Browsing Tag

Pelaburan kontrak musyarakah

Pelaburan kontrak musyarakah
Muamalah,

Pelaburan Berasaskan Kontrak Musyarakah. Ini Kriteria Yang Kita Perlu Fahami

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PELABURAN adalah satu bentuk aktiviti memberikan modal atau wang dengan cara pembelian instrumen kewangan atau aset (atau) dengan memberi modal untuk sesuatu projek usaha sama perniagaan.

Dengan pelaburan tersebut, diharapkan ia akan menjana pendapatan kepadanya sebagai penyedia modal.

Antara bentuk kontrak pelaburan yang boleh dilakukan adalah kontrak musyarakah. Musyarakah merupakan istilah moden yang banyak digunakan dalam dunia kewangan Islam hari ini. Secara klasiknya, ia dikenali dengan kontrak syirkah.

Musyarakah bermaksud satu kontrak usaha sama atau perkongsian yang melibatkan dua orang atau lebih dalam sesuatu aktiviti perniagaan yang mana masing-masing akan menyediakan modal dan keuntungan akan dikongsi berdasarkan persetujuan bersama. Sementara kerugian pula akan ditanggung oleh setiap pemberi modal berdasarkan nisbah modal masing-masing.

Setiap kontrak yang ingin digunakan dalam aktiviti pelaburan atau perniagaan hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah diutarakan oleh para fuqaha dalam penulisan mereka.

Bagi kontrak musyarakah, antara syarat utama yang biasanya tidak dipatuhi dengan baik oleh mereka yang menggunakan kontrak ini adalah:

i) Menyatakan nisbah perkongsian keuntungan semasa akad dilakukan.

Dalam kontrak musyarakah, keuntungan yang diperoleh hendaklah dikongsi antara rakan kongsi. Ini kerana mereka yang menyediakan modal ada hak ke atas keuntungan yang terhasil.

Oleh itu, bagi mengelak daripada berlakunya gharar yang dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada pergaduhan.

Maka, pada masa akad dilakukan, nisbah perkongsian keuntungan wajib dinyatakan. Jika tidak, kontrak tersebut tidak sah.

Penentuan tersebut boleh dibuat dalam bentuk nisbah seperti 70:30 atau dalam bentuk peratus seperti 80 peratus dan 20 peratus.

Keuntungan tidak boleh diberi dalam bentuk pulangan tetap (fixed return) seperti RM1,000 atau 10 peratus daripada sumbangan modal.

Baca juga Ketahui Kaedah Urus Niaga Mata Wang Yang Betul Menurut Islam

ii) Tidak ada unsur jaminan modal.

Sebarang jaminan modal yang diberi semasa akad dilakukan akan membatalkan akad tersebut seperti kata pihak yang berakad: “Saya menjamin pulangan modal dengan memulangkannya kembali kepada penyumbang modal dalam tempoh 14 hari selepas penamatan kontrak.”

Pelaburan kontrak musyarakah

KETAHUI konsep pelaburan yang betul mengikut syarak agar tidak melanggar batas-batas yang digariskan.

Ini kerana sesuatu perniagaan terdedah kepada risiko kerugian yang mesti ditanggung oleh semua rakan kongsi.

iii) Perkongsian kerugian hendaklah mengikut nisbah sumbangan modal.

Apabila berlaku kerugian, semua rakan kongsi akan menanggung kerugian tersebut. Namun, ia tidak boleh dikongsi berdasarkan persetujuan bersama, tetapi ia hendaklah dikongsi mengikut nisbah sumbangan modal.

Sebagai contoh, Ahmad dan Ali bercadang untuk memulakan projek ikan keli. Mereka masing-masing menyediakan modal bagi projek berkenaan sebanyak RM50,000. Mereka bersetuju bahawa nisbah perkongsian keuntungan adalah 70:30 iaitu Ahmad mendapat 70 peratus daripada keuntungan yang diperoleh. Ali mendapat 30 peratus (daripada keuntungan berkenaan).

Setelah akad dilakukan, Ahmad dan Ali ialah rakan kongsi kepada projek ikan keli tersebut. Oleh itu, masing-masing berhak mendapat keuntungan daripada hasil perniagaan tersebut berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang telah diputuskan dan dipersetujui semasa akad dilakukan.

Jika keuntungan sebanyak RM1,000, maka Ahmad berhak sebanyak RM700 dan Ali berhak sebanyak RM300. Jika berlaku kerugian, masing-masing akan menanggung sebanyak 50 peratus iaitu berdasarkan nisbah sumbangan modal masing-masing.

Dalam industri kewangan Islam, pihak jawatankuasa syariah di institusi kewangan Islam dan Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memastikan setiap produk tidak melanggar mana-mana syarat kontrak yang menjadi kontrak pendasar.

Namun, apabila ia melibatkan individu atau syarikat yang bukan di bawah kawal selia BNM atau SC, syarat-syarat tersebut lebih mudah dilanggar kerana tiada pihak yang mengawal selia mereka. Ketakwaan mereka sendiri sahaja yang menjadi pengawal selia kepada mereka. Wallahu a’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Pexels