Browsing Tag

pakaian dalam

Solat tanpa berpakaian dalam
Ibadah,

Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

MENUNAIKAN solat tanpa berpakaian dalam bukan perkara asing bagi segelintir orang. Masakan tidak, sesetengah daripada kita mungkin sudah terbiasa melakukannya.

Bagaimanapun, perbuatan itu menimbulkan persoalan tentang status ibadah mereka.

Baca juga Enaknya menguap, tapi jangan terlalu kuat sampai solat terbatal

Apabila tidak memakai pakaian dalam, sudah tentu banyak ‘pergerakan’ berlaku ketika menunaikan sembahyang. Apakah hukumnya dalam Islam?

Dalam perihal pergerakan anggota badan yang boleh membatalkan solat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merujuk kepada pandangan Imam al-Nawawi dalam Mazhab Syafie menerusi Kitab Minhaj at-Tolibin.

Kata Imam an-Nawawi: “Dan jika dia melakukan di dalam solatnya sesuatu perbuatan lain sekalipun dari jenisnya, maka terbatal solat kecuali kerana terlupa. Dan jika perbuatan itu bukan dari jenisnya, maka batal solatnya jika dilakukan dengan pergerakan yang banyak, dan pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat.”

Baca juga Perhatikan lima jenis kentut dalam solat, lakukan perkara ini bila berlaku

Solat tanpa berpakaian dalam

PERGERAKAN yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat dan pergerakan dalam sembahyang seperti menambah rukuk dan sujud membatalkan ibadah tersebut. -Foto: 123rf

Melihat ungkapan tersebut, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apa sahaja pergerakan yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat dan pergerakan dalam solat (seperti menambah rukuk atau sujud) adalah membatalkan sembahyang tersebut.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan andai kita dalam keadaan terlupa.

Baca juga Dosa tidak akan terhapus walaupun telah qada solat yang ditinggalkan

“Bagi pergerakan yang tidak termasuk sebagai jenis perbuatan dalam solat, maka terbatal sembahyang tersebut jika ia dilakukan dengan pergerakan yang banyak.

“Adapun, pergerakan yang sedikit tidak akan membatalkan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-772: Hukum Solat Tanpa Memakai Pakaian Dalam yang disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Artikel tersebut turut menyenaraikan perbezaan pergerakan banyak yang boleh membatalkan solat dan pergerakan yang sedikit.

Berikut perinciannya:

1. Pergerakan banyak mestilah dilakukan oleh anggota badan yang berat seperti tangan, kaki dan kepala.

Jika hanya melibatkan pergerakan anggota badan yang ringan seperti lidah, kelopak mata, bibir, zakar atau jari (tanpa menggerakkan telapak tangan seperti menggaru), maka tidak batal solat sekalipun dilakukan secara berulang kali kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.

Solat tanpa berpakaian dalam

PELIHARAH solat dan elakkan melakukan pergerakan tidak perlu ketika menunaikannya. -Foto: 123rf

2. Pergerakan yang banyak dilakukan tiga kali secara berturut-turut atau lebih menurut uruf setempat.

Baca juga Benarkah bergerak lebih tiga kali membatalkan solat?

Berturut-turut itu dikira apabila pergerakan kedua tidak terputus daripada pergerakan pertama dan pergerakan ketiga tidak terputus daripada pergerakan kedua.

Sebagai contoh, seseorang yang melangkah kaki dengan dua langkah sederhana atau pukulan sederhana atau memberi isyarat menjawab salam tidak akan membatalkan solat kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.

Terdapat satu lagi pandangan menjelaskan, berturut-turut adalah dengan kadar tamakninah antara dua pergerakan dan pendapat itulah yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita.

3. Pergerakan tersebut mestilah bukan termasuk daripada pergerakan yang tidak mampu dikawal seperti menggaru kudis dan menggigil kerana kesejukan.

Berdasarkan fakta tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan, pergerakan zakar mahupun payudara bagi orang yang menunaikan solat termasuk dalam jenis anggota badan yang bukan kategori pilihan mereka.

Demikian pandangan di sisi fuqaha Syafi’iyyah.

“Ini kerana pergerakan itu diqiaskan dengan solat dalam keadaan tidak mampu mengawal pergerakan.

“Ia juga dikaitkan dengan pergerakan sedikit kerana hanya melibatkan anggota badan yang ringan iaitu zakar dan payudara.

“Justeru, mereka yang solat tanpa memakai pakaian dalam adalah sah dan tidak membatalkan sembahyangnya sebanyak mana pergerakan sekalipun,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Pexels