Browsing Tag

pelarian ukraine

Antarabangsa,

Pelarian Muslim Ukraine disambut dengan tangan terbuka oleh komuniti Islam Jerman

SEJAK bermulanya konflik Russia-Ukraine dua minggu lalu, bilangan pelarian yang melarikan diri dari Ukraine sudah mencecah 2 juta orang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Jerman, stesen keretapi Berlin sesak dengan ribuan pelarian Ukraine yang tiba dari negara jiran Poland. Berlin menjadi hab utama bagi sesetengah pelarian yang ingin bergerak ke kawasan Eropah yang lebih jauh apabila pengendali keretapi utama Jerman, Deutsche Bahn menawarkan tiket perjalanan percuma kepada mereka.

Menurut Menteri Dalam Negeri Jerman, lebih 50 ribu pelarian Ukraine kini berada di negara itu. Mereka disambut baik oleh sukarelawan tempatan yang menawarkan makanan, bekalan perubatan dan penginapan.

TRT World melaporkan komuniti Muslim di Jerman antara sukarelawan yang aktif membantu pelarian beragama Islam. Masjid serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim telah diseru oleh Majlis Pusat Umat Islam di Jerman (The Central Council of Muslims in Germany) untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Di Masjid Baru di Spandau Berlin, keadaan lebih riuh daripada biasa. Anak-anak muda biasanya mengisi waktu senggang di ruang belajar masjid yang dipenuhi dengan tilam. Manakala, di tempat makan masjid pula kelihatan beberapa keluarga yang sedang menjamu selera.

MASJID Baru di Spandau, Berlin antara masjid yang aktif membantu pelarian beragama Islam dari Ukraine. Seluruh kawasan masjid telah ditukarkan menjadi tempat perlindungan.

Apabila pegawainya diberitahu tentang pelarian Muslim dari Ukraine yang terkandas di stesen keretapi hampir 20 jam tanpa arah tuju, kawasan masjid serta-merta ditukarkan menjadi tempat perlindungan yang mampu menempatkan hampir 50 pelarian.

Khadija Sofi dan keluarganya yang berasal dari Afghanistan adalah antara pelarian yang sedang berlindung di masjid itu. Mereka yang baru sahaja ingin membina hidup baharu di Ukraine akhirnya terpaksa melarikan diri disebabkan peperangan tersebut.

Dengan hanya berbekalkan beberapa helai baju, dokumen serta dua ekor kucing, mereka telah bermusafir selama tujuh hari, menyeberangi Ukraine dan Poland untuk sampai ke Jerman. Khadija Sofi meluahkan rasa syukur diberikan tempat tinggal di masjid tersebut.

“Kami telah berjumpa dengan ramai orang baik dan menemui kawan baru jadi kami berasa selamat dan kami dalam keadaan baik sekarang,” ujar Khadijah.

Selain menyediakan tempat tinggal, ahli-ahli Masjid Baru juga membantu pelarian Ukraine dalam pelbagai urusan lain seperti membeli tiket keretapi untuk mereka yang ingin ke negara Eropah lain. Bagi yang memilih untuk tinggal di Jerman pula, mereka dibantu dalam urusan permohonan suaka.

Menurut salah seorang ahli Lembaga Masjid Baru, Kenan Yilar, pertolongan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk fizikal seperti makanan dan pakaian, malah termasuk sokongan mental.

“Pelarian-pelarian ini datang dari jauh. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan mental. Oleh itu, imam-iman di sini juga bersedia untuk membantu mereka dari segi itu.” kata Yilar kepada TRT World.

RAMAI pelarian Muslim dari Ukraine asalnya merupakan pelarian dari negara-negara Arab yang berpindah ke Ukraine untuk membina kehidupan baru.

Tatkala timbul isu pilih kasih antara negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikatakan hanya sudi menerima pelarian Ukraine berbangsa putih ke dalam negara masing-masing, komuniti Islam di Jerman hadir dengan tangan terbuka untuk menerima pelarian beragama Islam.

Semangat ukhuwah dan silaturrahim sering ditekankan dalam agama Islam. Ini bererti Muslim tidak perlu gentar ke mana sahaja mereka bermusafir kerana pasti akan disambut baik oleh saudara Islam yang lain.

Foto: TRT World, Michael Sohn/AP