Browsing Tag

orang bujang

Faraid
Isu,

Penting Ambil Tahu Faraid Walaupun Masih Bujang

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

SETIAP individu tidak perlu tunggu hingga berumahtangga untuk mengetahui hukum dan peraturan faraid dalam Islam. Saranan ke atas kempen ini bukan suatu yang baharu, bahkan terinspirasi daripada hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan untuk belajar dan mengajar tentang hukum faraid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia. Sesungguhnya ia merupakan sebahagian ilmu dan ia akan dilupakan serta ilmu yang pertama yang akan diangkat daripada umatku.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Walaupun tiada penambahan ahli keluarga bagi individu bujang melalui kehadiran pasangan mahupun zuriat, mereka tetap perlu tahu sesiapa dalam kalangan ahli keluarga yang berhak mewarisi harta jika berlaku kematian. Simulasi waris yang layak sewajarnya sudah diketahui lebih awal lagi. Dari sisi lain pula, ahli keluarga yang bakal ditinggalkan perlu diberi kefahaman tentang waris yang layak mendapat habuan secara faraid.

Hal ini kerana sistem pusaka Islam menetapkan bahawa tidak semua ahli keluarga si mati ialah waris. Namun, setiap waris semestinya mempunyai hubungan kekeluargaan dan nasab. Selain itu, penarafan status waris turut berbeza antara satu dengan lain.

Sebagai contoh, jika individu bujang masih mempunyai ibu dan bapa maka keduanya layak mendapat pusaka sebagai satu bentuk ihsan yang berterusan daripada anak yang meninggal lebih awal. Hak mendapat faraid sentiasa terjamin kerana suatu pengiktirafan atas hubungan nasab yang sah. Keduanya bersambung terus dengan si mati tanpa perantara.

Faraid

CAKNA tentang waris terlibat yang layak mendapat harta pusaka sebagaimana digariskan dalam agama Islam.

Namun dalam peraturan faraid, ibu dan bapa mempunyai status atau kategori waris yang berbeza. Ibu si mati merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) sahaja. Sedangkan bapa si mati mempunyai dua status iaitu sebagai waris ashab al-furud dan boleh juga berstatus waris ‘asabah (waris yang mendapat lebihan).

Perbezaan status waris ini sudah pasti menyebabkan keduanya memperoleh bahagian faraid dalam sesuatu kes mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Dalam kes individu bujang yang hanya meninggalkan ibu dan bapa sahaja, maka bahagian faraid ibu adalah sebanyak satu pertiga dan lebihan sebanyak dua pertiga akan diwarisi oleh bapa si mati.

Bagi individu bujang yang sudah kehilangan orang tua terutama bapa, semakan waris untuk harta pusakanya nanti sangatlah perlu dibuat. Hal ini kerana, waris yang layak semakin meluas yang mungkin melibatkan adik beradik dan ahli keluarga lelaki yang mempunyai hubungan susur galur di sebelah bapa seperti datuk, bapa saudara dan lain-lain yang biasanya disenaraikan sebagai waris ‘asabah.

Baca juga Kedudukan Harta Sepencarian Mendahului Faraid, Masih Ramai Yang Keliru Tentang Hal Ini

Hubungan silaturahim antara adik beradik wajib dijaga. Konflik mungkin terjadi, tetapi tidak perlu berpanjangan kerana semua berhubung susur galur keluarga dengan ibu bapa yang sama atau salah seorang daripada mereka.

Pemegang amanah keluarga

Sebelum datangnya kematian, setiap individu seharusnya merancang dalam memastikan harta yang ada untuk diagihkan melalui saluran yang dianjurkan oleh Islam seperti hibah, wasiat ataupun faraid agar harta dapat disampaikan kepada ahli keluarga mengikut kebijaksanaan masing-masing.

Ketiga-tiga elemen agihan tersebut bukanlah bersifat bertentangan, bahkan saling melengkapi antara satu sama lain tentang pindah milik dalam pengurusan harta keluarga. Contohnya, apabila seseorang yang masih bujang hanya mempunyai ibu saudara (adik beradik ibu atau bapa) dalam keluarganya maka pemindahan harta yang terbaik adalah melalui hukum wasiat atau hibah. Wasiat dalam Islam lebih sesuai kerana terma tersebut merujuk kepada sumbangan sebanyak satu pertiga daripada harta kepada selain waris.

Faraid

URUS harta dengan sebaik-baiknya ketika masih hidup agar tidak timbul pertikaian sesudah meninggal dunia.

Ibu saudara bukanlah waris yang layak untuk menerima harta pusaka melalui hukum faraid atau lebih tepat dikenali sebagai waris dhawi al-arham (waris yang tidak disepakati untuk menjadi waris yang layak), manakala hibah kepada ibu saudara tadi juga lebih signifikan kerana pemberian harta berlaku semasa pemberi masih hidup lagi.

Selain itu, sistem pindah milik harta pusaka yang disyariatkan bertujuan memelihara harta yang diusahakan dan menguruskan penggantiannya kepada seseorang yang berhak dan layak untuk memilikinya. Jika sesebuah keluarga yang ditinggalkan mampu mengurus sendiri harta pusaka, maka tiada sebarang konflik yang bakal dihadapi. Namun, jika waris yang ditinggalkan tidak mampu mengurus harta dengan sendirinya, seharusnya mereka melantik seorang pemegang amanah untuk membantu.

Pelantikan pemegang amanah merupakan suatu saranan urus harta dalam Islam. Lantikan ini melibatkan amalan pengamanahan oleh pemilik harta yang mana pemegang amanah perlu berperanan aktif dalam memenuhi hasrat pemilik harta (semasa hidup dan selepas mati).

Hukum pelantikan pemegang amanah atau wasi ialah sunat dan digalakkan kerana membantu pihak yang tidak mampu urus harta dengan sendiri. Selain daripada itu, pelantikan mereka sangat signifikan kerana memudahkan pembuktian dokumen kematian pihak yang melantik.

ANEKDOT

KEPERLUAN dokumentasi pemilikan harta

Faraid

SIMPAN dokumen berkaitan untuk memudahkan urusan faraid.

  • Sebagai dokumentasi harta keluarga yang mudah diakses mempercepat proses pindah milik dan agihan.
  • Senarai lengkap yang sistematik meliputi dokumen pemilikan seperti geran atau perjanjian jual beli rumah, geran kereta, akaun simpanan dan pelaburan, dokumen pembiayaan serta hutang dan sijil takaful.
  • Senarai harta yang dibuat lebih awal akan membantu waris menganggar nilaian harta dan jenisnya bagi tujuan permohonan pusaka.
  • Pentadbiran harta pusaka di Malaysia meliputi tiga agensi pengurusan pusaka yang berbeza.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Foto: 123rf & Pexels