Browsing Tag

Nuzul al-Quran

Khatam al-Quran
Isu, Pilihan Editor,

Mukjizat Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW Paling Agung Berbanding Kitab-Kitab Samawi Lain

no comment

SEMALAM, tanggal 17 Ramadan tercatatnya satu lagi peristiwa penting dalam sirah Islam. Seluruh umat Islam seantero dunia menyambut Nuzul al-Quran.

Peristiwa itu merakamkan penurunan ayat pertama kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi antara mukjizat terbesar dikurniakan ALLAH SWT kepada makhluknya.

Saat itu juga menjadi saksi kepada kerasulan Rasulullah SAW. Bahkan, ia menjadi warisan peninggalan baginda yang terhebat kepada seluruh umatnya sehingga hari penghakiman kelak.

Seperti yang dizahirkan, penurunan al-Quran pada bulan Ramadan sarat dengan hikmah tersendiri. Pada bulan penuh barakah inilah, umat Islam amat digalakkan untuk memperbanyak membaca kalam ALLAH dan bertadarus.

Sesungguhnya, nikmat turunnya al-Quran begitu besar. Selain menjadi permulaan kepada umat untuk mengenali diri dan PENCIPTA kerajaan langit dan bumi ini, ia juga memandu kehidupan manusia.

Mengapa al-Quran begitu istimewa? Kenapa diturunkan dalam bahasa Arab dan mengapa Rasulullah SAW menjadi nabi serta rasul terakhir menerima mukjizat berupa kitab daripada ALLAH SWT?

Tarikh diturunkan

Bagi mengulas persoalan itu, Sinar Islam Plus menemu bual pendakwah Mustafar Mohd Suki bagi mendapatkan komentarnya tentang sejarah penurunan al-Quran.

MUSTAFAR

Pada asasnya, jelas beliau, para ulama berbeza pandangan tentang tarikh sebenar peristiwa penting dalam historiografi Islam itu. Pun demikian, mereka sepakat kitab suci yang mengandungi kalam ALLAH itu diturunkan pada bulan Ramadan.

“Kebanyakan para ulama pula berpegang pada 10 hari terakhir bulan Ramadan khususnya malam lailatulqadar.

“Ada juga pandangan yang menyatakan, al-Quran diturunkan pada 17 Ramadan. Walaupun ada khilaf, namun apa yang sepatutnya umat Islam lakukan adalah memperbanyak amalan khususnya pada 10 malam terakhir Ramadan,“ katanya.

Ujar pendakwah itu lagi, terdapat dua peringkat al-Quran diturunkan. Ia ada disebutkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, selain Ibnu Abi Syaibah.

Baca juga Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran

Bahasa Arab

“Kedua-dua tokoh itu menyatakan, al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah ke langit dunia sekali gus.

Mukjizat al-Quran


BACALAH al-Quran pada setiap hari dan jangan pernah meninggalkannya kerana ia merupakan rujukan utama umat Islam.

“Selepas itu, malaikat Jibril menyampaikan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah,“ katanya.

Mustafar menambah, kitab suci paling agung itu mengandungi hukum-hakam, cerita para anbia dan rasul-rasul serta umat terdahulu, selain menerangkan perihal akidah, akhlak dan mentauhidkan diri kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

“Al-Quran juga sebenarnya memberikan kita petunjuk yang dihadiahkan oleh ALLAH SWT untuk memandu semua makhluk ciptaan-NYA ke arah kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat,“ jelasnya.

Menyambung hujahnya, Mustafar yang juga Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy menjelaskan, nabi-nabi terdahulu juga menerima wahyu ayat-ayat suci dan kitab daripada ALLAH SWT.

Umpamanya, kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS, Zabur (Nabi Daud AS) dan Injil (Nabi Isa AS). Sementelah, al-Quran pula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia menjadi pegangan dan ikutan kita sehingga hari kiamat.

Mukjizat al-Quran

DIDIKLAH anak-anak dengan al-Quran sejak kecil lagi agar mereka memahaminya dan berpandukan kitab suci itu ketika beramal.

Betapa hebatnya mukjizat al-Quran, ujar beliau, apabila ia menjadi kitab suci terakhir diturunkan sekali gus menunjukkan bahawa ia sebenarnya disebabkan oleh Rabbaniah (datang daripada ALLAH).

“Semuanya bebas daripada sifat kezaliman, kelemahan dan hawa nafsu. Kehormatan dan kehebatan yang ada padanya membuatkan kita mematuhinya secara rela.

“Bahkan, kandungannya yang mencakupi segala aspek dalam kehidupan termasuklah menceritakan perihal kebaikan dan keburukan, balasan dunia dan akhirat, bentuk hukuman serta balasan yang setimpal terhadap segala dosa dan pahala,“ katanya.

Istimewanya al-Quran lagi, jelas agamawan itu, ia adalah petunjuk yang diberikan sesuai dengan keadaan, masa, tanpa mengira warna kulit, keturunan dan bangsa.

Pendek kata, kandungannya memberi kebaikan kepada semua orang.

“Bukan itu sahaja, sifatnya juga kekal dengan sumber dan syariat yang diguna pakai. Ia terpelihara sehinggalah tibanya hari akhirat kelak. Jelaslah betapa hebatnya mukjizat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,“ ujarnya.

Mengapakah al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab? Menjawab persoalan itu, pendakwah Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai MK Azman menjelaskan, kitab suci itu telah dikurniakan kepada nabi dan rasul yang berbangsa Arab.

MK AZMAN

“Oleh sebab Rasulullah SAW diutuskan kepada masyarakat Arab, maka patutlah al-Quran diturunkan dalam bahasa berkenaan agar mereka lebih mudah memahami isi kandungan dan beramal dengannya,“ katanya.

Tiada tandingan

Ujar beliau, bahasa Arab merupakan bahasa yang paling jelas, terang, luas dan kaya dengan perbendaharaan kata bagi mengungkapkan pelbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia.

Selain itu, bahasa tersebut merupakan antara 10 bahasa yang tertua di dunia, namun tidak berlaku sebarang perubahan pada tatabahasanya.

“Bahasa Arab juga kaya dengan ilmu nahu, sorof dan balaghah (ilmu bayan, ilmu ma‘ani dan ilmu badi‘). Dalam bahasa itu juga, kita dapat mengetahui maksud ayat-ayat dalam al-Quran yang membawa erti rasa gembira, sindiran atau kemarahan.

“Hal ini tidak berlaku dalam bahasa lain seperti bahasa Melayu. Ayat yang membawa maksud marah, sindir dan gembira hendaklah dilafazkan dan dituturkan dengan menggunakan intonasi yang dikehendaki oleh penutur. Ia tidak sama seperti bahasa Arab,“ ujarnya.

Di samping itu, penurunan kalamullah itu juga, kata MK Azman, begitu istimewa apabila melalui perantaraan malaikat yang paling mulia dan diturunkan pada bulan terhebat.

Menyambung perkongsian ilmunya, MK Azman mengingatkan umat Islam tentang mukjizat al-Quran yang teragung kerana ia akan kekal pada tangan dan dalam hati umat Islam sehinggalah dunia menemui penamatnya.

Jelas beliau, al-Quran dan hadis Rasulullah SAW adalah tinggalan yang amat bermakna dan bernilai kepada umat Islam. Jika ditinggalkan kedua-duanya, nescaya umat manusia akan hidup dalam kegelapan dan kesesatan.

Mukjizat al-Quran

AL-QURAN dan hadis Rasulullah SAW adalah warisan yang amat bermakna kepada umat Islam. Jika dibiarkan begitu sahaja, nescaya umat manusia akan hidup dalam kegelapan dan kesesatan.

“Fungsi al-Quran adalah sebagai pemisah antara yang hak dan batil atau antara yang benar dan yang salah. Bahkan, ia juga menjadi penawar bagi penyakit mental yang mana sesiapa yang membaca dan mengamalkannya dapat terhindar daripada penyakit hati atau masalah mental.

“Meskipun al-Quran hanya sebaris tulisan, namun membacanya dapat memberikan kelegaan kepada setiap orang yang beriman. Dalam al-Quran terdapat banyak pengajaran, nasihat, dan peringatan tentang kehidupan bagi orang bertakwa,“ katanya.

Kepada satu soalan, agamawan itu menjawab: “Keistimewaan al-Quran sungguh luar biasa. Berbanding dengan kitab-kitab samawi yang lain seperti Taurat dan Injil, kedua-duanya telah banyak diubah oleh penganutnya. Namun, tiada siapa yang dapat mengubah isi kandungan al-Quran.

“Walaupun terdapat beberapa percubaan untuk menukar inti patinya, tetapi semuanya gagal dan menemui jalan buntu. Bahkan, dalam al-Quran juga terkandung cabaran terhadap orangorang kafir untuk meniru isi kandungannya.

“Namun, mereka gagal mencipta ayat setanding al-Quran. Begitulah juga usaha-usaha untuk memalsukan kalam ALLAH atau mencipta isi seperti al-Quran telah cuba dilakukan oleh orang kafir sejak berzaman dahulu, tetapi tidak pernah berhasil sehingga kini.“

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya KAMI benar-benar memeliharanya.“ (Surah al-Hijr, ayat 9)

Demikianlah antara beberapa keajaiban dan keistimewaan al-Quran sebagai mukjizat kerasulan Nabi Muhammad SAW, kata MK Azman.

“Tiada siapa yang boleh melawannya. Sesiapa yang cuba berbuat demikian pasti akan lemah dan tersungkur kalah,“ jelas beliau mengakhiri bicaranya.

Baca juga Demimu al-Quran Aku Datang…

Sejarah pengumpulan al-Quran zaman nabi, sahabat

Hikmah penurunan al-Quran yang menjadi mukjizat paling hebat dalam kalangan nabi dan rasul sebenarnya bertujuan untuk menguatkan hati Nabi Muhammad SAW serta memberi motivasi kepada baginda.

Apabila wahyu itu diturunkan, pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, terdapat tiga kaedah utama pengumpulan al-Quran iaitu baginda akan menghafaz sebelum disampaikan kepada para sahabat.

IMAM MUDA ARAN

“Kedua, para sahabat mendengar dengan penuh teliti dan menghafaznya dan satu lagi, sebahagian kecil sahabat akan menyalin semula. Bahkan, Nabi Muhammad SAW turut melantik kalangan sahabat baginda untuk menjadi penulis wahyu.

“Mereka tulis dengan melorekkannya pada kulit binatang, pelepah kurma, tulang haiwan dan sebagainya. Sementelah, setiap kali bulan Ramadan, baginda SAW akan menyemak semula hafalannya di hadapan malaikat Jibril AS,“ katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ketika zaman para sahabat, kata Imam Muda Aran, pengumpulan al-Quran ada fasa-fasa tersendiri mengikut khalifah yang memerintah. Ketika zaman Abu Bakar as-Siddiq, berlaku satu peperangan yang menyebabkan ramai sahabat penghafaz al-Quran gugur syahid.

Katanya, Umar al-Khattab berasa bimbang dengan keadaan itu. Disebabkan itu beliau mengusulkan agar al-Quran dikumpulkan.

“Walaupun pada awalnya hati Abu Bakar berbelah bahagi kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika hayat baginda, namun akhirnya beliau akur dengan hujah yang dikemukakan oleh Umar dengan syarat yang ketat.

“Abu Bakar kemudiannya melantik lajnah yang diketuai oleh Zaid bin Tsabit untuk mengumpulkan al-Quran. Mereka pun menyalin semula al-Quran,“ katanya.

Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, sekali lagi al-Quran dikumpulkan kerana agama Islam ketika itu sudah semakin berkembang.

“Untuk menyeragamkan bacaan al-Quran, sekali lagi dilantik lajnah yang diketuai oleh Zaid bin Tsabit untuk menulis dan membukukan al-Quran menjadi mushaf. Ia berbeza ketika zaman Abu Bakar yang mana ia hanya disalin mengikut helaian, tetapi tidak dibukukan.

“Maka terhasillah enam buah mushaf. Lima daripadanya dihantar ke kota-kota besar jajahan Islam pada masa itu iaitu Basrah, Kufa, Syam, Makkah dan Madinah. Sementelah, mushaf keenam disimpan oleh Khalifah Uthman sendiri,“ katanya.

ANEKDOT

CARA penyampaian wahyu ayat al-Quran

Mukjizat al-Quran

AL-QURAN bukan sekadar untuk dibaca, tetapi dengan kitab suci itu kita mengenal asal-usul, ALLAH SWT dan menjadi peta dalam kita mengharungi kehidupan di dunia dan akhirat.

1. Mimpi yang benar.

Ia merupakan permulaan turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda bermimpi wahyu itu turun kepada baginda daripada ALLAH SWT melalui malaikat Jibril AS sebagai pengantara.

2. Bisikan.

Sesuatu yang dibisikkan oleh para malaikat ke dalam jiwa dan hati baginda.

3. Berupa malaikat yang wujud menyerupai seorang lelaki.

Malaikat pernah menyamar dalam wajah dan susuk tubuh Dihyah Ibnu Khalifah al-Kalbi, seorang sahabat nabi yang baik rupa parasnya dan kemudian menyampaikan wahyu kepada baginda.

4. Bunyi loceng.

Bunyi loceng akan bergemerencing datang kepada Nabi Muhammad SAW, diikuti malaikat menyampaikan wahyu.

5. Malaikat dalam bentuk asal.

Baginda SAW pernah melihat malaikat dalam bentuk yang asal dan menggambarkan bahawa betapa besarnya malaikat tersebut.

6. Berupa wahyu kepada baginda SAW.

Ia sebagaimana yang berlaku ketika peristiwa Israk dan Mikraj berkaitan kewajipan solat.

7. ALLAH SWT ‘bercakap‘ secara terus kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan.

Ia sepertimana ALLAH SWT berbicara dengan Nabi Musa AS.

Sumber: Pendakwah Mustafar Mohd Suki

Foto: Freepik & 123rf

Kekacauan 13 September
Isu,

Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran

SABAN tahun, umat Islam di negara ini akan bercuti umum sempena Nuzul al-Quran yang disambut pada setiap 17 Ramadan. Pada tahun ini, tarikh keramat itu jatuh pada Sabtu 8 April.

Ia merupakan peristiwa penting dalam lipatan sirah Islam yang mana ketika itulah mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran diturunkan kepada baginda.

Sesungguhnya, hikmah peristiwa itu begitu besar kerana kalam ALLAH itu yang menjadi rujukan utama umat Islam sehingga dunia menuju ke penamatnya.

Kitab suci itu juga yang menjadi panduan untuk kita melayari kehidupan di muka bumi yang fana ini sebelum ke alam akhirat yang kekal abadi.

Begitupun, masih ada segelintir orang yang keliru dengan tarikh penurunan al-Quran. Ini kerana terdapat khilaf dalam kalangan ulama berhubung dengan perkara itu.

Ada yang menyatakan bahawa ia jatuh pada 17 Ramadan dan sebahagiannya pula menjelaskan peristiwa penurunan al-Quran itu berlaku pada malam lailatulqadar.

Ia sebagaimana dalil yang dirakamkan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. ” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

ALLAH SWT juga berfirman: “Haa, Miim. Demi al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba KAMI ditimpa azab).” (Surah ad-Dukhan, ayat 1-3)

Dalam satu lagi ayat lain, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1)

Menjelaskan kekeliruan tersebut, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menegaskan, Ramadan merupakan bulan al-Quran yang mana kalam ALLAH itu diturunkan.

MOHD FAUZI

Dalam proses penurunan kitab suci itu, ujar beliau, ada beberapa peringkat yang dibahaskan para ulama.

“Pertama sekali, ayat al-Quran itu diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia sekali gus 30 juzuk. Semua itu diturunkan pada malam lailatulqadar.

“Kedua, turunnya al-Quran itu dari langit tadi secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun pada bulan Ramadan. Ketika itulah ayat yang pertama iaitu Iqra turun pada 17 Ramadan di Gua Hira.

“Maka sebab itulah Ramadan dikenali sebagai Syahrul Quran (bulan al-Quran),” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Maka tidak hairanlah mengapa begitu ramai orang yang berlumba-lumba untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bertadarus sepanjang bulan penuh barakah itu.

Baca juga “Bungkus Je Bang!”

Dalam pada itu, Mohd Fauzi turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang melakukan tadarus mengikut kumpulan dan terus menghabiskan tadarus mereka sebelum Ramadan tiba ke penghujungnya.

Ketahuilah, itu antara kesilapan yang acap kali dilakukan oleh kebanyakan masyarakat, ungkapnya.

“Ya, kita tahu memang ada masjid atau surau telah menentukan pasukan A, B, C dan sebagainya bagi menghabiskan tadarus 30 juzuk al-Quran.

“Namun, menjadi tanggungjawab kita untuk membuat pembahagian dengan betul dan tersusun supaya juzuk yang dipertanggungjawabkan itu dapat dilunaskan hingga pada hari terakhir Ramadan.

Nuzul al-Quran

BANYAKKAN membaca al-Quran dan bertadarus sepanjang bulan Ramadan yang menjadi bulan turunnya al-Quran.

“Kita bukan mahu mengejar siapa yang khatam al-Quran paling awal. Sebaliknya, semua itu dilakukan bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan mengisinya menerusi majlis tadarus,” jelasnya.

Menyambung hujahnya, ujar Mohd Fauzi, pada hakikatnya, menerusi dalil-dalil sedia ada, ia mahu mengingatkan kita bahawa Ramadan itu bulan al-Quran berbanding dengan bulan-bulan lain.

“Wajarlah kita untuk lebih dekat dengan al-Quran. Semakin kita kerap membacanya, kita boleh menyemak bacaan selama ini dari segi tajwid, harakat, dengung dan sebagainya.

“Apabila diri semakin dekat dengan kalam ALLAH itu, kita sebenarnya makin banyak mempelajarinya. Ingatlah bahawa al-Quran akan memberikan syafaat kepada orang yang membacanya,” ujarnya.

Nuzul al-Quran

BARANG siapa yang membaca, mendampingi dan beramal dengan al-Quran, kitab suci itu akan memberi syafaat kepada mereka pada hari kiamat kelak.

Justeru, bersama-samalah kita membasahkan lidah dengan menyebut ayat suci dan kalam-NYA sepanjang bulan Ramadan yang hanya berbaki dua minggu lagi.

Semoga segala amalan kita sepanjang bulan maghfirah dan barakah ini akan diterima oleh-NYA.

Foto: Freepik & 123rf