Browsing Tag

oemimpin

Tunaikan janji
Gaya Hidup, Uncategorized,

Negara boleh jadi porak-peranda jika rakyat tak taat kepada khalifah

no comment

SEORANG khalifah akan menghadapi saat getir seandainya pengikut tidak mentaatinya sebagaimana kisah Nabi Musa AS bersama kaumnya, Bani Israel.

Justeru, benarlah kata-kata yang menyebut bahawa pemimpin terbaik datangnya daripada pengikut yang baik.

Mengulas lanjut mengenainya, pendakwah Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, sungguh besar impaknya kepada perkembangan sesebuah negara jika rakyat tidak mentaati pemimpin yang dilantik.

“Sekiranya hal itu berlaku, banyak agenda kerajaan tidak dapat dilaksana dan direalisasikan. Negara boleh jadi porak-peranda kerana itu kewajipan utama rakyat (mentaati pemimpin) dalam polisi yang adil,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

 

AHMAD FAUWAZ

Bagaimana pula sekiranya rakyat berdepan dengan pemimpin yang zalim dan tidak jujur dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan?

Jawabnya: “Kezaliman hanya akan membawa kepada kehancuran. Apabila hal seumpama itu terjadi, maka penduduk akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan dan sentiasa diselubungi rasa bersalah.

“Bersikap zalim dan diktator ini dilarang dalam syarak kerana ia akan memusnahkan kehendak dan kreativiti rakyat. Azabnya sangat pedih menanti golongan sebegini pada hari akhirat kelak. Mereka juga diharamkan syurga.”

Seperti yang diungkap oleh pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, Ahmad Fauwaz berkata, pemimpin pada era milenial perlu menjadikan model pemerintahan nabi dan rasul sebagai pedoman buat mereka.

“Cara (pemerintahan) Nabi Muhammad SAW, Nabi Musa AS, Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS sudah dijelaskan dalam kitabullah. Sesungguhnya, pendekatan mereka dalam segenap perkara adalah berlandaskan usaha, iman dan mematuhi perintah daripada ALLAH YANG MAHA ESA,“ katanya.

Dalam Hadis Riwayat Muslim, seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW perihal pemimpin yang tidak menjaga tuntutan rakyat: “Ya Nabi ALLAH, bagaimana menurutmu jika para pemerintah yang memimpin kami yang selalu mengutamakan hak mereka, tetapi tidak bersedia memenuhi hak kami? “

Baginda menjawab: “Tunduk dan patuhlah kamu kepada mereka, sesungguhnya mereka akan bertanggungjawab atas kepimpinannya, manakala kamu juga akan bertanggungjawab terhadap ketaatan kamu kepadanya.“

Sebelum mengakhiri bicara, pendakwah itu membuat sedikit teguran kepada pemimpin hari ini.

“Jalankanlah tugas dan peka dengan kebajikan supaya rakyat tidak rasa terbeban walaupun negara sedang berdepan ancaman Covid-19,“ nasihatnya.