Browsing Tag

palestin

webp-net-compress-image-33
Jendela Dunia,

Masjid Hasan Bek: Karya Agung Uthmaniyyah Di Tengah Tel Aviv

no comment

WALAUPUN telah beberapa kali diserang sejak Israel menduduki tanah Palestin, Masjid Hasan Bek, yang dibina pada zaman Uthmaniah di kota Jaffa negara itu masih bertahan sehingga kini kerana keindahan seni binanya.

Suasana di dalam Masjid Hasan Bek yang bina pada 1914.

Terletak di kejiranan Neve Tzedek di Tel Aviv, ibu kota diduduki Israel, masjid itu dibina oleh Gabenor Jaffa Kerajaan Uthmaniyyah, Hasan al-Basri Aljabi di kawasan Manshiyya pada tahun 1914.

Walaupun kejiranan Manshiyya di Palestin Uthmaniyyah telah dihancurkan oleh rejim Zionis Israel, namun Masjid Hasan Bek diselamatkan daripada dirobohkan kerana bimbang kemungkinan tindak balas keras masyarakat Islam antarabangsa.

Ketika Israel memasuki bandar itu pada tahun 1948 yang merupakan sebahagian besar tanah Palestin, Israel mengambil alih pentadbiran dari kota Jaffa hingga ibu kota Tel Aviv.

Israel memasukkan bandar lama Jaffa di bawah pengurusan pentadbiran tempatan Tel Aviv dan pintu Masjid Hasan Bek ditutup untuk orang Islam.

Masyarakat Palestin masih ingat bahawa selama bertahun-tahun masjid itu ditutup, Israel menjadikan ia tempat perlindungan binatang, gudang dan menjadi tempat persinggahan penagih dadah.

Setelah ia tidak lagi digunakan oleh orang Islam, kawasan sekitarnya dibina asrama dan tempat hiburan, namun pada akhir tahun 1970-an ia dibuka semula untuk beribadah oleh masyarakat Jaffa Muslim.

Bercakap kepada Anadolu Agency, imam Masjid Hasan Bek, Sheikh Ahmad Abu Ajwa, mengatakan Israel sedang berusaha untuk menghancurkan identiti Arab-Islam di tanah Palestin yang bersejarah itu.

“Tidak ada bukti yang tinggal di kawasan kejiranan Manshiyya kecuali masjid ini, yang telah menyaksikan sejarah,” katanya, sambil menambah semua ini berlaku setelah Nakba (malapetaka), merujuk kepada penjajahan Israel pada tahun 1948, ketika ratusan ribu orang Palestin berpindah dan meninggalkan rumah mereka.

Abu Ajwa berkata, masjid itu ditutup untuk beribadat setelah penjajahan Israel.
“Masjid Hasan Bek di kawasan Manshiyya terpaksa ditinggalkan oleh orang-orang Palestin untuk berpindah kerana ia menjadi sasaran berulang-kali rejim Zionis menyerangnya,” katanya yang mempunyai kawasan solat untuk kira-kira 3,000 jemaah.

Pesekitaran luar Masjid Hasan Bek.

“Masjid Hasan Bek secara harfiah adalah karya agung Uthmaniyyah. Siapa pun yang melihat struktur masjid, dari pintu masuk ke mimbar dan mihrabnya akan melihat bahawa ia adalah karya besar Uthmaniyyah.

“Namun, semua rakyat Palestin, terutama penduduk Jerusalem yang dijajah dan saudara-saudara kita di Turki telah memberikan sokongan penuh kepada masjid ini,” tambahnya.

Persatuan Mirasimiz (Warisan Kita) Turki, yang bekerja untuk pemuliharaan warisan Uthmaniyyah di Jerusalem dan wilayahnya telah bekerjasama dengan Yayasan Al-Aqsa yang diasaskan oleh warga Palestin Israel, memulihkan struktur masjid di bahagian timur dan timur laut serta dibina semula tembok tenggara sesuai dengan seni bina Uthmaniyyah pada tahun 2009.

Sumber: Anadolu Agency

Middle East Monitor
Jendela Dunia,

Israel Roboh Tanah Perkuburan Syahid Berhampiran Masjid Al-Aqsa

no comment

Perbandaran Baitulmuqaddis, yang ditadbir oleh Israel, telah menghancurkan Tanah Perkuburan Islam berdekatan Masjid Al-Aqsa di Timur Jerusalem, semalam.

Beberapa tapak kubur di Tanah Perkuburan Al-Yusufiye berhampiran masjid itu diroboh menggunakan kenderaan juruteraan berat di Kota Lama berkenaan.

Seorang penduduk Palestin sedang mengutip tulang rangka manusia. Gambar: Al Bawaba

Penduduk Palestin telah menemui cebisan tulang rangka manusia berselerak di tanah perkuburan itu ketika operasi dilakukan dan mereka membantah tindakan kejam berkenaan. Sejurus laporan di buat, kenderaan perbandaran terus meninggalkan tempat kejadian.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perlindungan Kubur Muslim, Ahmed al-Dajani, berkata kepada Anadolu Agency bahawa sebuah mahkamah Israel telah memberi izin kepada Direktorat Arkeologi Israel untuk bekerja di lokasi yang berdekatan dengan tanah perkuburan itu.

Penduduk Palestin membersihkan tapak perkuburan yang dirobohkan Israel.

Dia mengatakan antara kubur yang dirobohkan terdiri daripada mereka yang syahid ketika konflik antara 1948 dan 1967. Ahmad al-Dajani juga mengatakan bahawa Israel akan berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana melakukan kerja merobohkan tanah perkuburan itu.

Walaupun wilayah itu mempunyai satu-satunya tanah perkuburan untuk umat Islam, namun Perbandaran Baitulmuqaddis di bawah pentadbiran Israel ingin memiliki tanah itu kerana mereka telah merancang untuk membangunkan sebuah taman berdekatan dengan Pemakaman Al-Yusufiye.

Pemakaman Al-Yusufiye, yang terletak di sebelah tembok yang mengelilingi Kota Tua, adalah salah satu tanah perkuburan Islam tertua di Jerusalem yang diduduki Israel.

Kerja merobohkan tanah perkuburan oleh Perbandaran Baitulmuqaddis. Gambar: Global Village Space.

Sebelum itu, Perbandaran Baitulmuqaddis berusaha untuk merobohkan tangga bersejarah yang menuju ke Kota Tua dan Masjid Al-Aqsa, tetapi langkah itu kemudian dihalang oleh rakyat Palestin.

Tepi Barat dan Jerusalem Timur dianggap sebagai wilayah yang diduduki berdasarkan undang-undang antarabangsa.

 

Sumber: Anadolu Agency

115563_GazaWaterCrisis_1633444315829
Jendela Dunia,

97 Peratus Air Di Gaza Kini Tercemar

no comment

SEMALAM Euro-Mediterranean Human Rights Monitor dan Global Institute for Water, Environment and Health (GIWEH) dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 97 peratus sumber air di Gaza telah tercemar dan tidak boleh diminum.

Mereka mendakwa sekatan terhadap Israel dalam tempoh jangka panjang menjadi punca kemerosotan keselamatan air. Penduduk Palestin yang tinggal di Gaza seperti mana yang digambarkan oleh dunia sebagai penjara terbuka yang besar, tidak mempunyai banyak cara untuk meningkatkan kualiti air akibat penjajahan Israel sejak dulu.

Kanak-kanak yang tidak mengerti bahaya meminum air yang tidak dirawat seringkali menjadi mangsa keracunan. Gambar: Middle East Monitor

Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu telah mendesak pihak berkuasa Israel dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan pantas bagi memastikan tahap keselamatan air dipulihkan segera.

Lebih daripada 97 peratus air untuk kegunaan harian di Gaza berada di bawah standard kesihatan minimum untuk penggunaan manusia. Sebilangan besar penduduk meminum air daripada alat pembersih yang dibekalkan syarikat swasta.

Banyak infrastruktur rosak dan musnah akibat pengeboman rejim Israel.

Peralatan pembersihan air sebelum ini telah rosak dan musnah akibat pengeboman Israel dan tidak dapat digunakan kerana tiada pemuliharaan. Serangan ketenteraan berterusan ke atas Gaza dan pengeboman berulang kali terhadap infrastruktur air dan kumbahan sebagai sebab utama krisis air Gaza. Kini Gaza tidak dapat lagi membekalkan air yang mencukupi untuk dua juta penduduknya.

Pengurus Wilayah Monitor Euro-Med di Eropah, Mohammad Shehadeh mengatakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia bahawa mereka ingin menarik perhatian terhadap kemerosotan sumber air di negara itu. Ia dilihat teruk akibat pengepungan Israel yang berpanjangan, diselingi oleh serangan tentera yang berkala.

Dia menambah bahawa serangan Israel terbaru di Gaza pada bulan Mei menyasarkan infrastruktur dasar air hingga menimbulkan krisis air yang berpanjangan.

Faktor lain yang memburukkan adalah keadaan infrastruktur kumbahan air dan elektrik yang telah mengalami kerosakan teruk ketika pertempuran berterusan dengan Israel.

Menurut kenyataan itu lagi, krisis elektrik juga menghalang telaga air dan loji rawatan kumbahan beroperasi dengan betul. Akibatnya menyebabkan sekitar 80 peratus sistem kumbahan yang tidak dirawat dibuang ke laut sementara 20 peratus meresap ke bawah tanah.

Kes kematian melibatkan kanak-kanak akibat keracunan air yang tercemar sentiasa meningkat.

Kira-kira satu perempat penyakit yang tersebar di Gaza disebabkan oleh pencemaran air dan 12 peratus kematian kanak-kanak dan bayi berkaitan dengan penyakit usus. Ia berkaitan langsung dengan air minum, menurut data terbaru yang diberikan dalam kenyataan sama.

“Masyarakat Gaza tidak berdaya menghadapi situasi di mana anak-anak mereka turut terjebak dengan meminum air yang beracun dan yang kotor. Mereka seperti diracun secara perlahan-lahan,” kata Mohammad Shehadeh.

Kira-kira dua juta penduduk Palestin yang tinggal di Gaza telah mengalami sekatan Israel yang berpanjangan dan sekatan ekonomi yang teruk sejak tahun 2006.

Sumber: Anadolu Agency

114548_20210920T082813Z_474490745_RC2VLP9AQHJS_RTRMADP_3_PALESTINIANSARTISTBALLET_1632231596468
Jendela Dunia,

Balerina Simbol Kekuatan Wanita Islam Gaza

SENIMAN wanita Palestin, Abeer Jebril mengangkat simbol balerina sebagai seorang dalam kesakitan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesulitan kehidupan sosial dan politik wanita Islam Gaza di tengah konflik yang tidak pernah ada kesudahannya.

Menggambarkan keindahan dan keanggunan balerina disatukan dengan warna gelap melankolis dianggap Abeer Jebril sebagai ‘bom berdetik’.

“Saya memilih penari balet adalah kerana melihatnya sebagai ikon kecantikan dan kekuatan. Oleh itu, saya memilihnya untuk menjadi pahlawan karya saya,” kata artis Palestin berusia 35 tahun, yang berasal dari Gaza.

Jebril mendapat inspirasi daripada Edgar Degas, seorang seniman impresionisme Perancis yang terkenal dengan lukisan objek balerina yang sangat cantik.

Balerina digambarkan sebagai simbol penderitaan wanita.

Namun, dalam lukisannya dia menggabungkan keindahan itu dengan kesedihan menerusi sosok tubuh balerina yang dirantai dengan wayar berduri, menari di batu atau menghadap pagar sekatan.

Jebril meluahkan pemahaman seninya berkaitan pengepungan di Gaza yang tidak terhitung banyaknya sehingga tidak merasa bebas berada di tanah air sendiri.

“Balerina adalah sebuah metafora dengan apa yang sedang dilalui oleh wanita Gaza di tengah-tengah pertempuran dan bom di seluruh Palestin. Mereka adalah wanita elegan yang dirantai dengan konflik Israel-Palestin yang tidak pernah berhenti.

“Ia menunjukkan apa yang dirasakan, kehidupan, wajah dan bagaimana wanita itu dirantai agar dunia dapat rasakan apa yang dilalui Gaza kepada masyarakat dunia,” katanya sambil menjelaskan lukisan balerina yang dibuat dengan menggunakan pisau palet.

Lukisannya juga memberi mesej tentang wanita yang menderita kerana kehidupan mereka yang didominasi lelaki sehingga tidak bebas untuk mencari sumber pendapatan sendiri.

A Palestinian Maya Harb takes part in ballet dancing at her home in Gaza City, September 8, 2021. Picture taken September 8, 2021. REUTERS/Mohammed Salem NO RESALES. NO ARCHIVES

Kebanyakkan lukisan Jebril mengambil inspirasi daripada penari balet antarabangsa dan anak perempuannya, Maya, 11 tahun yang sering melakukan latihan tarian balet.

Sehingga kini, hasil karya seni Jebril telah dipamerkan di beberapa galeri negara-negara Eropah dan Arab.

 

Balerina lambang wanita Gaza

Dalam salah satu lukisannya, Jebril melukis seorang penari yang mengenakan sut biru tua, sementara kaki, lengan dan kepalanya dirantai dengan wayar tajam. Dia tidak dapat menari dengan bebas dan menderita akibat kabel yang mengikatnya.

Warna merah di beberapa bahagian tubuhnya mewakili darah dan luka. Dia berdarah ketika dia berjuang untuk mendapatkan kebebasan untuk menari.

Simbol tiada kebebasan di tanah air sendiri.

Lukisan lain menunjukkan pergelangan tangan balerina diikat dengan kain hijau, dengan tanda ‘Dilarang Masuk’. Di depan balerina, potret itu menunjukkan dua sosok tubuh berwarna hijau yang berdiri lebih rendah daripada dirinya, seolah-olah tentera menghalang jalan ballerina.

Biarpun objek tentera itu nampak kecil dan dilihat sengsara berbanding dengan kehebatan dan ketinggian ballerina. Bagi Jebril, gambaran tersebut adalah mengenai sekatan yang menghalang orang Gaza memasuki tempat yang selamat. Menurutnya, tanda ‘Dilarang Masuk’ menunjukkan kenyataan yang dihadapi oleh penduduk Gaza.

Wanita Gaza sentiasa hidup dalam ketakutan.

Selain lukisan menunjukkan seorang wanita dengan kostum balerina mengelak sebutir peluru sambil matanya diikat dengan pita hitam. Wanita itu bertindak balas terhadap serangan kejam dengan pergerakkan yang anggun sebagai seorang ballerina dengan mengubahnya menjadi koreografi balet.

“Lukisan itu mengenai pelarian yang sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga oleh penembak tepat dan serangan dari peluru sesat. Ia juga menunjukkan perjuangan untuk bertahan hidup dengan penutup mata tidak akan kekal lama,” tambahnya lagi.

Menanti hari kebebasan yang tidak pernah ada jawapannya.

Menurut Jebril, dalam karya seni lain, terdapat seorang gadis kecil dengan kostum balerina putih yang menggambarkan dirinya tidak bersalah. Gadis kecil itu menangis sambil melihat runtuhan.

“Warna merah dan oren mewakili api ketika mereka bertemu, sementara warna biru langit dicampur dengan asap hitam seolah-olah lukisan itu memaparkan pemandangan serangan bom atau selepas konflik berlaku,” katanya.

 

Sumber: TRT World

Jack Gues
Jendela Dunia,

Objek dan Simbol Sudu Kini Meriah di Gaza

BENDERA dan sepanduk yang dihiasi dengan objek sudu kini menjadi strategi utama pejuang Palestin menjatuhkan moral dan maruah rejim Israel. Ia rentetan enam tahanan Palestin berjaya menusuk keluar dari penjara Gilboa yang dikhabarkan memiliki ciri-ciri keselamatan terbaik di dunia.

Enam tahanan Palestin berjaya melarikan diri pada 6 September lalu dari penjara itu melalui lubang singki dengan mengoreknya menggunakan sudu dan peralatan makanan lain.

Selepas beberapa hari usaha menjejak tahanan Palestin oleh tentera Israel dilakukan, akhirnya kesemua tahanan itu berjaya ditangkap kembali baru-baru ini.

Seorang pelukis menghasilkan sebuah mural dengan objek sudu sebagai simbolik . Gambar: Mahmud Hams/AFP

Menurut peguam kepada salah seorang rakyat Palestin yang ditangkap itu, Ruslan Mahajaneh, anak guamnya Mahmoud Abdullah al-Ardah mengatakan bahawa dia hanya menggunakan sudu, piring dan pemegang cerek untuk kerja menggali terowong dari selnya.

“Peristiwa memalukan itu mengingatkan kembali kejadian sama yang berlaku pada 1996 di Kota Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki Israel. Tahanan Palestin, Ghassan Mahdawi berjaya melarikan diri dari penjara melalui terowong yang digali hanya dengan menggunakan paku.

“Dia telah ditangkap kerana didakwa telah menyertai kumpulan bersenjata semasa intifada Palestin pertama yang berlangsung hingga awal 1990-an. Mahdawi berjaya melarikan diri dari penjara dan ditangkap kembali, dia akhirnya dibebaskan selepas 19 tahun menjadi tahanan rejim Israel.

“Saya teringat kata-kata Mahdawi, untuk melarikan diri dari penjara Israel adalah sesuatu yang biasa akan dipikirkan oleh setiap tahanan. Semua yang berlaku ini akan tetap menjadi sejarah yang akan diingati oleh generasi akan datang,” katanya.

Orang ramai berhimpun di hadapan Masjid Dome of The Rock. Gambar: Ahmad Gharabli/AFP

Selepas kesemua enam tahanan itu ditangkap kembali, ramai rakyat Palestin mengadakan demonstrasi membantah penangkapan mereka. Kini di Kota Gaza, kelihatan seorang pelukis mengabadikan sebuah mural dengan objek sudu sebagai simbolik dan sindiran kepada rejim Israel.

Begitu juga kelihatan orang ramai berhimpun di hadapan masjid Dome of The Rock dengan di tangan setiap orang mengangkat sudu sebagai tanda sokongan kepada enam tahanan Palestin yang ditangkap.

Arca berbentuk tangan sambil memegang sudu. Gambar: Yasser al-Zayyat/AFP

Tidak ketinggalan, artis seni dari Kuwait, Maitham Abdal turut menghasilkan arca bernama ‘Spoon of Freedom’ sebagai menghormati tahanan Palestin itu.

Di Kota Umm al-Faham, ramai warganegara Palestin berhimpun dengan mengangkat sudu ketika mereka melakukan protes terhadap tindakan tentera Israel.

Malah, ramai penduduk Palestin menaikkan sepanduk dengan tanda pagar, ‘sudu ajaib’ sebagai sindiran untuk mengganggu mental dan menjatuhkan moral rejim Israel.

Sumber: Al Jazeera

Haniyeh Taliban
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Hamas Ucap Tahniah Kepada Taliban Atas Pembebasan Afghanistan

no comment

KETUA Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mengucapkan tahniah kepada Taliban atas pembebasan Afghanistan daripada penjajahan Amerika Syarikat, kata kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menerusi panggilan telefon bersama Ketua Biro Politik Taliban, Mulla Abdul-Ghani Bradar, Haniyeh mengatakan dia menganggap penghapusan penjajahan dari Afghanistan sebagai permulaan untuk penghapusan penindasan kepada seluruh dunia terutama penjajahan Israel.

Ismail Haniyeh memuji perjuangan kepimpinan Taliban. Gambar: Middle East Monitor

Pemimpin tertinggi Hamas berharap agar Afghanistan muncul sebagai negara ‘bersatu, kuat dan makmur’ setelah berakhirnya penjajahan ini.

Sementara itu, Mulla Abdul-Ghani mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Haniyeh diatas panggilan telefon itu dan berharap agar rakyat Palestin yang ‘tertindas’ mengalahkan penjajah mereka dengan sokongan ALLAH dan berusaha diatas penentangan mereka.

Mulla Abdul-Ghani juga memuji perjuangan Palestin kerana sentiasa berusaha dan berkorban dengan pelbagai cara demi membebaskan negara mereka daripada penjajahan Israel.

Dia menyeru agar semua negara dan semua orang berdiri di samping Palestin dan rakyatnya.

Taliban kembali menawan semula Afghanistan selepas 20 tahun dijajah oleh Amerika Syarikat. Kemenangan Taliban terhadap negara ‘Uncle Sam’ itu dibuat secara berperingkat bermula sejak 6 Ogos dengan menguasai bandar Nimrooz, Sherbeganz, Sarepul, Kunduz, Talqan, Aybak sehingga la Jalalabad dan Kandahar.

Ramai diplomat luar telah meninggalkan Kabul sejak penutupan pangkalan tentera Amerika Syarikat untuk pulang ke negara asal.

Mulla Abdul-Ghani turut mendoakan Palestin bebas dari penjajahan Zionis.

Ketua Perunding yang juga Ketua Biro Politik Taliban, Mulla Abdul-Ghani Bradar telah mengisytihar kemenangan Taliban menawan semula Afghanistan daripada kuasa asing secara rasmi pada 15 Ogos lalu.

Sebelum ini, Pemimpin Jamaat-e-Islami (JI), Ameer Sirajul Haq telah memuji kepimpinan Taliban kerana mahukan perdamaian, tidak membalas dendam terhadap lawan, melindungi diplomat dan orang asing tanpa pertumpahan darah bagi amnesti yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam dunia tamadun moden.

Malah Taliban juga memberi jaminan bahawa hak-hak wanita Afghanistan akan dilindungi dengan membenarkan mereka untuk meninggalkan rumah bagi mendapatkan akses pendidikan, persekolahan serta boleh bekerja dengan bebas serta diwajibkan untuk memakai jilbab seperti yang dituntut oleh Islam serta akan melaksanakan undang-undang berlandaskan Syariah Islam.

 

Sumber: Middle East Monitor

Ecd4vpuWsAAJssa
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Pemberontakan Senyap Yahudi AS Terhadap Regim Zionis Israel Petanda Baik Buat Palestin

no comment

PERBINCANGAN mengenai Israel dan Palestin sering berlaku di kalangan kolonialisme Israel dan usaha Palestin untuk mendapatkan pembebasan. Walaupun perbincangan itu dilihat janggal dan sukar tetapi situasi itu sudah lama berlaku antara Yahudi Amerika Syarikat (AS) dan hubungan mereka dengan Israel serta komitmen mereka terhadap ideologi Zionisnya.

Selama bertahun-tahun, Israel dan penyokong Yahudi dengan senang hati memanggil orang Yahudi yang tidak menyokong negara itu atau lebih buruk lagi menyokong kebebasan Palestin sebagai ‘membenci diri sendiri’.

Istilah itu digunakan untuk menggambarkan orang Yahudi anti-Zionis yang tidak setuju dengan tuduhan ‘anti-Semitisme’ yang dibuat terhadap orang bukan Yahudi termasuk orang Arab Semitik yang berani mengkritik Israel. Pendekatan seperti itu, bagaimanapun tidak lagi efektif seperti dulu.

Beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan dengan tegas bahawa terdapat pemberontakan secara senyap di kalangan komuniti Yahudi AS. Pemberontakan anti-Israel ini telah lama berkembang, tetapi baru-baru ini munculnya fenomena baru di mana orang Yahudi AS, terutama generasi muda, secara terbuka tidak setuju dengan cara Yahudi yang menyokong hal berkaitan Israel kerana mengagungkan Zionisme. Situasi itu telah membimbangkan pelbagai institusi Zionis di AS dan di Israel sendiri.

Kini golongan muda Yahudi AS semakin terbuka mengutuk tindakan Israel terhadap penindasan rakyat Palestin. Gambar: BBC

Yahudi AS semakin jauh dari Israel

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan kesimpulan yang tidak dapat dielakkan bahawa hubungan emosi dan politik antara Israel dan Yahudi AS semakin lemah. Kaji selidik pendapat yang diterbitkan oleh Laszlo Strategies bagi organisasi bukan untung di Jerusalem pada Ogos 2013, menyimpulkan bahawa 87 peratus orang Yahudi AS berusia lebih dari 50 tahun sangat setuju bahawa mengambil berat tentang Israel adalah bahagian yang sangat penting daripada menjadi Yahudi. Sementara 66 peratus orang muda Yahudi di AS yang berumur antara 18 hingga 29 tahun merasakan hal yang sama.

Tinjauan lain juga menunjukkan kesimpulan yang serupa bahawa jumlah pemuda Yahudi yang sangat menyokong Israel terus menurun. Satu tinjauan yang sangat menarik dan penting adalah mengenai Jawatankuasa Yahudi Amerika pada bulan Jun 2018. Itulah masa ketika pakatan AS-Israel mencapai puncaknya di bawah pemerintahan Donald Trump dan Benjamin Netanyahu.

Walaupun 77 peratus daripada semua orang Israel bersetuju hubungan AS-Israel oleh pemerintah AS, hanya 34 peratus orang Yahudi AS yang melakukannya. Sebenarnya, 57 peratus lagi orang Yahudi AS tidak bersetuju sepenuhnya kebijakan Trump yang pada dasarnya memberikan Israel semua yang diinginkannya.

Penyelidikan yang diterbitkan pada Mei tahun ini oleh Pew menunjukkan bahawa satu daripada lima orang Yahudi AS percaya bahawa AS terlalu menyokong Israel. Mereka yang berpegang pada kepercayaan itu terdiri daripada 22 peratus dari populasi Yahudi AS dan telah meningkat dua kali ganda sejak tinjauan sebelumnya dikeluarkan pada tahun 2013.

Ramai pemuda Yahudi AS semakin terbuka mengadakan tunjuk perasaan mengecam tindakan Israel terhadap penindasan Palestin. Gambar: Arab News.

Pengumpulan data untuk tinjauan di atas walaupun dikeluarkan semasa serangan Israel ke atas Gaza pada 10 hingga 21 Mei, sebenarnya dilakukan pada tahun 2019 dan 2020. Jumlah orang Yahudi AS yang tidak menyokong pasti meningkat sejak itu seolah-olah ada korelasi yang jelas antara perang Israel yang mengakibatkan korban orang awam yang besar dan perpecahan yang berterusan antara Yahudi AS dan Israel.

Wakil Presiden untuk penglibatan orang ramai di New Israel Fund, Libby Lenkinski, mengatakan kepada majalah Rolling Stone bahawa dia melihat perubahan ketara dalam persepsi Amerika terhadap Palestin dan Israel sejak perang Israel terhadap Gaza pada tahun 2014. Perang yang mengorbankan lebih dari 2,200 orang Palestin. Namun, bagi Lenkinski persepsi Yahudi AS harus mengikuti etika paradigma, ‘Ini adalah masalah moral. Betul atau salah?’.

Sentimen serupa muncul setelah perang Mei 2021, ketika lebih 260 penduduk Palestin terbunuh, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak. Dalam artikel baru-baru ini, penulis Yahudi Amerika, Marisa Kabas menjelaskan dilema yang dirasakan oleh ramai orang dalam komuniti Yahudi AS mengenai Israel.

“Oleh kerana konflik ini sering terjadi terhadap anda yang menyokong Israel atau menyokong kehancurannya, bagi kebanyakan kita merasa seperti pengkhianatan untuk mempertimbangkan pihak lain, akibatnya perubahan yang jelas dalam persepsi dan hubungan Yahudi AS dengan Israel,” katanya.

Tambahnya, walaupun lebih banyak ruang terbuka untuk membantah Yahudi AS, perbincangan di Israel masih terbatas dan hampir tidak berkaitan dengan etika dan moral.

“Baru-baru ini, pemahaman bahawa Israel kehilangan sokongan Yahudi AS telah diterima oleh parti-parti politik utama negara itu, dengan perselisihan yang difokuskan pada siapa yang harus disalahkan atas pergeseran ini.

“Netanyahu sering dianggap bertanggungjawab untuk menjadikan Israel sebagai isu politik Amerika yang berpihak melalui perikatannya dengan Trump dan Parti Republik hingga mengorbankan hubungan Israel dengan Demokrat.

Netanyahu dan Trump mempunyai agenda yang sama terhadap Palestin. Gambar: The Guardian

“Namun, hubungan ‘cinta’ Netanyahu-Trump tidak begitu rumit seperti yang ingin dipercayai oleh pengkritik Netanyahu. Sesungguhnya, idea Israel telah berubah dalam masyarakat Amerika. Gagasan bahawa Israel adalah sebuah negara kecil yang seharusnya rentan menghadapi ancaman eksistensial oleh musuh-musuh Arab yang berkembang di masa lalu, menjadi hampir sama sekali tidak relevan,” katanya.

Konsep baru Israel, yang merupakan titik penjualan utama Tel Aviv di Amerika, adalah konsep Israel yang alkitabiah, tempat ramalan dan keselamatan rohani yang paling menarik bagi kelompok Kristian Evangelis sayap kanan. Golongan muda Yahudi yang kebanyakannya menyokong Black Lives Matter dan bahkan gerakan boikot Palestin, mempunyai sedikit persamaan dengan penyokong Israel di kalangan orang-orang yang bersemangat kristian Amerika.

 

Sumber: Middle East Monitor

hambyse
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ismail Haniya Dipilih Sekali lagi Memimpin Hamas

no comment

ISMAIL Haniya telah terpilih sekali lagi untuk memimpin kumpulan Perjuang Palestin, Hamas, kata jurucakap gerakan itu, semalam.

Haniya, mengetuai Hamas sejak 2017, telah memimpin kegiatan politik kumpulan itu di Gaza, Tebing Barat yang dikuasai Israel dan diaspora sebahagian besarnya dari luar Gaza bersempadan antara Turki dan Qatar.

Ismail Haniya masih mendapat sokongan rakyat Palestin. Gambar: AP News

Haniya menggerakkan tentera Hamas ketika konflik 11 hari dengan Israel pada bulan Mei lalu di mana lebih daripada 250 orang terbunuh di Gaza dan 13 di Israel. Mesir bertindak sebagai pengantara dalam Gencatan senjata antara Palestin dan Israel pada Jun lalu.

“Ismail Haniya terpilih kembali sebagai ketua gerakan itu untuk kedua kalinya. Dia menang tanpa bertanding dan akan memimpin Hamas untuk tempoh selama empat tahun,” kata seorang pegawai Palestin kepada agensi berita Reuters, semalam berikutan pemilihan dalaman oleh anggota parti.

Berusia 58 tahun, Haniya adalah orang kanan bagi pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin di Gaza, sebelum pemimpin kumpulan bersenjata yang berkerusi roda itu dibunuh pada tahun 2004 dalam serangan udara Israel.

Haniya bertanggungjawab menarik Hamas ke arena politik pada tahun 2006, dan memberi kejutan apabila memenangi pemilihan parlimen Palestin, mengalahkan Fatah yang berpecah di bawah pimpinan Presidennya, Mahmoud Abbas.

Dia menjadi perdana menteri tidak lama selepas itu setelah kemenangannya pada Januari 2006, tetapi Hamas tetap dianggap sebagai ‘organisasi pengganas’ oleh Amerika Syarikat, Israel dan Kesatuan Eropah dan masyarakat antarabangsa.

Setelah perang saudara yang singkat, Hamas merebut Gaza dari Pihak Berkuasa Palestin yang dikuasai Fatah dan membatasi pemerintahannya sendiri di Tebing Barat pada tahun 2007. Israel telah memberi sekatan ke atas Gaza sejak itu dengan alasan adanya ancaman dari Hamas.

Hamas adalah gerakan Islam yang telah menghadapi empat serangan besar tentera Israel sejak menguasai Gaza pada tahun 2007 dan banyak pertempuran kecil berlaku selama ini termasuklah pada peperangan 11 hari pada bulan Mei lalu.

Pertempuran demi pentempuran berlaku telah menjatuhkan ekonomi Gaza termasuk peningkatan isu pengangguran sehingga 50 peratus penduduknya tidak mempunyai pekerjaan.

 

Sumber: Agensi Berita

Suara Palestina
Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Wanita Israel Derma Buah Pinggang Sempena Hari Jadinya kepada Kanak-Kanak Gaza

no comment

GURU tadika dari Israel utara, Idit Harel Segal, telah mengambil keputusan mengejutkan apabila memilih untuk meraikan hari jadi yang ke-50 dengan menghadiahkan buah pinggangnya kepada seorang budak lelaki di Gaza, Palestin.

Keputusan itu di buat dengan mengharapkan dapat menjadi contoh kemurahan hati di negera yang sedang mengalami konflik berterusan bersama Israel. Dia berbuat demikian setelah mendapat inspirasi daripada mendiang datuknya yang juga seorang mangsa Holocaust.

Teringat pesanan datuknya yang menyuruh hidup ini perlu bermakna dan berpendapat bahawa tidak ada pengorbanan yang lebih mulia daripada menyelamatkan nyawa seseorang.

Setelah Segal menghubungi pertubuhan yang menghubungkan penderma dan penerima, dia perlu menunggu sembilan bulan untuk memindahkan buah pinggangnya kepada seseorang kanak-kanak Palestin berusia tiga tahun dari Semenanjung Gaza.

Segal menunjukkan surat yang ditulis kepada penerima buah pinggangnya iaitu kanak-kanak Gaza. Gambar: Leader-Telegram

“Anda tidak mengenali saya, tetapi tidak lama lagi kita akan sangat dekat kerana buah pinggang saya akan berada di dalam badan anda,” katanya yang menulis surat di dalam bahasa Ibrani kepada kanak-kanak itu.

Seorang rakan menterjemahkan surat itu ke dalam bahasa Arab supaya keluarga itu dapat memahami.

“Saya berharap dengan sepenuh hati bahawa pembedahan ini akan berjaya dan anda akan menjalani kehidupan yang panjang dan sihat dan bermakna.”

“Selepas perang 11 hari, saya membuang kemarahan, kekecewaan dan hanya mahu melihat satu perkara. Saya melihat harapan untuk kedamaian dan cinta. Dan jika ada yang ramai seperti kita, tidak akan ada apa yang perlu diperjuangkan,” kata Segal.

Keputusan Segal berbuat demikian mendapat tentangan daripada keluarganya dan berlaku konflik keluarga selama beberapa bulan. Suaminya dan anak sulung berusia 20-an menentang rancangan Segal dan suaminya tidak bercakap dengannya untuk beberapa lama.

Bagi mereka, Segal telah mempertaruhkan nyawanya sendiri apatah lagi peristiwa mereka kehilangan tiga saudara dalam serangan Palestin.

“Keluarga saya benar-benar menentang, semua orang menentangnya termasuk suami, kakak dan abang ipar, malah paling berat adalah ayah saya sendiri, mereka takut” kata Segal semasa ditemuramah di rumahnya di Eshhar baru-baru ini.

Ketika dia mengetahui identiti budak lelaki itu, dia menyimpan maklumatnya selama berbulan-bulan.

“Saya tidak memberitahu sesiapa, saya memberitahu diri sendiri, jika keputusan untuk menderma buah pinggang ini dianggap kejam, bermakna harapan untuk seorang kanak-kanak Palestine menerimanya akan menjadi sukar,” katanya.

Pembedahan pemindahan buah pinggang proses yang merumitkan. Gambar: CTV News Montreal

Ketua Eksekutif Matnat Chaim iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Jerusalem, Sharona Sherman, berkata pihaknya akan membantu menguruskan proses dan prosedur pembedahan itu.

Kes penerima buah pinggang kanak-kanak Gaza itu dikatakan agak rumit. Pada awalnya bapa kepada kanak-kanak itu sendiri yang ingin menderma buah pinggang kepada anaknya, namun tidak serasi menurut doktor.

Pada hari yang sama anaknya mendapat buah pinggang baharu, ayahnya pula mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada seorang ibu Israel yang berusia 25 tahun.

Di beberapa negara, timbal balik tidak dibenarkan kerana menimbulkan persoalan apakah penderma telah dipaksa. Menurut etika pendermaan organ perlu mengikut prinsip bahawa penderma harus diberikan hak kebebasan dan secara sukarela tanpa berniat untuk mendapat apa-apa balasan.

Begitupun tindakan ayah kepada kanak-kanak itu dilihat sebagai insentif untuk meningkatkan jumlah penderma.

Bagi Segal, pendermaan buah pinggangnya telah mencetuskan konflik dalam keluarganya tidak seperti yang diharapkan. Buah pinggangnya telah membantu menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak dan mencetuskan sumbangan seterusnya tanpa diduga, walaupun pada hakikatnya di luar Israel dan Palestin tidak pernah berdamai.

Segal mengatakan bahawa dia telah mengunjungi kanak-kanak itu pada malam sebelum pembedahan dan mahu menjaga hubungan dengan ibu bapanya.

Wanita itu juga mengatakan bahawa dia menghormati prinsip datuknya dengan cara untuk membantu seseorang bagi mengatasi kesedihan diatas kematian orang yang disayanginya itu sejak lima tahun yang lalu.

Sumbangan itu adalah tindakan dirinya sendiri dan dia tidak pernah takut. Segal akhirnya didatangi keluarganya untuk melawat dan menganggap itulah hadiah hari jadi yang paling bermakna dalam hidupnya.

Dia mengatakan bahawa suaminya kini lebih memahami, begitu juga dengan anak-anaknya, malah pada malam pembedahan itu juga, Segal dihubungi oleh ayahnya yang memberikan kata-kata semangat.

“Saya tidak ingat apa yang dia (ayah) katakan kerana dia menangis. Saya hanya memberitahunya bahawa buah pinggang saya akan diberikan kepada seorang kanak-kanak lelaki Palestin.

“Ayah terdiam seketika dan kemudian ayah berkata ‘baiklah, dia (kanak-kanak itu) juga memerlukan kehidupan,” katanya.

 

Sumber: Arab News

KCOA
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Askrim Ben & Jerry’s Henti Jualan di Palestin Yang Diduduki Israel

no comment

PENGUSAHA aiskrim popular berjenama, Ben & Jerry’s akan menghentikan penjualannya di wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat pengeluar yang berpangkalan di Vermont, Amerika Syarikat, pihaknya menyedari nilai moral dalam memberi tekanan kepada Israel agar penjajahan di Palestin dapat dihentikan.

Penjualan aiskrim oleh Israel dianggap tidak bermoral kepada rakyat Palestin. Gambar: The Times Israel.

“Kami percaya bahawa tidak selaras dengan nilai kami untuk menjual aiskrim Ben & Jerry’s di Wilayah Palestin yang diduduki Israel. Kami juga mendengar dan menyedari kebimbangan yang dikongsi oleh peminat serta rakan kongsi kami.

“Syarikat masih mempunyai hubungan yang baik dengan rakan kongsi iaitu pemegang lesen penjualan aiskrim  Ben & Jerry di Israel dan mengedarnya untuk dijual di wilayah itu.

Pengusaha Ben & Jerry’s tidak lagi mahu memperbaharui perjanjian lesen. Gambar: The Times of Israel.

“Namun kini kami telah berusaha untuk mengubahnya dan juga telah memaklumkan kepada pemegang lesen untuk tidak lagi memperbaharui perjanjian lesen tersebut apabila ia akan berakhir pada akhir tahun depan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Isnin lalu.

Tebing Barat dan Jerusalem Timur keduanya dianggap sebagai wilayah yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa dan semua kegiatan penempatan orang Yahudi di sana adalah haram.

Seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah menyatakan bahawa penempatan Israel ‘adalah kejahatan perang’.

Langkah henti penjualan Ben & Jerry’s di sambut baik seluruh rakyat Palestin. Gambar: The Mirror

 

Langkah Ben & Jerry’s disambut baik oleh rakyat Palestin.

Ahli Politik Palestin, Aida Touma-Suleiman menerusi aplikasi Twitternya menulis, “keputusan itu adil dan bermoral. Wilayah Palestin yang diduduki bukan merupakan sebahagian daripada Israel dan menghentikan penjualan di dalamnya akan membantu memberi tekanan untuk mengakhiri penjajahan Israel selama ini.

“Mudah-mudahan, Ben & Jerry’s bukan yang terakhir mengambil langkah ini,” kata Touma-Suleiman yang juga anggota Knesset Israel sejak 2015.

Gerakan Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) juga telah lama berusaha untuk mengakhiri sokongan antarabangsa bersama Israel, memuji keputusan itu.

 “Sebagai langkah yang baik dan bijak menentukan untuk mengakhiri penglibatan syarikat dalam pendudukan Israel dan pelanggaran hak-hak Palestin.

“Kami sangat menyambut baik keputusan mereka tetapi menyeru Ben & Jerry’s untuk menghentikan semua operasi apartheid oleh Israel,” kata gerakan itu.

 Bennett mengugut tindakan boikot Israel. Gambar: Algulf

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, mengecam tindakan yang disebutnya sebagai langkah yang jelas sebagai anti-Israel.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Israel, Bennett bercakap kepada Ketua Eksekutif Unilever, Alan Jope yang juga syarikat induk Ben & Jerry’s, bahawa dia memandang serius keputusan Ben & Jerry’s untuk memboikot Israel.

Dia memperingatkan bahawa tindakan itu akan mendatangkan kesan yang buruk termasuk mengugut bahawa Israel akan mengambil tindakan tegas terhadap kempen boikot yang ditujukan terhadap warganya.

 

Sumber: Anadolu Agency (aa.com)