Browsing Tag

On the way

Berita Semasa,

Cakap sudah ‘on the way’, tapi sebenarnya belum gerak lagi…

“AKU on the way ni nak ke sana. Tunggu kejap ya.”

Ayat itu sering kali dituturkan apabila kita sedang dalam perjalanan menunju ke suatu tempat.

Namun begitu, masih ada orang yang salah guna frasa berkenaan sebagai ayat ‘penyelamat’. Walhal, individu berkenaan langsung belum memulakan perjalanan, tetapi dia bercakap sebaliknya pula.

Walaupun perkara ini nampak remeh, tetapi berhati-hatilah kerana ia tetap dikira sebagai berdusta.

Berdosa andai kita berdusta. Namun, perkara ini sering dianggap biasa oleh segelintir orang.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kedustaan akan membimbing menuju kejahatan dan kejahatan akan membimbing menuju neraka. Sesungguhnya seseorang akan bersungguh-sungguh berusaha untuk dusta, sampai akhirnya ia benar-benar ditetapkan di sisi ALLAH sebagai pendusta.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah, perbuatan berdusta itu juga dilarang keras dan diberi amaran oleh ALLAH SWT dalam al-Quran.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.” (Surah Ghafir, ayat 28)

(Artikel berkaitan: Bulan Ramadan atau tidak, kita memang tak boleh berbohong)

Dalam kalam-NYA yang lain, ALLAH SWT berfirman: “Terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta. Iaitu orang-orang yang terbenam dalam kebodohan dan kelalaian.” (Surah al-Dzariyat, ayat 10-11)

Berdasarkan nas berkenaan, jelas bahawa kita dilarang sama sekali berdusta. Ia antara salah satu sifat orang yang munafik.

On the way

JAGALAH pertuturan kita dan jangan sesekali berdusta.

Justeru, hidup sentiasalah berlaku jujur. Ketahuilah, orang yang jujur telah dijamin syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Kalian wajib jujur kerana sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebajikan dan kebajikan nembawa kepada syurga. Jika seseorang sentiasa jujur dan berusaha untuk selalu jujur, akhirnya ditulis di sisi ALLAH sebagai seorang yang selalu jujur. Dan jauhilah kedustaan kerana kedustaan itu membawa kepada kemaksiatan dan kemaksiatan membawa ke neraka. Jika seseorang senantiasa berdusta, hingga akhirnya ditulis di sisi ALLAH sebagai seorang pendusta.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Justeru, jangan suka-suka untuk berdusta. Bimbang andai diri kita dicop sebagai pendusta di sisi ALLAH sampai bila-bila. Na’uzubillah. Mintalah kita dijauhkan daripada perkara ini.

Ingatlah, berhati-hatilah dalam setiap tutur kata kita. Jika tiada apa-apa untuk diperkatakan, diam adalah jalan yang terbaik.

Sumber: Instagram islam_update