Browsing Tag

nuramira

hina islam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

HATI-HATI, hukumnya berdosa bagi sesiapa yang mendedahkan aib sendiri.

Kebiasaanya apabila melakukan kesalahan, seboleh-bolehnya kita ingin menyembunyikan perkara itu kerana sememangnya fitrah manusia memiliki perasaan malu.

Namun, entah apa yang berlaku pada generasi kini apabila muncul segelintir golongan yang bukan sahaja tidak kisah menzahirkan dosa yang dilakukan, malah begitu berbangga dengan perbuatan tersebut.

Lebih parah, platform media sosial digunakan untuk menayangkan kepada khalayak ramai pekung di dada yang sudah habis terbuka.

Baca juga Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

Baru-baru ini, tular di alam maya isu seorang wanita Islam yang dikatakan menghina agama Islam melalui persembahan komediri (stand-up comedy) di sebuah kelab komedi bertempat di ibu kota.

Dalam sebuah video berdurasi 54 saat, pelawak wanita berkenaan yang pada mulanya tampil lengkap berbaju kurung dan tudung bertindak menanggalkan pakaian di atas pentas selepas mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran.

Tindakan wanita tersebut bukan sahaja menerima kecaman daripada warganet, bahkan termasuk komuniti pelawak tempatan yang mengatakan bahawa persembahan terbabit tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

hina islam

KEMUDAHAN internet yang ada kini menyebabkan senang berlakunya fitnah apabila perkara yang tidak sepatutnya dikongsikan bersama orang luar.

Sebagai Muslim, kita sering diingatkan supaya tidak memperlihatkan aib diri dan orang lain kerana dikhuatiri boleh membawa kepada fitnah yang akhirnya mencela diri sendiri.

Ketahuilah ALLAH sudah pun membantu menutupkan aib hamba-hamba-NYA, jadi di mana letaknya akal dan kewarasan bagi mereka yang sebaliknya berbangga menghebohkan pula perbuatan keji tersebut.

Baca juga Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan.

Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu.

ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT dari dirinya.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Amalkan 5 cara ini untuk hindari fitnah akhir zaman

hina islam

USTAZ WADI ANNUAR

Mengulas tentang isu ini, pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar berkata, antara golongan yang sukar mendapatkan pengampunan dan rahmat ALLAH SWT termasuk mujahir, iaitu mereka yang melakukan maksiat kepada Tuhan lalu dedahkan kepada orang ramai tentang perbuatan dosa tersebut.

“Kamu sudah melakukan dosa besar dan ALLAH telah menutup aib itu, tetapi kamu pula mengumumkan di hadapan ratusan ribu orang serta dikongsi jutaan manusia yang melihatnya.

“Kamu nak cabar siapa? Kamu nak mempermainkan siapa? Apakah kamu hendak beritahu bahawa walaupun bergelumang maksiat dan dosa, tetapi hidup penuh nikmat serta kebahagiaan?” katanya.

hina islam

BERTAUBATLAH kepada ALLAH bagi mereka yang sudah terjebak dengan perbuatan keji membuka keaiban diri dan orang lain.

Bak kata pepatah Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, wanita terbabit menerima padah gara-gara perbuatannya apabila dia didakwa oleh mahkamah di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu boleh didakwa jika cuba menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Baca juga Hati-hati dengan ‘content’ persenda agama, akidah boleh runtuh kerananya

Sekiranya disabitkan atas kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun.

Oleh itu, berhati-hatilah dan gunakan akal yang waras disertai keimanan sebelum berbicara dan melakukan sesuatu.

Sumber: Astro Awani & Kosmo

Foto: Pexels & I Love Borneo