Browsing Tag

pasangan hidup

Jodoh
Isu,

Usah mengeluh mencari pasangan hidup, ada ganjarannya walaupun akhirnya tiada jodoh

DALAM neraca masyarakat timur, berkahwin pada usia lebih 30 tahun sudah dikira sebagai lanjut usia. Apatah lagi mereka yang masih belum bertemu jodoh selepas umur berkenaan.

Mengertilah, setiap orang mempunyai perspektif dan sebab musabab masing-masing. Seorang senior yang penulis namakannya sebagai Suhana Mirza (bukan nama sebenar) pernah menyatakan mahu berkahwin lambat.

Ini kerana dirinya mahu memberi laluan kepada adik beradiknya menamatkan zaman bujang mereka. Barulah beliau berasa lega kerana bimbang ibu bapanya tiada peneman.

Perkara itu disuarakan kepada penulis sejak kami sama-sama belajar di bangku sekolah menengah lagi. Ternyata ia bukan sekadar omongan kosong. Suhana menepati janjinya. Pada usia 39 tahun, baru dirinya berkahwin selepas empat adik-adiknya selamat bernikah. Kini, beliau bersama suaminya menjaga orang tuanya yang sudah uzur.

Lain pula halnya dengan seorang lagi rakan penulis. Jika bertemu dengannya, ada sahaja celotehnya bercerita perihal jodoh sendiri yang tidak kunjung tiba pada usia lewat 30-an.

“Aku dah penat mencari jodoh. Dah tujuh kali aku putus. Bayangkan ada sekali itu, sampai ke London aku pergi sebab nak berkenalan dengan mamat kulit putih, tapi apakan daya, kami tiada jodoh juga akhirnya,” ceritanya penuh kesal.

Ya, itu antara dua contoh situasi daripada beribu-ribu kisah berkaitan jodoh. Benar, kadangkala sudah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan untuk mencari pasangan hidup. Namun, seakan-akan sukar benar rezeki yang satu itu mahu ‘lekat’.

Benarkah banyak dosa antara penyebab jodoh terhalang? Mengapa begitu lambat jodoh seseorang itu sampai?

Baca juga Amalkan ayat ini, mudah-mudahan ALLAH ketemukan jodoh terbaik buat kita

Ditetapkan dalam kandungan ibu

Bagi membicarakan topik yang tidak pernah padam daripada radar kehidupan, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

IMAM MUDA HASSAN

Jelas beliau, apabila kita genap berusia 120 hari dalam kandungan ibu, maka ALLAH SWT sudah menetapkan rezeki, ajal, baik dan buruk hidupnya.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia…” (Hadis Riwayat Muslim)

“Rezeki yang dimaksudkan itu termasuklah makan minum, pekerjaan, jodoh, anak-anak kita dan seumpamanya. Semua ini sudah ditentukan oleh ALLAH YANG MAHA BERKUASA.

“Mudah kata, jodoh itu adalah qada dan qadar ALLAH SWT yang telah ditentukan ke atas setiap hamba-hamba-NYA. Cuma siapa dia dan di mana jodoh kita? Semua itu tidaklah kita ketahui.

“Meskipun begitu, kita kena berusaha mencarinya termasuklah berikhtiar dengan sebaiknya. Tidak boleh hanya serahkan semuanya kepada ALLAH SWT semata-mata ataupun hanya ‘duduk’ saja biarpun DIA telah menentukannya. Jika kita hanya mengambil pendekatan sedemikian, ia jelas bertentangan dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” katanya.

Jodoh

SEJAK dari dalam perut ibu lagi, ALLAH SWT sudah menetapkan rezeki, ajal, baik dan buruk hidup kita. Ia termasuklah perkara berkaitan jodoh.

Ditanya tentang sikap segelintir orang yang begitu memilih soal pasangan hidup kerana dikaitkan dengan gaji tinggi dan kerjaya, Imam Muda Hassan mempunyai perspektifnya tersendiri.

“Adakalanya kita perlu memilih jodoh. Bahkan, dalam Hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim juga berpesan supaya kita memilih pasangan dengan melihat harta, keturunan, kecantikan dan agamanya. Di antara empat perkara tersebut, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita mengutamakan perihal agamanya.

“Benar, perkahwinan ini merupakan satu keputusan yang besar dalam hidup. Namun begitu, janganlah kita terlalu memilih disebabkan mahukan kesempurnaan pada rupa paras dan seumpamanya. Ingatlah bahawa setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan masing-masing.

“Dalam hal ini, baginda SAW berpesan, andai seorang lelaki soleh datang meminang, maka terimalah dan jangan ditolak. Ini kerana kita melihat perkara pertama iaitu pada agamanya.

Baca juga Buat istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan…rupanya ini sebabnya

“Maksud yang beragama di sini bukanlah orang itu ialah wali ALLAH atau alim ulama. Cukuplah sekadar individu tersebut tidak meninggalkan solat dan ambil berat tentang soal halal serta haram,” katanya.

Pasangan di syurga

Perbualan kami semakin rancak apabila Imam Muda Hassan membangkitkan tentang imbalan kepada mereka yang berusaha sehabis baik dalam mencari pasangan hidup.

Jodoh


BERUSAHA dan berikhtiar mencari jodoh akan diganjari pahala kerana setiap perkara yang baik akan dianggap sebagai sedekah.

Ungkap pendakwah itu, semestinya segala ikhtiar kebaikan tersebut memang diganjari pahala. Ini kerana setiap perkara yang baik dianggap sebagai sedekah.

“Begitulah juga halnya dengan mencari jodoh. Kita mahu mengambil sunah Nabi Muhammad SAW sebab baginda juga berkahwin.

“Oleh itu, kita berusaha untuk berkahwin. Malangnya, tidak jumpa jodoh Begitupun, ALLAH SWT tetap menilai kebaikan pada diri kita (atas usaha mencari jodoh) walaupun tidak berjumpa pasangan hidup. Tidak perlulah kita berasa menyesal, penat ataupun kehabisan duit asbab proses pencarian jodoh yang penuh dengan onak dan duri tadi,” terangnya panjang lebar.

Menyambung hujah, pendakwah itu menjelaskan, terlalu banyak dosa merupakan antara penghalang jodoh seseorang. Sebagai contoh, menzalimi diri sendiri dengan menolak untuk berkahwin dengan lelaki yang memang diyakini baik disebabkan terlalu memilih paras rupa.

“Tanpa kita sedar, perbuatan itu menzalimi diri sendiri disebabkan enggan menerima pinangan orang soleh.

“Apa pun, suka saya ingatkan, jodoh pada hakikatnya termasuk dalam qada dan qadar ALLAH SWT. Cuma kita sebagai hamba-NYA perlu menganggap, apa sahaja yang tidak baik adalah disebabkan dosa dan kezaliman yang dilakukan, manakala perkara baik pula datang daripada ALLAH SWT.

Jodoh


JANGAN pernah mengalah, kesal mahupun mengeluh dalam proses pencarian pasangan hidup yang penuh ranjau.

“Paling penting, jangan sesekali kita menyalahkan ALLAH SWT,” tegasnya.

Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan menjawab: “Barangkali kita tidak sempat berkahwin (di dunia), tetapi ALLAH SWT tetap akan menemukan jodoh kita di dalam syurga kelak.

“Dalam kitab tafsir yang muktabar, ada dinyatakan pasangan itu datangnya dari dunia walaupun seseorang tidak pernah berkahwin. Semuanya kekal rahsia ALLAH SWT.”

Boleh diubah

Benarkah lelaki yang baik hanya untuk wanita yang bersifat sedemikian?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Sinar Islam Plus mewawancara pendakwah Asmak Husin.

ASMAK

Jelas beliau, ungkapan yang sering kali meniti pada bibir masyarakat itu acap kali disalahtafsirkan. Ini kerana adakalanya kita diduga dengan pasangan yang kurang baik dari segi sikapnya dan hanya diketahui selepas pernikahan berlaku, ungkapnya.

“Ujian itu sebenarnya satu cabaran kepada kita untuk berdakwah dan memastikan supaya pasangan kita kembali mengenal cara hidup Islam.

“Itulah dugaan bagi kita untuk mengenal adakah diri kita baik atau sebaliknya apabila mendapat jodoh yang sedemikian? Adakah kita ini berusaha bersungguh-sungguh atau tidak untuk mengembalikan pasangan ke arah jalan yang baik?

“Andai kita mampu bertahan, demikianlah yang dikatakan lelaki yang baik untuk wanita yang baik,” ungkapnya.

Seperkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus adalah pesanan Asmak terhadap proses peminangan yang dimulakan oleh golongan wanita.

Walaupun kaum Hawa diharuskan meminang lelaki, penceramah itu mengingatkan, terdapat keadaankeadaan tertentu dibolehkan mereka berbuat demikian.

“Ia termasuklah apabila seorang wanita itu merasakan lelaki tersebut sesuai, soleh dan mereka sudah pun melakukan ‘siasatan sendiri’ tentang keperibadiannya.

“Ketika itulah masa yang sesuai untuk kita merisik atau meminangnya secara profesional. Bukan dengan cara menggedik dan seumpamanya,” ungkapnya.

Sebelum menoktahkan kalamnya, Asmak menasihatkan semua umat Islam agar berdoa dan teruskan berusaha dalam pencarian pasangan hidup.

“Bukan apa, perihal jodoh adalah takdir muallaq iaitu boleh diubah dengan doa dan usaha. Justeru, berikhtiarlah mencari jodoh yang baik,” pesan beliau.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh ditolak ketetapan ALLAH SWT melainkan dengan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Hadis Riwayat al-Hakim, Ibn Hibban dan at-Tirmizi)

ANEKDOT

AMALAN mendapatkan jodoh yang baik

1. Berdoa.

Jodoh

KEPADA mereka yang sedang berusaha mencari pasangan hidup, berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dipertemukan jodoh yang baik.

Lazimkan membaca doa Rabbana hablana min azwajina wa dzurriyyatina qurrata a’yun, waja’alna lil muttaqina imama.

Doa yang berasal dari Surah al-Furqan, ayat 74 itu bermaksud: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.”

2. Bersedekah kerana ia boleh meluaskan rezeki.

Setiap kali berinfak jangan lupa berniat.

Sebagai contoh; “Ya ALLAH, jika ada kebaikan daripada sedekah ini, temukan jodoh dalam hidupku.”

3. Lazimkan diri melakukan kebaikan.

Misalnya, memberi wang kepada ibu dan ayah. Mohonlah doa dari mereka kerana doa ibu bapa sangat mustajab.

Sumber: Pendakwah Mohd Hassan Adli Yahaya

Foto: 123rf & Unsplash