Browsing Tag

pameran seni Islam

The Conversation
Jendela Dunia,

Perancis Anjur Pameran Seni Islam Di 18 Bandar Bagi Tangani Peningkatan Islamofobia

SELAMA empat bulan bermula 20 November depan, kerajaan Perancis akan mengadakan pembukaan serentak pameran seni Islam di 18 bandar seluruh negara itu sebagai usaha menangani peningkatan golongan Islamofobia.

Yannick Lintz berbangga apabila projek pameran seni Islam itu mendapat reaksi positif daripada Datuk Bandar.

Ketua Jabatan Islam Musee du Louvre, Yannick Lintz, berkata idea itu bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa Islam telah menjadi sebahagian daripada warisan budaya di Perancis sejak Zaman Pertengahan lagi.

“Ia adalah inisiatif baharu yang berani dilancarkan di Paris hari ini. Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Perancis akan mengumumkan pembukaan serentak pada 20 November depan.

“Muzium du Louvre akan meminjamkan sebanyak 60 barangan utama pada pameran itu sepanjang empat bulan ia diadakan. Ia juga akan dipamerkan bersama karya yang diambil dari muzium nasional, tempatan, perpustakaan dan gereja,” katanya.

Menurut Lintz, pameran itu bertujuan untuk membetulkaan persepsi negatif masyarakat terhadap Islam dan menunjukkan bahawa setiap manusia harus menghormati setiap agama.

“Pada setiap pameran yang diadakan, orang ramai akan dapat menyaksikan video yang akan menelusuri kembali tempat dan monumen bersejarah Islam

“Turut diadakan forum dan perbincangan yang terbuka kepada pelajar termasuk pengunjung lain. Ia akan dijalankan dengan bantuan persatuan dan komuniti agama setempat.

“Kita juga akan mengundang 19 seniman yang terkenal berasal dari Algeria, Iran, Turki dan Mesir, untuk mempamerkan karya mereka.

“Pada masa yang sama, bandar Strasburg di timur Perancis akan mengadakan pameran istimewa mengenai seni Islam menerusi koleksi karya di tempatnya. Kami juga menerima banyak permohonan daripada pihak luar untuk menyertai pameran ini dan mengharapkan kami dapat membuat pilihan yang terbaik,” katanya yang gembira apabila mendapat maklum balas yang baik daripada Datuk Bandar terhadap projek itu.

Tambah Lintz, acara yang diadakan di seluruh negara seperti itu jarang berlaku di Perancis, di mana tempat-tempat kebudayaan tertumpu di ibu kota.

Katanya lagi, idea itu lahir daripada ucapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Oktober tahun lalu di mana ia mengkritik “faksionalisme Islam radikal” dan mengusulkan agar negara mempromosikan ‘pandangan lain’ mengenai budaya Islam.

Rakyat Perancis mengadakan tunjuk perasaan terhadap golongan anti-Islam. Gambar: DW

Selepas siri serangan pengganas di Perancis beberapa tahun lalu, sentimen anti-Islam semakin meningkat di seluruh negara.

Persiapan untuk pemilihan Presiden pada April tahun depan semakin menambah ketegangan. Ramai calon-calon baharu akan bertanding bagi merebut kerusi Presiden. Selain Ahli Politik, Marine Le Pen, muncul calon baharu yang pernah mencetuskan kontroversial iaitu, Eric Zemmour. Dia adalah seorang kolumnis dan penyiar TV kumpulan media Vivendi yang telah disabitkan kesalahan kerana menghasut kebencian kaum terhadap umat Islam.

Pada tahun 2020, Suruhanjaya Perundingan Nasional mengenai Hak Asasi Manusia, serangan rasis secara keseluruhan di Perancis menurun sebanyak 22 peratus tetapi serangan yang dilakukan terhadap masyarakat Islam meningkat lebih daripada 50 peratus.

 

Sumber: The Art Newspaper