Browsing Tag

orang tua

Syurga
Aqidah,

Dalam syurga tiada orang tua, ini sebabnya

SEMUA orang mengimpikan untuk masuk ke dalam syurga. Baik anak muda mahupun orang tua, itulah tempat yang paling diidam-idamkan.

Namun begitu, niat sahaja tidak mencukupi jika tidak disulami dengan amalan yang membawa ke jannah. Sudah pastilah segala tindak-tanduk kita itu mestilah seiring dengan apa yang terlintas dalam hati dan fikiran.

Bercakap tentang syurga, ada sebuah kisah tentang terdapat seorang nenek tua yang meminta Nabi Muhammad SAW mendoakannya supaya masuk ke dalamnya.

Apabila baginda mengkhabarkan tiada orang tua di dalam jannah, alangkah sedihnya hati wanita tua itu.

Hadis itu diriwayatkan daripada Al-Hasan yang berkata, seorang nenek tua datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada ALLAH ajar memasukkanku ke syurga.”

Baginda pun bersabda: “Wahai ibunya fulan, sungguh syurga itu tidak dimasuki orang yang tua.”

Al-Hasan berkata, lalu nenek itu pun berpaling sambil menangis.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Khabarkanlah kepadanya bahawa sesungguhnya ia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua, sungguh ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMI menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan KAMI jadikan mereka gagis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya.” (Surah al-Waqiah, ayat 35-37) (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Maka tersenyumlah wanita tersebut mendengar sabda baginda itu.

Pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkata, hadis itu jelas menyatakan bahawa orang tua tidak masuk ke dalam jannah dalam usianya sebegitu.

USTAZ WADI ANNUAR

“Ini kerana apabila hendak masyuk syurga selepas diisytiharkan sebagai ahli syurga, waktu sudah dapat kad (buku amalan) dengan tangan kanan, sewaktu melangkah masuk ke jannah, semuanya ALLAH SWT tukar menjadi remaja.

“Anak-anak pun sama umur dengan kita. Bayangkan suami kita pun jadi kacak juga,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Pasar syurga yang menakjubkan

Pada setiap hari Jumaat, Ustaz Wadi Annuar berkata, semua ahli syurga akan ke sebuah ‘pusat beli-belah’ yang besar.

Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh di syurga ada pasar yang didatangi penghuni syurga setiap hari Jumaat, bertiuplah angin dari utara mengenai wajah dan pakaian mereka hingga mereka semakin indah dan tampan. Mereka pulang kepada isteri-isteri mereka dalam keadaan telah bertambah indah dan tampan. Keluarga mereka berkata: “Demi ALLAH, engkau semakin bertambah indah dan tampan.” Mereka pun berkata: “Kalian pun semakin bertambah indah dan cantik.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Walaupun dalam hadis, Nabi Muhammad SAW menyebutnya sebagai pasar, tetapi ia bukan macam pasar malam. Ini ialah pasar syurga yang mana kalau pintu jannah sahaja sudah (seluas) 40 tahun perjalanan, mall di sana juga mungkin sebesar Semenanjung.

“Di situ ada tempat makan dan minum, ada syahwat jimak, pergi berjalan, kenderaan dan permainan. Bahkan, pokok-pokok dalam syurga apabila berselisih antara satu sama lain akan mengeluarkan muzik atau bunyi yang indah,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, memetik portal Muslim.or.id, pasar syurga digambarkan sebagai tempat untuk penduduk jannah bertemu, bertanya khabar, beristirahat dan seumpamanya.

Syurga

JANGAN pernah lelah untuk melakukan kebaikan dan beramal semata-mata meraih keredaan ALLAH SWT. Semoga kita akan menjadi penghuni syurga kelak. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Menerusi Fatwa al-Lajnah ad-Daimah, Imam Nawawi RA menggambarkan: “Pasar di syurga adalah tempat bertemunya kaum Muslimin satu sama lain supaya bertambah kenikmatan, merasa kelazatan, saling berbincang dan saling mengenang apa yang terjadi serta nikmat yang diperoleh di akhirat. Mereka akan berkumpul setiap hari Jumaat di antara satu sama lain.”

Sesungguhnya, syurga dan neraka itu benar. Ia bukan kisah dongeng semata-mata. Hanya mereka yang benar-benar mengejar reda ALLAH SWT pasti akan menjadi calon penghuninya.

Biarpun sebesar mana pun dosa kita walaupun seluas lautan, jangan pernah berhenti bertaubat. Semoga ALLAH SWT menerima taubat kita dan memasukkan kita ke dalam jannah.