Browsing Tag

OderFood

Pelarian Syria
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Pelarian Syria: Cerita kita dan kisah mereka

Oleh SYRIA CARE

MOMENTUM simpati orang ramai terhadap nasib lebih 12 juta pelarian Syria semakin kendur sama seperti isu kemanusiaan di tempat lain. Ia satu realiti yang dihadapi oleh semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi kemanusiaan seluruh dunia.

Bukan sahaja dalam konteks Syria, bahkan di tempat lain yang dilanda konflik. Perhatian kepada isu utama yang mendominasi negara Islam seperti nasib penduduk Palestin turut tenggelam, sedangkan setiap hari ada sahaja penduduk Arab yang dihalau dari tanah air sendiri di Tebing Barat.

Berita serangan berterusan tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi ke atas orang awam di Yaman sehingga menyebabkan lebih lima juta penduduknya berdepan kebuluran, nasib rakyat Afghanistan yang tidak berkesudahan, kepungan tentera India ke atas Muslim di Kashmir, masa depan pelarian Rohingya dan terkini pembantaian Rusia ke atas Ukraine hanya menjadi content media sosial. Gambar dan video mereka sekadar menjadi bahan trafik tetapi bantuan amat kurang.

Kisah mereka semakin ke bawah

Itulah yang turut terjadi kepada mangsa di Syria. Dugaan di sana perang tidak berkesudahan, sedangkan cabaran kami yang menggerakkan kerja kemanusiaan adalah masalah dana. Tanpa sumbangan orang ramai, segala projek akan terhenti.

Itulah perkara yang paling ditakuti. Bayangkan, jika selama ini mereka bergantung keperluan asas untuk mengalas perut, tanpa bantuan daripada luar, pelarian terus menunggu dengan penuh harapan.

Pelarian Syria

Mereka bukan tidak ingin berdikari, namun segalanya telah musnah. Kawasan tempat mereka melarikan diri, misalnya di utara Idlib yang bersempadan Turki, kebanyakannya berbatu batan dan di situ lebih empat juta orang terpaksa bertarung untuk terus hidup.

Sudahlah kawasan tanah yang ada terhad, pelarian di situ tidak boleh bercucuk tanam dengan bebas kerana ada sahaja serangan yang dilancarkan sama ada oleh tentera rejim Bashar al Assad atau tentera Rusia serta kumpulan bersengketa.

Oleh itu, segalanya perlu konsisten untuk membantu mereka kerana keperluan di sana berubah mengikut perubahan musim.

Realitinya, ia bukan sahaja Syria Care bahkan kesulitan yang sama turut dirasai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Dalam laporannya untuk tahun 2021, menyatakan hak lima juta kanak-kanak di Syria begitu memerlukan bantuan kemanusiaan.

Itu baharu sekelompok, belum dikira mereka yang berada di kawasan terpencil dan masih dikuasai pelbagai kumpulan seperti di kem Al Hol, di timur laut negara itu yang sukar dimasuki agensi bantuan kemanusiaan dan NGO, penilaian sebenar sukar untuk dibuat.

Baca juga Kubur Besar Bongkar Jenayah Perang di Syria

Lestarikan amanah

Syria Care yang melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan di bahagian utara Syria, secara khususnya di kawasan sekitar utara Idlib, Al Bab, Afrin sebahagian Latakia melestari amanah yang diberikan rakyat Malaysia serta penderma dari negara lain hanya menumpukan usaha berskala kecil jika dibandingkan dengan kemusnahan yang berlaku.

Sejak pandemik berlaku dan ketika mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dikuatkuasa, 18 Mac 2020, ia menjadi satu lagi ujian getir di luar jangkaan.

Apapun, gerak kerja hasil amanah orang ramai perlu diteruskan dan tidak boleh berhenti separuh jalan. Ketika itu, segala kerja diserahkan kepada enam rakan kerjasama kami di sana.

Alhamdulillah, ketika itu projek mega kami, wakaf Kampung Malaysia, Syria Care yang membina lebih 260 buah unit rumah dapat diteruskan dan dirasmikan pada 16 Mac 2021.

Tujuh projek teras yang perlu digerakkan:

  1. Kempen Ramadan Al Khair
  2. Bantuan Musim Sejuk
  3. The Orphans Project
  4. Wakaf Kampung Malaysia Syria Care
  5. Care4Syria
  6. Edu4Syria
  7. Qurban4Syria
Pelarian Syria


ATAS prinsip ukhuwah Islamiah, sifat saling membantu adalah asas yang dibentuk tanpa sempadan politik atau geografi.

Sesetengahnya bersifat bermusim seperti Ramadan Al Khair, Bantuan Musim Sejuk (BMS) dan Qurban4Syria.

Walaupun terikat dengan waktu dan masa, ia tidak akan berhenti kerana keperluan hidup adalah sepanjang hayat.

Di dalam kalendar, musim sejuk mungkin telah berakhir tetapi hakikatnya sehingga artikel ini disiarkan cuaca sejuk masih berterusan. Belum reda kepayahan itu, mereka seperti juga umat Islam di seluruh dunia bersedia menyambut Ramadan dengan apa yang ada.

Ada yang beruntung kerana memiliki sekeping roti, jeruk, buah zaiton serta garam dan tidak kurang juga yang terus menadah tangan berdoa supaya ada bantuan yang tiba.

Pada 2022, Syria Care meletakkan sasaran RM4.2 juta rendah sedikit berbanding sasaran dua tahun sebelumnya iaitu RM3,415,341.00 pada 2020 dan RM4,383,274.79 pada 2021.

Dapur Ramadan tetap berjalan, tetapi bilangan serta agihan terpaksa dikurangkan. Ia perkara yang sukar dibuat tetapi tidak dapat dielakkan kerana kutipan cukup merosot kebelakangan ini.

Sebolehnya, Syria Care ingin membantu semua, tetapi kami turut berdepan dugaan. Pasca banjir, bencana alam serta pengangguran akibat Covid-19 juga perlu diberi perhatian.

Namun atas prinsip ukhuwah Islamiah, sifat saling membantu adalah asas yang dibentuk tanpa sempadan politik atau geografi. Bersama kita imarahkan kedatangan Ramadan al-Mubarak untuk memperbanyakkan sedekah termasuk kepada mangsa konflik di Syria.

Bagi memudahkan orang ramai, Syria Care menawarkan perkhidmatan OderFood. Sesiapa saja boleh menyumbang set iftar bernilai RM15 atau set barangan kering berjumlah RM150 menerusi platform dalam talian.

Sila layari https://www.syriacare.org.my/oderfood/ untuk menyalurkan sumbangan anda.