Browsing Tag

pasar percuma

pasar percuma terengganu
Berita Semasa,

‘Daripada rakyat kepada rakyat’, Pasar percuma di Terengganu bantu golongan kurang mampu

SABTU lalu, sebuah pasar percuma telah diadakan di Marang, Terengganu memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan tanpa sebarang bayaran.

Program itu merupakan inisiatif sekumpulan sukarelawan yang berhasrat membantu masyarakat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, seperti yang dilaporkan Bernama.

Pengasas program Pasor Percuma Ganu Kite! Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di Bukit Payong disertai 35 sukarelawan yang menyumbang pelbagai jenis barangan termasuk susu bayi, mainan kanak-kanak, baju dan buku.

Baca juga Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

Selain itu katanya, program Pasor Percuma Ganu Kite! yang diadakan selama dua jam bermula 10 pagi itu turut memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan bihun secara percuma.

“Ini merupakan kali ke-23 kita adakan pasar percuma sejak 2017. Konsep yang kita buat adalah ‘daripada rakyat kepada rakyat’… kita membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

“Para penyumbang pula terdiri daripada rakan-rakan saya dan mereka juga mengajak kenalan mereka untuk menyertainya. Kami juga menghebahkan program ini dalam media sosial untuk menarik lebih ramai penyumbang,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Padang Mengkuang.

pasar percuma terengganu

SUKARELAWAN sentiasa diperlukan bagi menyumbang barangan sepanjang pasar dijalankan.

Beliau berkata program itu menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 1,000 pengunjung termasuk kanak-kanak yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan yang mereka perlukan.

Seorang penyumbang Ang Meng Siew, 40, berkata selain gembira dapat membantu masyarakat, acara seumpama ini juga memberikan kepuasan buat dirinya apabila pelbagai barangan dari rumahnya yang masih elok seperti mainan anak-anaknya, telah bertukar pemilik.

“Kali pertama saya sertai program ini pada 2020. Apabila kita dapat memberi ia bukan sahaja menggembirakan hati penerima tetapi kita sendiri pun rasa gembira.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

“Saya juga dapat mendidik anak-anak untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, barangan antaranya mainan dan kasut mereka yang tidak lagi digunakan kini telah menjadi milik orang lain dan tidak dibuang begitu sahaja,” katanya yang menyumbang kasut, baju dan mainan kanak-kanak.

pasar percuma terengganu

SELAIN barangan terpakai yang masih elok seperti pakaian, buku dan pinggan mangkuk, sumbangan melibatkan perkhidmatan, contohnya servis rundingan dan gunting rambut juga dialu-alukan oleh penganjur program.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Minah Musa, 71, berkata beliau sangat gembira kerana dapat membawa pulang pelbagai barangan seperti beras dan minyak masak secara percuma yang sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya untuk minggu ini.

“Mak cik tahu mengenai program ini melalui anak saudara yang turut membawa mak cik ke sini. Syukur sangat kerana ada yang prihatin dengan nasib penduduk kampung seperti mak cik.

Baca juga Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain

“Lagipun mak cik ini orang susah tiada pendapatan tetap dan setiap bulan hanya mengharapkan duit belanja daripada anak-anak tetapi mereka pun tidak dapat banyak memberi kerana hanya kerja biasa-biasa sahaja. Jadi apabila ada yang sudi beri sumbangan memang mak cik sangat hargai,” kata ibu kepada 10 orang anak itu.

Program Pasor Percuma Ganu Kite! yang seterusnya dijangka diadakan lagi pada bulan 11 nanti.

 

‘Daripada rakyat kepada rakyat’, Pasar percuma di Terengganu bantu golongan kurang mampu

Foto & Sumber: Bernama & Pexels