Browsing Tag

nikah

Poligami
Isu,

Perbetulkan salah faham perihal poligami

POLIGAMI, istilah yang digeruni oleh kebanyakan wanita. Meskipun ada yang sanggup bermadu, tiada siapa tahu apa yang tersirat dalam sanubari hati perempuan mereka.

Bercerita tentang hal itu, baru-baru ini tular video perkongsian seorang lelaki yang mengamalkan perkahwinan poligami. Pemuda tersebut menyatakan, beliau tidak membelakangi isterinya dalam hal sebegitu.

Baca juga Manisnya perkahwinan poligami jika dilakukan dengan betul

Walaupun isteri pertamanya reda menerimanya, tetapi terlihat satu klip yang memaparkan wanita itu menangis sambil dipeluk si suami menenangkannya.

Malah, rakaman itu turut memaparkan kapsyen ‘Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami’.

Poligami

MESKIPUN poligami pada asalnya diharuskan, tetapi ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Video berdurasi 57 saat itu menerima respons warganet yang rata-ratanya dilihat kurang bersetuju tindakan lelaki berkenaan menyakiti hati isteri meskipun mendapat keizinan untuk berkahwin lagi.

Dalam isu poligami itu, pelakon Nabila Huda juga ada memuat naik hantaran di media sosial miliknya yang berbunyi: “For your info (untuk pengetahuan anda) kami tidak melakukan perkongsian. Tiada dalam kamus hidup kami nak kena berkongsi orang yang kami bersumpah untuk cinta sampai mati dengan wanita lain ya…

“If you’re mine, you’re only mine…We only need one man and we want to be his only woman (Jika awak milik saya, awak hanya milik saya. Kita hanya perlukan seorang lelaki dan kita tahu menjadi satu-satunya wanitanya).”

Baca juga Rupanya tidak wujud ‘payung emas’ dalam poligami

Banyak lagi komen-komen lain yang ditinggalkan oleh netizen.

Sinar Islam Plus tidak berhasrat mengulas panjang tentangnya, cuma tertarik dengan perkongsian pemilik akaun Twitter @Muzuzxck tentang salah faham dari sudut pelaksanaan poligami.

Muzuza yang juga penulis buku kerohanian menjelaskan, hukum berpoligami pada asalnya diharuskan.

Namun, ada suatu perkara yang perlu diketahui bahawa ia boleh berubah hukum dengan situasi yang berbeza!

“Jika sekadar ingin berlazatan, maka makruh (hukumnya).

“Jika tidak boleh berlaku adil, maka diharamkan. Realitinya, poligami ini sangat berat,” ciapnya menerusi Twitter miliknya.

Poligami

PETIKAN ciapan pengguna akaun Twitter @Muzuzxck tentang salah faham berkaitan poligami.

Bukan itu sahaja, perkahwinan lebih daripada seorang isteri itu membabitkan isu keadilan.

Ramai yang hanya memandang soal kewangan menjadi sandaran dalam konteks adil itu.

Baca juga Cara giliran bermalam antara isteri dalam perkahwinan poligami. Ini saranan Islam.

Hakikatnya, Muzuza menjelaskan, adil dalam poligami bukan semata-mata dari sudut kewangan, tetapi juga emosi, nafkah batin dan lain-lain.

Beliau juga kurang bersetuju dengan pernyataan kapsyen pada ruangan video yang tular berkaitan ‘Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami’.

Menurut perspektifnya, kenyataan itu tidak tepat kerana jika seorang isteri tidak memberi keizinan kepada suaminya untuk berkahwin lain pun, ia bukanlah penanda aras tetap untuk kita katakan bahawa seseorang isteri itu tidak taat.

Apatah lagi untuk kita sebutkan bahawa seseorang isteri itu dikira sebagai tidak menjaga maruah suami apabila tidak mengizinkan poligami, ungkapnya.

“Satu lagi kenyataan (dalam video berkenaan bahawa) ‘poligami adalah suatu yang ALLAH beri untuk memperbetul apa yang silap’, ini juga samar. Apakah yang silap? Dan benarkah tujuan lelaki tersebut termasuk dalam golongan yang dibenarkan?

“Maka tidak tepat untuk buat kesimpulan terus sebegitu melalui sepintas hukum. Begitu juga netizen yang membuat kesimpulan terus dari video pendek dan samar ini.

“Bahkan, saya tidak rasa ada kesilapan sehingga perlu kita bernikah lagi. Saya juga tidak mengharamkan poligami secara mutlak, tetapi cara lelaki ini tidak tepat dalam menggambarkannya,” tegas beliau.

Poligami

KEPADA lelaki yang mahu mengamalkan perkahwinan poligami, fahamkan dulu berkaitan tentangnya sebelum melafazkan akad nikah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Dalam pada itu, Muzuza berpandangan, video berkenaan tidak sesuai dimuat naik kerana ia disifatkan terlalu umum tanpa mengetahui konteksnya hingga menyebabkan banyak komentar bertebaran.

Baca juga Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil

Ketahuilah bahawa terlalu banyak salah faham yang berlaku waima daripada pihak yang mengamalkan poligami atau tidak, terangnya.

“Yang berpoligami, terkadang tidak adil dalam berhujah sehinggakan hadis palsu dihujahkan, berslogankan ‘poligami itu sunnah’, walhal berkahwin juga satu sunnah.

“Lagi parah apabila kita menggambarkan poligami itu adalah lambang ketidakadilan, walhal ia tidak begitu. Fiqh dalam poligami perlu diperhalusi.

“Dari pihak yang tidak berpoligami pula, beremosi sehingga melintasi sempadan hukum. Memutlakkan pengharaman, ini juga tidak tepat,” tegasnya.

Lantaran itu, beliau menasihatkan agar kita bertakwa kepada ALLAH SWT dan usah melampaui batas.

Tunai umrah
Berita Semasa, Hukum,

Perkahwinan 3 anak tak sah gara-gara bapa masih dalam ihram, sebab itu penting kursus sebelum tunai umrah

WALAUPUN sekadar tunai umrah, umat Islam dinasihatkan supaya mengikuti kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Nasihat itu dititipkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Rabu.

DR WAN SALIM

Ia rentetan daripada kisah seorang bapa yang tidak sedar melanggar ‘pantang’ ketika berihram hingga akhirnya anak-anak dan cucu-cucunya menjadi ‘mangsa’, sebagaimana dikongsikan dalam akaun TikTok @rambutjelita.

Baca juga Sentuh Kaabah sambil tawaf, adakah dikira batal dan perlu buat pusingan baru?

Ceritanya begini, lelaki itu menunaikan umrah pada tahun 2011 tanpa berkursus terlebih dahulu.

Ketika melakukan tawaf, dia menyentuh dinding kaabah sebanyak tiga kali. Perbuatan itu sebenarnya telah membatalkan tawafnya.

Oleh sebab tidak tahu, dia meneruskan rukun yang lain sebelum pulang ke Malaysia.

Tidak lama kemudian, dia menikahkan seorang demi seorang anak-anaknya. Dipendekkan cerita, seramai tiga orang anaknya telah dikahwinkan  olehnya sepanjang tujuh tahun selepas pulang dari Tanah Suci tanpa menyedari dirinya masih dalam ihram lagi.

Menurut perkongsian daripada individu bernama Aida itu, setelah mengikuti kursus haji pada tahun 2018, barulah bapa tadi mengetahui dia masih dalam ihram.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

Dirinya lebih terkilan apabila ia turut mengheret sama pernikahan tiga anaknya tadi. Pejabat agama telah mengesahkan bahawa perkahwinan tiga anaknya tidak sah mengikut syarak, manakala cucu-cucunya pula lahir sebagai anak tidak sah taraf.

Lantaran itu, Dr Wan Salim mengingatkan peri pentingnya pengetahuan sebelum menunaikan ibadah sama ada haji atau umrah.

“Ikutilah kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Makkah. Ini penting untuk memahami rukun-rukun dan wajib haji, selain pantang larang ketika berada dalam ihram,” titipnya.

Tunai umrah

SEBELUM tunai umrah, sebaiknya dalami ilmu untuk menunaikan ibadah berkenaan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Mengulas lanjut tindakan lelaki terbabit yang menyentuh kaabah, ujar agamawan itu, tawafnya telah batal (tidak sah).

“Dia sepatutnya kena keluar semula daripada ihram dengan melakukan tahalul ihsar. Caranya ialah dia hendaklah menyembeli seekor kambing dengan niat tahalul,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Wan Salim menjawab: “Pernikahan anak-anaknya tidak sah dan perlu diakad semula.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

“Bagaimanapun, anak-anak yang lahir hasil pernikahan tersebut adalah sah taraf kerana hubungan suami isteri dianggap wathi syubhah, bukan zina.”

Pantang larang ketika ihram

Ketahuilah bahawa definisi ihram bukan bermaksud pakaian yang dipakai oleh para jemaah haji mahupun umrah.

Sebaliknya, jelas Abu Ammar al-Mahmudi dari Unit Bimbingan Az zuha Group Travel & Tours, ihram pada hakikatnya adalah perbuatan yang mengharamkan beberapa perkara yang asalnya halal bagi melakukan ibadah-ibadah tertentu.

“Sebagai contoh, ketika memulakan solat dengan mengangkat takbir pertama iaitu takbiratulihram, dengan erti kata lain, kita mengharamkan seketika perkara-perkara seperti bercakap, makan, minum dan sebagainya yang menjadi larangan ketika sembahyang,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook HANIS.

Menurut beliau, terdapat 13 larangan ihram bagi ibadah haji dan umrah seperti berikut:

– Lelaki:

Tunai umrah

KETIKA berihram, ketahui pantang larangnya agar kita tidak melakukan kesilapan berkenaan ketika menunaikan ibadah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

1. Memakai pakaian berjahit, bercantum dan dipakai secara bersarung.
2. Menutup kepala atau sebahagian daripada kepala.

– Wanita:

3. Menutup muka atau sebahagian daripada muka.

– Lelaki & Wanita:

4. Memakai sarung tangan.
5. Berwangi-wangian.
6. Memakai minyak pada kepala, janggut dan jambang.
7. Mencabut, memotong atau membinasakan bulu-buluan yang ada pada badan.
8. Memotong, mengerat atau membinasakan kuku.
9. Memburu binatang buruan yang halal dimakan.
10. Memotong, mengerat, menebang atau membinasakan tumbuhan di tanah haram.
11. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wali kahwin.
12. Mukadimah bersetubuh.
13. Bersetubuh.

Kepada mereka yang mahu beribadah ke Tanah Suci, timba dahulu pengetahuan sebelum ke sana. Jangan ambil remeh tentang hal itu.

hilang status perkahwinan
Berita Semasa,

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

SIAPA sangka hari yang sepatutnya indah buat seorang pengantin lelaki dari Indonesia berubah menjadi pilu dalam sekelip mata apabila wanita yang baru sehari sah menjadi isterinya telah hilang tak dapat dikesan.

Menurut serambinews.com, pasangan yang menetap di Rancabungur di Bogor, Indonesia itu telah bernikah pada 25 Jun lalu.

Namun hanya sehari selepas itu, isterinya dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli makanan dengan menaiki motor.

Baca juga Tiada masalah kahwin wanita lebih berusia, yang penting utamakan agama

Memetik sumber itu lagi, wanita terbabit sudah lebih seminggu menghilang tetapi keberadaannya masih menjadi tanda sang suami.

Jelas pemuda tersebut, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan isterinya sebelum ini dan mereka telah bercinta selama 5 bulan atas dasar suka sama suka, bukannya kerana dipaksa atau diatur keluarga.

Bercerita mengenai apa yang berlaku sebelum kejadian, dia dan isterinya dikatakan begitu mesra dan perbualan mereka juga tidak timbul sebarang kata-kata yang mencurigakan.

Lelaki itu juga berkata, dia sudah membuat laporan polis dan berharap agar isterinya itu dapat ditemukan dengan kadar segera.

hilang status perkahwinan

Apa jadi pada perkahwinan jika pasangan hilang?
Dalam Islam, situasi sebegini digelar sebagai mafqud.

Menurut para ulama Syafie kontemporari, mafqud adalah: “Orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Sebagaimana dijelaskan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan (W.P), ada dua jenis mafqud atau hilang di sisi agama dan bagaimana situasi tersebut boleh mempengaruhi status perkahwinan

1. Suami yang hilang tetapi keadaannya diketahui dan boleh dihubungi.
Dalam situasi ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun, sekiranya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.

2. Suami yang hilang dalam keadaan terputus khabar berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan.

Dalam mazhab Syafie, para ulama terbahagi kepada dua pendapat, iaitu sebelum mengahwini lelaki lain, isteri perlu terlebih dahulu menunggu

1. Mengikut tempoh yang ditetapkan, atau
2. Sehingga ada kepastiannya suaminya telah meninggal dunia atau menjatuhkan talak

Dari segi waktu menunggu, ada sebahagian ulama mengatakan tempohnya adalah 4 tahun dengan tambahan masa ‘iddah 4 bulan 10 hari. Pendapat ini juga dipegang oleh Umar bin Al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Malik bin Anas, dan Ahmad.

Pun begitu, pandangan masyhur dalam kalangan ulama Syafie termasuklah pihak Mufti W.P adalah tempoh menunggu adalah bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim.

Hal ini kerana tidak ada nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum seseorang itu diputuskan sebagai mati.

Jadi, ini bermakna, jika hakim menentukan masa 4 tahun, maka si isteri perlu menunggu sehingga tempoh itu sebelum dibenarkan berkahwin lain selepas ‘iddah.

Walau bagaimanapun, jika selepas 6 bulan misalnya, sudah dapat disahkan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat ‘iddah.

Si isteri berkahwin lain tanpa menunggu habis waktu ditetapkan
Jika si isteri berkahwin lain tanpa menunggu selama tempoh yang ditetapkan serta tidak mendapatkan keputusan daripada mahkamah syariah mengenai status perkahwinannya dengan suami yang hilang, maka pernikahan baru itu dikira tidak sah.

Manakala, anak yang dikandung si isteri hasil hubungannya dengan suami kedua adalah anak syubhah yang lahir daripada persetubuhan syubhah dan dinasabkan kepada ayahnya serta berlaku hukum waris antara si ayah dan anak tersebut.

Suami kembali setelah hilang
Dalam pada itu, sekiranya si suami yang hilang kembali semula setelah tamat tempoh mafqud, beliau berhak memilih untuk menikahi isterinya kembali, atau menerima pemulangan mahar (merelakannya dengan suami baru).

Pandangan ini berdasarkan kenyataan Saidina Umar dan Saidina Uthman yang berkata,

“Apabila suaminya kembali (setelah tamat tempoh mafqud), maka si suami diberi pilihan antara kembali memperisterikannya atau menerima pengembalian mahar isterinya tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 16723)

Apa pun, setiap daripada kita perlu cakna dengan hukum-hakam agama berkaitan isu ini kerana ia boleh memberi impak kepada perkahwinan serta menyentuh hal halal dan haram dalam perhubungan.

Sumber: Serambinews.com & Portal Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & TikTok

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

Rumah tangga
Isu,

3 perkara ini sering dianggap remeh, tetapi boleh merosakkan rumah tangga!

RESAM rumah tangga sememangnya tidak selalunya tenang. Ada ketikanya pasangan diulit bahagia, namun adakalanya dilanda gelora juga.

Percayalah setiap apa yang berlaku itu akan mematangkan diri. Masakan tidak, pengalaman berupaya mendewasakan kita.

Dari situ kita sebenarnya kenal dengan lebih dekat siapa pasangan kita, apa kesukaannya dan perkara yang dibencinya. Begitupun, sepertimana kehidupan, iman juga ada pasang surutnya.

Kadang-kadang tindak-tanduk yang dilakukan mengguris perasaan pasangan tanpa disedari. Lama-kelamaan rasa kasih dan sayang yang bersemayam dalam diri terhakis sedikit demi sedikit.

Perkara itu tidak bagus untuk kehidupan suami isteri kerana boleh mengakibatkan hubungan mereka semakin dingin dan berantakan.

Menerusi laman sosial Facebook miliknya, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah yang biasa mengendalikan kes-kes perceraian berkongsikan tiga perkara yang dianggap remeh, tetapi boleh merosakkan rumah tangga.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Perinciannya seperti berikut:

1. Sentiasa menghadap telefon bimbit, gajet, iPad dan game.

Barangkali ramai tidak sedar gajet sebenarnya boleh menyebabkan ketagihan. Lebih-lebih lagi mereka yang suka menonton video menerusi telefon pintar masing-masing.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

Selepas habis satu video, terus tonton lagi satu dan semakin bertambah. Memang ‘melekat’ mata dengan telefon sampai mengabaikan insan di sekeliling.

2. Tidak menjaga waktu solat.

Rumah tangga

PELIHARALAH waktu solat dengan sebaik mungkin kerana ia bukan sekadar tiang agama, tetapi juga melatih diri berdisiplin. -FOTO: 123RF

Ia suatu perkara yang tidak patut berlaku kepada umat Islam kerana ia merupakan tiang agama. Ya, memang bagus tunaikan solat pada awal waktu kerana melatih diri berdisiplin, selain menzahirkan kebergantungan kita kepada Sang Khalik.

Andai kita mahu cepat, segerakanlah buat perkara yang disukai oleh ALLAH SWT supaya DIA juga sentiasa memelihara hidup kita.

Cuba perhatikan jika hidup keluarga kita porak-peranda, barangkali ada perkaitannya dengan sikap lalai dalam solat, sudah lama tidak menyentuh apalagi membaca al-Quran, kurang mendengar tazkirah dan mengadakan sesi taklim dalam keluarga dan seumpamanya.

Baca juga ‘Masa yang berkat hanya datang bila mendirikan solat lima waktu’

Dalam hal ini, suami selaku ketua keluarga perlu memastikan seluruh ahlinya dekat dengan ALLAH SWT. Ketahuilah, hati yang sering kali mengingati Tuhan adalah jiwa yang lembut dan lunak. Kalbu yang jauh daripada-NYA akan selalu keras, degil dan memberontak.

3. Tidak menjaga waktu tidur.

Rumah tangga

WAKTU tidur yang banyak ‘gangguan’ boleh menjadi penyebab kerenggangan hubungan suami isteri. -FOTO: 123RF

Sekali imbas, memang kelihatan remeh masalah tersebut. Namun, itulah realitinya. Jika dibandingkan dengan orang zaman dahulu, hidup mereka tidak banyak gangguan. Jadi banyak masa dihabiskan dengan keluarga termasuklah tidur bersama.

Zaman sekarang penuh dengan ‘gangguan’ seperti telefon, game, kedai mamak dan sebagainya. Benar, ramai yang kononnya beralasan duduk bersama keluarga, tetapi hanya jasadnya sahaja di situ, tetapi matanya terus tertancap pada telefon bagaikan digam.

Contoh paling mudah, isteri tidur jam 9.30 malam, tetapi suami pula sibuk menghadap game sampai jam 4 pagi. Dalam situasi ain pula, walaupun pasangan masing-masing sama-sama berbaring di atas katil, tetapi suami isteri sibuk dengan telefon sendiri berjam-jam lamanya sehingga terlelap tanpa sedar.

Bahkan ada pula yang suami tidur jam 10 malam, tetapi si isteri pula melakukan semak imbas platform e-dagang atau beli-belah online sampai jam 2 pagi!

Rumah tangga

‘GANGGUAN’ telefon antara perkara yang kerap berlaku sebelum tidur yang tanpa disedari memudarkan hubungan bersama pasangan. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Bukan itu sahaja, satu lagi olah yang kerap berlaku di mana isteri tidur bersama bayi dalam satu bilik, manakala suami tidur di sofa ruang tamu. Alasannya tidak mahu diganggu tangisan anak sebab perlu bekerja esok, jadi kena cukup tidur. Tindakan sebegini sebenarnya menyebabkan akan ada hati yang terasa dan wujudnya kerosakan komunikasi.

Baca juga Terpaksa kongsi bilik tidur dengan anak? Ini yang perlu dilakukan ibu bapa

Padahal waktu sebelum tidurlah detik untuk suami isteri saling berkongsi cerita, meluah rasa jika ada tidak berpuas hati, bermaafan dan sebagainya. Itulah waktu pillow talk, kata orang.

Demikianlah antara perkara yang acap kali dilakukan oleh pasangan suami isteri tidak kiralah yang baru berkahwin atau sudah senior.

Justeru, Nurain Akmal Khairunnisa mengingatkan agar pasangan tidak terus dibuai perasaan lalai dan terleka sehingga langsung tidak ambil berat tentang hal itu. Akhirnya, ia boleh memakan diri.

“Jadi, mana-mana perkara yang berlaku dalam rumah tangga itu, boleh perbaiki diri untuk melahirkan rumah tangga bahagia,” nasihat beliau.

Untitled design - 2022-10-26T173802.086
Hukum,

Suami boleh tidur dengan dua isteri dalam satu bilik? Berikut penjelasannya

BERBICARA mengenai dua isteri, tidak lain tidak bukan pasti ia dikaitkan dengan poligami. Topik yang mendapat perhatian itu sering menarik perbincangan ramai.

Meskipun ia diharuskan dalam agama Islam, masih ada aturan dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi mencapai maqasid syariah sesebuah perkahwinan.

Dalam perkahwinan poligami, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, Islam menggariskan dua syarat yang dibolehkan seorang suami untuk mengumpulkan isteri-isterinya.

Merujuk Syarah Mukhtashar Khalil karya al Khurasyii, seorang lelaki boleh menghimpunkan dua isterinya dalam satu rumah dengan dua syarat iaitu;

i.Isterinya masing-masing memiliki bilik tersendiri dan dilengkapi dengan perabot dan keperluan seperti tandas, dapur dan yang menjadi keperluan asasinya.

ii.Kedua-dua isteri reda terhadap hal itu dan tiada perbezaan antara isteri kedua, ketiga atau keempat.

POLIGAMI diharuskan dalam agama Islam, namun masih ada aturan dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi mencapai maqasid syariah sesebuah perkahwinan.

Andai kedua-dua isteri tidak reda dengan hal itu, ujar pendakwah tersebut, maka si suami tidak boleh menghimpunkan kedua-dua isterinya dalam satu rumah.

“Bahkan, suami wajib menyediakan rumah untuk setiap seorang dan jarak kedua-dua kediaman itu tidak berjauhan,” katanya.

Adakah suami boleh tidur dengan isteri-isteri yang dinikahi dalam satu bilik?

Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Azhar Idrus lantas memetik pandangan Imam Ahmad bahawa: “Jika salah seorang isterinya reda (rela) kalau dia menggauli isterinya yang satu di depannya dengan dia melihatnya, tetap tidak boleh. Kerana hal itu termasuk menghinakan, tidak masuk akal dan menjatuhkan kehormatan. Ia tidak boleh dilakukan walau dengan keredaan kedua-duanya.”

Namun begitu, agamawan itu menjelaskan, harus jika seorang suami tidur sekali dengan dua, tiga atau empat isteri dalam satu bilik, tetapi menjadi haram jika ada hubungan intim.

SISTEM poligami, terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu, bahkan boleh jadi menzalimi. 

Hukum berpoligami

Ramai yang mengaitkan poligami itu merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Namun begitu, berdasarkan apa yang dijelaskan oleh menerusi artikel yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.

“Maksudnya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sunah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu.

Baca juga Ini Mitos-Mitos Dalam Perkahwinan Yang Perlu Diketahui

“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu, bahkan boleh jadi menzalimi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web tersebut.

ALLAH SWT berfirman: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.” (Surah al-Nisa’ ayat 3)

APABILA selesainya akad nikah dan tamkin (isteri diserahkan kepada suami), maka perkahwinan tersebut melibatkan hak dan tanggungjawab antara suami isteri secara zahir dan batin.

Dalil itu jelas menunjukkan, jika berpoligami dibimbangi membawa kepada kezaliman, maka cukuplah sekadar berkahwin satu sahaja.

“Kezaliman ini juga perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan dan kemampuan fizikal.

“Keadilan yang dijadikan kriteria berdasarkan ayat di atas juga adalah mengenai tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam menunaikan hak-hak kepada isteri.

“Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan,” katanya.

Baca juga Bolehkah nikah gantung atau nikah khitbah dalam Islam? Berikut perinciannya

Untitled design - 2022-10-26T170814.504
Hukum,

Bolehkah nikah gantung atau nikah khitbah dalam Islam? Berikut perinciannya

ANTARA salah satu nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT iaitu adanya pernikahan membolehkan seseorang lelaki dan perempuan bukan ajnabi untuk hidup bersama.

Pelbagai persoalan menjadi tanda tanya terutama apabila melibatkan perkahwinan. Namun, Islam hadir dengan pelbagai solusi yang syumul demi kemaslahatan umatnya agar tidak mengikut hawa nafsu dan akal semata.

Berbicara hal itu, antara istilah popular yang sering kali disebut masyarakat Melayu adalah mengenai nikah gantung. Adakah dibolehkan? Apa pula hukumnya menurut perspektif Islam?

Merujuk penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-256, sebenarnya tiada istilah nikah gantung atau nikah khitbah dalam Islam.

Jika perkahwinan dilakukan dengan memenuhi syarat dan rukunnya, maka ia adalah pernikahan secara Islam yang sah.

Status perkahwinan

JIKA perkahwinan yang dilakukan memenuhi syarat dan rukunnya maka ia adalah sah di sisi Islam.

Menerusi artikel berkenaan, nikah khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang memenuhi lima rukun seperti berikut;

1. Suami
2. Isteri
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Ijab dan Qabul

Pernikahan itu sebenarnya bermaksud perkahwinan yang mana pasangan pengantin tidak duduk serumah dalam satu-satu tempoh tertentu hasil persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak.

Dengan kata lain, majlis akad nikah diadakan terlebih dahulu, tetapi majlis kenduri kahwin (walimatulurus) diadakan kemudian.

Andai begitulah maksudnya, maka nikah gantung itu harus dilakukan kerana majlis kenduri dan hantaran yang besar itu bukan rukun serta bukan syarat bagi perkahwinan.

Ketahuilah, kenduri walimah untuk menjemput saudara-mara dan kenalan bagi meraikan pasangan mempelai hanya sunat sahaja. Kenduri secara kecil-kecilan pun sudah memadai.

KENDURI walimah untuk menjemput saudara-mara dan kenalan bagi meraikan pasangan mempelai hanya sunat sahaja manakala hantaran pula, ia merupakan hadiah pihak lelaki kepada wanita. Hakikatnya hadiah adalah pemberian ikhlas dan tidak wajib.

Dari segi hantaran pula, ia merupakan hadiah pihak lelaki kepada wanita. Hakikatnya hadiah adalah pemberian ikhlas dan tidak wajib. Namun, masyarakat kita hari ini seolah-olah mewajibkan hantaran dan menjadikannya sebagai suatu kebanggaan.

Elak zina, kelahiran anak luar nikah

Begitupun, ada yang memilih nikah gantung atas alasan tertentu. Antara sebab-sebab utamanya adalah disebabkan suami tidak mampu menyara sepenuhnya kos hidup isteri seperti rumah sewa, pakaian, peralatan, makanan dan sebagainya. Ini kerana pasangan masih lagi menuntut dan masih belajar.

Suatu perkara yang menarik tentang nikah gantung adalah kebaikan yang tersirat di sebaliknya. Ia bukan sekadar mengelakkan berlaku zina dan kelahiran anak luar nikah, tetapi itulah tujuan sebenar perkahwinan itu diamalkan oleh sebahagian masyarakat.

Masakan tidak, mereka bebas melakukan sebarang aktiviti bersama walaupun tanpa mahram. Malah, pasangan boleh mengandung dan melahirkan anak yang sah daripada hubungan halal.

Kehilangan

PERKAHWINAN merupakan sunnah Rasulullah SAW, bukan sahaja demi memenuhi fitrah manusia, tetapi juga melaksanakan ibadah dalam menyempurnakan semua hak dan tanggungjawab yang diberikan.

“Hal ini kerana mereka adalah pasangan suami isteri yang sah di sisi agama Islam dan undang-undang kerajaan Malaysia. Mereka tidak perlu melarikan diri, menggugurkan bayi, membuang bayi, atau membunuhnya.

“Walaupun ia dikatakan harus, sebaik-baiknya berbincanglah dengan ibu bapa dan keluarga kedua-dua pihak supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari. Perkahwinan bukan sekadar berkawan, tetapi hubungan yang menyatukan dua jasad dan dua jiwa,” saran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ia seperti yang disebutkan dalam hadis Rasullulah SAW iaitu perkara yang sepatutnya sentiasa di hadapan iaitu: “Keredaan ALLAH terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan ALLAH terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Setiap perkara yang dilakukan pasti ada pro dan kontranya. Perkahwinan seperti itu ada bahayanya terutama apabila pasangan lelaki hanya berkahwin dengan tujuan untuk memuaskan nafsu seks semata-mata tanpa memberikan sebarang nafkah zahir.

Perkahwinan bukan perjudian

PERKAHWINAN melibatkan hak dan tanggungjawab antara suami isteri secara zahir dan batin.

Hal ini kerana apabila selesainya akad nikah dan tamkin (isteri diserahkan kepada suami), maka perkahwinan tersebut melibatkan hak dan tanggungjawab antara suami isteri secara zahir dan batin.

Sesuatu perkahwinan yang cukup syarat dan rukunnya walaupun dinamakan ‘nikah gantung’ dan tiada kenduri dengan majlis secara besar-besaran dan seolah-olah tiada ‘rumah tangga’ perkahwinan, hukumnya harus dan boleh dilaksanakan.

Hubungan suami isteri ‘nikah gantung’ ini adalah sama seperti suami isteri perkahwinan biasa yang boleh menjalankan hak dan tanggungjawab mereka.

Baca juga Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam

Baca juga Empat perkara sunat dilakukan selepas akad nikah

Baca juga Benarkah segala amal kebaikan selepas berkahwin akan dapat pahala besar? Ini penjelasannya

Nusyuz
Gaya Hidup,

Nikah Tidak Sah Gara-Gara Enggan Bapa Jadi Wali. Berikut Penjelasan Peguam Syarie

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

TIADA pasangan yang tidak mahukan anak selepas berkahwin. Zuriat yang lahir itu nantilah yang akan menjadi penyambung legasi keluarga. Namun, ketentuan ALLAH, tiada siapa yang boleh nafikan.

Dilema tiada waris turut dialami oleh Jefri Salleh, 45, dan Zuraidah Kassim, 44. Kedua-duanya bukan nama sebenar.

Disebabkan sikap penyayang Jefri dan Zuraidah yang sukakan kanak-kanak, keinginan mereka untuk memiliki cahaya mata sendiri semakin membuak-buak dari semasa ke semasa.

Maka, pelbagai usaha yang mereka dilakukan baik perubatan moden mahupun tradisional. Malangnya, selepas lima tahun, belum ada tanda-tanda rezeki menyebelahi mereka. Pun demikian, mereka tidak pernah berputus asa. Namun, pertemuan bersama pakar sakit puan memberi khabar duka apabila Zuraidah disahkan mengalami penyakit berkaitan dengan rahim dan peluang untuknya hamil agak tipis.

Namun, jika sudah ketentuan- Nya, tiada siapa boleh menolak. Zuraida tidak menyangka, akhirnya dia hamil meskipun kehamilan itu mempertaruhkan nyawanya sebagai galang ganti.

Baca juga Jangan Sewenang-wenangnya ‘Jatuh Hukum’ Sendiri Tentang Status Perkahwinan, Buruk Padahnya

Berkat doa, anak beliau selamat dilahirkan, namun suri rumah itu lumpuh separuh badan.

Situasi tersebut membuatkan Jefri berang. Bukan sahaja sukar menerima keadaan isterinya, malah jurutera itu menyalahkan anak yang baru lahir sebagai punca Zuraidah menjadi cacat.

Lebih teruk lagi, wanita itu diceraikan. Terbiarlah ibu dan anak yang dinamakan sebagai Zara (bukan nama sebenar) terkontang-kanting.

Zara dibesarkan tanpa belaian kasih sayang daripada bapanya. Beliau tidak pernah dilayan secara baik oleh Jefri. Sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali pun, lelaki itu tidak datang menjengah, apatah lagi memberi buah tangan untuk anak kandungnya.

Paling menyedihkan, selepas berkahwin dengan isteri baharu, nafkah cahaya mata yang sangat ditunggu-tunggu dulu diabaikan begitu sahaja.

Masa silih berganti, Zara semakin membesar dan meluahkan hasrat kepada ibunya untuk berkahwin.

Enggan bapa jadi wali

ANDAI bapa masih hidup dan sihat, mintalah supaya bapa tadi menjadi wali bagi perkahwinan anak perempuannya.

Namun yang paling membuatkan hati Zuraidah menjadi tidak keruan apabila gadis berkenaan tidak mahu Jefri menjadi wali pernikahannya.

Sebaliknya, Zara memilih bapa saudaranya.

Walaupun dihalang, Zara tetap dengan pendiriannya gara-gara rasa benci terhadap bapanya yang masih berbekas.

Tidak sah pernikahan berwalikan bapa saudara jika bapa masih hidup dan sihat

PEGUAM Syarie daripada Tetuan Firdaus Abd Jalil & Associates, Abdullah Firdaus Abd Jalil berpendapat, hubungan antara bapa dan anak iaitu Jefri Salleh dan Zara merupakan satu hubungan yang agak kompleks.

Sejarah silam dan layanan yang diberikan si bapa kandung menjadi faktor silaturahim menjadi renggang dan wujudnya aura negatif.

Menurut Abdullah Firdaus, dalam kes berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Jefri tidak menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik sehingga menimbulkan perasaan benci dalam diri anaknya.

Natijahnya, Zara mengalami kesan psikologi yang sangat mendalam. Beliau berterus terang bahawa dirinya berkecil hati dan tidak menyukai bapa kandung sendiri. Mudah kata, beliau memusuhi lelaki itu kerana mengabaikan ibunya yang tidak sempurna.

“Hak seorang bapa kepada seorang anak walaupun setelah berpisah dengan ibunya tetap sama. Tidak ada apa-apa perkara yang boleh memisahkan hubungan anak dan bapa.

“Tanggungjawab untuk menjaga anak dengan baik, memberi kasih sayang yang secukupnya dan memberi nafkah tetap perlu ditunaikan, walaupun berlaku penceraian,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdullah Firdaus berkata, perkahwinan adalah amanah ALLAH SWT. Justeru, ia perlu direalisasikan dengan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua saksi, lafaz ijab dan kabul.

ABDULLAH FIRDAUS

Jelasnya, jika kekurangan salah satu rukun itu, maka perkahwinan tidak sah.

Ujar peguam itu, salah satu isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita adalah bidang kuasa wali.

Wali ujar beliau, bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki terdekat kepada pengantin perempuan. Wali merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Terdapat beberapa firman ALLAH SWT yang menunjukkan betapa mustahaknya wali dalam sesebuah perkahwinan.

“Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia, maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu.

Sekiranya datuk meninggal dunia, maka hak wali berpindah kepada saudara lelaki seibu sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya,“ ungkap beliau.

Menjawab tindakan Zara yang mahu berwalikan bapa saudara, Abdullah Firdaus berkata, hak bapa selaku wali mujbir kepada anak perempuannya tetap kekal.

“Wali mujbir bermaksud wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu.

“Zara perlu mendapatkan bapanya kerana masih lagi hidup dan boleh dihubungi. Oleh yang demikian, bapanya mempunyai hak ke atas Zara.

“Perlu diingatkan bahawa Zara tidak boleh berkahwin berwalikan bapa saudaranya kerana bapa kandung masih ada. Sekiranya Zara tetap dengan keputusannya maka perkahwinan beliau tidak sah,“ tegasnya.

Foto: 123rf & Freepik