Browsing Tag

Nusyuz

Nusyuz
Berita Semasa,

Rupanya wujud suami nusyuz, kenal pasti ciri-cirinya

UNGKAPAN nusyuz begitu menggerunkan bagi mereka yang bergelar suami isteri. Tiada siapa yang mahu dirinya digelar nusyuz atau bahasa mudahnya menderhaka atau mengabaikan pasangan.

Masakan tidak, perkataan itu bagaikan ‘sumpahan’ sehinggakan terdapat beberapa hak yang boleh gugur andai gelaran itu ‘melekat’ pada diri.

Sebagai contoh, wanita yang disabitkan nusyuz oleh mahkamah tidak layak menerima nafkah daripada suami masing-masing.

Baca juga Suami Tak Boleh Sewenang-Wenangnya Gelar Isteri Nusyuz, Hanya Mahkamah Syariah Sahaja Boleh Mensabitkannya

Meskipun istilah nusyuz acap kali dikaitkan dengan kaum Hawa, ketahuilah bahawa ia juga boleh berlaku kepada lelaki.

Lihat sahaja pada maksud nusyuz itu sendiri iaitu penderhakaan atau pengabaian tanggungjawab sama ada pada pihak suami atau isteri tanpa alasan munasabah yang bersesuaian dengan kehendak syarak.

“Isteri yang nusyuz ialah mereka yang menderhakai suaminya, manakala suami yang nusyuz pula ialah mereka yang menzalimi atau menganiaya isteri,” demikian petikan artikel bertajuk ‘Nusyuz Menurut Syarak’ yang disiarkan menerusi studentsrepo.um.edu.my.

Nusyuz

JAUHI perbuatan nusyuz yang dilarang oleh agama kerana perbuatan itu berdosa besar dan mendatangkan natijah buruk kepada perkahwinan seseorang. -FOTO: 123RF

Berdasarkan nukilan di laman web berkenaan, nusyuz dibahagikan kepada tiga kategori. Ia bersandarkan kepada hujah dan penulisan al-Farra serta beberapa ulama fiqh tersohor dalam Mazhab Syafie.

“Ia termasuklah nusyuz di pihak isteri, pihak suami mahupun kedua-dua belah pihak.

“Bagi nusyuz seorang isteri dan suami, perkara itu ada dijelaskan dalam al-Quran menerusi ayat 34 dan 127, Surah an-Nisa’. Bagaimanapun, untuk situasi nusyuz kedua-dua pihak, ia merupakan konflik rumah tangga yang membawa kepada syiqaq (pergaduhan),” katanya.

Apa jua kategorinya, para fuqaha berpendapat, perbuatan nusyuz seorang isteri kepada suaminya adalah diharamkan dan begitu juga sebaliknya.

Tanda-tanda suami nusyuz

Berikut tanda-tandanya sebagaimana dipetik menerusi laman web studentsrepo.um.edu.my:

1. Melalui percakapan.

– Tidak mengendahkan isterinya tanpa alasan munasabah seperti enggan bercakap dengan pasangan atau bercakap kasar.

– Mengesyaki isterinya tanpa sebarang sebab munasabah.

– Mengarahkan isteri melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syarak.

Nusyuz

SUAMI dan isteri perlu memahami serta melaksanakan tanggungjawab dan hak masing-masing dalam membina rumah tangga yang harmoni. -FOTO: 123RF

2. Melalui perbuatan.

– Tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak.

– Bertindak kejam dan keras terhadap isteri seperti memukul.

– Tidak menyediakan nafkah sewajarnya kepada isteri.

Baca juga Nafkah ikut kemampuan suami, ini kadar yang patut diberikan kepada isteri. Boleh jadikan sebagai panduan 

– Tidak memelihara kehormatan pasangan.

– Mengabaikan untuk menyediakan tempat tinggal dan perlindungan.

– Berpoligami, tetapi tidak berlaku adil terhadap semua teman hidupnya.

Baca juga Cara giliran bermalam antara isteri dalam perkahwinan poligami. Ini saranan Islam.

Atasi segera sebelum terlambat

Bagaimana pula untuk menangani masalah jika suami yang nusyuz?

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-371: Nusyuz Bagi Seorang Suami yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wanita tersebut hendaklah bersabar dan menasihati serta mengingatkan tindakan yang dilakukan oleh suaminya dengan menceritakan firman ALLAH SWT terhadap kewajiban mereka dalam menggauli pasangannya dalam ayat 19, Surah an-Nisa’.

Nusyuz

DAPATKAN nasihat pihak berautoriti jika mengalami masalah berkaitan rumah tangga. -FOTO: 123RF

Jika keadaan belum berubah dan gagal menasihatinya, maka isteri boleh mengadu kepada hakim atau pemerintah atas apa yang dilakukan oleh suami terhadap dirinya.

Baca juga Ingatan Untuk Para Suami Dan Bapa, Ramai Yang Lakukan Dosa Ini Tanpa Sedar

“Sekiranya masih lagi tidak dapat diselesaikan, wakil bagi kedua-dua pihak hendaklah dihantar supaya diadakan perbincangan berkenaan hala tuju rumah tangga pasangan tersebut.

“Andai peranan hakim masih lagi tidak dapat mendamaikan kedua-duanya, maka hendaklah memanggil wakil yang dipercayai daripada kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah ini sama ada mendamaikan atau memisahkan mereka. Bagaimanapun, bagi menjatuhkan hukuman terhadap pasangan itu, ia wajib dilakukan oleh qadi atau hakim,” katanya sebagaimana dipetik dalam laman web pejabat mufti berkenaan.

Kepada mereka yang pernah berhadapan dengan masalah sebegitu, usah malu untuk merujuk kepada pihak berautoriti. Jangan memendam rasa, kelak ia akan memakan diri sendiri.