Browsing Tag

pandemik

Inst-FB-POST-1200px1200px-AR20192
Jendela Dunia,

Hikmah Pandemik, Pendapatan IRW Meningkat RM861.39 Juta

PENDAPATAN Islamic Relief Worldwide (IRW) meningkat kepada £149 juta pound (RM861.39 juta) tahun lalu akibat didorong oleh kenaikan sumbangan dan harta pusaka secara mendadak.

Ia meningkat sebanyak £18 juta pound atau sekitar 14 peratus menurut akaun kewangan badan amal untuk tahun itu yang berakhir Disember 2020, yang diterbitkan, kelmarin.

IRW mengumpul lebih daripada £15 juta pound sepanjang Ramadan tahun lalu dan menjadi jumlah sumbangan tertinggi yang pernah dicatat walaupun dunia beralih kepada sistem perkhidmatan secara atas talian akibat pandemik Covid-19.

Terdapat juga peningkatan derma yang banyak dipindahkan ke IRW oleh badan amal yang bekerja mewakili sebahagian daripada organisasi Bantuan Islam di tempat lain seluruh dunia.

Akaun tersebut menunjukkan bahawa IRW bekerjasama dengan pakar luar untuk menyelidiki semula lebih daripada 100 kakitangan kanan di seluruh rangkaian Islamic Relief tahun lalu, setelah Suruhanjaya Amal menyiasat aktiviti media sosial antisemit oleh beberapa pemegang amanah.

Bantuan di salurkan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Pendapatan, perbelanjaan, rizab

Wang yang diperoleh daripada derma dan sumbangan di United Kingdom (UK) meningkat daripada £27 juta pound menjadi £36 juta pound, sementara pendapatan yang diserahkan kepada IRW daripada bahagian lain jaringan Bantuan Islam global meningkat sebanyak £82 juta pound menjadi £91 juta pound.

Ia diimbangi oleh penurunan pendapatan yang mendadak daripada kerja amal IRW yang lebih rendah £600,000 berbanding tahun 2019.

Perbelanjaan IRW juga meningkat sedikit, daripada £128 juta pound kepada £129.4 juta pound selepas membiayai beberapa projek di 39 negara termasuk UK.

Badan amal itu mengatakan bahawa ia mengurangkan perbelanjaan dengan membekukan pengambilan pekerja dan menangguhkan beberapa projek baharu akibat pandemik Covid-19. Sementara jumlah kakitangan yang diambil oleh IRW hampir tidak berubah, menurun dari 469 menjadi 465 orang.

Rizab tidak terhad meningkat daripada £9.4 juta pound kepada £12.4 juta pound.

Suruhanjaya Amal membuka kes pematuhan kepada IRW pada musim panas 2020, setelah akhbar The Times mendedahkan bahawa tiga daripada pemegang amanah amal telah menyiarkan kandungan antisemit di media sosial peribadi mereka.

Pada bulan Januari 2021, Suruhanjaya menyimpulkan bahawa badan amal tersebut telah melakukan pecah amanah dalam kepimpinannya.

Suruhanjaya bebas yang mengurus tadbir IRW dan diketuai oleh mantan jaksa agung Dominic Grieve, mengatakan bahawa IRW adalah organisasi yang sangat berkesan tetapi perlu menangani risiko reputasi yang berterusan.

Kenyataannya mengatakan, lembaga pengawas berkomitmen secara terbuka untuk melaksanakan semua saranan daripada Suruhanjaya Amal dan agensi bebas.

Akaun tersebut juga menunjukkan bahawa IRW menangani 12 kes di mana pekerja telah mengemukakan masalah keselamatan yang berkaitan dengan rakan sekerja di badan amal itu. Daripada kes yang disimpulkan sebelum akhir tahun 2020, IRW mengambil empat tindakan kes berkaitan termasuk pemecatan pekerja.

Sumber: CivilSocirty News

a15f3795-7f25-4e62-bb6a-c7b5da8aa763
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Golongan Rentan Sasaran IMAN

no comment

BEBERAPA negara di dunia telah mula melonggarkan peraturan dan membuka semula ekonomi masing-masing selepas mengharungi pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Perkembangan ini mampu disaksikan selepas negara terbabit berjaya melaksanakan program vaksinasi sehingga mencapai imunisasi kelompok iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus jumlah penduduk disuntik vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Barisan Hadapan KKM ketika memulakan kempen imunisasi vaksin.

Namun program vaksinasi perlu juga disertai dengan pematuhan SOP atau prosedur operasi standard oleh masyarakat.

Tanpa kerjasama masyarakat ini dan usaha bersungguh-sungguh kerajaan, agak sukar bagi sesebuah negara untuk secara berkesan mengatasi penularan wabak Covid-19 ini.

Begitulah juga dalam menangani krisis ekonomi yang dibawa oleh pandemik berikutan banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup.

Langkah-langkah diumumkan kerajaan bagi meringankan beban masyarakat memang memberi kelegaan bagi mereka yang telah hilang punca pendapatan.

Namun, usaha ini tidak harus diletakkan di atas bahu kerajaan sahaja. Malah Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan korporat, parti politik dan kelompok masyarakat harus turut memiliki peranan besar dalam membantu golongan masyarakat yang terhimpit.

Menyedari hakikat ini, beberapa NGO telah tampil memberi sumbangan bagi membantu golongan miskin bandar termasuk golongan asnaf dan gelandangan.

IMAN mahu berterusan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik ini.

Antaranya ialah Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang telah memulakan langkah awal persediaan dengan mengumpul dana selain menyediakan 7,500 pek makanan dan 5,000 bungkusan membabitkan pelbagai keperluan barangan dapur untuk diagihkan kepada warga kota yang memerlukan.

Presidennya, Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak berkata, inisiatif awal yang dilakukan itu adalah untuk manfaat lebih 6,000 penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat melalui program bantuan yang telah dilaksanakan sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, pek makanan berkenaan diagihkan kepada warga emas, keluarga kurang berkemampuan dan golongan gelandangan selain petugas barisan hadapan di sekitar ibu kota dan sebahagian di negeri Selangor.

“Sasaran ditetapkan kepada golongan rentan yang membawa definisi wanita, warga emas, orang kelainan upaya, miskin tegar, belia, pelarian dan imigran. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk sentiasa membantu golongan rentan tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.

Meringankan beban bagi yang amat memerlukan bantuan.

“Inisiatif ini telah dilakukan sejak awal Ramadan lalu yang dilakukan sebelum ini khusus untuk petugas barisan hadapan bagi meringankan beban golongan wira negara itu yang bertugas dan terpaksa berkorban meninggalkan keluarga.

“Pengorbanan petugas barisan hadapan menjalankan tugas tanpa mengira waktu selain dibebani dengan tanggungjawab melandaikan kes jangkitan Covid-19 besar ertinya kepada rakyat,” katanya yang meluaskan peranan IMAN di setiap negeri untuk turut mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Menerusi Hadis Riwayat Tirmidzi (ayat 2325), Rasulullah bersabda; “Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rezeki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Ia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia gunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyadari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik”.

Menurut Mohamed Mosin, pihaknya bersyukur kerana ramai antara golongan dermawan yang sudi bekerjasama dengan pihak IMAN dengan menaja barangan dan wang tunai dalam meneruskan program kebajikan mereka secara berterusan walaupun selepas Ramadan.

Golongan rentan antara yang menjadi sasaran IMAN.

“Insya ALLAH, program umpama ini akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa dan menyeru agar lebih ramai NGO, badan korporat dan parti politik untuk turun padang melihat permasalahan rakyat dan mencari resolusi membantu mereka bukan saja bantuan berupa wang ringgit mahupun barangan harian, malah sokongan moral untuk membangkitkan semula semangat mereka.

“Pandemik ini bukan saja menjejas ekonomi malah emosi kita semua turut terganggu yang memerlukan masa yang lama untuk kembali pulih. Keikhlasan tindakan, kewarasan pemikiran serta kebijaksanaan dalam pendekatan adalah amat penting dalam memastikan masyarakat yang susah dibantu.

IMAN menyeru lebih ramai dermawan tampil menyokong usaha NGO dengan memberi sumbangan untuk diagihkan kepada mereka yang terkesan.

“IMAN juga berbesar hati dan bertuah kerana telah menjadi pilihan para dermawan yang budiman bagi menggalas amanah yang diberi dengan penuh rasa tawaduk dan bertanggungjawab apabila berjaya mengagihkan kesemua bantuan berupa barangan dan wang tunai. Semoga usaha kita semua menjadi asbab kebaikan dunia dan akhirat,” katanya.

adcc46ef-b6b2-49a8-b832-cdd7fba5dd5c
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Kembali Kepada Fitrah Jalan Penyelesaian Pandemik

no comment

IMPAK dari situasi pandemik Covid-19 telah mengubah kehidupan normal manusia kepada dunia norma baharu. Kesannya dirasai pelbagai sektor yang bukan saja dilihat dari aspek fizikal tetapi turut menjejaskan kesihatan mental masyarakat amnya di seluruh dunia.

Begitupun langkah penyelesaian harus segera diambil tindakan dalam memastikan perjalanan kehidupan itu dapat diselarikan dengan kehidupan norma baharu hari ini.

Ustaz Dr Mohd Ashraf (kanan) bersama selebriti, Ebby Yus (kiri) bergambar bersama anak-anak tahfiz PMHQ.

Pengetua Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ), Ustaz Dr. Mohd Ashraf Suarin, berkata menyedari sistem pendidikan adalah teras kepada pembentukan sahsiah generasi hari ini dalam mengurus tekanan, manusia seharusnya perlu berbalik kepada ajaran Islam.

Ustaz Dr Mohd Ashraf, Pengetua PMHQ.

“Bila kita berbalik kepda Islam, pendidikan kepada generasi hari ini haruslah perlu lebih hebat dengan menanamkan sifat kesabaran, keredhan dan kerterbukaan hatinnya, dengan melihat bagaimana dunia yang harus kita lalui dan Allah telah tunjukkan, inilah pakej kehidupan sebenar.

“Bila sebut gambaran era pandemik, kita harus mendidik generasi kita menjadi lebih kuat, tabah seperti mana yang dilalui orang Islam di Palestin. Jadikan rujukan, panduan dan pengajaran bagaimana kaedah untuk mendidik mereka dengan hati, bersangka baik, mental yang kuat dan jangan tinggal ajaran dan ingatan Rasulullah.

Pembentukan sahsiah harus dimulai dengan pendidikan al-Quran.

“Walaupun kita terpaksa belajar secara atas talian, inilah cabaran yang kita kena lalui, bukan mudah tetapi banyak sudut yang perlu kita pelajari. Kita semua perlu bersama berada dan menyumbang kepada sistem pendidikan terutama ibu bapa ketika berada di rumah,” katanya ketika di hubungi portal SI+, hari ini.

Menurut Ustaz Dr Mohd Ashraf, apa saja yang diaturkan oleh Allah ada hikmah dan aturannya untuk menjadikan lebih yang terbaik.

“Bila berlaku gambaran ini Allah mahu perbetulkan minda dan cara hidup kita bukan untuk melihat keduniaan semata-mata tetapi persediaan kita untuk akhirat. Corak hidup hari ini lebih cenderung kepada era teknologi yang ada baik dan buruknya.

“Lebih lagi kepada generasi baru di mana mereka lebih terdedah dengan kecanggihan yang adakalanya boleh menyebabkan mereka lalai. Apa pun kita yang lebih dewasa kena selalu mengingatkan dan mengawasi lebih menggunakan akal dan keimanan apa yang dilakukan. Percayalah apa yang Allah berikan ada sesuatu hikmah yang terbaik.

“Paling utama adalah mendengar saranan kerajaan dengan pertingkatkan disiplin dengan menjaga SOP dan perkara itu seharusnya tidak sukar memandangkan pengalaman setahun yang lalu sepatutnya menjadikan kita lebih tenang dan jangan jadikan ia sebagai satu tekanan.

Menghadiri majlis ilmu antara pendekatan mengembangkan minda palajar.

“Bagi umat Islam, SOP membawa maksud S adalah perbanyakkan solat, syukur dan selawat kepada Rasulullah. O pula kita kena perbetulkan otak kita untuk sentiasa bersangka baik tehadap Allah dan P adalah perilaku kita, peribadi lebih tenang dan waspada sentiasa.

“Satu perkara apabila berlaku situasi seperti ini yang perlu kita sedar, banyak orang mahu mengambil kesempatan untuk meluahkan, mencari glamor melalui media sosial, ini kena ubah kita kena banyak mendekatkan diri kita dengan Allah, itulah pembaharuan yang perlu dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, kesempatan inilah harus diambil dalam situasi pandemik untuk menerapkan lebih dalam sahsiah diri generasi hari ini agar tidak terus terumbang-ambing sebagai persediaan menantikan hari pengakhiran hidup.

Mengagihkan sumbangan menerusi program Infaq Beras kepada yang memerlukan.

“Hakikatnya sifat manusia apabila sudah terkena baru mereka tersedar. Sebenarnya dalam situasi inilah kita harus mengambil kesempatan untuk memberitahu, menceritakan bahawa virus yang menyekat kebebasan kehidupan kita adalah untuk menyuruh kita terus istiqamah dengan ibadah, ketakwaan, melakukan kebaikkan dan melindungi dengan mengingatkan mereka bukan berkaitan SOP untuk melindungi virus semata tetapi SOP daripada kemurkaan Alllah.

“Tanggungjawab ibu bapa bukan untuk mereka bersendirian masuk syurga, tetapi perlu membawa sekeluarga untuk masuk syurga. Bagaimana Allah mengingatkan kita menerusi surah At-Tahrin ayat 6 di dalam al-Quran yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka”. Jadi kita rebut kesempatan ini apabila kita tidak boleh keluar beramai-ramai, tidak boleh berjemaah bersolat mahupun ke majlis ilmu beramai-ramai tapi kita wujudkan suasana berjemaah di rumah sebagai kesempatan untuk mendidik generasi baru,” katanya.

Anak-anak tahfiz PMHQ diberi ilmu al-Quran bekalan akhirat .

Sementara itu, Ustaz Dr Mohd Ashraf yang turut mengusahkan pondok pengajian al-Quran PMHQ lebih cenderung mendidik ajaran al-Quran dalam jiwa anak-anak kecil agar mereka tidak berhadapan dengan tekanan pada masa akan datang.

“Fitrah manusia adalah kembali kepada al-Quran setiap masa adalah punca ketenangan hidup. Di pondok motivasi ini saya sangat menekankan kecintaan kepada al-Quran sebagai kalam Allah yang memberi kekuatan utama pada kami di PMHQ untuk meneruskan usaha mendidik jiwa dan akhlak anak-anak.

Jika kita sentiasa berbalik kepada al-Quran dalam apa jua situasi, insya Allah jiwa lebih tenang. Inilah yang saya tekankan agarpPelajar di sini boleh melalui pelbagai cabaran kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Pengajian al-Quran untuk semua. Ibu-ibu yang menghantar anak-anak terasa sebak meninggalkan anak untuk mencari ilmu akhirat.

Menurutnya, PMHQ menekankan aspek kasih sayang kepada anak-anak terbiar dan kecintaan pada kitan suci itu yang menjadi kunci utama kewujudan PMHQ.

“Bagi saya, kedua-dua faktor ini adalah satu aspirasi penting, bahawa selain ilmu, nilai kecintaan sesama insan juga harus dipupuk sebagai antara ikatan utama pendidikan tahfiz.

“Tanpa mengira latar belakang sosial dan kemampuan ekonomi PMHQ memilih untuk mengutamakan misi membantu anak-anak tahfiz meningkatkan kualiti sahsiah diri melalui Pendidikan al-Quran.

“Tidak semua pusat hafazan milik pelajar pintar saja. Ada yang sederhana tetapi proses menghafal walaupun perlahan, ia tetap berkesan untuk pembangunan jiwa dan iman mereka. Pembangunan jiwa ini penting agar mereka dapat membesar dengan lebih sempurna,” katanya.

PMHQ yang diasaskan pada 3 Mac 2013 terbuka kepada kanak-kanak dan remaja yang ingin mendalami al-Quran. PMHQ bertapak di Kampung Blok J, Sawah Sempadan, Tanjung Karang ini mendapat banyak dana hasil sumbangan orang ramai.

Infaq Beras antara program yang mendapat manfaat kepada golongan tidak berkemampuan.

Malah pertubuhan itu turut menawarkan penjualan beras keluaran bumiputera untuk diinfak kepada pembangunan tabung PMHQ dan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah bangunkan PMHQ sudah 90 peratus sempurna disiapkan. PMHQ memilih bersikap Ehsan dengan menerima pelajar yang terbiar akibat krisis keluarga dan kemiskinan.

Antara penerima yang menerima sumbangan beras hasil infaq orang ramai.

“Tidak semua perkara duniawi kita kejar untuk bermegah-megah. Aspirasi tahfiz tidak wajar dijadikan perlumbaan untuk menjadi hebat seperti university Oxford atau Canbridge.
“Kita membantu pelajar sederhana juga sebab al-Quran itu penyuluh jalan hidup. Bukan alat berbangga-bangga demi status peribadi. Bagi mereka yang ingin menyumbang, kami menyediakan penjualan beras untuk diinfak. Sebarang maklumat boleh dilihat menerusi laman sosial Facebook Pondok Motivasi Hamlatul Quran,” katanya.

Golongan selebriti di bawah Persatuan SENIMAN turut menerima manfaat.

2472281-1769597055
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor, Uncategorized,

Memartabat Industri Halal Negara

no comment

Sebuah Pusat Inovasi Halal bakal ditubuhkan di negeri Terengganu melalui kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sebagai usaha membangunkan ekosistem industri halal di negeri pantai timur itu.

Dalam usaha itu, HDC dan UMT telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi kerjasama akademik, latihan dan penyelidikan.

Kerjasama itu menunjukkan pentingnya industri halal dalam era ekonomi baru yang memperakui industri halal global sangat mewujudkan peluang besar, apatah lagi permintaan yang mencecah USD3 trilion setahun.

Halal Development Corporation Berhad

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata pelbagai peluang perniagaan dan prospek dalam peluang penyelidikan serta tambah nilai ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti antara matlamat yang ingin dicapai dalam kerjasama berkenaan.

“Ia sejajar dengan visi HDC untuk menjadikan produk halal sebagai pilihan pertama dalam meneroka perniagaan di negara ini. Misi HDC pula untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja mahir di dalam industri halal bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerjasama dengan UMT adalah untuk meningkatkan dan meluaskan kerjasama akademik daripada sudut latihan dan penyelidikan serta mempromosikan jalinan kerjasama ke dua-dua belah pihak.

“UMT adalah institusi pendidikan tinggi yang pertama di Terengganu untuk bekerjasama dengan HDC dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan produk halal dan seterusnya mewujudkan Pusat Inovasi Halal di Terengganu,” katanya.

MoU ditandatangani Hairol mewakili HDC dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman pada Majlis Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia anjuran HDC, baru-baru ini.

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Tuan Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman; Pengerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC), Dato’ Mahmud Dato’ Dr Abbas  dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar.

Tambahnya, HDC telah menghasilkan lebih daripada 60,000 tenaga kerja mahir halal sejak tahun 2007. Tahun ini juga HDC memberi tumpuan kepada penempatan pekerjaan kepada golongan terlatih ke dalam lebih daripada 8,000 syarikat halal dari dalam dan dari luar negara, yang berpotensi sebagai bakal majikan.

“Selain daripada menyediakan latihan profesional halal, HDC juga menawarkan kepakarannya dalam memudah cara bagi pemain industri untuk mengorak langkah ke dalam pasaran halal melalui perkhidmatan konsultansi dan nasihat pakar industri, khidmat pemadanan perniagaan serta perkhidmatan ‘Halal Integrated Platform’.

“Dengan kemajuan teknologi yang pesat dan peningkatan jumlah platform digital dalam beberapa tahun kebelakangan ini kesan dari pandemik Covid-19, Perusahaan mikro, kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan untuk sepenuhnya mendigitalkan perniagaan mereka dan memaksimakan potensi yang disediakan oleh platform e-dagang selain meningkatkan inovasi digital kreatif mereka.

“HDC, melalui Platform Bersepadu Halal (HIP), akan menghubungkan ahli dengan pihak berkepentingan utama di bawah satu platform, yang berpotensi menghubungkan lebih daripada 200,000 pemain industri Halal tempatan untuk mengembangkan kemampuan dan keupayaan perniagaan mereka,” katanya.

Malah kolaborasi ini juga memenuhi inisiatif ‘Target Relief and Recovery Facility (TRRF)’ di bawah Bank Negara bagi menghulurkan bantuan kewangan kepada PKS perniagaan halal yang perniagaannya terjejas akibat pandemik Covid-19. Ia membantu meningkatkan jumlah PKS yang terlibat dalam Perniagaan Halal melalui produk pembiayaan bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, bekerjasama dengan HDC dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan adalah menjadi matlamat utama pihak mereka.

“Produk dan perkhidmatan kami tidak terhad kepada pelanggan perseorangan atau perkhidmatan pengurusan tunai sederhana sahaja tetapi juga untuk memenuhi kepercayaan perniagaan yang lebih bersesuaian dengan PKS mengikut keadaan dan suasana perniagaan yang mencabar sekarang.

“Sebagai Bank yang memajukan kesejahteraan untuk semua, kami percaya bahawa kolaborasi ini akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk mengekalkan perniagaan, terutamanya PKS, seterusnya mengembangkan industri Halal Negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Manakala Dr Nor Aieni, berkata kerjasama dengan HDC untuk memperkuatkan ekosistem industri halal, memperkukuh komitmen dalam menyediakan nilai tambah kepada pelajar untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan segala kemahiran dan pengetahuan.

“Selain itu, kerjasama ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam industri halal tempatan dan global dan membuka banyak peluang kerjaya untuk mereka. Kredibiliti HDC dalam bidang pembangunan latihan industri halal sememangnya tidak dinafikan.

Selain diiktiraf sebagai Badan Peneraju Industri (Halal) Negara oleh Kementerian Sumber Manusia, HDC juga diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai agensi pembangun Standard Pengajian Halal bagi institut-institut pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya.

b5722196-e730-47ba-ae3c-58431f7c1e75
Berita Semasa, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Bangkit Dalam Norma Baharu

no comment

Khamis ini genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini, secara tidak langsung mengubah kehidupan norma baharu kita yang tidak lagi seperti dulu. Segalanya kebebasan pergerakan kita diatur dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Tahap penjangaan terhadap diri sendiri dan keluarga terpaksa ditingkatkan demi keselamatan semua.

Semua sektor terpaksa dihentikan berkuatkuasa 18 Mac 2020 dan masyarakat hanya dapat melihat keadaan di luar hanya menerusi jendela rumah. Akibatnya sedikit demi sedikit sektor ekonomi ‘bungkus’. Bagi golongan yang kurang berkemampuan, terpaksa menanti bantuan bekalan makanan tiba di pintu rumah.

laluan penjalan kaki yang menempatkan peniaga barang terpakai.

Susananya tidak seperti dulu, kesan pandemik COVID-19 banyak mengubah segala-galanya. Jika dulu kita bebas bergerak bersama keluarga dan kenalan rapat mencari lokasi makanan dari awal pagi hinggalah lewat malam sekiranya tidak terikat dengan tuntutan kerja. Namun disebalik kesukaran pergerakan kita dibatasi, golongan peniaga yang menjadikan aktiviti berniaga sebagai punca pendapatan hidup dalam berusaha mencari rezeki buat dari sendiri mahupun keluarga seiring amalan sunnah Rasulullah, turut menerima kesan besar.

Ruang khas untuk busker menghiburkan pengunjung.

Tempoh setahun yang memeritkan dan penuh tekanan, ramai juga yang gagal untuk bertahan lalu mengambil keputusan menghentikan perniagaan kerana sudah tidak lagi mampu menyewa tapak perniagaan, berbeza bagi mereka yang kuat, digagahkan juga mencari modal meneruskan perniagaan semula.
Begitupun selepas setahun berlalu dan sebaik Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan syarat kawalan pergerakan dengan sektor perniagaan kedai dan gerai makan boleh beroperasi semula, ramai di antara mereka merasakan inilah masanya untuk mereka bangkit dari kekecewaan, kesediahan dan kegagalan.

Senario itu dapat dilihat ketika kru portal siplus.com.my berkunjung ke Kantin@Setor, Jalan Gombak baru-baru ini di mana peniaga kembali bangkit lebih bersemangat berbeza berbanding sebelum pandemik berlaku.

Pemilik Kantin@Setor, Fakharuddin Awaludin, berkata lebih 50 peniaga Islam yang hanya bergantung pendapatan dengan berniaga terjejas teruk. Kini, lokasi perniagaan berkeluasan 2,314 meter persegi itu hanya menampatkan 18 kedai makan dan 30 peniaga bebas pasar karat.

Pemilik Kantin@Setor, Fakharuddin Awaludin

“Atas sifat kemanusiaan, saya tidak boleh ambil duit sewa tapak sepanjang tempoh pandemik melanda negara sepanjang tahun lalu. Di dalam Islam juga kami perlu membantu mereka yang sudah menjadi tanggungjawab besar bagi saya bagaimana untuk menjana kembali pendapatan mereka dalam tempoh pandemik dan pasca pandemik hingga har ini.

“Bagi peniaga yang mempunyai masalah kami terbuka untuk berjumpa dan berbincang. Kami mendengar semua pandangan mereka khususnya berkaitan sewaan tapak dan jawapannya mereka boleh bayar mengikut keselesaan mereka. Selain kami memberi diskaun, mereka juga boleh bayar secara ansuran dan jika tidak mampu bayar bulan itu kita mudahkan mereka dengan bayaran pecahan untuk beberapa bulan akan datang, mereka semua peniaga adalah tanggungjawab saya,” katanya yang kehilangan empat peniaga Melayu sepajang pandemik.

Selebriti hiburan, Zain Saidin turut berniaga di Kantin.

Menurutnya lagi, selagi kantin masih beroperasi, sebanyak 30 peratus keuntungan akan diserahkan kepada Rumah Anak Yatim dan badan kebajikan sebagai amal jariah dari peniaga, secara tidak langsung menjadi motivasi buat peniaga untuk Pemberi Rezeki, Allah SWT.

Selebriti yang juga peniaga Kantin, Zain Saidin, berkata akibat pandemik yang tidak pernah diramal sesiapa, kebanyakan peniaga mengalami kerugiaan teruk dari 70 hingga 80 peratus, namun hikmahnya nikmat syukur yang dirasainya hari ini.
“Jujurnya memang saya dan rakan yang lain merasa tertekan ketika PKP lalu kerana semua kedai diarahkan tutup. Walaupun kami hanya dibenarkan untuk menjual secara penghantaran, namun permintaannya sangat kurang. Sebenarnya konsep di Kantin ini pengunjung memang suka untuk makan di sini kerana suasananya yang tenang, cantik dengan pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak Kantin membuatkan orang tidak suka untuk bungkus di bawa balik.
“Apabila MKN mengumumkan semua kedai boleh dibuka semula, kegembiraannya itu tidak dapat disorok lagi, rasa lega dan bersemangat semula untuk bangkit berniaga. Alhamdulillah keyakinan pengunjung untuk datang semula dapat dilihat selepas tiga minggu beroperasi.

Muhammad Arabi di gerai Makanan Arabnya.

Peniaga Makanan Arab, Muhammad Arabi, berkata sepanjang tempoh PKP hikmah besar yang diperolehi adalah nilai persahabatan, kerjasama dan kasih sayang sesama Islam cukup menyentuh perasaannya.
“Saya bersyukur dengan komuniti perniga di sini termasuk pihak Kantin yang banyak membantu saya untuk kembali bangkit. Saya hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan, namun komuniti di sini datang berjumpa dan memberi bantuan dan motivasi untuk saya kembali tersenyum hari ini, Alhamdulillah,” katanya.

 

INFO: Kantin@Stor

-Terletak di Jalan Gombak, Selangor
-14 minit menaiki kereta dari LRT Wangsa Maju.
-Menjual makanan panas, pakaian, aksesori, barangan rumah, basikal dan mainan kanak-kanak.
-Memuatkan 400 orang dalam satu masa.
– Kemudahan seperti, Surau, Parking percuma, Taman Permainan, Buskers, Panggung Asia, Bazaar Karat dan Gudang 5