan Ramadan terakhir mereka.

Ramadan

BANYAKKAN melakukan ibadah dan amal soleh sepanjang bulan Ramadan.

Mereka berfikiran sebegitu sebagai dorongan untuk mereka bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah. Semua itu jelas dizahirkan demi menggapai nilai ketakwaan yang tinggi di sisi ALLAH SWT.

Bahkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda sama dengannya hingga 700 kali ganda, ALLAH SWT berkata, ‘Melainkan puasa, kerana ia untuk-KU dan AKU sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makannya kerana-KU…“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di samping itu juga, dalam bulan mulia ini, terdapat satu malam agung yang dipanggil sebagai lailatulqadar. Begitu istimewanya lailatulqadar apabila ia disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Perkara itu ada dirakamkan oleh ALLAH SWT menerusi Surah al-Qadr.

Sudah tentu seluruh umat Islam menantikan lailatulqadar. Kehadirannya akan memberi kegembiraan kepada mereka yang berjaya memanfaatkan malam tersebut dengan amalan kebaikan sehingga terbit fajar.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.

“Pada malam itu, turun malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.“ (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Oleh itu, seharusnya kehadiran bulan Ramadan memberi kegembiraan yang cukup besar kepada umat Islam. Jangan sesekali mensia-siakan peluang yang telah diberikan oleh ALLAH SWT.

Sedar tidak sedar, bulan mulia itu hanya berbaki kurang 20 hari lagi. Tambahan pula, segala kebaikan dan amal ibadah akan digandakan pahalanya oleh ALLAH SWT sepanjang bulan itu.

Ramadan

JAUHI sikap suka mengumpat, mengadu domba dan sebagainya apatah lagi dalam bulan Ramadan penuh keberkatan ini.

Justeru, sama-samalah kita bergembira akan kehadiran bulan Ramadan al-Mubarak. Jagalah kesucian dan kemuliaannya melalui amalanamalan dan tingkah laku yang mampu membibitkan rasa cinta dan meningkatkan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT.

Jauhilah perkara-perkara yang boleh melalaikan dan mengurangkan pahala kita. Ketahuilah bahawa bulan Ramadan akan menjadi satu perkara yang sangat bermakna dan bernilai seandainya kita melakukan perkara yang disukai oleh ALLAH SWT.

Mudah-mudahan amal ibadah seluruh umat Islam seisi alam ini akan diterima oleh-NYA.

***Rafiuddin Mohd Yusof ialah Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor

Foto: Freepik